Anda di halaman 1dari 6

1.

0 PENGENALAN

Teknologi pendidikan memainkan peranan penting dalam suatu proses pengajaran. Hal ini kerana ia meliputi
manusia, prosedur, idea, alat dan organisasi untuk membuat analisis masalah, merancang, melaksana,
menilai dan seterusnya mengelola usaha pemecahan masalah yang berhubung kait dengan semua aspek
pembelajaran. Teknologi instruksional pula merupakan suatu proses yang serupa seperti teknologi
pendidikan yang mempunyai tujuan dan terkawal. Teknologi instruksional memberi tumpuan bagaimana
cara hendak mengajar dan bukannya apa yang hendak dipelajari (Snelbecker, 1974). Selain itu, teknologi
instruksional mencari cara terbaik untuk menyampaikan kandungan kurikulum kepada pelajar termasuklah
strategi, kaedah dan jenis teknologi yang sesuai untuk memudahkan pelajar menguasai kandungan
pengajaran yang di sampaikan di dalam bilik darjah.
Teknologi instruksional adalah aplikasi bersistem dan strategi yang sistematik. Ia merupakan aplikasi teori
yang sistematik mengikut keperluan dalam reka bentuk instruksional dan pembangunan (Yunus, n.d.). Finn
dalam Nik Najibah (2012) menyatakan teknologi intruksional hendaklah dilihat sebagai salah satu cara
untuk melihat masalah pengajaran dan meneliti penyelesaian yang mungkin pada masalah tersebut. Menurut
Seels & Richey (1994) pula, teknologi instruksional membawa maksud teori dan amalan tentang reka bentuk,
pembangunan, penggunaan, pengurusan dan penilaian terhadap proses dan sumber pembelajaran. Davi
dalam Nik Najibah (2012) mendefinisikan teknologi instruksional sebagai reka bentuk dan penggunaan
mesej yang mengawal proses pembelajaran. Ia menunjukkan reka bentuk perancangan yang sistematik,
pengeluaran, pemilihan, penggunaan dan pengurusan.
Berdasarkan keterangan di atas, teknologi intruksional dilihat sebagai satu proses sistematik yang
melibatkan amalan reka bentuk pengajaran yang bertujuan untuk memudahkan pada pelajar memahami
penyampaian pengajaran dalam sesi pembelajaran. Teknologi instruksional bukan hanya terhad pada
pengajaran semata-mata, namun ia meliputi segala aspek yang melihatkan teori, reka bentuk pengajaran,
pembangunan, penggunaan dan penilaian yang dijalankan semasa proses pengajaran berlaku.
Seels dan Richey (1994) membahagikan teknologi instruksional kepada lima domain utama. Lima domain
utama tersebut ialah domain reka bentuk, domain pengembangan, domain penggunaan, domain pengurusan
dan domain penilaian. Kesemua domain ini merupakan asas dan struktur kepada bidang teknologi
instruksional. Teori ini merangkumi idea, konsep, konstruk, prinsip dan saranan yang menyumbang kepada
pembinaan kerangka pengetahuan (Yusup, 2006). Amalan pula mengandungi aplikasi pengetahuan,
kemahiran dan pengalaman untuk menyelesaikan masalah instruksional dan pembelajaran.

2.0 PERANAN TEKNOLOGI INSTRUKSIONAL

Pengenalan teknologi dalam pendidikan telah banyak menunjukkan impak positif kepada para pelajar.
Penggunaan teknologi pada masa kini menunjukkan peningkatan pembelajaran dalam institusi pendidikan.
Seiring dengan kemajuan dan kemahuan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KSSR), penggunaan
teknologi dalam pengajaran sangat bersesuaian dan efektif dalam menyampaikan pengajaran. Ramsden
dalam Adibah (2012) menyatakan bahawa belajar atau pembelajaran di sekolah seharusnya merupakan satu
pergerakan ke arah pembentukan insan yang berupaya menyelesaikan persoalan yang kompleks, mengiktiraf
kuasa dan keelokan konsep-konsep sesuatu bidang pelajar dan menggunakan ilmu yang dipelajari di dalam
kelas dan menyelesaikan masalah di luar kelas.
Teknologi instruksional dilihat mampu memberikan alternatif yang lebih mudah kepada penyampaian guru
di dalam mahupun di luar bilik darjah. Penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) misalnya
dalam proses pengajaran dan pembelajaran dapat meningkatkan kecekapan dan keberkesanan hasil
pembelajaran. Seorang pendidik boleh membuat persediaan lebih awal sebelum menjalankan proses
pengajaran dan pembelajaran. Maklumat berkaitan pengajaran lebih mudah diakses melalui Internet dan
guru mampu mendapatkan input yang lebih baik kepada pelajar. Penggunaan alat ICT seperti powerpoint,
bahan interaktif, bahan multimedia dan animasi pastinya mampu menarik perhatian dan berkesan semasa
penyampaian di bilik darjah. Kaedah yang digunakan ini dapat dijalankan dengan lebih mudah, ringkas serta
padat dengan maklumat. Hal ini kerana melalui ICT, pelajar akan didedahkan dengan persembahan grafik
mahupun video yang mudah difahami dan menarik. Penggunaan ICT merangsang pelajar untuk belajar
dengan bimbingan yang minimum daripada guru. Oleh itu, para pelajar tidak mudah jemu dan memberi
tumpuan ketika pengajaran berlangsung lantaran tertarik dengan gaya persembahan yang ditunjukkan
melalui ICT.
Selain itu, penggunaan ICT menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran lebih aktif serta mampu
mewujudkan suasana pembelajaran yang menyeronokkan. Guru boleh membina suasana pembelajaran yang
seronok, mencabar dan berbentuk penerokaan. Melalui teknologi yang digunakan dalam pengajaran, pelajar
boleh belajar secara berkesan dan boleh mengumpul maklumat yang mungkin sukar diperoleh dalam
keadaan biasa daripada pelbagai laman pembelajaran. Guru boleh menerangkan kepada pelajar dengan lebih
terperinci dan mendalam mengenai sesuatu subjek atau tajuk yang diajar. Misalnya, penggunaan Internet
sebagai alat untuk mencari maklumat terkini berkaitan dunia pendidikan. Kemahiran melayari Internet yang
ada pada pelajar membolehkan pelajar mendapatkan maklumat dan pengetahuan berkaitan aktiviti
pembelajaran secara cepat dan efisien. Cara ini dapat meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran
dengan lebih berkesan kerana segala maklumat yang diperlukan dapat diakses secara terus tidak kira di
dalam bilik darjah mahupun di rumah.
Teknologi intruksional melalui penggunaan ICT juga berperanan membantu pelajar dalam proses
penyelesaian masalah dan komunikasi dengan lebih cepat dan tepat. Guru dan pelajar juga dapat
meningkatkan kemahiran teknologi sedia ada melalui pendedahan pelbagai alatan dan bahan ICT yang
mempunyai pelbagai fungsi dan kegunaan tersendiri. Penguasaaan teknologi oleh guru dalam pengajaran
dan pembelajaran memberikan nilai tambah kepada guru untuk mempraktikkannya ketika penyampaian ilmu
di dalam kelas. Di samping itu, guru dapat menambahkan kualiti penyampaian dan menambahkan
pengetahuan mengenai sistem ICT berdasarkan pengalaman yang berlangsung semasa interaksi bersama
pelajar.
Aplikasi teknologi melalui penggunaan ICT sebenarnya mewujudkan peluang pembelajaran yang sama rata
kepada semua pelajar yang mempunyai pelbagai kebolehan dan kecerdasan. Pengajaran di dalam sebuah
kelas biasa mempunyai pelbagai kebolehan untuk menerima pengajaran yang disampaikan oleh guru.
Justeru, penggunaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran dilihat mampu mengatasi masalah
pelajar tidak faham ilmu yang disampaikan. Pelajar pastinya lebih cenderung untuk mengetahui perkara
yang dipelajari kerana ia menarik dan mudah difahami. Misalnya melalui penggunaan Frog VLE semasa
pengajaran di dalam bilik darjah, pelajar akan meneroka pembelajarannya sendiri berdasarkan arahan yang
diberikan oleh guru. Pembelajaran interaktif ini menyenangkan kerja guru dan memudahkan pemahaman
pelajar. Melalui persembahan slaid Powerpoint, persembahan grafik mahupun tayangan video pendek di
dalam laman pembelajaran mampu memberikan pemahaman maksimum kepada pelajar. Melalui cara ini,
segala tanda tanya dan permasalahan yang timbul ketika sesi pengajaran dan pembelajaran dapat segera
diselesaikan oleh pelajar mahupun guru dengan cara yang mudah. Pelajar boleh mengulang kaji
pembelajaran pada hari tersebut di rumah dengan hanya mengakses laman pembelajaran yang dibekalkan di
sekolah. Pelajar juga mudah mengakses nota dan bahan pembelajaran melalui Internet.

3.0 PERHUBUNGAN TEKNOLOGI INSTRUKSIONAL DAN PRINSIP-PRINSIP UTAMA


PEMBELAJARAN

Menurut Kang (2015) yang menyatakan bahawa teknologi pembelajaran dibina berdasarkan atas
prinsip-prinsip yang diambil daripada teori psikologi, terutamanya teori pembelajaran dan hasil-hasil
penelitian dalam kegiatan pembelajaran. Proses pembelajaran merupakan perkara penting dalam
mengimplementasikan kurikulum termasuklah prinsip-prinsip pembelajaran itu sendiri. Pembelajaran yang
efektif dan efisien bergantung kepada teknologi pembelajaran yang ditekankan di dalam bilik darjah. Oleh
yang demikian, seorang tenaga pendidik perlu mengetahui cara terbaik untuk memudahkan pembelajaran
yang berkesan untuk mencapai objektif pengajaran dan pembelajaran yang diinginkan melalui pemilihan
pedagogi yang sesuai di dalam bilik darjah.
Salah satu prinsip pembelajaran ialah prinsip motivasi dan perhatian. Guru sebagai fasilitator di dalam bilik
darjah memainkan peranan penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Guru hendaklah
menyediakan pelajar sebelum pengajaran berlangsung. Penggunaan teknologi instruksional menekankan
reka bentuk dan strategi yang digunakan semasa proses pengajaran dan pembelajaran. Semasa proses
pengajaran berlangsung, guru hendaklah memastikan perhatian pelajar dititikberatkan kerana ia merupakan
perkara penting dalam menggalakkan aktiviti pembelajaran berlaku. Menurut Anon (2014), motivasi
mempunyai kaitan dengan kepentingan pelajar agar mereka mempunyai minat yang tinggi terhadap mata
pelajaran tertentu dan boleh meningkatkan motivasi mereka untuk belajar. Penggunaan teknologi dalam bilik
darjah pastinya menarik perhatian pelajar belajar seiring memotivasikan pelajar untuk terus mengikuti
pengajaran guru. Misalnya penggunaan klip video pada awal set induksi akan membina naluri dan rasa ingin
tahu pelajar pada langkah pengajaran seterusnya.
Selain daripada itu, prinsip kedua ialah aktif. Belajar merupakan suatu proses aktif yang dilakukan oleh
seseorang untuk mengubah tingkah laku dan pemikiran menjadi lebih baik. Aplikasi teknologi instruksional
hendaklah digunakan dalam pengajaran dengan melihat strategi dan kaedah yang sesuai dengan pemilihan
tajuk dan aktiviti yang dirancang. Pengajaran yang berlangsung seharusnya aktif dan mempunyai
komunikasi dua hala antara guru dengan pelajar mahupun pelajar dengan pelajar. Strategi pengajaran yang
digunakan oleh guru hendaklah berpusatkan pelajar atau berpusatkan kepada bahan agar pembelajaran tidak
menjadi bosan lantaran komunikasi sehala semata-mata. Guru harus lebih kreatif merancang aktiviti yang
boleh menjana pemikiran pelajar dan memberi peluang kepada semua pelajar mengikuti pembelajaran.
Misalnya aktiviti perbincangan dalam kumpulan berkaitan tajuk “Kesan Pencemaran Terhadap Manusia”.
Aktiviti ini akan melibatkan semua pelajar dan pastinya komunikasi dua hala akan berlangsung kerana
perkongsian, perbincangan dan pendapat yang berbeza daripada semua ahli kumpulan.
Prinsip seterusnya ialah penglibatan secara langsung. Prinsip ini jelas menekankan pengalaman pelajar
secara langsung terlibat dalam aktiviti yang dilakukan di dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Menurut Anon (2014), setiap individu mesti terlibat secara langsung untuk merasa atau mengalaminya. Bagi
memberikan pengalaman baru kepada pelajar, aktiviti yang dilaksanakan oleh guru hendaklah melibatkan
semua pelajar. Teknologi instruksional menekankan pengurusan bilik darjah yang baik oleh guru. Misalnya,
dalam aktiviti berkumpulan menyusun perkataan menjadi ayat, setiap individu di dalam kumpulan
hendaklah memberi pandangan dan pendapat tentang susunan perkataan tersebut. Faktor bilangan ahli
kumpulan hendaklah dititikberatkan oleh guru. Jumlah yang terlalu ramai di dalam satu kumpulan akan
mewujudkan pelajar yang diam dan tidak melibatkan diri dalam sebarang aktiviti berkumpulan.
Seterusnya, prinsip pengulangan. Pembelajaran melibatkan prinsip pengulangan yang memerlukan pelajar
mengulangi apa yang telah dipelajari sebelumnya. Pengalaman pembelajaran pelajar pada masa lalu akan
diaplikasikan dalam pembelajaran akan datang. Pembelajaran yang mengalami proses pengulangan
memudahkan pemahaman dan menguatkan daya ingatan pelajar. Misalnya, pembelajaran menggunakan
komputer di dalam bilik darjah agak kekok bagi pelajar yang pertama kali menggunakannya. Namun, jika
pembelajaran menggunakan komputer digunakan setiap minggu, pelajar akan tahu dan mahir mengendalikan
komputer tanpa perlu bantuan dan bimbingan daripada guru. Tambahan itu, kemahiran yang diajar kepada
pelajar hendaklah mengikut aras kebolehan pelajar agar pembelajaran yang diterima oleh pelajar
menyeronokkan. Hal ini akan meningkatkan nisbah pengulangan pembelajaran pada masa hadapan.
Prinsip seterusnya ialah cabaran. Pelajar akan tertarik kepada pembelajaran yang berunsurkan cabaran.
Menurut Anon (2014), bahan pembelajaran yang dilaksanakan hendaklah mencabar seperti soalan berkaitan
masalah yang perlu diselesaikan agar para pelajar tercabar untuk terus mengkajinya. Aktiviti yang dirancang
guru hendaklah sesuai dan seiring dengan kebolehan pelajar. Aktiviti penyelesaian masalah secara
berkumpulan akan menjana pemikiran kritis dan mencabar kemahiran berfikir aras tinggi pelajar. Guru boleh
menunjukkan video slaid nota kepada pelajar sebelum memberikan masalah kepada pelajar. Selain itu, guru
juga boleh merancang aktiviti permainan berunsurkan pertandingan. Aktiviti seperti ini akan meningkatkan
penglibatan pelajar semasa aktiviti berlangsung.
Tambahan itu, prinsip pengukuhan dan maklum balas hendaklah dipraktikkan dalam proses pengajaran dan
pembelajaran. Teknologi instruksional menekankan reka bentuk pengajaran yang dilaksanakan di dalam
billik darjah. Keperluan untuk pembelajaran hendaklah dipenuhi untuk mencapai tujuan dan maksud belajar.
Seorang pelajar akan lebih bersemangat untuk belajar jika mereka dipuji dan diberi penghargaan hasil
daripada perkara baik yang dilakukannya. Hasil yang diperolehnya sangat memuaskan hingga ia boleh
menjadi titik tolak yang mempengaruhi pembelajaran yang akan datang.
Prinsip terakhir ialah perbezaan individu. Guru perlu sedar akan hakikat bahawa proses pembelajaran
setiap individu adalah berbeza, secara fizikal mahupun mental. Oleh itu, guru hendaklah bijak mengatur
proses pembelajaran yang sesuai dengan tahap kebolehan pelajar. Guru perlu membantu pelajar untuk
mengetahui serta memahami kelemahan dan kekuatan yang ada pada dirinya sendiri agar pelajar boleh
membaiki kelemahannya sesuai dengan kebolehan yang ada pada dirinya. Bilik darjah lazimnya mempunyai
tiga tahap kebolehan pelajar iaitu cepat, sederhana dan lambat. Guru boleh menggunakan kreativiti sendiri
untuk menentukan aktiviti yang sesuai dilaksanakan bagi ketiga-tiga tahap kebolehan pelajar tersebut.

4.0 TEORI DAN AMALAN DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

Menurut Seels & Richey (1994), teknologi instruksional terbahagi kepada lima domain iaitu reka bentuk,
pembangunan, penggunaan, pengurusan dan penilaian. Pengajaran dan pembelajaran guru di dalam bilik
darjah hendaklah mempraktikkan teknologi instruksional bagi memudahkan guru dan pelajar melaksanakan
proses pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Penggunaan ICT pastinya menjadi pilihan bagi para
pendidik untuk menyampaikan ilmu kepada para pelajar.
Domain reka bentuk merupakan proses untuk menentukan komponen sistem instruksional, ciri-ciri dan
keperluan bagi proses pembelajaran. Terdapat empat bidang yang ada di dalam domain reka bentuk iaitu
reka bentuk sistem instruksional, reka bentuk mesej, strategi instruksional dan ciri-ciri pelajar. Reka bentuk
sistem instruksional merupakan sebuah tatacara yang tersusun dan sistematik untuk membuat analisis,
mereka bentuk, membina, melaksana dan menilai satu unit pelajaran atau satu kurikulum agar dapat
membantu atau menambahbaik pelajar belajar dan guru mengajar.
Misalnya dalam bahan pengajaran yang dihasilkan oleh Habibah Lateh dan Arumugam Raman yang
mengkaji tentang bahan “Web-based Map Reading in Geography”. Kajian yang dilaksanakan ini bertujuan
untuk mengkaji penggunaan peta interaktif dalam meningkatkan pencapaian pelajar dari segi membaca peta,
mentafsir peta serta memahami geografi berbanding menggunakan peta statik. Terdapat dua kumpulan yang
dibentuk iaitu kumpulan eksperimen yang menggunakan peta interaktif dan kumpulan kawalan yang
menggunakan peta statik dalam mempelajari kemahiran membaca peta. Menurut Habibah dan Arumugam
(2005), peta interaktif ini mampu memfokuskan kawasan yang dikehendaki, mengubah hamparan peta
secara topografi, tumbuh-tumbuhan, sempadan dan boleh mencetak peta. Dapatan kajian mendapati
kumpulan eksperimen yang menggunakan peta interaktif boleh menguasai latihan berbentuk animasi
berbanding kumpulan kawalan yang hanya menggunakan peta statik.
Bidang kedua dalam domain reka bentuk ialah reka bentuk mesej yang melibatkan perancangan untuk
menentukan cara dan format media paling berkesan untuk menyampaikan mesej kepada pelajar. Mesej atau
pengajaran yang ingin disampaikan oleh guru di dalam bilik darjah hendaklah dirancang lebih awal agar
proses pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan lancar. Guru seharusnya memilih cara yang paling
mudah dan berkesan kepada pelajar. Misalnya guru menunjukkan klip video tentang “Kelapa” dalam tajuk
pengajaran “Kegunaan Kelapa”. Klip video tersebut mengandungi pelbagai input yang boleh memberi
gambaran kepada pelajar tentang kegunaan kelapa.
Bidang ketiga dalam domain reka bentuk ialah reka bentuk strategi instruksional yang melibatkan proses
memilih dan menyusun aktiviti pembelajaran dalam sesuatu unit pelajaran seperti urutan, kandungan,
domain pembelajaran, kaedah dan media yang paling sesuai untuk mengukuhkan proses pembelajaran.
Misalnya dalam satu proses pengajaran dan pembelajaran, guru akan bermula dengan set induksi, diikuti
oleh langkah-langkah pengajaran dan akhirnya penutup. Dalam set induksi, guru menunjukkan klip video.
Kemudian, dalam langkah-langkah pengajaran pula guru akan menyusun aktiviti daripada aktiviti
berkumpulan kepada aktiviti individu.
Bidang terakhir dalam domain reka bentuk ialah menganalisis ciri-ciri pelajar seperti menentukan kemahiran,
pengetahuan pelajar serta sikap sedia ada yang memberi kesan terhadap proses pembelajaran. Sebelum
memulakan pengajaran, guru seharusnya berkenalan dan peka dengan ciri-ciri pelajar yang ada di dalam
bilik darjah. Guru perlu mengenal pasti pelbagai aras kebolehan dan pengetahuan sedia ada murid. Latar
belakang pelajar perlu diketahui guru agar pengajaran guru akan menjadi lebih mudah dan menarik.
Domain kedua dalam teknologi instruksional ialah domain pengembangan atau domain pembinaan yang
melibatkan proses menterjemah spesifikasi reka bentuk bagi menghasilkan bahan instruksional. Bahan
instruksional terdiri daripada bahan bercetak, alat pandang dan dengar, bahan berasaskan komputer dan
bahan multimedia. Domain ini menekankan pembinaan bahan untuk mengembangkan potensi dan
pengetahuan pelajar. Guru perlu membina bahan bantu untuk memudahkan pengajaran. Misalnya, guru
membina sebuah klip video berkaitan kelapa. Guru perlu mencari bahan dan maklumat berkaitan kelapa dan
dimasukkan di dalam klip video “Kelapa”. Walau bagaimanapun, bahan-bahan dan maklumat pengajaran
boleh dicari dalam laman-laman web pembelajaran untuk memudahkan guru. Guru boleh mendapatkan klip
video pembelajaran di Youtube ataupun mendapatkan audio dari laman web yang menyediakan audio yang
diperlukan. Tambahan itu, guru juga boleh menyediakan bahan interaktif yang mengandungi nota,
pembelajaran pada hari itu dan juga soalan atau kuiz.
Seterusnya, domain ketiga teknologi instruksional ialah domain penggunaan. Domain ini adalah tindakan
menggunakan kaedah dan model instruksional, bahan dan perkakasan media dan persekitaran di dalam
proses pengajaran untuk meningkatkan suasana pembelajaran. Setelah guru menyediakan bahan pengajaran
klip video “Kelapa”, guru akan menggunakan bahan tersebut di dalam sesi pengajaran dan pembelajaran.
Penggunaan bahan adalah bergantung kepada pilihan dan kreativiti guru. Misalnya, guru boleh
memancarkan klip video kepada kelas dan klip video tersebut akan ditonton oleh pelajar. Guru juga boleh
menggunakan cara lain seperti membina laman pembelajaran di dalam Frog VLE dan setiap pelajar akan
mengakses laman tersebut pada skrin komputer mereka. Penggunaan Frog VLE dlihat lebih mudah dan
ringkas jika dibandingkan dengan kaedah tradisional kerana dengan adanya laman interaktif ini, guru hanya
perlu memberikan arahan ringkas dan pelajar hanya perlu melaksanakan arahan yang diberi. Guru akan
memberikan bimbingan minimum dan sekadar menjadi fasilitator di dalam bilik darjah, manakala pelajar
pula akan melakukan segala aktiviti pembelajaran.
Domain keempat teknologi instruksional ialah domain pengurusan. Domain ini melibatkan kawalan ke atas
teknologi instruksional menerusi perancangan, penyusunan, penyelarasan dan penyeliaan teknologi
pendidikan untuk membolehkan aktiviti pengajaran dan pembelajaran berjalan secara sistematik dan
berkesan. Pengurusan bilik darjah perlu ditekankan oleh guru semasa sesi pengajaran dan pembelajaran
berlangsung. Kawalan kelas semasa aktiviti dijalankan tidak boleh dipandang enteng. Misalnya, penggunaan
komputer untuk sesi pengajaran dan pembelajaran yang menggunakan Frog VLE akan menimbulkan rasa
teruja pelajar. Hal ini pastinya menyebabkan kelas berada dalam keadaan bising dan kurang terkawal. Guru
perlu memainkan peranan dan mengembalikan keadaan yang terkawal dan tenang.
Domain kelima dalam teknologi instruksional ialah domain penilaian. Domain penilaian merupakan proses
untuk menentukan kesesuaian dan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran atau program
pendidikan yang telah dijalankan. Misalnya seperti penilaian pencapaian pelajar, penilaian penggunaan
media, penilaian reka bentuk dan pembinaan bahan pengajaran serta penilaian program atau projek media
pendidikan. Terdapat empat kategori dalam domain penilaian iaitu penilaian analisis masalah pengajaran,
penilaian kriteria, penilaian formatif dan penilaian sumatif. Penilaian analisis masalah pengajaran dilihat
melalui refleksi guru terhadap sesi pengajaran dan pembelajaran yang telah berlangsung pada hari tersebut.
Penilaian formatif dan sumatif lazimnya diberikan kepada pelajar. Pada akhir aktiviti pengajaran, pelajar
akan menjawab soalan berbentuk penilaian formatif untuk menilai pemahaman pelajar terhadap
pembelajaran pada hari tersebut.

RUMUSAN
Teknologi instruksional merupakan satu proses sistematik yang melibatkan amalan reka bentuk pengajaran
yang bertujuan untuk memudahkan para pelajar memahami penyampaian pengajaran dalam sesi
pembelajaran. Teknologi instruksional tidak terhad pada pengajaran semata-mata, tetapi meliputi aspek yang
menunjukkan teori, reka bentuk pengajaran, pembangunan, penggunaan dan penilaian yang dijalankan
semasa proses pengajaran berlaku.
Penggunaan teknologi dalam pengajaran sangat bersesuaian dan efektif dalam menyampaikan pengajaran.
Penggunaan ICT dalam bilik darjah dapat meningkatkan kecekapan dan keberkesanan hasil pembelajaran.
Selain bilik darjah, pembelajaran boleh berlaku di rumah.
Penggunaan ICT menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran lebih aktif serta mampu mewujudkan
suasana pembelajaran yang menyeronokkan. Pelajar boleh belajar secara berkesan dan boleh mengumpul
maklumat yang mungkin sukar diperoleh dalam keadaan biasa daripada pelbagai laman pembelajaran.
Tambahan itu, pengajaran menggunakan ICT boleh mewujudkan peluang pembelajaran yang sama rata
kepada semua murid yang mempunyai pelbagai kebolehan dan kecerdasan.
Di samping itu, teknologi pengajaran bukan sahaja memberi tumpuan kepada penggunaan alat pandang
dengar sahaja tetapi meliputi proses reka bentuk pengajaran dan bukan pengajaran bagi meninggikan
keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran di samping prestasi di tempat kerja guru.

BIBLIOGRAFI
Adibah Ishak. (2012). Prinsip Teknologi Pengajaran.
http://www.slideshare.net/adibahishak123/prinsip-teknologi-pengajaran. Diakses pada 23 Mac 2016.
Anon. (2014). Prinsip-prinsip pembelajaran.
http://www.informasi-pendidikan.com/2014/01/prinsip-prinsip-pembelajaran.html. Diakses pada 23 Mac
2016.
Emran Yunus. (n.d.). Teori dan Reka Bentuk Instruksional.
https://www.academia.edu/4381882/TEORI_DAN_REKABENTUK_INSTRUKSIONAL. Diakses pada 23
Mac 2016.
Habibah Hj. Lateh., & Arumugam Raman. (2005). Web-Based Map Reading in Geography.
http://pppjj.usm.my/mojit/articles/pdf/Dec05/12-A_STUDY_ON_THE_USE_OF_INTERACTIVE_WEB_
BASED_1-final.pdf. Diakses pada 23 Mac 2016.
Kang Hiz. (2015). Pengertian dan Prinsip Pembelajaran.
http://kafeilmu.com/pengertian-dan-prinsip-pembelajaran/. Diakses pada 23 Mac 2015.
Nik Najibah. (2012). Definisi Teknologi Instruksional.
http://www.scribd.com/doc/114599610/Definisi-Teknologi-Instruksional#scribd. Diakses pada 23 Mac 2016.
Seels B. dan Richey R. (1994). Instructional Technology: The definition and domains of the field.
Washington DC: Association for Educational Communications and Technology.
Snelbecker, G. (1974). Learning theory, instructional theory and psychoeducational design. New York: Mc
Graw Hill.
Yusup Hashim. (2006). Penggunaan Teknologi Instruksional.
http://yusuphashim.blogspot.my/2006/12/penggunaan-teknologi-instruksional.html. Diakses pada 23 Mac
2016.

Anda mungkin juga menyukai