Anda di halaman 1dari 1

FAKTOR YANG MENYEBABKAN MURID MENGABAIKAN PENGAMBILAN SARAPAN PAGI

Nasi lemak, mi goreng, mihun goreng, nasi goreng, roti canai, kopi, teh dan minuman koko
adalah antara makanan yang diambil oleh rakyat Malaysia sebelum pergi ke tempat kerja atau sekolah.
Mengambil sarapan pagi amatlah penting, namun majoriti murid sekolah hari ini sering mengabaikan
pengambilan sarapan pagi. Apakah faktor-faktor yang menyebabkan mereka berbuat demikian?

Antara faktor yang menyebabkan murid mengabaikan atau meninggalkan pengambilan sarapan
pagi adalah disebabkan kesuntukan masa. Murid-murid mungkin telah bangun lambat dan telah tergesa-
gesa untuk mandi, memakai baju sekolah dan lain-lain. Disebabkan mereka telah lambat untuk ke
sekolah, mereka mungkin telah terlupa untuk mengambil sarapan yang amat penting untuk menjalani
kehidupan seharian.

Selain itu, faktor yang menyebabkan murid mengabaikan atau meninggalkan pengambilan
sarapan pagi adalah disebabkan murid tidak berasa lapar. Mereka mungkin telah makan pada lewat
malam. Oleh itu, rasa kenyang dari makan lewat malam itu masih ada semasa mereka bangun tidur dan
menyebabkan mereka tidak mengambil sarapan pagi. Makan lewat malam bukan sahaja akan
menambah berat badan kita, malah nutrien-nutrien yang terkandung dalam makanan itu juga tidak akan
dihadam jika kita makan lewat. Berbeza dengan bersarapan pagi, kesemua nutrien yang terkandung
dalam makanan tersebut akan dihadam kerana badan kita berada dalam keadaan yang paling aktif pada
waktu itu, iaitu waktu pagi.

Selain itu, sakit atau hilang selera makan juga merupakan salah satu faktor murid meninggalkan
sarapan pagi. Bukan penyakit berat seperti kanser sahaja yang akan menyebabkan kita hilang selera
makan, malah penyakit ringan seperti demam dan pening kepala juga boleh meyebabkan kita hilang
selera makan. Murid yang sakit tidak boleh merasa makan dan menentukan rasa sesuatu makanan
dengan baik, oleh itu, mereka pun hilang selera makan.

Akhir sekali, faktor yang menyebabkan murid meninggalkan atau mengabaikan sarapan pagi
adalah disebabkan mereka malas. Mereka tidak sakit, tidak kenyang dan masih ada banyak masa,
mereka cuma malas sahaja. Mereka malas untuk ke dapur untuk membakar roti, menjerang air dan
membasuh pinggan, oleh itu, mereka pun tidak mengambil sarapan pagi. Disebabkan sikap ini jugalah
mereka akan menjalani kehidupan seharian mereka dengan sukar.

Bersarapan pagi ada banyak kebaikannya. Malah jika kita bersarapan pagi, kita boleh memilih
untuk tidak makan tengah hari kerana tenaga yang kita peroleh daripada bersarapan pagi itu boleh
digunakan sehingga petang. Selain memberikan kita tenaga, bersarapan pagi juga boleh mengelakkan
diri kita dari diserang gastrik ataupun perut masuk angin.

Berikut adalah faktor yang menyebabkan murid mengabaikan pengambilan sarapan pagi,
diharap petikan ini dapat memberi kesedaran kepada mereka yang tidak bersarapan untuk mengubah
gaya hidup mereka kepada yang lebih baik.