Anda di halaman 1dari 2

CONTOH KRITIKAN SENI VISUAL

“FLORA KERIS MELAYU SAKTI”

-DESKRIPSI

Karya bertajuk "Flora Keris Melayu Sakti" oleh Mohd Mustafa Mohd Ghazali
memaparkan imej keris dengan menggunakan media campuran.

-ANALISIS

Karya ini berbentuk arca timbulan dan menggunakan pelbagai media campuran dalam
penghasilan karya. Unsur-unsur seni yang di tonjolkan dalam karya adalah rupa dan
jalinan, manakala prinsip rekaan yang diaplikasikan memaparkan harmoni, kesatuan,
kepelbagaian, imbangan, dan penegasan.

-INTERPRETASI

Karya "Flora Keris Melayu Sakti" cuba mengangkat seni tradisi orang-orang Melayu
melalui senjata keris. Dalam seni tradisi, keris mempunyai fungsi yang pelbagai
termasuklah alat mempertahankan diri sebagai senjata peperangan, taraf hidup dan
pangkat serta digunakan dalam perubatan tradisional.

Kini, fungsi keris semakin diketepikan. Ia tidak lagi relevan dengan dunia teknologi
dan digital. Fungsinya sangat terhad dan kadang-kadang hanya tersimpan di dalam
peti buruk. Hanya mereka yang berilmu akan menghargainya.
Mohd Mustafa Ghazali melalui karyanya, memaparkan imej keris dalam konteks yang
boleh diterima kini. Ia bukan lagi untuk digunakan sebagai senjata peperangan atau
alat mempertahankan diri, sebaliknya karya "Flora Keris Melayu Sakti" mengupas
isu-isu berkaitan jati diri seorang Melayu moden.

Karya ini menonjolkan motif-motif flora keris dalam bentuk berjalinan. Hulu keris
yang asalnya berbentuk 3 Dimensi diolah menjadi motif berupa 2 Dimensi serta
dihiasi dengan jalinan corak pada hulu keris dan keris itu sendiri.

Karya mengaplikasikan prinsip imbang tidak simetri, dan jalinan corak yang
berulang-ulang mewujudkan kesan harmoni dan kesatuan. Pengkarya mungkin cuba
mengupas isu jati diri dan penyatuan masyarakat Melayu yang dilihat semakin
berpecah belah.

Kepelbagaian media campuran dalam penghasilan karya ini memaparkan nilai estetik
yang tinggi melalui teknik-teknik penghasilan karya.

-PERTIMBANGAN

Karya "Flora Keris Melayu sakti" oleh Mohd Mustafa Ghazali Berjaya mengupas isu-
isu berkaitan jati diri orang-orang Melayu. Beliau juga mentransformasikan seni
tradisi Melayu lama menjadi sebuah karya arca timbulan seni pasca moden yang sarat
dengan falsafah kemelayuannya.