Anda di halaman 1dari 2

TEKS UCAPAN WAKIL MURID MAJLIS SAMBUTAN HARI GURU 2017

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum warohmatullahi wabarakatuh, selamat sejahtera dan salam Negaraku Malaysia.

Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha, Encik Raman Bin Tusin , Guru Besar Sekolah
Kebangsaan Meritam, barisan penolong kanan, guru-guru yang diraikan, warga pendidikan SK
Meritam dan rakan-rakan sekalian.

Alhamdulillah, marilah kita memanjatkan rasa syukur kehadrat Allah SWT kerana dengan
limpah dan kurnia-Nya, maka dapatlah kita bersama-sama pada hari ini, menyambut Hari Guru
Tahun 2017 ini.

Tanggal 16 Mei setiap tahun merupakan Hari Guru. Tema Hari Guru pada tahun ini ialah

'GURU PEMBINA NEGARA BANGSA. Tema ini adalah bertepatan sekali berdasarkan peranan guru
dalam mendidik anak bangsa ke arah melahirkan modal insan yang berketerampilan dan bersatu
padu untuk membawa negara kita ke arah negara maju menjelang tahun 2020.

Guru-guru dan rakan-rakan yang dikasihi,

Setiap insan di dunia ini belajar daripada seorang guru. Tanpa guru kita tidak akan boleh
membaca, menulis dan menguasai ilmu. Guru ibarat lampu yang menerangi kegelapan malam. Guru
ialah insan yang mesti kita hormati selepas ibu bapa kita. Menghormati dan mematuhi arahan guru
adalah sangat dituntut agar apa yang kita pelajari menjadi berkat dan dirahmati Illahi.

Rakan-rakan sekalian,

Marilah kita tanamkan tekad dan azam, untuk belajar bersungguh-sungguh bukan sahaja
untuk diri kita dan ibu bapa kita, tetapi juga untuk guru-guru yang telah banyak berkorban masa,
tenaga dan buah fikiran demi untuk kecemerlangan kita semua. Guru-guru kita akan berasa bangga
jika kita berjaya, namun guru juga akan turut kecewa dan berdukacita seandainya kita gagal dalam
pelajaran.

Guru juga merupakan pengganti ibu bapa kita di sekolah. Oleh itu, kita mestilah
menghormati guru. Segala nasihat dan tunjuk ajar guru mestilah kita dengar dan patuhi. Jangan
sesekali kita abaikan segala nasihat dan bimbingan mereka

Pada kesempatan ini, saya mewakili pelajar-pelajar sekolah ini, mengucapkan Selamat Hari
Guru kepada semua guru di Sekolah Kebangsaan Meritam. Semoga guru-guru terus dianugerahi
kekuatan dan ketabahan dalam mendidik kami.

Akhir kata, kami menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf, seandainya antara kami telah
melakukan kesalahan dan kesilapan kepada guru-guru sama ada kami sedari atau tidak.
Saya akhiri ucapan saya ini dengan fragmen sajak Guru Oh Guru karya Usman Awang.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa

Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta

Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara

Jika hari ini seorang ulama yang mulia

Jika hari ini seorang peguam menang bicara

Jika hari ini seorang penulis terkemuka

Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;

Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa

Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Sekian, wabillahitaufik wal hidayah, wassalamualaikum wbkh

SELAMAT HARI GURU , TERIMA KASIH CIKGU !