Anda di halaman 1dari 5

1.

0 Pengenalan

Merentas abad ke 21 ini, perkembangan teknologi semakin berkembang dengan pesat.


Pengeluaran pelbagai jenis gajet nyata telah mengubah kehidupan manusia dengan begitu
drastik. Tambahan pula, generasi kini lebih dikenali sebagai Generasi Z iaitu generasi yang
lahir bermula pada tahun 1998 sehingga 2009 (Tapscott, 2008). Menurut Siti Mahani dan
Nazlinda (2015), generasi Z merupakan generasi teknologi yang mana mereka telah mula
melayari internet dan laman web sejak kecil lagi. Golongan ini lahir dan membesar di dalam
dunia arus teknologi yang sedang membangun. Terkini, generasi yang lahir selepas Gen-Z
merupakan Generasi A atau dikenali sebagai Generasi Alpha. Generasi ini mula lahir bermula
dari tahun 2010 sehingga kini. Generasi ini merupakan golongan yang sangat materialistik
kerana hidup dalam pelbagai hiburan, berkemampuan dan mempunyai gaya hidup
berteknologi tinggi (McCrindle & Wolfinger, 2009). Oleh hal yang demikian, tidak hairanlah jika
kecanggihan teknologi masa kini telah menyumbang kepada keruntuhan akhlak dan nilai
moral dalam diri manusia khususnya golongan remaja dan kanak-kanak sekiranya tiada
pengawasan sepenuhnya oleh ibu bapa.

2.0 Isu ‘Gajet Racun kepada Kanak-Kanak’

Kini, terdapat pelbagai gajet seperti iPhone, smartphone, iPad, tablet, televisyen dan lain-lain
yang telah menjadi satu keperluan dalam kehidupan manusia. Oleh itu, tidak dapat dinafikan
bahawa kecanggihan gajet ini mampu mengambil alih peranan dan tugas manusia dalam
kehidupan seharian. Dengan gajet yang dilengkapi dengan kemudahan internet, semua
benda yang diperlukan kini hanya berada dihujung dari sahaja (Ika, Ali, & Mohd Helmi, 2013).
Namun, kebaikan dan manfaat dalam penggunaan teknologi ini boleh mendatangkan
keburukan sekiranya masyarakat terlalu bergantung dengan penggunaan gajet dalam
berkomunikasi (Hon, Chua, Shazia, The, & Ruvina Indran, 2016). Justeru, gajet ini boleh
mendatangkan keburukan sekiranya tidak dikawal dan digunakan dengan cara yang bijak.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menjalankan kaji


selidik pada tahun 2015 yang telah mencatatkan seramai 24.1 juta dalam kalangan rakyat
Malaysia merupakan pengguna internet. Melihat angka ini sahaja sudah cukup
menggambarkan bahawa generasi kini terlalu bergantung dengan penggunaan internet dalam
kehidupan seharian. Ditambah lagi dengan statistik iaitu seramai 80.0% daripada pengguna
internet mempunyai akaun sosial media seperti Facebook, WeChat, Instagram dan
sebagainya. Pengguna akaun ini termasuklah dalam kalangan remaja dan kanak-kanak
sebanyak 4.1% yang melawat laman sosial melebihi 12 jam dalam sehari (MCMC, 2016).
Oleh hal yang demikian, tidak hairanlah sekiranya terdapat isu yang sering dipaparkan
berkenaan gajet yang membawa padah kepada kanak-kanak. Oleh itu, terdapat sebuah
artikel yang bertajuk ‘Gajet boleh menjadi racun kepada kanak-kanak dan remaja’ telah
dikeluarkan oleh Astro Awani (Januari, 2014) telah menarik perhatian saya untuk
membincangkan dan mengupas isu ini dengan lebih lanjut. Isu ini berkisarkan tentang bahaya
gajet kepada kanak-kanak sekiranya alat ini dijadikan sebagai kebiasaan dalam kehidupan
seharian mereka. Seiring dengan perkembangan teknologi yang semakin pesat, maka kanak-
kanak kini telah didedahkan tentang penggunaan gajet oleh ibu bapa mereka sejak kecil lagi.
Namun, ibu bapa harus sedar bahawa penggunaan internet kini telah membuka ruang kepada
kanak-kanak yang memiliki gajet untuk terdedah dengan pelbagai masalah tingkah laku,
masalah kesihatan dan masalah sosial seperti aktiviti seks bebas, kes rogol, pencabulan dan
sebagainya.

Gajet ini diibaratkan seperti racun kepada golongan kanak-kanak kerana ia boleh
mengundang kepada berlakunya jenayah seksual terhadap mereka yang telah
menyalahgunakan gajet tersebut. Kini, banyak kes gejala seksual berlaku dalam kanak-kanak
akibat mereka terlalu terdedah dengan alam siber dan laman web sosial tanpa kawalan. Hal
ini sebenarnya berpunca daripada sikap ibu bapa yang terlalu memanjakan anak seperti
mendedahkan mereka dengan penggunaan gajet sejak kecil sebagai alat untuk ‘mengasuh’
anak mereka agar tidak terlalu banyak karenah sehingga akhirnya aktiviti anak kurang diawasi
semasa menggunakan gajet.

Lagipun, sudah menjadi fitrah kanak-kanak mempunyai sifat mencuba dan ingin tahu
yang tinggi dalam diri (Lew, Norliza, & Norulazilah, 2015). Oleh itu, tidak hairanlah jika kanak-
kanak akan mudah terpengaruh dengan bahan-bahan pornografi yang meluas dilaman sosial
semasa menggunakan gajet. Impaknya, mereka akan mula menyalahgunakan gajet dengan
melihat dan mengakses bahan berunsur lucah tersebut tanpa kawalan dan pantauan daripada
ibu bapa. Malah, mereka akan mencuba untuk melakukan aksi yang ditonton terhadap orang-
orang yang terdekat seperti adik beradik atau saudara-mara. Perkara inilah yang boleh
menjadi penyumbang kepada berlakunya peningkatan kes sumbang mahram dan penderaan
seksual yang melibatkan kanak-kanak (Salina, Fauziah, Suzana, & Zaizul, 2012).

Tambahan pula, gajet ini boleh membahayakan apabila kanak-kanak menggunakan


gajet untuk membuka pelbagai akaun media sosial seperti Facebook, WeChat, Instagram dan
sebagainya. Hakikatnya, media ini telah menjadi medium kepada kanak-kanak untuk terdedah
dengan pelbagai kes jenayah seksual dengan mudah sekiranya mereka tidak dipantau dan
diawasi oleh ibu bapa. Menerusi penggunaan gajet tanpa batas ini, kanak-kanak mula
berinteraksi dengan orang-orang yang tidak dikenali. Maka, pelaku pedofilia juga mempunyai
peluang yang luas untuk mendekati dan mendapatkan golongan ini (Nor Fauzah, 2016).
Akibatnya, kanak-kanak mudah termakan dengan kata-kata manis pemangsa sehingga
akhirnya menjurus kepada berlakunya jenayah seksual seperti rogol, pencabulan dan
penderaan seksual dalam kalangan kanak-kanak. Perkara ini berlaku akibat sikap ibu bapa
yang tidak memantau aktiviti anak semasa menggunakan gajet dengan alasan tidak mahu
mengongkong anak. Walhal, perkara inilah yang membawa punca kepada kanak-kanak
menyalahgunakan gajet lalu melayari laman sosial dengan sewenang-wenangnya.

Bukan itu sahaja, gajet ini akan menjadi racun kepada kanak-kanak sekiranya mereka
sudah mula ketagih menggunakannya. Individu yang ketagih dengan gajet ini akan
menunjukkan perubahan tingkah laku yang negatif seperti kurang bersosial, kurang
menumpukan perhatian dalam pembelajaran serta boleh mengalami tekanan (Jyoti, 2014).
Penggunaan teknologi tanpa henti ini boleh menyebabkan kanak-kanak menghadapi masalah
komunikasi seperti suka menyendiri, lambat bercakap dan tidak pandai bergaul dengan orang
sekeliling. Mereka kurang berkomunikasi secara bersemuka akibat terlalu leka dengan
aplikasi yang terdapat dalam gajet. Oleh itu, ia boleh mengakibatkan perkembangan otak
menjadi tidak sihat. Bukan itu sahaja, kanak-kanak yang ketagih dengan gajet ini sukar untuk
menumpukan perhatian terhadap pembelajaran dalam masa yang lama. Ini akan
menyebabkan pencapaian akademik dan perkembangan kanak-kanak akan merosot.

Selain itu, ketagihan terhadap gajet juga boleh mengakibatkan kanak-kanak


mengalami masalah kesihatan seperti sakit kepala, masalah penglihatan, obesiti serta sering
mengalami gangguan tidur (Hatch, 2011). Terdapat satu kes yang berlaku di Britain yang
melibatkan seorang kanak-kanak berusia 4 tahun telah menerima rawatan psikiatri kerana
terlalu ketagih menggunakan gajet. Malah, kanak-kanak ini akan menunjukkan tingkah laku
impulsif sekiranya gajet tersebut diambil daripada tangan mereka. Oleh itu, doktor telah
mengesahkan kanak-kanak ini menghidap penyakit yang dikenali sebagai Internet Addiction
Disorder (IAD) (Seales, & Harding, 2013). Penyakit ini boleh menyebabkan masalah saraf,
gangguan psikologi serta masalah sosial (Cash, Rae, Steel, & Winkler, 2012). Masalah
kesihatan yang dialami ini boleh menjurus kepada keruntuhan akhlak kerana terlalu tertekan
dan bertindak untuk bertingkah laku negatif sekiranya tidak dikawal. Oleh itu, nyatalah bahawa
ketagihan gajet boleh menjadi racun dalam kalangan kanak-kanak kerana ia boleh
menyebabkan masalah kesihatan sekiranya gajet digunakan secara keterlaluan.
3.0 Cadangan Penambahbaikan

Sesungguhnya, isu penggunaan gajet yang semakin berleluasa dalam kalangan kanak-kanak
ini boleh menjurus kepada masalah moraliti kanak-kanak masa kini. Seperti yang telah
dibincangkan, gajet ini boleh memberi kesan terhadap peningkatan kes gejala seksual seperti
sumbang mahram, rogol, pencabulan serta penderaan seksual terhadap golongan kanak-
kanak. Hal ini berlaku akibat sikap ibu bapa yang memanjakan anak dengan memberi mereka
gajet pada awal usia tanpa memantau dan mengawal aktiviti penggunaan gajet tersebut.

Sebagai cadangan penambahbaikan, ibu bapa haruslah menghentikan budaya


pemberian gajet kepada kanak-kanak sebagai pengganti peranan ibu bapa sebagai penjaga.
Perkara ini disokong oleh Pengerusi Badan Bertindak Kesedaran Penderaan Seksual Kanak-
Kanak, Sabri Rahman yang mencadangkan bahawa budaya menghadiahkan gajet kepada
kanak-kanak perlu dihentikan (Rabiatuladawiah, 2016). Terkini, terdapat kajian yang
mendapati bahawa kanak-kanak di Malaysia sudah memiliki telefon bimbit pada usia 12 tahun
(MCMC, 2015). Hasilnya, ini membawa kepada peningkatan penggunaan gajet yang semakin
meningkat dalam kalangan kanak-kanak. Hal ini boleh menyebabkan mereka terlibat dengan
laman web pornografi, gejala ‘sexting’ serta mudah terpedaya dengan kenalan di media sosial
sekiranya tiada pantauan daripada ibu bapa. Oleh itu, mereka mudah terdedah dengan gejala
seksual yang akhirnya boleh merosakkan moral dan akhlak mereka pada usia muda.

Bukan itu sahaja, ibu bapa juga perlu meluangkan masa bersama anak-anak di rumah
disamping memberikan pendidikan moral yang sewajarnya agar mereka tidak mudah
terpengaruh dengan gejala negatif (Charlesworth, 2008). Penggunaan gajet oleh kanak-kanak
juga perlu dihadkan. Kajian Akademi Pediatrik Amerika mencadangkan bahawa kanak-kanak
di bawah usia 2 tahun tidak sepatutnya didedahkan dengan gajet (Berita Harian, 2017).
Sekiranya kanak-kanak berasa taksub dengan penggunaan teknologi, ibu bapa perlu
memainkan peranan untuk mengalihkan minat anak ke arah lain dengan cara meneroka
perkara baharu dan melakukan aktiviti yang merangsang pemikiran kreatif. Misalnya,
membawa anak bermain di taman permainan, beriadah, bermain lego dan sebagainya. Oleh
itu, ibu bapa memainkan peranan penting dalam memberikan pendidikan kepada anak serta
mengehadkan penggunaan gajet dalam kehidupan seharian anak mereka.

Sebagai guru pendidikan awal kanak-kanak pula, guru perlu bijak merancang aktiviti
pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang melibatkan perkembangan dalam Tunjang
Kerohanian, Sikap dan Nilai. Contohnya, dalam aktiviti bercerita, guru boleh menerapkan nilai
pengajaran pada akhir cerita tersebut. Malah, dalam setiap sesi PdP juga guru perlu
menerapkan nilai murni ke dalam setiap pembelajaran murid seperti adab, akidah, akhlak dan
sebagainya. Hal ini bertujuan untuk membentuk diri kanak-kanak agar tidak mudah
terpengaruh dengan gejala negatif serta sentiasa mengamalkan adab yang baik dalam
kehidupan seharian.

Selain itu, guru juga boleh mengajar murid tentang akibat penggunaan gajet terhadap
masalah kesihatan dan masalah tingkah laku seseorang individu. Contohnya, guru
menayangkan video tentang masalah kesihatan yang berlaku akibat menggunakan gajet
terlalu lama. Ini bertujuan untuk mendedahkan murid tentang bahana ketagihan gajet yang
melampau sehingga boleh merosakkan diri sendiri. Dalam masa yang sama, guru dapat
menerapkan kepada murid tentang nilai berpegang dan percaya kepada Tuhan. Ini
bermaksud bahawa murid tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada gajet untuk
menyelesaikan masalah dalam kehidupan seharian kerana ia boleh menyebabkan kanak-
kanak kurang berfikir, berdikari dan berdisiplin sekiranya tiada bantuan dan alat yang canggih
seperti gajet dalam kehidupan seharian. Oleh hal yang demikian, guru sangat memainkan
peranan penting dalam menerapkan akhlak yang mulia dan nilai murni dalam diri kalangan
kanak-kanak.

4.0 Rumusan

Kesimpulannya, isu penggunaan gajet dalam kalangan kanak-kanak ini boleh menjadi racun
sekiranya tidak dikawal dan dipantau oleh ibu bapa. Walau bagaimanapun, kita tidak boleh
menolak penggunaan teknologi ini dalam perkembangan kanak-kanak. Hal ini kerana
penggunaan teknologi yang canggih juga boleh membantu kanak-kanak untuk memahami
sesuatu konsep dengan mudah dalam pembelajaran dengan bantuan animasi, visual, audio
yang terdapat dalam gajet (Noriati, Boon, Sharifah Fakhriah, & Wan Kamaruddin, 2012).
Tambahan pula, dengan wujudnya pembelajaran abad ke 21, kanak-kanak perlu didedahkan
dengan penggunaan teknologi bagi melahirkan masyarakat celik ICT dan berpengetahuan
tinggi. Namun, penggunaan gajet yang melampau juga boleh mengundang kepada jenayah
seksual, masalah tingkah laku serta masalah kesihatan dalam kalangan kanak-kanak
sekiranya tidak dikawal dan dipantau. Oleh itu, ibu bapa dan guru merupakan orang yang
memainkan peranan penting dalam mendidik dan menerapkan nilai murni dalam diri kanak-
kanak agar isu yang berpunca daripada penyalahgunaan gajet ini boleh dibendung.

Anda mungkin juga menyukai