Guru adalah pendidik yang dikurniakan dengan pelbagai tanggungjawab.Pendidik di sekolah tidak hanya
mengajar tetapi juga merupakan pemimpin.Secara sedar atau tidak sifat kepimpinan berkualiti bagi
seorang guru di sekolah harus ditelusuri dan diperhalusi bagi mewujudkan iklim pendidikan yang mampu
memacu kecemerlangan.
Pemimpin yang mempunyai sifat kepimpinan berhemah tinggi sentiasa dapat mewujudkan hubungan
yang baik dengan kelompok yang dipimpin.Ibarat kepala memimpin badan begitulah perumpamaan yang
diberikan kepada pemimpin bagi mencernakan ketokohan di dalam mengurus dan mengepalai sesebuah
organisasi.Itulah jugalah corak kepimpinan yang sepatutnya ditunjukkan seorang pemimpin budiman
.Maka di peringkat sekolah sudah tentulah guru besar yang dipertanggungjawabkan sebagai pemimpin
kepada semua komuniti samada pendidik, pentadbir serta murid-murid.
Pemimpin berjiwa rakyat berpekerti mulia seharusnya didasari oleh himpunan ciri-ciri pekerti
terpuji.Maka berikut diperincikan beberapa ciri terpenting yang harus wujud bagi setiap pemimpin hatta
pendidik di sekolah.
Seorang pemimpin seharusnya beriman kepada Tuhan dan mempunyai kepercayaan dan kepatuhan
kepada agama.Tidak kiralah samada guru besar atau pemimpin tersebut beragama Islam, Kristian,
Hindhu ataupun Buddha, kepercayaan ini penting bagi memastikan mereka mempunyai pegangan dan
dasar kepercayaan yang utuh.Bertitik tolak kepada kepercayaan kepada agama ini lah akan mencernakan
peribadi terpuji selaras dengan agama yang dianuti.Manakala konsep etika dan amalan keagamaan
seharusnya memberikan kekuatan jatidiri kepada pemimpin tersebut di dalam memimpin sesebuah
organisasi terutama memacu kecemerlangan pendidikan di sekolah.
Selain itu, di antara ciri seorang pemimpin ialah berilmu pengetahuan yang luas.Ilmu tersebut
merangkumi ilmu berteraskan ikhtisas pentadbiran pendidikan, psikologi, komunikasi serta pengetahuan
semasa.Ilmu ikhtisas pentadbiran pendidikan amat penting bagi memastikan komuniti pendidikan
dibawahnya seperti guru, kakitangan sekolah, serta murid dapat diurus dengan sempurna dan selaras
dengan keperluan semasa di samping memenuhi aspirasi pendidikan negara.Manakala ilmu-ilmu
kemanusiaan seperti psikologi dan komunikasi amat diperlukan oleh pemimpin di sekolah bagi
memastikan layanan dan kemesraan yang diwujudkan sesama ahli komuniti berjalan dengan baik di
samping dapat mengelakkan konflik.Sementara itu, pengetahuan yang luas tentang isu semasa bakal
menjadikan minda pemimpin akan sentiasa mengikut peredaran zaman dan bersedia untuk menghadapi
sebarang kemungkinan yang mendatang.Pemimpin bercirikan perkara di atas pastinya guru yang pakar di
bidang pengurusan serta bidang profesionnya.
Di Antara ciri terpenting lain yang juga harus wujud di dalam diri pemimpin di sekolah ialah mereka
harus mempunyai ketinggian peribadi.Ketinggian peribadi yang dimaksudkan dari segi tutur kata bukan
sahaja dari santunan bahasa penuh hemah, malah mereka harus bijak untuk berkomunikasi dengan
semua peringkat umur .Komen dan kritikan yang diberikan seharusnya bersifat membina bukannya
merendah-rendahkan martabat seseorang.Ketinggian peribadi juga boleh diukur dengan tingkah laku
yang merendah diri tetapi tegas, tidak sombong dan memberikan layanan kepada semua pihak tanpa
memilih bulu dan penuh hikmah.Pemimpin jenis ini pasti manis air mukanya, bijak mengatur kata, penuh
hikmah perlakuannya serta mempunyai jatidiri dan integriti yang tinggi.
Perkara di atas akan membawa kepada ciri seterusnya iaitu mempunyai pengaruh melalui
tauladan.Pengaruh melalui tauladan diterjemahkan melalui contoh yang ditunjukkan oleh pemimpin
berdasarkan apa yang diungkapkannya.Pemimpin ulung harus menunjukkan contoh tauladan kepada
komuniti di bawahnya melalui perlakuannya yang mendahului yang lain dengan niat untuk diteladani
oleh semua.Pemimpin berjiwa rakyat sebegini akan dipandang tinggi oleh komuniti pendidikan sebagai
pemimpin yang mampu mengotakan janjinya melalui tauladan.Sebagai contohnya pemimpin yang ingin
melihat kakitangannya datang awal ke tempat kerja pasti menonjolkan dirinya sebagai pemimpin yang
datang lebih awal daripada yang lain.
Selain itu, pemimpin yang mempunyai ciri pemimpin budiman harus memiliki visi dan misi yang jelas di
dalam membangun dan mentadbir sesebuah organisasi.Ini kerana dengan kemampuan untuk
membentuk visi dan misi yang jelas, barulah mudah seseorang pemimpin itu untuk membawa komuniti
yang dipimpinnya ke arah mercu yang direncanakannya.Contohnya, bagi pemimpin unit dan organisasi
sekolah yang mempunyai visi dan misi yang jelas pasti berusaha membawa organisasi di bawah
tanggungjawabnya untuk cemerlang dari segala aspek dan dicontohi oleh yang lain.
Bagi menjadikan pemimpin itu berkredibiliti tinggi , mereka harus mempunyai kemahiran membimbing
yang effektif.kemahiran membimbing ini penting bagi tujuan memperkasakan diri individu yang
dibimbing bertujuan mencapai sasaran kerja yang ditetapkan dengan jaya.Guru besar yang budiman
harus mampu untuk membimbing kakitangannya bagi menjamin kelangsungan budaya kerja berkualiti
.Guru-guru muda terutamanya yang baru mula bertugas terutamanya dibimbing agar cepat
menyesuaikan diri di dalam sistem pendidikan dan dibantu perkembangan dirinya sebaik
mungkin.Manakala guru senior pula yang mempunyai kepakaran berteraskan pengalaman dibimbing
untuk terus kekal aktif terutamanya dalam menginovasikan proses pengajaran dan pembelajaran serta
menggalakkan budaya kajian tindakan.
Pemimpin juga mesti sedar bahawa tugas mereka bukanlah mudah. Mereka juga dikenali dan terlibat
sebagai pentadbir, pengurus, perancang, pelaksana, penilai, penyelia, pengawal dan sebagainya.
Seseorang pemimpin hendaklah berupaya membuat keputusan yang terbaik bukan sahaja terbaik untuk
dirinya sendiri tetapi terbaik kepada semua pihak yang lain. Ia juga hendaklah terbaik kepada orang-
orang yang dibawah pimpinannya dan semua yang terlibat dengan keputusannya secara langsung
ataupun tak lansung.Sebagai contohnya apabila seseorang guru besar telah mengenal pasti beberapa
masalah disiplin yang dilakukan oleh seorang guru, haruslah disiasat dan diberi pertimbangan rapi
berasaskan fakta dan bukti.Andainya wujudnya keraguan munasabah yang menepati tatacara tatatertib,
maka pemimpin tersebut harus membuat keputusan berbentuk amaran, penggantungan kerja atau
sebagainya.Ini bagi mengelakkan kesalahan tersebut menjadi barah lantas menimbulkan sesuatu yang
tidak diingini.
Begitulah sedikit sebanyak bagaimana ciri-ciri pemimpin di sekolah dapat diterjemahkan melalui kupasan
ringkas tetapi berinformasi di atas.Pemimpin di sekolah harus mempunyai ilmu dan kemahiran tinggi di
dalam aspek memimpin organisasi di samping cemerlang dari sudut sahsiah dan peribadinya