Anda di halaman 1dari 4

Tanggungjawab besar tiga sayap - Utama http://www.utusan.com.my/rencana/utama/tanggungjawab-besar-tiga-sayap-1.

715490

Tanggungjawab besar tiga sayap - Utama

Muzdalifah Mustapha

Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis 4 Ogos ini adalah ujian
pertama bagi UMNO selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Persoalannya apakah
tiga sayap UMNO, Wanita, Pemuda dan Puteri sudah bersedia? Apakah jentera parti sudah
mantap untuk berkempen melawan tohmahan, fitnah dan muslihat parti lawan?

Mengambil kira senario politik semasa, tiga sayap itu perlu melakukan perubahan drastik
dalam menentukan hala tuju pergerakan masing-masing. Pastikan kebangkitan semula
parti dengan tindakan pertama iaitu untuk bebas daripada legasi pemimpin terdahulu yang
dianggap sesetengah pihak tidak dinamik terhadap perubahan.

Tolak ke tepi soal disukai atau tidak sebagai pemimpin baharu. Berhadapan tekanan adalah
lumrah politik. Apatah lagi apabila ada di antara pemimpin tiga sayap itu adalah mereka
yang tewas pada PRU-14 lalu. Pemilihan telah selesai, hadapi cabaran baharu ini.

Jika dahulu pemimpin-pemimpin tiga sayap ini terdorong sebagai follower tetapi hari ini
mereka tunjang parti. Tanggungjawab dan cabaran dipikul lebih berat berbanding ketua-
ketua sebelum ini.

Mereka perlu bawa ideologi sendiri berdasarkan tuntutan perjuangan parti dengan
mewujudkan satu pendekatan baharu yang lebih segar dan progresif bagi meyakinkan
rakyat terhadap UMNO.

Menurut penganalisis politik Universiti Utara Malaysia, Profesor Madya Dr. Sulastry Yurni

1 of 4 26/7/2018, 1:49 AM
Tanggungjawab besar tiga sayap - Utama http://www.utusan.com.my/rencana/utama/tanggungjawab-besar-tiga-sayap-1.715490

Ahmad, Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri harus terlebih dahulu menjelaskan hala
tuju pergerakan itu kepada ahli-ahlinya selepas kalah teruk pada pilihan raya umum lalu.

Beliau berkata, Wanita boleh berbangga dengan keahlian paling ramai dalam UMNO.
Tetapi sudahkah Wanita mengkaji adakah 1.3 juta ahli mereka itu benar-benar pengundi
berdaftar dan sentiasa setia bersama perjuangan parti?

Ini kerana jelas beliau, jumlah keahlian yang banyak tidak semestinya menunjukkan
mereka turut menyumbang ke arah membantu kemenangan UMNO dan Barisan Nasional
(BN). Barisan kepemimpinan yang baharu itu perlu melihat semula aspek tersebut.

“Saya tidak bersetuju apabila ada ketua pergerakan yang dipilih adalah dalam kalangan
mereka yang tewas pada PRU-14 atau tidak pernah menang dalam pilihan raya. Bagi saya
mereka tidak layak untuk menerajui mana-mana pergerakan,” katanya kepada Utusan
Malaysia, baru-baru ini.

Menurut Sulastry, melihat kepada senarai pemimpin dalam ketiga-tiga sayap, terdapat
ramai calon lain yang lebih layak untuk berada di barisan hadapan dengan mengambil kira
aspek kewibawaan, pendidikan dan pengalaman mereka.

Walau bagaimanapun kata beliau, keputusan telah dibuat. Sekiranya ahli-ahli kepada tiga
sayap UMNO itu mahu benar-benar membawa perubahan maka sekaranglah masanya.

Beliau berkata, Puteri pastinya terbeban dan akan terus dikritik. Puteri sebenarnya telah
lama dilihat seperti sudah tidak relevan. Namun kerana adanya sebilangan kecil perjuangan
suara wanita muda dalam UMNO maka Puteri masih ‘dibenarkan’ menjadi sayap parti.

Soalnya kata beliau, kerjasama Puteri dan Wanita dilihat tidak ‘sebati’ sebagai satu
keluarga. Masih ada lompang. Dan jika tidak diperbaiki, dicari keserasian, maka Puteri
akan terus terpinggir dalam perjuangan parti.

2 of 4 26/7/2018, 1:49 AM
Tanggungjawab besar tiga sayap - Utama http://www.utusan.com.my/rencana/utama/tanggungjawab-besar-tiga-sayap-1.715490

“Sejak dari awal saya mengatakan Puteri tidak memberi impak yang kuat dalam UMNO.
Ahli-ahli Puteri perlu mencari satu titik persamaan untuk terus bergerak seiring dengan
Wanita. Mungkin mereka boleh merujuk agenda Puteri sewaktu awal penubuhannya,
kerana bagi saya agenda Puteri yang terbaik adalah ketika dipimpin oleh Datuk Seri Azalina
Othman Said,” katanya.

Sulastry berkata, hakikatnya tiada rekod memberangsangkan tentang kepemimpinan Datuk


Dr. Noraini Ahmad selaku Ketua Wanita dan Datuk Zahida Zarik Khan sebagai Ketua
Puteri. Begitu juga Ketua Pemuda, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki. Beliau pemimpin yang
tewas dalam PRU.

Bagaimanapun, mereka harus diberi peluang untuk membuktikan keupayaan memimpin.


Tidak adil untuk mengadili mereka terlalu awal. Pilihan Raya Kecil DUN Sungai Kandis
adalah ujian sebenar mereka.

Jelas Sulastry, adalah penting untuk ketiga-tiga individu itu membuktikan kemampuan
mereka dalam menentukan budaya politik Melayu kekal dalam perjuangan. Diakui ini
bukan kerja mudah.

Beliau berpendapat UMNO masih selesa dibuai dengan kata-kata manis orang sekeliling.
Sedangkan mereka sepatutnya mengambil iktibar kekalahan dalam PRU-14 bermakna
mereka pemimpin gagal dalam berpolitik.

“Mereka gagal mempertahankan kemenangan dan tidak menjadi pilihan para pengundi.
Perkara ini yang UMNO dan BN perlu sedar dan segera ambil pendekatan untuk berubah,”
katanya.

Apa pun, setiap seorang daripada mereka yang menganggotai jawatankuasa dalam tiga
sayap mesti bertanggungjawab terhadap kekalahan kerajaan BN pada PRU-14 dan berusaha
untuk bangkit kembali.

3 of 4 26/7/2018, 1:49 AM
Tanggungjawab besar tiga sayap - Utama http://www.utusan.com.my/rencana/utama/tanggungjawab-besar-tiga-sayap-1.715490

Diharap pemimpin-pemimpin yang menjadi liabiliti telah disingkir dan yang ada terdiri
daripada mereka yang bersih atau telah dibersihkan selain setia untuk berjuang demi
kepentingan agama dan orang Melayu.

Wanita, Pemuda dan Puteri sepatutnya merapatkan diri dengan golongan akademik, pakar
dalam bidang-bidang kritikal, cerdik pandai yang bukan dalam kalangan ahli politik.
Mereka ini mungkin boleh membantu parti untuk terus kekal relevan dan diterima rakyat.
Politiking dalam parti perlu dikurangkan.

4 of 4 26/7/2018, 1:49 AM