Anda di halaman 1dari 3

UMNO perlu tetapkan hala tuju sebagai

pembangkang

Khaidirah Abu Zahar

20 Julai 2018 9:47 PM

AddThis Sharing Buttons


Share to FacebookShare to TwitterShare to WhatsAppShare to TelegramShare to EmailShare to
More 83

KITA labuhkan tirai kisah sedih UMNO dalam Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu. Kisahnya
terlalu perit untuk didengar apatah lagi untuk sejarah hitam itu di ulangtayang semula. Bagai
menyaksikan rakaman CCTV sebuah insiden yang meragut nyawa insan tercinta kita.
Mampukah kita melihatnya berulang kali? Pastinya tidak.

Kini, episod persoalan siapakah yang akan memacu UMNO baharu juga sudah terjawab. Akar
umbi UMNO telah membuat pilihan dengan memilih Presiden baharu Datuk Seri Ahmad Zahid
Hamidi. Walaupun terdapat suara-suara sumbang dalam tempoh terdekat ini, namun keputusan
telah dibuat.
Sebagai salah seorang rakyat Malaysia, saya antara yang menantikan pelan pembangunan lebih
baik daripada kerajaan baharu hari ini.

Begitu juga sebagai salah seorang penyokong tegar UMNO yang turut berada dalam sistem
pentadbiran UMNO, saya juga mahu melihat UMNO dipandu dalam satu landasan yang lebih
kukuh dan bersepadu demi melangsungkan perjuangan parti kesayangan kita ini.

Kini, Dewan Rakyat telah mula bersidang dan ini adalah persidangan pertama dalam sejarah
Malaysia - menyaksikan kepimpinan Barisan Nasional berada di barisan kerusi pembangkang,
bukan lagi kerajaan.

Dalam beberapa hari pertama persidangan ini, rakyat dihidangkan dengan pelbagai isu dan
kontroversi. Daripada hal pelantikan Speaker Dewan Rakyat, kepada isu kelulusan Sijil
Peperiksaan Bersepadu (UEC) oleh Kementerian Pendidikan dan terkini membabitkan isu paling
sensitif bagi rakyat Malaysia iaitu perdebatan mengenai SST dan GST.

Rakyat memerhati dengan serius apa yang berlaku di Dewan Rakyat terutama membabitkan cara
Kerajaan Baharu melaksanakan tugas, bagaimana Barisan Nasional bertindak sebagai
pembangkang dan paling penting proses perdebatan dalam kalangan ahli Parlimen. Ini antara
topik perbualan paling hangat dalam kalangan rakyat sekarang.

Persembahan setiap ahli Parlimen menyuarakan pendapat dan berdebat juga menjadi perhatian.
Daripada yang penuh hemah dan penuh adab serta sopan santun, sehingga kepada mereka yang
menjerit, terpekik terlolong dalam menegakkan poin perbahasan yang sedang dibincangkan.

Jika melihat dari perspektif yang berbeza, kedua-dua pihak bahagian - baik kerajaan, mahupun
pembangkang - masih kelihatan kekok untuk menjalankan tugas masing-masing.

Pembangkang masih baharu dan kerajaan pula masih hijau. Ini adalah kesimpulan yang boleh
dibuat masa ini.

Saya tidak mahu mengambil kira bagaimana atau berapa lamakah kerajaan hari ini perlu
mengambil masa untuk melatih diri agar menzahirkan kepimpinan sebagai sebuah parti kerajaan
yang lebih baik pada masa akan datang.

Tetapi apa yang saya ingin lihat adalah bagaimana UMNO sebagai pembangkang mahu
menyesuaikan diri dengan laungan untuk menjadi pembangkang yang berwibawa itu mampu
direalisasikan.

Kedua–dua pihak perlu memainkan peranan lebih baik. PRU sudah berlalu hampir tiga bulan.
Masih banyak perkara yang perlu dilihat dan diperhalusi dengan lebih mendalam.

Rakyat kini menilai taraf kepimpinan kedua-dua pihak. Apa yang penting bagi rakyat ialah
memastikan kelangsungan Kerajaan Baharu yang perlu membuktikan mereka mampu untuk
menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang lebih maju dan berdaya saing.
Wahai Ahli Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Undangan Negeri,

Sejujurnya, anda semua perlu menyingkap dengan lebih mendalam dan lebih tertumpu kepada
isu yang ingin dibahaskan. Rakyat bukan mahu melihat siapa yang mampu menghentam siapa di
dalam Dewan. Rakyat bukan mahu melihat parti politik mana yang paling bersih atau tidak
mengamalkan politik korup.

Tetapi rakyat mahu melihat hujah Ahli Dewan yang paling gemilang untuk memastikan taraf
kehidupan dan pembangunan yang dirancang adalah seiring. Jangan hanya berlumba-lumba
membina bangunan mencakar langit, sedangkan rakyat hidup bagaikan kais pagi makan pagi,
kais petang makan petang.

PENULIS ialah Ahli Majlis Tertinggi UMNO

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/malaysia-kita/rencana/umno-perlu-tetapkan-hala-tuju-


sebagai-pembangkang-1.712982#ixzz5MfGmfjdA
© Utusan Melayu (M) Bhd