Anda di halaman 1dari 4

TUGASAN 2: LAPORAN REFLEKTIF

Pada 2 hingga 6 Julai yang lepas, telah diadakan program perkhemahan Bina Insan
Guru Siri 1 di Bukit Sedanan Outdoor Camp yang melibatkan 45 orang guru pelatih PISMP
Pendidikan Khas dan tujuh orang guru pelatih PDPM Permata. Pelbagai aktiviti dijalankan
sepanjang lima hari perkhemahan yang mampu memberi pengalaman bermakna kepada
peserta-peserta untuk mengaplikasikan kemahiran dan pengetahuan yang diperoleh ke arah
pembangunan insan guru secara berterusan. Pengalaman-pengalaman yang diperoleh
menerusi program ini juga dapat menyediakan guru-guru yang sentiasa bersedia dan mampu
untuk menangani pelbagai cabaran pendidikan secara kritis dalam arus globalisasi yang
sentiasa mengalami pelbagai perubahan. Sepanjang melaksanakan aktiviti-aktiviti ini, saya
dapati pelbagai manfaat, kekuatan, kekurangan, peluang dan ancaman yang saya perolehi
serta cadangan penambahbaikan yang boleh dipertimbangkan untuk ditambah baik pada
masa akan datang.

Manfaat

Sepanjang program selama lima hari pelbagai nilai yang diterapkan melalui aktiviti-
aktiviti yang dijalankan sebagai proses dalam membina ciri-ciri insaniah yang perlu ada pada
insan yang digelar ‘guru’. Aktiviti-aktiviti yang mencabar seperti abseiling, keyakinan di air,
membuat rakit dan kembara hutan dapat menguji sejauh mana keyakinan dan keberanian
seorang bakal guru dan mengasah pemikiran kritis dalam menyelesaikan serta menangani
masalah yang dihadapi tanpa dijangka. Aktiviti ini menguji bagaimana seorang guru sentiasa
akan bersiap sedia menghadapi pelbagai masalah dengan tenang dan bijaksana. Ia juga
menguji kesabaran yang mana sesuatu yang dilakukan tidak semestinya akan mendapat hasil
yang segera tetapi perlu melalui pelbagai rintangan untuk mendapatkan hasil yang benar-
benar memuaskan. Hal ini juga dapat dilihat bahawa, para peserta berusaha dalam
menangani perasaan takut dan kurang yakin dengan tidak mudah berputus asa dan
menunjukkan kesungguhan dalam melakukan aktiviti sehingga memperoleh kejayaan. Aktiviti
yang dijalankan secara berkumpulan menggalakkan semangat berpasukan dan saling
sokong-menyokong di antara ahli kumpulan yang menunjukkan bagaimana setiap guru pelatih
dapat bertimbang rasa dan bekerjasama semasa melakukan aktiviti berkumpulan. Nilai-nilai
ini yang secara tidak langsung diperolehi menerusi aktiviti yang dijalankan dapat membentuk
peribadi insaniah bakal guru yang bakal menghadapi pelbagai bentuk cabaran dalam dunia
sebenar yang lebih mencabar dalam era teknologi yang giat berkembang.

Menerusi program ini, guru pelatih mendapat pelbagai manfaat menerusi bengkel-
bengkel, ceramah dan aktiviti yang dapat menambah ilmu pengetahuan dan kemahiran baru
yang mungkin sukar untuk dipelajari pada masa yang lain. Aktiviti seperti amalan pemakanan
sihat, walaupun pelajar sudah mengetahui fungsi piramid makanan, terdapat juga beberapa
info tambahan seperti tentang kelebihan air liur yang boleh menjadi enzim kepada luka. Aktiviti
membuat rakit dan masak makanan rimba melatih pelajar untuk berfikir secara kritis
menyelesaikan masalah yang secara tidak langsung menambahkan kemahiran dalam diri
pelajar yang boleh diaplikasikan dalam keadaan dunia sebenar. Secara amnya, aktiviti-aktiviti
yang dilaksanakan sepanjang program BIG ini memberi manfaat yang sangat berguna kepada
pelajar dalam mengasimilasikan pengetahuan dan kemahiran yang baharu diperoleh untuk
diamalkan dalam situasi sebenar semasa menjadi guru kelak.

Program ini juga dapat membentuk disiplin guru pelatih melalui peraturan yang perlu
dipatuhi sepanjang program dan guru pelatih terikat dengan masa yang ditetapkan. Tentatif
program yang diberikan sebelum aktiviti bermula membuatkan guru pelatih peka terhadap
masa yang perlu dipatuhi. Tentatif yang padat yang diisi dengan aktiviti-aktiviti yang berguna
menyebabkan guru pelatih tidak mempunyai kesempatan untuk mensia-siakan masa dan
menggunakan masa sebaik mungkin. Seperti yang diketahui, telefon pintar merupakan
penyebab utama kerosakan disiplin anak muda zaman kini. Namun, kawasan perkhemahan
yang berada di luar bandar menyebabkan talian telefon tidak sampai di kawasan tersebut. Hal
ini, melatih guru pelatih untuk menggunakan masa dengan sebaiknya seperti berkomunikasi
dengan rakan dan memberi sepenuh perhatian semasa aktiviti dijalankan. Justeru, objektif
program ‘Bina Insan Guru’ ini dapat dicapai dalam membina insan guru yang mempunyai
disiplin yang tinggi serta memberi sepenuh komitmen terhadap tugas mereka dalam memberi
sumbangan kepada masyarakat dan negara.

ANALISIS SWOT

Kekuatan

Sepanjang program, kemudahan dan peralatan perkhemahan tidak menjadi masalah


kerana ia disediakan dengan cukup sempurna dan mencukupi untuk semua peserta program.
Kemudahan dan peralatan yang lengkap membantu dalam menjimatkan masa yang tidak
menjejaskan tentatif program seperti yang dirancang. Perancangan akiviti dapat dijalankan
tepat pada waktu, yang mana ia amat membantu setiap aktiviti dapat dijalankan dengan
lancar. Sebagai contoh, Buoyancy Aid (BA) yang disediakan lebih daripada mencukupi
melancarkan aktiviti keyakinan di air. Ini kerana, guru pelatih tidak perlu menunggu giliran
untuk bertukar-tukar BA dan aktiviti dapat dijalankan secara serentak kepada semua peserta.
Natijahnya, dapat dilihat bahawa sepanjang perkhemahan, para peserta tidak mempunyai
masalah dengan kemudahan dan kekurangan peralatan aktiviti, malah kesempurnaan
kemudahan dan peralatan membantu dalam kelancara perjalanan aktiviti.
Hubungan dengan masyarakat dan pihak luar menjadi kekuatan kepada kami kerana
kami mudah untuk beramah mesra dengan masyarakat lain. Hal ini terbukti semasa
menjalankan aktiviti interaksi bersama sekolah dan komuniti setempat. Setiap guru pelatih
dapat memegang peranan masing-masing dalam aktiviti tersebut. Mereka juga mampu
menjalankan tanggungjawab dalam melaksanakan akiviti sosial kepada masyarakat iaitu
gotong royong di kawasan kampung Selandar. Hubungan di antara masyarakat dan guru
pelatih dapat dijalinkan dengan mudah kerana kami tidak mempunyai masalah interaksi yang
memudahkan dalam proses pengagihan tugas secara sepakat. Sebagai seorang guru,
kemahiran sosial adalah perkara asas yang perlu ada dalam diri seorang guru. Ini kerana,
guru perlu menjalinkan hubungan yang baik dengan ibu bapa murid dalam membimbing
murid-murid.

Kelemahan

Sebahagian besar daripada guru pelatih masih tidak mempunyai keyakinan diri sama
ada dalam menjalankan aktiviti lasak mahupun bercakap di hadapan khalayak ramai. Perkara
ini dapat dilihat semasa aktiviti tazkirah, slot Kewarganegaraan dan Perpaduan dan slot
Refleksi yang memerlukan setiap guru pelatih mengambil bahagian semasa
mempersembahkan persembahan atau memberi pendapat mereka. Ia merupakan kesukaran
kepada diri saya kerana kurang mempunyai pengalaman untuk bercakap di khalayak ramai.
Lebih-lebih lagi dalam sesi soal jawab di mana jawapan yang diberikan adalah spontan dan
perlu berisi. Keraguan dalam memberikan jawapan yang betul menyebabkan diri menjadi
lebih kurang yakin. Bagi aktiviti lasak seperti abseiling, kembara hutan dan keyakinan di air,
disebabkan kekurangan kemahiran menyebabkan diri kurang yakin dengan kemampuan diri
sendiri. Hal ini menyebabkan, masa yang diambil untuk membuat aktiviti tersebut mengambil
masa yang agak lama. Walaupun begitu, saya tetap berusaha untuk melawan perasaan
kurang yakin dan sedaya upaya menyelesaikan tugasan dengan sebaiknya tanpa berputus
asa.

Kurang kemahiran merupakan salah satu punca mengapa rata-rata guru pelatih
berasa kurang yakin terhadap diri sendiri. Lebih-lebih lagi masa adalah sangat singkat untuk
mempelajari kemahiran dengan lebih terperinci. Ia menjadi masalah dan halangan kepada
saya terutama semasa aktiviti abseiling di mana saya perlu mengawal sendiri tali semasa
turun ke bawah. Kekurangan latihan untuk menguasai kemahiran tersebut menyebabkan saya
kurang berkemampuan dan kurang kekuatan untuk mengawal tali untuk menampung berat
saya sendiri. Oleh itu, saya berhadapan dengan masa yang sukar untuk mengawal tali yang
menyebabkan saya berasa gugup dan tidak yakin dengan diri sendiri. Namun, dengan
sokongan dan motivasi daripada para pensyarah dan rakan-rakan saya berusaha untuk
menguatkan diri dan menyelesaikan tugasan tersebut dengan jayanya. Perkara ini memberi
kesedaran kepada saya, bahawa sebagai seorang guru yang merupakan contoh kepada
murid-murid seharusnya mempelajari pelbagai kemahiran supaya dapat bersiap sedia dengan
apa jua tugas yang diberi.

Peluang

Program Bina Insan Guru (BIG) ini memberi peluang kepada kami untuk mempelajari
pelbagai kemahiran. Walaupun dengan masa yang singkat, kami mampu untuk mengetahui
asas-asas kemahiran terutama dalam abseiling, membuat rakit dan berenang. Kemahiran dan
pengalaman ini amat berguna dalam persediaan menjadi guru yang serba boleh. Seperti
Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang ingin memperkembangkan potensi individu secara
menyeluruh. Hal ini bermakna, guru-guru perlu mempersiapkan diri dengan pelbagai
kemahiran sekiranya untuk melahirkan murid-murid yang serba boleh serta menjadi sumber
produktif dalam memberi sumbangan kepada negara kelak. Justeru, program BIG ini amat
bermakna kerana dapat memberikan asas-asas kemahiran kepada bakal guru dalam
perkhidmatan mereka nanti.

Seterusnya, program BIG ini juga memberi peluang kepada kami untuk berkhidmat
kepada masyarakat.

Ancaman

Menjejaskan masa kuliah

Keselamatan peserta – kurang pengalaman – boleh mencederakan

Keberkesanan program dalam membina insan guru

Cadangan Penambahbaikan

Pengurusan masa

Mempersiapkan diri dengan pelbagai kemahiran

Anda mungkin juga menyukai