Anda di halaman 1dari 3

CABARAN TANGKAP PENGOTOR

Harian Metro
8 Jul 2018
Syazwan Msar cnews@nstp.com.my
LONGGOKAN sampah-sarap di kawasan sekitar Jalan Chow
Kit yang dikesan melalui operasi khas antilitter, malam
kelmarin.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mahu pihak
berkaitan mengkaji penguatkuasaan pembuangan sampah di
kawasan tertentu di bandar raya ini bagi membolehkan
tindakan lebih sistematik dan menyeluruh dikenakan
terhadap individu yang melakukan pembuangan sampah
sewenang-wenangnya itu.
Timbalan Pengarah Kanan Jabatan Kesihatan dan Alam
Sekitar DBKL Dr Norhayati Shaari berkata, setakat ini
pihaknya hanya boleh mengambil tindakan dengan memberi
amaran atau meminta pihak kontraktor melakukan kerja
pembersihan di kawasan yang mempunyai longgokan
sampah itu.
Beliau berkata, pihaknya begitu sukar mengenal pasti pihak
yang melakukan tindakan membuang sampah merata-rata
termasuk di kawasan flat atau premis perniagaan berikutan
pertindihan kuasa dalam penguatkuasaan terhadap aktiviti
tidak bertanggungjawab itu.
“Walaupun berlaku percanggahan bidang kuasa dalam
menangani masalah pembuangan sampah, DBKL tetap
merangka prosedur operasi standard (SOP) dalam
mengekang perbuatan terbabit.
“Kita juga menghadapi cabaran jika mahu menangkap
individu yang didapati melempar sampah dari kediaman
masing-masing terutama di kawasan flat kerana perlu
pemerhatian dan intipan secara menyeluruh sebelum
tindakan diambil,” katanya pada operasi khas antilitter di
sekitar Dataran Merdeka dan Bukit Bintang di sini, malam
kelmarin.
Harian Metro pada Khamis lalu melaporkan perbuatan
individu tidak bertanggungjawab dipercayai warga asing
mencampakkan bungkusan plastik mengandungi najis
sendiri menerusi tingkap flat sekitar bandar raya ini.
Warga asing berkenaan turut membuang pelbagai lagi
sampah seperti sisa masakan dan botol arak dari tingkat
atas unit flat yang dihuni mereka.
Selain itu, Norhayati berkata, pihaknya mengakui kawasan
yang mempunyai ramai warga asing menyebabkan
pembuangan sampah tidak dilakukan secara teratur hingga
menjadi kotor.
“Kemungkinan mereka membawa budaya masing-masing ke
negara ini dan mengambil jalan mudah mencampakkan
sampah ke bawah rumah masing-masing kerana percaya
tiada pihak yang mengambil tindakan.
“DBKL memandang serius masalah ini dan berharap kuasa
penguatkuasaan kepada pihak berkaitan harus diperhalusi
demi memudahkan tindakan susulan diambil,” katanya.

Anda mungkin juga menyukai