Anda di halaman 1dari 2

HUKUM AL-MAFQUD DALAM KONTEKS PEWARISAN

Kedudukan al-mafqud dalam konteks pewarisan harta adalah berbeza dengan situasi biasa. Ini
kerana al-mafqud berada di dalam dua keadaan iaitu sebagai si mati dan seorang yang masih
hidup. Begitu juga dalam dari sudut pemilikan harta, al-mafqud dilihat dari sudut sebagai
pemilik harta dan juga sebagai penerima pusaka dari warisnya yang mati.

1- Al-mafqud sebagai pemilik harta

Hak pemilikan harta al-mafqud kekal dalam miliknya selagimana tidak diisytiharkan
kematian oleh pemerintah. Apabila pengisytiharan kematian dibuat maka pemilik harta
bertukar status dari al-mafqud kepada si mati. Maka semua hartanya bukan lagi menjadi
miliknya sebaliknya berpindah kepada ahli waris yang berhak. Siapakah waris yang berhak
ke atas harta al-mafqud? Adakah waris yang hidup sepanjang masa kehilangannya atau waris
yang hidup sebaik sahaja pengisytiharan dibuat?

Jumhur ulama berpandangan waris yang berhak ialah waris yang masih tinggal semasa
pengisytiharan kematian dibuat. 1 Ahli waris yang meninggal sebelum pengisytiharan
kematian tidak layak menerima harta pusaka. Sekiranya berlaku perbezaan antara waktu
menunggu menurut undang-undang sesebuah negara dengan waktu pengisytiharan oleh
pemerintah, maka waktu pengisytiharan digunapakai dan membatalkan yang lain. Sebagai
contoh menurut undang-undang sekiranya berlaku kehilangan pada waktu bencana maka
tempoh menunggu ialah selama empat tahun. Namun apabila telah cukup tempoh tersebut
pihak pemerintah tidak mengisytiharkan kematian dan menangguhkan pada tahun kelima.
Dalam hal ini waris yang berhak menerima pusaka al-mafqud adakah yang masih hidup pada
tahun kelima kehilangannya iaitu selepas pengisytiharan kematian dan tidak tertakluk
sepenuhnya kepada nas perundangan. Maka bolehlah dinyatakan di sini bahawa tempoh
empat tahun itu tertakluk kepada perkembangan semasa dan budibicara mahkamah setelah
siasatan dan pencarian bersungguh-sungguh.

Ulama mazhab Syafie sedikit berbeza pandangan dengan mensyaratkan pengisytiharan


kematian setelah cukup tempoh menunggu. Pemerintah atau mahkamah hendaklah membuat
pengisytiharan kematian berdasarkan tarikh cukup tempoh menunggu walaupun
pengisytiharan selepas tarikh tersebut. Sebagai contoh menurut undang-undang sekiranya
berlaku kehilangan pada waktu bencana maka tempoh menunggu ialah selama empat tahun.
Namun apabila telah cukup tempoh tersebut pihak pemerintah tidak mengisytiharkan
kematian dan menangguhkan pada tahun kelima. Maka pengisytiharan pada tahun kelima
hendaklah berdasarkan Tarik tempoh menunggu empat tahun seperti dalam nas undang-
undang. Dalam hal ini waris yang berhak menerima pusaka al-mafqud adakah yang masih
hidup pada tahun keempat kehilangannya walaupun pengisytiharan kematian lewat setahun
kemudian.

Terdapat juga yang berpandangan bahawa harta al-mafqud hendaklah dibahagikan sebaik
sahaja tamat tempoh menunggu tanpa perlu menunggu pengisytiharan dari pemerintah.
Sebagai contoh al-mafqud disahkkan hilang pada waktu bencana dan tempoh menunggu
ialah selama empat tahun. Setelah cukup tempoh tersebut maka hanya waris yang masih
hidup pada waktu itu layak menerima harta walaupun pihak pemerintah belum
mengisytiharkan kematian.

Praktis perundangan hari ini selari dengan pandangan jumhur ulama iaitu penentuan
anggapan kematian al-mafqud adalah hak mutlak pemerintah. Pengiystiharan kematian yang
dikeluarkan oleh mahkamah sahaja boleh diterima pakai bagi membolehkan pembahagian
harta pusaka al-mafqud dilaksanakan secara sah. Hal ini bersesuaian dengan kaedah fekah
‘Keputusan pemerintah mengenepikan perselisihan pandangan’ bahkan selari dengan prinsip
maqasid syariah dalam menolak kemudaratan.

2- Al-mafqud sebagai ahli waris


Al-mafqud berhak ke atas harta ahli keluarganya yang meninggal dunia sepanjang tempoh
kehilangannya hinggalah tarikh pengisytiharan anggapan kematian. Menurut Hadi (2010)
jumhur ulama berpendirian bahawa harta si mati terhenti dari berpindah milik (mauquf)
kepada al-mafqud berikutan statusnya yang masih samar sama ada hidup atau mati.
Sekiranya masih hidup maka beliau berhak ke atas harta si mati, dan sekiranya telah mati
maka harta tersebut menjadi hak milik ahli waris yang lain

Anda mungkin juga menyukai