Anda di halaman 1dari 3

Thursday, January 7, 2010

KRITIKAN ARTIKEL - TQM DALAM PENGURUSAN


PENDIDIKAN
Total Quality Management In Education:
Problems And Issues For The Classroom Teacher
Oleh
Lachlan E.D. Crawford & Paul Shutler

Pendahuluan:
‘TQM’ (Total Quality Management) yang begitu berjaya dilaksanakan dalam sektor perindustrian di
Jepun menjadi begitu popular sebagai strategi peningkatan kualiti dalam sektor swasta di Amerika,
UK dan Kanada pada tahun 1980an. Kejayaan yang dicapai dalam sektor ini telah mendorong sektor
awam seperti kesihatan, pengangkutan, pendidikan dan lainnya mengikuti jejak ini bagi
meningkatkan kualiti serta produktiviti sektor masing-masing. Pelaksanaan TQM dalam bidang
pendidikan telah menemui berbagai rintangan kerana anjakan paradigma yang ingin dibawa ini
tidak mudah diterima oleh golongan yang terlibat di dalam bidang ini. Bermula daripada kefahaman
tentang TQM yang berbeza-beza, strategi pelaksanaan TQM yang berbeza sehinggalah kepada
cadangan sekolah yang sesuai untuk mempraktikkan TQM juga berlainan di kalangan ahli-ahli
pendidikan telah mewujudkan aliran pemikiran yang berbeza tentang TQM dalam pendidikan.
Dua aliran pemikiran yang berbeza berdasarkan model Deming dan Crosby dibincangkan oleh
penulis(Lachlan E.D. Crawford dan Paul Shutler) dalam artikel ini. Bermula dengan aspek
kefahaman tentang maksud TQM, kaedah pengajaran, sistem operasi sehinggalah kepada
kelemahan-kelemahan model-model ini dibincangkan oleh penulis. Walaupun wujud persamaan di
antara kedua-dua model ini dari segi peranan TQM sebagai suatu kaedah untuk meningkatkan kualiti
namun dalam aspek yang lain Deming dan Crosby menunjukkan perbezaan pendapat.

Kritikan:
Kedua-dua penulis telah melihat persamaan di antara model Deming dan model Crosby pada
dasarnya dari segi peranan yang dimainkan oleh TQM sebagai suatu kaedah yang berkesan untuk
meningkatkan kualiti. Berbanding dengan sektor perkilangan di mana kualiti produk bermaksud
kualiti barangan yang dihasilkan tetapi dalam bidang pendidikan penulis tidak menghuraikan secara
terperinci apakah yang dimaksudkan sebagai produk. Mete B. Sirvanci menyatakan bahawa
mengenalpasti pelanggan merupakan langkah yang kritikal di dalam TQM. Mengikut model Crosby
penulis melihat produk dalam bidang pendidikan lebih menjurus kepada pelajar-pelajar kerana
keputusan peperiksaan itu dijadikan ukuran standard kualiti bagi model ini. Pelajar-pelajar yang
cemerlang di dalam peperiksaan dilihat sebagai mencapai tahap kualiti yang tinggi mengikut model
ini. Bagi model Deming pula penulis melihat produk dalam bidang pendidikan sebagai suatu kaedah
pengajaran kerana ukuran kualiti produk dinilai berdasarkan kesempurnaan sistem pengajaran yang
beroperasi. Kesempurnaan sistem pengajaran yang beroperasi dianggap mampu menghasilkan
pelajar-pelajar yang tinggi kualitinya. Kelemahan kedua-dua model ini kerana hanya melihat kualiti
di dalam bidang pendidikan berkaitan dengan pelajar dan guru sahaja sedangkan kumpulan
pelanggan yang lain diketepikan. Standard kualiti berdasarkan kepuasan hati kumpulan pelanggan
lain seperti yang ditakrifkan oleh Stefan Lagrosen iaitu kumpulan pelajar, kakitangan sekolah, ibu-
bapa serta masyarakat tidak tidak diambil kira menyebabkan aspek-aspek seperti hubungan,
penglibatan, keselamatan serta keselesaan tidak diberikan perhatian dalam mengukur kualiti di
dalam pendidikan.

Fokus untuk mencapai ‘zero defect’ menjadikan model Crosby agak statik dari segi standard kualiti
yang ditetapkan sedangkan pembangunan kualiti dalam pendidikan sentiasa berubah selaras dengan
anjakan paradigma yang berlaku. Dalam konteks ini model Deming yang memfokuskan kepada
peningkatan kualiti sepanjang masa dilihat lebih relevan dengan situasi pendidikan sekarang.
Standard kualiti keputusan peperiksaan yang sentiasa meningkat, teknik pengajaran yang semakin
meningkat, penggunaan peralatan mengajar yang lebih canggih, penggunaan peralatan ICT di dalam
pengajaran, suasana pembelajaran yang lebih kondusif di mana prasarana yang lebih selesa
disediakan adalah bukti kepada standard kualiti di dalam bidang pendidikan yang sentiasa berubah
dan bukannya statik seperti yang dicadangkan mengikut model Crosby.

Dalam aspek operasi pula model Crosby menekankan kepada komponen setiap sistem operasi di
dalam sistem pengeluaran perlu diberi tumpuan agar semua komponen dapat berfungsi dengan baik
bagi menghasilkan produk ‘zero defect’. Setiap komponen di dalam sistem operasi dilihat sebagai
‘total’ yang bermaksud TQM. Jika diterjemahkan ke dalam bidang pendidikan, sistem operasi yang
‘total’ ini bukanlah satu jaminan untuk menghasilkan pelajar yang ‘zero defect’ ataupun cemerlang
di dalam peperiksaan sebagaimana yang ditekankan oleh Crosby. Peranan ibu-bapa di rumah serta
pengaruh masyarakat setempat juga memainkan peranan yang besar dalam proses untuk
menghasilkan pelajar yang cemerlang ini. Peranan sekolah agak terbatas kerana masa pelajar
berada di sekolah hanyalah sekitar satu pertiga jumlah masa dalam sehari waktu persekolahan. Satu
perkara yang perlu diambil perhatian ialah ‘sekolah bukan kilang’ sebagaimana disebut oleh Myron
Tribus dalam artikelnya ‘Quality Management In Education’.

Model Deming tidak melihat TQM sebagai satu proses penilaian terhadap setiap pelajar sebaliknya
menyarankan supaya sistem operasi perlu ditingkatkan untuk memperbaiki kecacatan produk
Namun begitu TQM yang berfungsi sebagai alat diagnostik di sini bukanlah satu-satunya jawapan
kepada kaedah untuk meningkatkan kualiti di dalam pendidikan. Ini kerana peningkatan dari segi
pedagogi, peralatan, infrastruktur, kandungan pelajaran, keselamatan di sekolah sahaja tidak
mencukupi untuk meningkatkan standard kualiti dalam pendidikan. Kebolehan pelajar untuk
menjadi warganegara yang baik sahsiahnya serta dapat menyumbang kepada masyarakat dan
negara di masa hadapan adalah ukuran kepada standard kualiti yang lebih luas. Sistem pendidikan
yang beroperasi sekarang akan menunjukkan kualiti produknya yang sebenar dalam masa 10 hingga
20 tahun akan datang. Contohnya di Malaysia dengan menghapuskan penulisan jawi di sekolah
rendah pada zaman Khir Johari maka kesannya itu mula dirasai selepas 15 hingga 20 tahun
pelaksanaannya.

Pelaksanaan TQM dalam bidang pendidikan mengikut model Crosby dan Deming hanya
berorientasikan kepada pelajar, guru dan sistem pengajaran. Crosby dan Deming memfokuskan
kepada mengenalpasti punca kegagalan pelajar dan seterusnya mengatasi punca kegagalan melalui
sistem pengajaran yang terdiri daripada kaedah berpusatkan pelajar, kaedah pemulihan, program
peningkatan akademik, teknik menjawab soalan, program pemberian ganjaran dan lainnya.
Perkaitan di antara penggubal dasar dengan kualiti pendidikan tidak disentuh oleh mereka
sedangkan penggubal dasar memainkan peranan yang sangat besar malah menjadi masalah dan isu
kepada guru-guru di dalam kelas. Contohnya di Malaysia penggunaan Bahasa Inggeris dalam
pengajaran Matematik dan Sains telah menjadi masalah kepada guru-guru dan pelajar walaupun
pelbagai cara dilakukan untuk menjayakan dasar ini. Kekerapan sesuatu dasar ditukar akan
memberikan kesan kepada pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas yang seterusnya akan
mempengaruhi kualiti dalam bidang pendidikan.

Kelemahan-kelemahan strategi berdasarkan model Crosby sebagaimana disebut oleh penulis


berkisar kepada orientasi peperiksaan terhadap pelajar. Peperiksaan dianggap segala-galanya dan
kejayaan cemerlang di dalam peperiksaan adalah penanda aras kualiti yang sempurna. Semua
strategi yang dirancang dan dilaksanakan adalah bagi merealisasikan tujuan mencapai keputusan
cemerlang di dalam peperiksaan sahaja. Aspek sahsiah, disiplin serta nilai-nilai murni yang
diperlukan untuk menjadi insan yang berkualiti di masa hadapan tidak diberikan tumpuan. Bagi
model Deming pula strategi pelaksanaan yang memfokuskan kepada perubahan dalam sistem
pengajaran mempunyai kelemahan dari aspek penerimaan oleh pelajar dan guru. Perubahan sukar
diterima dan beban kerja yang bertambah dilihat sebagai batu penghalang untuk melaksanakannya
di sekolah. Tumpuan terhadap sistem operasi di dalam bilik darjah sahaja tidak akan menjamin
kecemerlangan modal insan yang ingin dihasilkan kerana pengaruh luar yang mempunyai daya
tarikan lebih kuat akan menghalang usaha ini

Kesimpulan:
Masalah dan isu kepada guru-guru di dalam bilik darjah bukanlah berkaitan dengan pengajaran dan
kecemerlangan akademik sahaja. Masalah dan isu yang lebih kompleks sebenarnya bermula
daripada luar sekolah di mana ibu-bapa, masyarakat, penggubal dasar, ahli politik, agensi kerajaan
dan lainnya mempunyai pengaruh terhadap kualiti pendidikan yang berlaku di sekolah. Dengan
menumpukan kepada TQM untuk menghasilkan keputusan cemerlang dan peningkatan operasi
pengajaran di dalam bilik darjah sahaja bukanlah jaminan untuk mencapai kualiti pendidikan yang
cemerlang. Kualiti di dalam pendidikan perlu dilihat dalam skop yang lebih luas di mana pelajar
yang dihasilkan akan berperanan sebagai anggota masyarakat hasil daripada didikan yang diperolehi
di sekolah dan di luar sekolah. Justeru itu untuk meningkatkan kualiti di dalam pendidikan maka
usaha yang menyeluruh bukan sahaja perlu dilakukan di sekolah tetapi keseluruhan aspek
kehidupan perlu diberi perhatian yang serius.
Posted by zack at Thursday, January 07, 2010