Anda di halaman 1dari 4

KONSEP KESANTUNAN MENURUT PANDANGAN TOKOH

Menurut Kamus Dewan (1984), kesantunan merujuk kepada perihal (sifat dan sebagainya)
santun, kesopanan, kehalusan (budi bahasa atau budi pekerti). Manakala dalam Kamus Dewan
Edisi Keempat (2010), telah ditekankan bahawa kesantunan juga penting dalam lisan atau
penulisan. Hal ini jelas menunjukkan perlakuan seharian manusia berkait rapat dengan
kesantunan , budi bahasa dan nilai etika yang tinggi sehingga menjadi sesuatu yang penting
dalam pertuturan dan penghasilan suatu karya. Kesantunan telah muncul sebagai suatu bidang
pengkajian dalam bidang sosiolinguistik dan telah bermula sejak 1950, menerusi kajian Schuler
yang mengkaji kesantunan bahasa Jerman (Noriati A. Rashid, 2005). Apabila terdapat beberapa
kajian, maka terbentuklah dimensi berbeza yang mewujudkan pelbagai teori dan takrifan
daripada tokoh-tokoh dunia tentang kesantunan. Sehubungan itu, takrifan kesantunan dapat
dikelaskan kepada tiga kategori iaitu pandangan orang Melayu, pandangan Barat dan pandangan
agama.

J. Ferguson dan Das Gupta (1968), menyatakan bahawa kesantunan itu berlaku apabila penutur
dan pendengar mengikuti semua peraturan dalam perbualan. Dengan kata lain, kesantunan
berlaku apabila terdapat komunikasi dan hubungan harmoni antara penutur dan pendengar.
Ringkasnya tiada konflik dalam komunikasi tersebut. Bagi mewujudkan komunikasi yang
sedemikian, toleransi amat penting bagi memberi peluang kepada individu terlibat memberi
pandangan dan menerima pandangan yang lain. Bertolak ansur bukan sahaja dalam perlakuan
malah dalam pertuturan. Hal ini penting bagi mengelakkan kedua-dua belah pihak tersinggung
dan salah faham berlaku. Sikap menyampuk dan mementingkan diri dalam komunikasi perlulah
dibuang kerana secara tidak sedar kita berpotensi mengundang konflik sekalipun masalah
tersebut adalah kecil. Sebaiknya kita mengambil pendekatan positif seperti situasi ‘win-win’ agar
hubungan kita dengan masyarakat menjadi lebih murni.

Menurut Thomas (1995), kesantunan adalah kesedaran tentang jarak sosial. Perkara ini
bermaksud bahawa penutur perlu sentiasa mengamalkan sikap sopan ketika berhubung dengan
orang lain kerana sentiasa ada hadnya dengan mengambil kira jarak sosial. Misalnya, cara
komunikasi seseorang dengan individu yang baru dikenalinya lebih sopan dan mementingkan
panggilan yang bersesuaian seperti gelaran pak cik bagi lelaki yang lebih berusia dan mak cik
bagi wanita. Jika individu tersebut adalah keluarganya, gelaran tersebut akan menjadi lebih
mesra seperti Along bagi anak yang pertama dalam keluarga. Jarak sosial ini penting supaya
komunikasi menjadi lebih berkesan dan tidak melebihi had sepatutnya dalam pergaulan dengan
masyarakat.
Menurut Asmah Haji Omar (2000), kesantunan bukan strategi semata-mata, sebaliknya, yang
lebih asas ialah kesantunan itu merupakan ciri budaya yang menghendaki ahli masyarakatnya
bersopan-santun dengan menghormati satu sama lain. Takrifan ini menekankan bahawa dengan
kesantunan dapat dizahirkan melalui sikap hormat-menghormati. Dalam konteks masyarakat
majmuk di Malaysia, nilai hormat amat penting bagi mengelakkan berlaku perselisihan faham
yang seterusnya menjurus ke arah pepecahan kaum akibat perbezaan budaya dan nilai sesuatu
kaum itu. Oleh itu, setiap kaum perlu memahami dan mengetahui tentang isu sensitif yang ada
pada setiap kaum, misalnya kaum India yang tidak mengambil makanan berasaskan daging.
Apabila memahami budaya sesuatu kaum, kita akan terhindar daripada menyinggung perasaan
orang lain dan ini menunjukkan kita menghormati budaya yang diamalkan oleh kaum lain. Justeru
itu, sebagai masyarakat yang prihatin, kita perlulah buka mata dan cakna akan orang di sekeliling
kita. Jangan sampai kita disamakan seperti katak di bawah tempurung yang hanya mengetahui
perihal diri kita sahaja.

Kesantunan juga merujuk kepada adab dan ketinggian ilmu seseorang, bukan terletak pada
wajah dan pakaian seseorang. Kesantunan turut meliputi kata-kata yang lemah dan beradab
hingga dapat melembutkan hati seseorang (Hamka, 2002). Darjat bukan ukuran kepada budi
bahasa, kesantunan dan etika tetapi adab dan ilmu yang dimiliki oleh seseorang. Hal ini kerana
tidak semua yang mempunyai pangkat dan rupa paras yang menawan mampu untuk berbudi
bahasa. Namun berbeza dengan orang yang mempunyai ilmu pasti menzahirkan ketinggian
peribadinya melalui perlakuan seharian. Hal ini didorong dengan pendedahan etika dan adab
sewaktu menuntut ilmu. Dalam kurikulum pendidikan di Malaysia, adab, etika dan tatasusila telah
diterapkan dalam matapelajaran Sivik dan Kewarganegaraan, Pendidikan Islam dan Moral serta
penerapan secara tidak lansung dalam matapelajaran yang lain. Namun, perkara yang lebih
penting adalah nilai-nilai agama dalam individu itu sendiri. Dalam konteks agama Islam, manusia
adalah sama di sisi Allah dan yang membezakannya adalah ketakwaan hamba-hamba-Nya. Allah
SWT telah berfirman dalam Surah Al- Hujarat (49 : 13) :

“Hai manusia, sesungguhnya Kami ciptakan kamu dari seorang laki-laki seorang perempuan dan
menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal.
Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu di sisi Allah adalah orang yang paling
taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.”
Seterusnya, menurut Sanat (2001), kesantunan paling luas perlu merujuk kepada amar makruf
nahi mungkar, bukan sekadar strategi menjaga muka dan input budaya semata-mata. Dapat
dilihat perbezaan pandangan antara konsep Barat dan Islam yang mana konsep atau teori yang
diperkenalkan tokoh Barat lebih bersifat lahiriah berbanding Islam yang menyeluruh meliputi
aspek kehidupan. Perlunya amalan amar makruf nahi mungkar ini bagi mewujudkan
kesejahteraan hidup bermasyarakat. Buktinya, fitrah manusia itu sendiri yang mahukan keadilan
dan kebenaran. Beberapa dapatan kajian tentang kesantunan di kalangan masyarakat Islam
menunjukkan fenomena kesantunan orang Islam mempunyai persamaan walaupun berbeza
bangsa, negara, bahasa dan budaya kerana hakikatnya, Islam mempengaruhi seluruh kehidupan
umatnya dengan berpegang pada konsep Allah Maha Berkuasa (Noriati A. Rashid, 2005).

Kesimpulannya, biarpun terdapat banyak pandangan tokoh mengenai kesantunan, pendapat


tersebut masih berlandaskan dan menjurus kepada sikap sopan, budi bahasa dan usaha
mengekalkan komunikasi yang baik. Kesantunan yang tinggi dalam masyarakat Malaysia dapat
memberi impak positif kepada pembangunan negara kerana keutuhan perpaduan yang terbina
antara kaum. Malah bermula dari sinilah, konsep kesantunan merentas budaya dapat dicapai
apabila semua kaum bersatu-padu berusaha untuk merealisasikan semua aspirasi masyarakat
yang dianggotainya. Oleh itu, kesedaran dalam setiap masyarakat tentang kesantunan perlulah
kukuh agar masyarakat hidup dalam negara yang harmoni dan sejahtera.
Bibliografi

Abdul Rahman Abdul Aziz, 2002. Pemikiran Etika Hamka. Kuala Lumpur: Utusan Publications &
Distributors Sdn Bhd.

Asmah Haji Omar, 2000. Wacana, Perbincangan, Perbahasan, dan Perundingan. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Fishman, J. A., Ferguson, C. A. dan Das Gupta, Jyotirinda, 1968. Language Problems of
Developing Nations. New York: John Wiley.

Hamka, 2002. Merantau ke Deli. Kuala Lumpur: Crescent News.

Kamus Dewan, 1984. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kamus Dewan Edisi Keempat, 2010. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Leech. Geoffrey, N., 1983. Principles of Pragmatics. London: Longman.

Noriati A. Rashid, 2005. Kesantunan Orang Melayu dalam Majlis Pertunangan. Tanjung Malim:
Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Sanat Md Nasir. 2001. “Teori Atqakum dalam Pemikiran Pengajian Bahasa Melayu.” Kertas
kerja dalam Seminar Kebangsaan Bahasa dan Pemikiran (18-19 Jun 2002). Akademi Pengajian
Melayu, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Thomas dan Jenny, 1995. Meaning in Interaction: An Introduction to Pragmatics. New York:
Longman.