Anda di halaman 1dari 5

Soalan 9 : Guru mempunyai peranan dan tanggungjawab murni untuk membantu

memupuk nilai patriotik di kalangan rakyat dalam membina bangsa Malaysia yang
cintakan tanahair. Jelaskan dengan terperinci bagaimanakah seseorang guru dapat
melaksanakan tanggungjawab tersebut.

Menurut Kamus Dewan, patriotik bermaksud perasaan yang bersemangat, jati diri serta

nilai yang tinggi terhadap negaranya serta sanggup mempertahankan kedaulatannya. Bangsa

Malaysia pula merujuk kepada masyarakat majmuk di Malaysia yang diwakili oleh bangsa

Melayu, Cina dan India namun identiti mereka berteraskan Negara Malaysia. Pendidikan di

Malaysia mempunyai matlamat dalam memperkukuhkan hubungan dan perpaduan yang sedia ada

di kalangan pelajar yang berbilang bangsa. Disamping itu juga pendidikan dijadikan platform

utama dalam memupuk semangat dan amalan perpaduan. Sikap bertolak ansur, saling faham

memahami, tolong menolong, dan hormat menghormati antara satu sama lain adalah antara

amalan-amalan murni yang positif diamalkan di sekolah. Sukatan kurikulum yang berteraskan

unsur murni, ikhlas dan sahsiah yang luhur adalah elemen dalam membentuk nilai-nilai cintakan

tanahair.

Usaha mewujudkan budaya penyayang di sekolah adalah cabaran yang perlu ditangani

oleh guru-guru dengan sempurna dan berdasarkan pekeliling yang ditetapkan. Surat Pekeliling

Ikhtisas Bil. 6/1994 yang bertajuk ‘Usaha Menanam Semangat Patriotisme Di Kalangan Pelajar’

menyatakan, setiap pentadbir sekolah iaitu pengetua dan guru besar, guru-guru serta pelajar

hendaklah bersama-sama mengambil tindakan serius berkenaan soal taat setia dan cinta yang

tidak berbelah bahagi kepada Negara. Dengan kata lain, semangat patriotisme adalah perasaan

taat setia individu kepada bangsa, agama dan Negara. Jelas di sini, budaya penyayang di sekolah

dapat diwujudkan dengan menerapkan semangat patriotisme di kalangan pelajar. Guru

memainkan peranan penting bagi merealisasikan hasrat ini. Contohnya di dalam bilik darjah,

guru-guru boleh meminta para pelajar menyanyikan Lagu Kebangsaan ataupun melafazkan ikrar
yang dijalankan dengan penuh penghayatan dan rasa hormat. Keadaan ini secara tidak langsung

mewujudkan semangat perpaduan antara guru-guru dengan pelajar. Ia seterusnya memupuk

budaya penyayang antara pelajar dengan pelajar lain dan guru-guru kerana individu dididik

supaya mempunyai sikap bermasyarakat dan saling hormat menghormati antara satu sama lain.

Selain itu, budaya penyayang juga dapat diwujudkan melalui semangat patriotisme. Ia

dapat dilakukan dengan mengalakkan pelajar melibatkan diri dengan aktiviti ko-kurikulum dan

badan beruniform seperti Kadet Remaja dan Pertahanan Awam. Contoh aktiviti yang dapat

dilakukan ialah menaikkan bendera kebangsaan, menyanyikan lagu kebangsaan dan melafazkan

ikrar. Penyertaan aktiviti-aktiviti luar dapat membantu pelajar berdikari, mengambil berat

berkenaan sesuatu perkara ataupun rakan-rakan mereka dan menanam sifat menghargai orang

lain. Secara tidak langsung, ia memupuk budaya penyayang di dalam diri pelajar. Justeru, guru

perlu memainkan peranan penting bagi mengendalikan setiap aktiviti bersama-sama pelajar ini

dengan teratur mengikut perancangan yang ditetapkan. Matlamat setiap aktiviti yang bakal

dijalankan perlu berpandukan hasrat bagi mewujudkan budaya penyayang di sekolah antara guru

dengan guru, guru dengan pelajar, pelajar dengan pelajar dan seluruh warga sekolah.

Guru-guru perlu mengetahui bahawa pelajar diibaratkan seperti kain putih. Menjadi

tanggungjawab guru-guru mencorakkan mereka sama ada dengan warna yang berwarna-warni

seindah pelangi ataupun dengan warna hitam, sekelam masa hadapan yang menyedihkan.

Kerjasama ibu bapa juga penting kerana mereka adalah agen sosialisasi terdekat yang memainkan

peranan awal bagi membentuk budaya penyayang. Semangat patriotisme yang diterapkan di

dalam diri pelajar berperanan penting kearah membentuk budaya penyayang di sekolah. Ini

kerana, melalui semangat perpaduan, para pelajar mudah berinteraksi atau berkomunikasi antara

satu sama lain dalam proses pengajaran-pembelajaran di bilik darjah serta semasa menjalankan

aktiviti ko-kurikulum di luar bilik darjah. Situasi ini bukan sahaja melahirkan pelajar yang
cemerlang daripada segi akademik, malah cemerlang daripada segi sahsiah dan sifat kepimpinan

yang penuh dedikasi. Dengan ini, hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) dapat dicapai

bagi melahirkan insan seimbang daripada aspek fizikal, rohani, mental, emosi dan intelek.

Guru sebagai ahli profesional perlu menunjukkan sikap profesionalisme dan budaya kerja

yang bermutu tinggi. Guru juga perlu melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan

dengan betul dan mematuhi segala peraturan yang ditetapkan. Situasi ini jelas menggambarkan

perwatakan guru yang berdedikasi dan wajar diteladani oleh para pelajar. Ini kerana dalam era

globalisasi, tugas guru menjadi bertambah berat. Guru tidak lagi berperanan sebagai pengajar

sahaja, malah tugas guru mencakupi bidang mendidik, mengasuh, merancang dan membentuk

generasi yang diingini serta seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Oleh itu,

penerapan nilai-nilai murni di dalam diri pelajar penting kerana ia dapat memupuk kearah budaya

penyayang di sekolah seperti hormat menghormati, kasih sayang, adil, jujur, kerjasama,

sederhana, syukur, semangat bermasyarakat dan sebagainya. Melalui penerapan nilai-nilai murni

dalam proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah, guru-guru dapat memupuk budaya

penyayang di kalangan pelajar. Nilai-nilai murni ini disisipkan melalui mata pelajaran dan

diperkukuhkan lagi dengan kegiatan kokuriklum serta mewujudkan budaya sekolah yang positif.

Tegasnya, penerapan nilai-nilai murni bagi memupuk budaya penyayang di sekolah berlaku

secara formal dan tidak formal. Ia perlu dirancang dengan teliti supaya membuahkan hasil yang

berkesan.Justeru, bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran yang berteraskan nilai

murni berjalan dalam suasana harmoni, guru perlu mempunyai dan mengamalkan nilai-nilai

murni. Ini kerana guru adalah role model dan rujukan pelajar. Oleh itu, guru-guru perlu

menghayati nilai-nilai murni sebelum dapat dihayati dan diamalkan oleh pelajar. Dengan ini,

sebaik-baiknya guru tidak bersikap seperti ketam yang menyuruh anaknya berjalan lurus,

sedangkan ia sendiri berjalan melintang.


Guru merupakan pendidik dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Guru perlu

bersikap tenang dan sabar, sesuai dengan etika perguruan. Hal ini disebabkan pelbagai

kemungkinan dapat berlaku semasa guru berhadapan dengan pelajar dalam proses mengajar dan

belajar, sama ada di dalam ataupun di luar bilik darjah. Malah, guru juga berkewajipan

menyelesaikan pelbagai masalah pelajar yang terlibat dengan kes-kes disiplin yang semakin

rumit. Keadaan ini menuntut sikap guru yang baik hati dan rasional dalam mengatasi masalah.

Guru juga perlu sentiasa menghargai pelajar. Guru perlu memberikan kata-kata semangat,

dorongan dan pujian kepada pelajar. Strategi menerapkan nilai-nilai murni dalam sistem

pendidikan yang diamalkan menjadi tema utama dalam mata pelajaran Pendidikan Islam dan

Moral. Sejajar dengan konsep sekolah penyayang yang menekankan konsep kognitif dan perasaan

bagi memupuk budaya penyayang, melalui mata pelajaran Pendidikan Islam dan Moral, guru-

guru dapat membentuk sifat penyayang di dalam diri pelajar. Ia dilakukan dengan menekankan

bidang kerohanian, nilai dan sikap kemanusiaan yang mulia seperti baik hati, bekerjasama,

hormat menghormati dan kebersihan mental dan fizikal.

Selain itu, penerapan nilai murni yang membantu kearah sekolah penyayang juga

memerlukan guru-guru mata pelajaran memupuk nilai murni seperti dalam mata pelajaran Bahasa

Melayu. Ini kerana dalam pengajaran-pembelajaran Bahasa Melayu, penerapan nilai-nilai murni

dapat dilihat apabila pelajar-pelajar menghargai dan berbangga Bahasa Melayu sebagai bahasa

rasmi Negara dan alat perpaduan masyarakat Malaysia yang sesuai dengan semangat serta

prinsip-prinsip Rukun Negara. Ini disokong melalui Surat Pekeliling Pendidikan Bil.2/1971 yang

bertajuk Rukun Negara, dalam Perkara 2 menekankan bahawa setiap sekolah perlu menanamkan

cita-cita unggul Rukun Negara ke dalam jiwa pelajar. Ia bertujuan memupuk semangat perpaduan

antara pelajar dan seterusnya mengeratkan hubungan antara satu sama lain bagi mewujudkan

budaya penyayang di sekolah.Disamping itu, unsur-unsur budaya penyayang melalui kurikulum

sekolah seperti mata pelajaran Bahasa Melayu dan Pendidikan Moral memberikan natijah yang
menekankan konsep perpaduan dan penerapan nilai-nilai murni. Seterusnya, melalui kegiatan

persatuan seperti Pembimbing Rakan Sebaya, dan Unit Bimbingan Dan Kaunseling juga dapat

melatih pelajar-pelajar menghormati dan mengambil berat antara satu sama lain. Secara tidak

langsung, usaha ini dapat melahirkan generasi penyayang dan produktif.