Anda di halaman 1dari 4

‘MADAME SHAYKHA’- MUFTI PEREMPUAN

AfiqMNoor

Dari Ibn Abbas RA berkata: Umar bin Khattab RA berkata: “Dahulu kami, pada masa
Jahiliyah, tidak mempedulikan perempuan sama sekali. Kemudian setelah Islam
datang dan Allah mengakui keberadaan mereka, barulah kami sedar mereka juga
memiliki hak yang sama ke atas kami”.

Sahih Al Bukhari [Hadith No. 5904]

Wacana Islam dan perempuan boleh dikatakan sebagai satu wacana yang agak
kontroversial di mana-mana belahan dunia tidak terkecuali Malaysia. Kata orang,
perempuan, yang membentuk lebih dari separuh populasi dunia seringkali di anggap
sahabat yang sering dimusuhi oleh agama. Benarkah begitu? Jauh sebelum
kedatangan Islam ke semenanjung tanah arab, perempuan sudah (terlalu) lama
dimusuhi. Adat dan kebudayaan arab sebelum kedatangan Islam telah
menempatkan perempuan pada posisi yang paling tidak manusiawi. Perempuan
tidak dianggap sebagai manusia selayaknya lelaki, bahkan mereka dianggap seperti
barang dagangan yang dimiliki lelaki dan digunakan semahunya. Perempuan
dimarginalkan bukan hanya di ruang awam bahkan di ruang domestik, mereka
dianggap membawa sial dalam keluarga dan masyarakat serta boleh diwariskan
seperti barang. Masyarakat arab juga sangat terkenal dengan praktik ‘wa’dul banat’
atau menanam anak perempuan hidup-hidup kerana takut kecelakaan dek kerana
perempuan. Kemudian Allah S.W.T mengutuskan Muhammad S.A.W untuk
mereformasikan adat dan budaya yang telah lama berakar di dalam masyarakat
arab.

WAWASAN EGALITARIAN QURANI

Gagasan Al Quran dalam mereformasikan budaya dan sikap masyarakat arab


dilakukan secara gradual (bi al tadrij). Perempuan mula diletakkan pada posisi yang
sepatutnya dan diberikan hak-haknya sedikit demi sedikit. Dalam masa yang sama
wawasan Al Quran yang egalitarian untuk memposisikan kesetaraan di antara
perempuan dengan lelaki, hamba dengan merdeka mula di perkenalkan lewat
firman-firman tuhan seperti – “Wahai orang-orang yang beriman, jadilah saksi yang
adil kerana Allah dan janganlah kerana kebencian kamu kepada sesuatu kelompok
menghalang kamu dari berlaku adil. Berlaku adillah kerana ia lebih dekat dengan
taqwa” [Quran 5:8] dan banyak lagi pesan-pesan universal sebagai acuan reformasi
bagi memperbetulkan hubungan sosial-kemasyarakatan, ekonomi dan politik
masyarakat arab yang sudah lama rosak.

Tidak dapat dinafikan bahawa konsep Tauhid sebagaimana yang telah di singgung
oleh ramai intelektual Muslim merupakan permulaan kepada konsep egalitarian yang
cuba diperkenalkan oleh Al Quran. Semua makhluk – perempuan, lelaki, hamba,
merdeka, arab atau a’jam (non-arab) adalah sama pada pandangan Allah dan yang
membezakan nilai antara kita adalah taqwa atau lebih senang saya ertikan sebagai
yang punya nilai kemanusiaan. Ini setarikan nafas dengan apa yang dikatakan oleh
Ibn Qayyim – “Sesungguhnya syariah itu dibangun atas dasar kebijaksanaan dan
kemaslahatan manusia kini dan akan datang. Semua hukum-hukum syariah
seharusnya bersifat adil, rahmat, maslahah dan bijak. Maka setiap persoalan atau
tafsiran hukum yang menyimpang dari dasar-dasar yang disebutkan di atas,
bukanlah bahagian dari syariah…” [I’lam Al Muwaqi’in, Vol 3, hal.3]

PEREMPUAN DALAM TIMBANGAN SYARIAH

Perjuangan Islam dalam memposisikan kesetaraan perempuan dengan lelaki


bukanlah satu tugas yang mudah. Sudah pastilah terdapat resistensi dalam
masyarakat yang umumnya sangat patriakal (maaf, saya masih menggunakan istilah
ini walaupun ia dibenci oleh segelintir Islamis). Justeru Islam harus berkompromi dan
memberikan akomodasi dengan struktur sosial, politik dan budaya masyarakat arab
ketika itu. Sebagai contoh, isu kesaksian perempuan sebagaimana yang dinyatakan
di dalam Surah Al Baqarah ayat 282 – “...dan persaksikanlah dengan dua orang
saksi lelaki diantara kamu, dan jika tidak ada dua orang lelaki maka boleh seorang
lelaki dan dua orang perempuan dari saksi-saksi yang kamu redhai, supaya jika
salah seorang diantara mereka (saksi perempuan) lupa maka seorang lagi
mengingatkannya..”

Perempuan yang sebelum kedatangan Islam tidak dianggap sebagai manusia


bahkan lebih teruk layanannya dari seekor unta merah dan tidak diberikan ruang
ditempat awam termasuk memiliki harta kini diberikan hak untuk menjadi saksi
dalam urusan hutang piutang. Maka rasional Al Quran untuk menyamakan dua
orang perempuan dengan satu lelaki dalam ayat di atas kerana ia bukan kebiasaan
bagi perempuan-perempuan arab sebelum kedatangan Islam untuk memiliki harta
dan terlibat dalam urusan awam. Sedangkan dalam ayat-ayat yang lain Al Quran
tidak membezakan kesaksian lelaki dan perempuan, misalnya didalam masalah li’an
(suami yang menuduh isterinya berzina) – “Dan orang-orang yang menuduh
isterinya berzina, padahal mereka tidak dapat mendatangkan saksi-saksi lain selain
dari diri mereka sendiri hendaklah dia bersumpah sebanyak empat kali dengan
nama Allah bahawa dia adalah orang yang benar” [Quran 24:6]

Nah, ternyata kesaksian seorang isteri dinilai sama dengan kesaksian seorang
suami dalam hal yang cukup berat membabitkan kehormatan dan keturunan. Tetapi
sayang wawasan egalitarian Al Quran dalam menempatkan lelaki dan perempuan
pada kedudukan yang setara tidak diteruskan oleh ulama klasik dan kebanyakan
dari ulama kontemporari. Pengetahuan kepada struktur sosial dan sejarah politik
masyarakat arab pra-penurunan Al Quran dan sewaktu Al Quran diturunkan adalah
satu keperluan asas kepada ulama yang ingin menekuni teks-teks sacral agama. Al
Syatibi di dalam Al Muwafaqat menyatakan – “..Sesiapa yang hendak mempelajari
Al Quran dan Sunnah hendaklah memahami tradisi dan adat bangsa arab sewaktu
Al Quran diturunkan dan ketika Nabi S.A.W menerangkannya kepada masyarakat.
Mengabaikan tradisi dan budaya masyarakat arab ini akan menimbulkan kesulitan di
dalam memahami misi besar Islam..”

Saya kira, kita dapat bersetuju bahawa kebanyakkan hukum-hakam fiqh seputar isu-
isu perempuan masih berada di takuk lama. Perempuan masih lagi diposisikan
sebagai kelas kedua atau lebih rendah dari lelaki walaupun realitinya, bilangan
perempuan jauh lebih banyak di insitusi-institusi pendidikan tinggi di dalam dan di
luar negara, mereka menyelesaikan universiti dengan nilai yang lebih baik dari
kebanyakkan pelajar lelaki. Perempuan juga mengisi posisi-posisi penting di bidang
pekerjaan, pembuat dasar dan polisi negara bahkan tidak keterlaluan saya katakan
‘overall performance’ perempuan lebih baik berbanding lelaki. Tetapi dari sudut
keagamaan mereka dianggap “complimentary” kepada lelaki. Adilkah begitu?

Pada akhirnya, kita dengan berat hati terpaksa bersetuju bahawa perempuan yang
melahirkan semua manusia (lelaki dan perempuan), menyusukan dan membesarkan
kita semua dan membentuk lebih dari separuh populasi dunia terpasung
kebebasannya di dalam pasungan agama. Benarlah, perempuan yang menjadi
rakan baik agama sering dimusuhi oleh rakan baiknya sendiri dengan tafsiran-
tafsiran agama yang menyudutkan perempuan di ruang yang tidak selayaknya.
Saya tidak menyalahkan Islam, tetapi individu-individu yang merasakan mereka
punya legitimasi bercakap bagi pihak Tuhan dan mengabsahkan penindasan
berstruktur kepada perempuan.

MUFTIYA (MUFTI PEREMPUAN) UNTUK MALAYSIA

Saya cuba mengambil sikap pertengahan terhadap polemik yang timbul di antara
ulama progresif dan ulama tradisional (maaf, bukan niat saya ingin mempromosikan
istilah ini tetapi sebagai pemahaman mudah para pembaca) dalam isu-isu yang
melibatkan perempuan dan syariah. Saya tidak bersetuju sekiranya kita bermudah-
mudah dalam mentafsirkan nas-nas syariah semahunya tanpa pedoman dan hanya
bergantung kepada kritik budaya masyarakat arab jahilyyah semata-mata dan dalam
masa yang sama, saya juga tidak bersetuju sekiranya kita terlalu kaku, rigid dan
takut untuk meluaskan dan mengkritik aturan-aturan yang ditetapkan oleh ulama
klasik.

Menurut saya, para ulama, selain keperluan menguasai ilmu-ilmu alat dan
perbahasan klasik, mereka perlu cakna dengan globalisasi, perubahan masyarakat
dan ilmu-ilmu kontemporari supaya wawasan egalitarian Al Quran dapat dijelmakan
dalam fatwa-fatwa dan hukum-hukum yang mereka keluarkan. Dr Ahmad Al Raysuni
menyatakan – “..tidak diragui lagi, seorang mujtahid harus melengkapkan diri
dengan ilmu pengetahuan dan kebijakan kontemporari yang perlu dia gunakan
untuk mengeluarkan fatwa dan berijtihad” [Al Ijtihad: Al Nash, Al Waqi’, Al Maslahah
hal. 59]

Perempuan di Malaysia telah menjawat pelbagai jawatan-jawatan penting termasuk


menteri bahkan tidak canggung kalau saya katakan para mufti, hakim, ulama yang
ada sekarang turut terhutang budi dengan guru-guru perempuan yang kerana-nya
mereka menjawat jawatan penting dan mengurus umat ini. Kita sudah punya hakim-
hakim perempuan baik di mahkamah sivil mahupun syariah. Saya kira sudah sampai
masanya Malaysia melantik Muftiya (Mufti Perempuan) kerana saya percaya ramai
ilmuan perempuan di Malaysia yang berkelayakan untuk mengisi jawatan ini.

Perlantikan Muftiya di Malaysia bukanlah sesuatu yang mustahil dan tidak ada
halangan dari segi perundangan negara mahupun hukum fiqh. Imam Al Nawawi di
dalam magnum opusnya Al Majmu’ Syarh Al Muhazzab yang menjadi panutan
bermazhab di Malaysia tidak mensyaratkan mufti itu haruslah seorang lelaki. Intinya
seorang mufti hendaklah seorang muslim atau muslimah yang mukallaf dan tsiqah
(terpercaya), faqih serta berhati-hati dalam membuat keputusan. Nadiyah Al Umari
dalam Al Ijtihad fil Islam menyatakan bahawa menjadi lelaki bukanlah syarat utama
bagi menjadi mufti kerana sejarah Islam menunjukkan kepada kita para sahabat
lelaki dan perempuan mengambil ilmu dan fatwa dari Aishah RH. Bahkan
Muhammad Khairat di dalam Markaz Al Mar’ah Fil Islam menyatakan tidak menjadi
masalah sekiranya seorang mufti itu adalah seorang hamba perempuan yang hitam
dan bisu asalkan dia berupaya menerangkan fatwanya kepada mustafiy (orang yang
meminta fatwa) dengan baik.

Satu penelitian akademik telah dilakukan oleh sekumpulan ahli akademik dari
Universiti Islam Malaysia (USIM) tentang perlantikan mufti perempuan di Malaysia.
Dalam penelitian ini mereka telah menjalankan kajian lapangan dengan
mewawancara responden-responden dari Jabatan Mufti Negeri Selangor. Dapatan
dari penelitian mereka sangat menarik. Secara asasnya tidak ada halangan dari
sudut perundangan dan fiqh bagi perempuan di lantik sebagai mufti dan menasihati
Sultan atau Yang Di Pertuan Agong dalam urusan keagamaan, tetapi menurut
mereka tugas sebagai mufti mengkehendaki lebih dari urusan fatwa, seperti
mengiringi Sultan atau Yang Di Pertuan Agong ke luar negara, berbicara empat mata
dengan Sultan dan urusan-urusan di ranah publik yang akan menimbulkan fitnah
kepada perempuan sekiranya dilantik sebagai muftia. Menurut mereka lagi,
terdapatnya keharusan melantik perempuan sebagai mufti tetapi jawatan mufti
secara ‘uruf telah sinonim dengan lelaki, sekiranya peluang ingin diberikan kepada
perempuan, mungkin lebih sesuai sekiranya mereka di lantik sebagai timbalan mufti.
[The Appointment of Female Mufti in Malaysia: An Analysis on The Views of Fatwa
Members, Journal of Fatwa Management & Research].

Mungkin di lain kesempatan, kita boleh meneliti secara kritis fenomena ‘fitnah’
perempuan ini sebagaimana yang difahami dalam teks-teks fiqh klasik dan adakah
ruang untuk rekonstruksi makna ‘fitnah’ yang dilihat tidak menindas dan mematikan
peran perempuan di ruang publik. Namun, maudhu’ perlantikan muftiya atau mufti
perempuan di Malaysia bukanlah sesuatu yang mustahil.

Sebelum saya mengakhiri tulisan ini, suka saya mengingatkan diri saya dan setiap
lelaki di dunia ini, walau apa pun pangkatnya pasti dia tidak lebih baik dan mulia dari
ibunya sendiri yang kerana-nya lah dia ada di dunia ini. Bahkan Ibn Hazm Al
Andalusi menyatakan sekiranya sorang lelaki itu merasakan dirinya lebih baik dari
Maryam, Aisyah atau Fatimah kerana dia lelaki sedangkan mereka perempuan,
samada dia seorang yang bodoh atau bahkan kafir. Saya juga ingin mengambil
kesempatan ini untuk mengucapkan selamat hari perempuan antarabangsa untuk
semua perempuan di luar sana dan kepada bakal Muftiya Malaysia.

Anda mungkin juga menyukai