Anda di halaman 1dari 23

TATABAHASA

Kata nama
Kata nama adalah golongan kata yang terbahagi kepada dua bahagian yang besar iaitu nama
am, nama khas, ganti nama dan nama terbitan.

Kata Nama Am

Kata nama am ialah kata yang digunakan untuk menjelaskan nama sesuatu yang
bernyawa seperti orang, haiwan, dan sesuatu yang tidak bernyawa seperti
tumbuh-tumbuhan, tempat , benda, dan sebagainya secara umum seperti dalam
contoh di bawah:

orang: ayah, polis, perempuan dll.


haiwan: ayam, itik, buaya dll.
benda: televisyen, komputer, bank dll.
tempat: stadium, jalan raya, pulau dll.

Kata nama am boleh dibahagikan kepada dua iaitu konkrit dan abstrak. Kata nama
am konkrit ialah nama sesuatu yang dapat dipegang, dirasa atau dilihat. Kata nama
am abstrak pula ialah nama sesuatu yang hanya dibayangkan atau dikhayalkan.
Kedua kelas kata ini boleh terdiri daripada kata dasar dan kata terbitan.
Contoh: buai -> buaian
Kata nama am mestilah menggunakan huruf kecil melainkan pada awal ayat.

Kata Nama Khas


Kata nama khas ialah kata nama yang secara khususnya digunakan untuk menyebut
nama sesuatu benda sama ada benda yang bernyawa dan yang tidak bernyawa.
Benda-benda yang bernyawa ialah nama manusia dan nama binatang. Benda-benda
yang tidak bernyawa ialah nama tempat, judul buku, nama bangunan, dan
sebagainya.
Perkataan Nama Khas digunakan bagi menyebut sesuatu yang tertentu, khusus atau
khas. Contoh perkataan ditunjukkan seperti di bawah:
benda: Sri Aman, Volvo, Parker 45, Hikayat Hang Tuah, dll
orang: Cik Rafidah, Inspektor Azman, Dr. Long dll
binatang: Blacky, Pak Belang, Sang Kancil,dll
tempat: Kampung Bahru, Shah Alam, Kuala Lumpur dll
Biasanya huruf pertama perkataan nama khas ini hendaklah ditulis dengan huruf
besar.

Kata Ganti Nama


Kata ganti nama ialah kata nama yang digunakan untuk mewakili diri seseorang atau
sebagai penunjuk. Kata ganti nama penunjuk terbahagi kepada dua iaitu penunjuk
bersifat menerangkan (contohnya ini, itu), dan penunjuk bersifat pertanyaan
(contohnya siapa, apa, mana).

Kata ganti diri pula terbahagi kepada tiga:


diri pertama:saya, beta, aku, patik, kami, kita, daku
diri kedua: awak, engkau, kamu, anda, saudara, saudari, tuan hamba
diri ketiga: ia, dia, beliau, mereka, baginda, -nya

Kata Nama Terbitan


Kata nama terbitan wujud apabila kata nama am diberi imbuhan. Imbuhan yang
membentuk kata nama terbitan boleh diletakkan di awal kata ( awalan ), di akhir kata
( akhiran ), di awal dan di akhir kata ( apitan ) dan diselitkan di tengah perkataan
( sisipan).

Kata kerja
Kata kerja merupakan golongan kata yang menjadi inti dalam frasa kerja, sama ada
yang berlaku atau dilakukan. Contohnya, berjalan, makan, memakan, dimakan dan
sebagainya. Kata kerja terbahagi kepada, kata kerja transitif ( Perbuatan Melampau )
dan kata kerja tak transitif ( Perbuatan tidak Melampau ).

Kata Kerja Transitif


Kata kerja transitif ialah segala perbuatan yang dilakukan oleh pembuatnya kepada
benda lain. Benda yang kena oleh perbuatan itu dipanggil penyambut ( objek ). Ayat
yang menggunakan kata kerja transitif mesti mempunyai penyambut ( objek ). Kata
kerja ini biasanya mempunyai imbuhan ‘me-‘ sama ada sebagai awalan atau
sebahagian daripada imbuhan contohnya mengambil, mendermakan, membacakan,
menduduki, mempersilakan.

Kata Kerja Transitif Aktif


Kata kerja transitif aktif ialah kata kerja yang mesti disertai oleh objek, iaitu kata nama
dan ayatnya berbentuk aktif. Kata kerja transitif aktif menggunakan imbuhan men,
men ...i, men ...kan, memper, memper...i, dan memper...kan.

Kata Kerja Transitif Pasif


Kata kerja transitif pasif ialah kata kerja yang disertai oleh objek, dan ayatnya
berbentuk pasif. Kata kerja transitif pasif menggunakan imbuhan di-.

Penyambut Kata Kerja Transitif Pembuat


Radio itu didengari Atan.
Burung itu ditangkap oleh seekor kucing.
Sayur itu dijual oleh seorang perempuan.
Ikan itu dijala oleh Pak Abu.
Surat itu sedang ditulis oleh bapa

Kata Kerja Tak Transitif


Kata kerja tak transitif ialah segala perbuatan yang dilakukan oleh pembuat itu sendiri
kepada diri pembuat itu sendiri, tidak kepada benda atau orang lain. Kata kerja ini
tidak memerlukan penyambut. Kata kerja tak transitif terbahagi kepada dua iaitu kata
kerja tak transitif berpelengkap' dan kata kerja tak transitif tak berpelengkap.

Kata Kerja Tak Transitif Berpelengkap


Kata kerja ini memerlukan pelengkap. Pelengkap merupakan kata atau frasa yang
melengkapkan ayat supaya tidak kelihatan tergantung dan bukannya satu objek
(penyambut).

Kami mandi di tasik.


Dia senyum semasa berjalan.
Air sungai beransur surut.

Kata Kerja Tak Transitif Tak Berpelengkap

Kata kerja ini tidak memerlukan penyambut mahupun pelengkap. Selalunya berada di
hujung ayat.

Rumahnya roboh.
Radio itu berbunyi.
Turunnya Union Jack itu, Jalur Gemilang pula berkibar

Kata sifat
Adjektif, juga dikenali sebagai kata sifat, ialah kata yang menjadi inti dalam frasa
adjektif seperti manis sekali, sudah lama sungguh, masih lebat lagi.

Kata-kata dalam golongan kata adjektif menerangkan keadaan atau sifat sesuatu
nama atau frasa nama. Kata adjektif boleh dikenali jika kata berkenaan didahului oleh
kata penguat seperti amat, sangat, sungguh, sekali, paling, agak, benar
Jenis jenis kata adjektif
Kata adjektif terbahagi kepada 9 subgolongan:

1. Sifat-menerangkan sifat keadaan atau seseorang


contoh: baik, cerdik, berani, lemah, kukuh, kemas, kejap, secantik, terkuat
2. warna - contoh: merah, jingga, ungu, putih, hitam, kuning langsat
3. ukuran - contoh: pendek, panjang, tebal, nipis, dalam, besar, sebesar, ternipis
4. bentuk -contoh: bujur, lurus,
5. waktu - contoh: lama, lambat, lewat, segera, suntuk, lampau, lalu, silam
6. jarak - contoh: dekat, hampir, jauh
7. cara - contoh: selalu, jarang, kadang kadang, kerap, lambat, deras, laju, jelas,
muram, lincah
8. pancaindera
• rasa: sedap, lazat, manis, pahit, lemak, pedas, payau, masam,masin
• pandang: buruk, hodoh, jelita, cantik, tampan
• dengar:bising, sunyi, senyap
• bau: busuk, wangi, hangit, hapak
• sentuh: kesat, kasar, lembab, halus, licin
9. perasaan - contoh: takut, seram, benci, rindu, marah, senang, sayang, gembira

Pangkat pangkat adjektif

Pangkat pangkat atau tahap adjektif ada empat:


Pangkat biasa
Ia dinyatakan dengan menggunakan kata adjektif biasa. Contoh:
• Baju dia cantik.
• Buah betik itu manis.
Pangkat perbandingan
Ia merupakan perbandingan sama, lebih atau kurang. Contoh:
• Tenaganya sekuat Badang.
• Buah jambu itu semanis gula.

Pangkat menyangat
Ia menerangkan adjektif yang keterlaluan seperti sangat, amat, benar-benar dan
sebagainya. Contoh:
• Cuaca hari ini sangat mendung.
• Buah rambutan ini terlalu masak.

Pangkat penghabisan
Ia menerangkan adjektif paling atau penghabisan. Contoh:
• Gunung Kinabalu adalah gunung yang paling tinggi di Malaysia.
• Menara KLCC bangunan yang tertinggi di Malaysia.

Kata sendi
Golongan kata sendi adalah golongan kata yang digunakan untuk menyambungkan
frasa nama dengan kata atau frasa-frasa dalam ayat. Kata sendi menunjukkan
perkaitan antara satu perkataan/frasa dengan perkataan/frasa yang lain.

Contoh:
• Buku di pejabat (kata nama + kata sendi + kata nama)
• Menyelam sambil minur air (kata kerja + kata sendi + frasa kerja)
• Rosak kerana banjir melanda (kata sifat + kata sendi + frasa nama)

Fungsi kata sendi

Ada lima fungsi kata sendi:


1. Menunjukkan tempat atau arah : melalui jalan dalam,pada fikiran saya
2. Menunjukkan masa : dalam tahun lepas,sewaktu bulan biru
3. Menunjukan sebab akibat : Kemalangan berlaku kerana jalan licin, Sebab mulut
badan binasa
4. Menunjukkan pelaku : Perlawanan akhir itu dimenangi oleh Kedah FA
5. Menunjukkan mangsa : Perompak itu kena belasah
Bahagian kata sendi

Kata sendi boleh dibahagikan kepada dua bahagian utama:


• Sendi nama
• Sendi kata

Sendi nama
Kata sendi nama ialah perkataan yang letaknya di hadapan frasa/kata nama. Antara
kata sendi nama yang biasa digunakan
ialah:di,ke,kepada,pada,dari,daripada,seperti,dengan

Sendi kata
Kata sendi kata ialah perkataan yang letaknya di hadapan frasa/kata kerja, kata sifat
dan kata tugas.
bagi,sambil ,selepas,sebelum

Bentuk kata sendi


Kata sendi juga boleh dibahagikan mengikut bentuknya:

Sendi tunggal ; antara,bagai,demi, hingga,kerana,sejak


Sendi berimbuhan :bagaikan,berikut,mengingat, merupakan,sehubungan,seputar
Sendi majmuk : atas sebab,bagaimanapun,dalam hal,daripada di antara,kepada,oleh
kerana,selain ,daripada

Ayat inti (bahasa Melayu)


Ayat inti ialah ayat yang paling ringkas. Ayat ini boleh digunakan untuk menerangkan
sesuatu dengan ringkas dan tepat, tanpa menimbulkan sebarang kesamaran makna.
Umpamanya, jika anda menyatakan "Emas ialah logam", tiada tafsiran makna lebih
daripada satu. Oleh itu, ayat inti amat berguna untuk menjelaskan sesuatu dengan
konkrit. Selain itu, sasterawan sering menggunakan ayat inti untuk mempercepatkan
jalan cerita, atau untuk menimbulkan perasaan ingin tahu pembaca.
Dalam bahasa Melayu, terdapat empat pola ayat inti:

1. Frasa Nama + Frasa Nama


2. Frasa Nama + Frasa Kerja
3. Frasa Nama + Frasa Adjektif
4. Frasa Nama + Frasa Sendi

Frasa ialah binaan yang boleh terdiri daripada satu patah kata atau rentetan
beberapa patah kata yang berfungsi sebagai konstituen dalam ayat, sama ada
sebagai subjek, predikat, objek atau keterangan. Frasa tiada subjek dan predikat.
Frasa tidak membawa maksud yang lengkap yang boleh dikatakan sebagai satu ayat.

Frasa Nama + Frasa Nama


Contoh:
1. Ali jiran saya.
2. Kami jiran.
3. Kucing mamalia.
4. Itu guru.

Kesalahan yang biasa berlaku


Kesalahan yang agak meluas berasal khususnya daripada mereka yang bersikap
keinggerisan. Mereka menganggap bahawa perkataan "seorang", "sebuah", dan
sebagainya harus disisipkan untuk mewakili artikel a dan an dalam bahasa Inggeris.
Umpamanya, ayat (1) di atas dianggap tidak lengkap jika tidak ditulis sebagai "Ali
seorang guru". Yang lebih bersikap keinggerisan menganggap ayat yang betul-betul
sempurna ialah: "Ali ialah seorang guru." Mereka menganggap "ialah" sebagai
terjemahan kopula seperti is dan are dalam bahasa Inggeris. Jadi timbullah anggapan
yang salah bahawa sesuatu ayat itu tidak sempurna jika tiadanya "ialah" ataupun
"adalah".

Walau bagaimanapun, perkataan "adalah" boleh disisipkan dalam ayat jika


seseorang hendak menegaskan maksud, umpamanya:
1. Ali adalah guru.
2. Kucing adalah mamalia.

Kata "adalah" dalam ayat-ayat itu digunakan apabila timbul keraguan yang dapat
dibayangkan dengan adanya pertanyaan yang menggunakan kata adakah seperti:
1. Adakah Ali guru?
2. Adakah kucing mamalia?

Kata "adalah" dalam ayat-ayat di atas samalah dengan kata "benarkah" atau
"betulkah". Bagaimanapun, ayat yang disertai "adalah" bukan ayat inti lagi.
Frasa Nama + Frasa Kerja
Contoh:
1. Saya menulis rencana.
2. Kami berdiri.
3. Kucing ini menangkap tikus.
4. Syarikat itu membuka kilang.

Predikat ayat inti untuk pola ini dapat diperluas dengan menggunakan kata bantu
yang terbahagi dua:
1. kata bantu aspek: akan, belum, masih, sedang, sudah, telah;
2. kata bantu modaliti: boleh, dapat.
Letak kata bantu ialah sebelum kata kerja. Selain itu, predikat untuk ayat ini dapat
diperluas dengan menggunakan keterangan seperti: Saya duduk di kerusi. "Di kerusi"
ialah keterangan tempat.

Kesalahan yang biasa berlaku


Kata kerja transitif
Kesalahan yang biasa berlaku ialah penggunaan kata kerja transitif tanpa objek.

Salah : Syarikat itu membuka di Pulau Pinang


Betul : Syarikat itu membuka kilang di Pulau Pinang.
Salah : Kami membincangkan tentang masalah itu.
Betul : Kami membincangkan masalah itu.

Kata kerja intransitif


Satu kesalahan lagi ialah penggunaan kata kerja intransitif tanpa diikuti oleh kata
sendi apabila predikat diperluas.

Salah : Saya sedar perkara itu .


Betul : Saya sedar akan perkara itu.
Salah :Dia masih ingat kejadian itu.
Betul : Dia masih ingat akan kejadian itu.

Frasa Nama + Frasa Adjektif


Contoh:
1. Dia bijak.
2. Kami lapar.
3. Anjing itu garang.
4. Pisau ini tajam.

Predikat ayat pola ini dapat dluaskan dengan menggunakan kata penguat yang
terbahagi tiga:
1. penguat depan: begitu
2. penguat belakang: sekali, betul
3. penguat bebas: sangat

Kesalahan yang biasa berlaku


Kesalahan yang biasa berlaku ialah penggunaan kata penguat secara berlebihan:

Salah : Dia begitu bijak sekali


Betul : Dia begitu bijak.
Betul : Dia bijak sekali.
Salah : Anjing itu sangat garang betul.
Betul : Anjing itu sangat garang.
Betul : Anjing itu garang betul.

Frasa Nama + Frasa Sendi

Contoh:
1. Saya ke Kuala Lumpur
2. Dia di sekolah.
3. Kami di rumah.
4. Buku ini untuk adik.
Kesalahan yang biasa berlaku
Kesalahan yang biasa berlaku ialah anggapan bahawa frasa sendi tidak boleh berdiri
sendiri tanpa kata kerja. Contohnya, ada orang yang beranggapan bahawa:
• ayat (1) mesti ditulis: Saya pergi ke Kuala Lumpur; atau
• ayat (4) mesti ditulis: Buku ini dibeli untuk adik.
Sebenarnya baik disertai kata kerja atau tidak, ayat-ayat itu betul belaka.

Hukum D-M
Hukuman D-M ialah peraturan menyusun kata nama majmuk dan ayat yang
mendahulukan unsur yang diterangkan (diringkaskan sebagai D) dan
mengemudiankan kata sifat yang menerangkan (diringkaskan sebagai M). Istilah
Hukum D-M diperkenalkan oleh Prof. St. Takdir Alisjahbana dalam bukunya,
Tatabahasa Baru Melayu Indonesia.

Kesalahan yang biasa berlaku


Kesalahan yang biasa berlaku, khususnya di kalangan orang yang bersikap
keinggerisan, disebabkan oleh kekeliruan antara susunan kata nama majmuk bahasa
Melayu dengan kata nama majmuk bahasa Inggeris. Sebilangan kesalahan yang
sering berlaku adalah seperti berikut:

Kesalahan Padanan bahasa Inggeris Pembetulan

Salah : dalam lain perkataan


Betul :dengan kata-kata lain
Salah : lain-lain perkara
Betul : perkara-perkara lain
Salah : Minah Restoran
Betul : Restoran Minah
Salah : Dunlop tayar
Betul : tayar Dunlop
Salah : goreng pisang
Betul : pisang goreng

Kata hubung (bahasa Melayu)


Kata hubung ialah perkataan yang digunakan untuk menggabungkan:
• perkataan dengan perkataan;
• rangkai kata dengan rangkai kata; dan
• ayat dengan ayat.

Kata hubung terbahagi kepada tiga iaitu:


1. Kata hubung gabungan
2. Kata hubung pancangan
o Kata hubung pancangan relatif
o Kata hubung pancangan komplemen
o Kata hubung pancangan keterangan
3. Kata hubung pasangan.
1. Kata hubung gabungan
Menggabungkan klausa-klausa yang sama tarafnya. Contoh kata ialah dan, atau,
serta, tetapi, malahan, sambil, tetapi, sementara, sebaliknya, seterusnya.

Contoh ayat:
• Pemanah itu melepaskan anak panah, tetapi tidak mengena sasaran kerana
busurnya patah.
• Belum tentu... sama ada pergi rumah kawan atau balik kampung,’’ katanya.
• Dia mengelak, lantas menikam.
2.Kata hubung pancangan

Kata hubung pancangan relatif


Kata hubung ini menghubungkan klausa utama dengan klausa klausa pancangan
(kecil). Hubungan ini menggunakan kata hubung yang.

Contoh ayat:
• Pelajar yang berjaya itu diberi hadiah.
• Budak yang sedang membaca itu adik perempuan saya.
• Buku yang dikarang oleh Ahmad itu buku sejarah.

Kata hubung pancangan komplemen


Kata hubung ini menghubungkan satu klausa sebagai komplemen pada satu klausa
utama. (Komplemen bermaksud pelengkap). Jadi, klausa klausa pancangan
komplemen itu melengkapkan klausa utama. Kata hubung yang berperanan begitu
ialah bahawa dan untuk.

Contoh ayat:
• Guru tahun enam itu menyatakan bahawa semua muridnya mendapat enam A.
• Mereka mengetahui bahawa Haji Ahmad adalah ahli perniagaan besar.
• Kerajaan membuat jambatan untuk rakyat melintas sungai.

Kata hubung pancangan keterangan


Kata hubung pancangan keterangan menghubungkan klausa keterangan kepada
klausa utama. -Kata hubung itu ialah kerana, agar, meskipun, sekiranya, semoga,
supaya, kalau, andaikata, kendatipun, hingga, jika, jikalau, semasa, sementara,
setelah, sewaktu, sekiranya, ketika, tatkala, walaupun, dan sesungguhnya.

Contoh ayat:
• Berusahalah sekuat mungkin sementara badan masih sihat.
• Saya berkawan dengannya semenjak kecil

3.Kata hubung berpasangan


Kata hubung ini selalunya wujud dalam berpasangan dan merupakan gabungan kata
hubung pancangan dan kata hubung gabungan. Kata hubung itu ialah
baik...mahupun, baik...baik, bukan sahaja... malah, entah...entah,jangan...pun,
kian...kian, sama ada... ataupun, sedangkan...inikan pula, semakin...semakin,
sungguhpun...tetapi, dan walaupun...namun..

Contoh ayat:
• Kian lama kian banyak orang yang ke sana.
• Fuad bukan sahaja nakal malah suka ponteng sekolah

Imbuhan kata nama bahasa Melayu


Kata Nama menerima empat jenis imbuhan; awalan, akhiran, apitan dan sisipan.
Imbuhan awalan ialah imbuhan yang berada di hadapan kata akar, contohnya pe(N),
me(N), ter dan sebagainya. Imbuhan akhiran terletak di akhir kata akar dan imbuhan
apitan mengapit kata akar. Imbuhan sisipan pula tersisip di tengah perkataan.

Awalan
ke-
Awalan "ke-" boleh membentuk kata bilangan himpunan, kata bilangan tingkat dan
kata nama. Huruf akar akan kekal biarpun setelah digabung dengan kata imbuhan ini.
Bukan semua perkataan boleh digabungkan dengan awalan "ke-". Kebanyakannya
memerlukan akhiran -an untuk membentuk perkataan yang tepat. Awalan "ke-" boleh
membawa maksud berikut kepada kata dasar:

• penanda orang atau benda dengan memberi tumpuan kepada maksud kata dasar
(kata nama): kekasih, ketua, kemudi

pe(n)-

Imbuhan awalan "pe(n)-" menerbitkan kata nama yang memberi maksud tertentu
kepada perkataan dasar yang diimbuhkannya, dengan membawa erti-erti berikut:
• alatan/perkakas: pembakar, pengasah, penukul, penapis
• orang yang membuat: penulis, pencipta, pentadbir
• sesuatu yang menyebabkan jadi...: pengasih, pemanis, pendingin
• orang yang selalu atau suka...: penidur, pemalas, perokok
• orang yang mempunyai sifat...:pemalu, pemurah, pembengis
• milik sifat seseorang: pemuda, pembesar
• ukuran bagi waktu atau tempat: pemeluk, penanak, pelaung
• hasil atau kesan daripada sesuatu: penyakit, pendapat

Imbuhan "pe(n)-" berpadan fungsinya dengan imbuhan "me(n)-" untuk kata kerja.

pe-

Imbuhan awalan "pe-" (tanpa pembolehubah (n) dalam "pe(n)-") menerbitkan kata
nama memberi maksud tertentu kepada perkataan dasar yang diimbuhkannya.
Berbeza dengan imbuhan "pe(n)-", imbuhan "pe-" hanya boleh digunakan untuk
manusia, iaitu seperti berikut:

• pelaku tindakan dalam kata dasar: pesaing, peserta


• penerima tindakan atau kesan dalam kata dasar: pesalah, pesakit

per-
Imbuhan awalan "per-" digunakan untuk mengimbuhkan kata dasar yang sering
dijadikan kata kerja dengan berimbuhkan awalan "ber-".

juru-
Awalan "juru-" digunakan untuk mendukung penanda makna ahli atau orang yang
terlibat secara langsung dengan maksud pekerjaan kata dasar dan boleh bergabung
dengan kata dasar daripada golongan kata nama, kata kerja, dan akar.
Contoh-contohnya adalah seperti berikut:

• juru- + kata nama: juruwang, jurubahasa


• juru- + kata kerja: jurukira, jurujual, juruselam, juruterbang
• juru- + akar kata: jurutera, jurumudi

Akhiran

-an
Imbuhan akhiran "-an" menerbitkan kata nama yang memberi maksud tertentu
kepada perkataan dasar yang diimbuhkannya, dengan membawa erti-erti berikut.

• benda, bahan yang dilakukan kata dasar: kiriman, makanan


• hasil perbuatan kata dasar: tulisan, bungkusan
• tempat yang disifatkan kata dasar: ruangan
• benda kata dasar yang besar atau luas: lautan

Apitan

ke-…-an

Imbuhan apitan "ke-…-an" menerbitkan kata nama yang memberi maksud tertentu
kepada perkataan dasar yang diimbuhkannya, dengan membawa erti-erti berikut:

• hasil perbuatan kata dasar: keberanian, kepercayaan

• keadaan yang disifatkan kata dasar: keindahan, keselesaan

pe(n)-…-an

Imbuhan apitan "pe(n)-…-an" menerbitkan kata nama yang memberi maksud tertentu
kepada perkataan dasar yang diimbuhkannya, dengan membawa erti-erti berikut:

• perbuatan: pemeriksaan, pemilihan


• hasil perbuatan: pembangunan, pelaburan
Imbuhan "pe(n)-…-an" berpadan fungsinya dengan imbuhan "me(n)-" untuk kata
kerja.

per-…-an
Imbuhan apitan "per-…-an" menerbitkan kata nama yang memberi maksud tertentu
kepada perkataan dasar yang diimbuhkannya, dengan membawa erti-erti berikut:

• perbuatan: pertandingan, pergeseran


• tempat: perumahan, perkuburan
Imbuhan "pe(n)-…-an" berpadan fungsinya dengan imbuhan "ber-" untuk kata kerja.

Sisipan
Sesetengah kata dasar boleh diubah atau diperkuat maknanya dengan dibubuh
imbuhan sisipan "-el-", "-em-", "-er-" dan "-in-". Contoh: tapak → telapak; kuning →
kemuning.

JENIS-JENIS AYAT

Ayat perintah
Ayat perintah bertugas untuk menyatakan sesuatu yang berupa perintah, larangan,
suruhan, permintaan, ajakan, silaan, doa, dan harapan.

Perintah : Berdiri di atas kerusi itu.


Suruhan : Ikat tali kasut anda dengan betul.
Larangan : Jangan pergi ke sungai yang dalam airnya.
Permintaan : Tolong angkat baju itu.
Ajakan : Mengucaplah banyak-banyak.
Silaan : Sila jamu selera.
Doa : Syukurlah kamu sudah kembali.
Harapan : Harap-harap hari tidak hujan.

Perhatikanlah bahawa ayat-ayat di atas mempunyai susunan yang sama, iaitu


subjeknya tidak dinyatakan. Ini disebabkan subjeknya nyata dan merujuk kepada
orang yang ayat perintah itu ditujukan.

Contoh-contoh di atas juga menunjukkan bahawa awalan "ber" dan "meN" kekadang
tidak digugurkan. Aturan yang perlu dipegang ialah:
• Untuk kata kerja intransitif (kata kerja yang tidak memerlukan objek): awalan tidak
boleh digugurkan.
• Untuk kata kerja transitif (kata kerja yang memerlukan objek): awalan meN
hendaklah digugurkan.

Ayat nafi
Ayat nafi ditandai oleh adanya kata "bukan" dan "tidak". Secara umum, ayat nafi
digunakan untuk menafikan atau menidakkan sesuatu, umpamanya:
Dia tidak berpengalaman, tetapi cekap.
Aurora bukan jururawat, tetapi doktor.

Disamping itu, ayat nafi boleh juga digunakan untuk menekankan atau menegaskan
sesuatu maksud. Contohnya:
Ayat biasa : Cadangannya harus diketepikan.
Ayat nafi : Cadangannya tidak perlu kita pedulikan.
Ayat biasa : Kerja ketua memang susah.
Ayat nafi : Kerja ketua tidak pernah senang.
Walaupun kedua-dua ayat dalam setiap pasangan di atas mempunyai maksud yang
sama, ayat nafi menekankan maksudnya, sedangkan ayat biasa menyatakan maksud
secara biasa sahaja.

Peranan ayat nafi sebagai penegas maksud juga boleh diperhatikan dalam ayat tanya,
umpamanya:
1. Bukankah orang itu guru kamu?
2. Tidakkah kamu ingin menyertai peraduan itu?
3. Anda sudah faham, bukan?

Penggunaan dengan frasa nama


Secara umum, kata nafi "bukan" digunakan apabila frasa yang mengikutinya ialah
frasa nama. Contohnya:
1. Ini bukan kucing.
2. Malaysia bukan negara republik.
3. Gajah bukan haiwan yang terbesar di dunia.
Selain itu, "bukan" juga boleh digunakan untuk frasa yang lain daripada frasa nama
dalam hubungan seperti yang berikut:
1. Dia bukan bodoh, tetapi malas.
2. Dia bukan belajar, tetapi bermain.
Kata "bukan" dalam kedua-dua ayat itu boleh juga digantikan dengan "kata tidak":

1. Dia tidak bodoh, tetapi malas.


2. Dia tidak belajar, tetapi bermain.
Bagaimanapun, penggantian "bukan" dengan "tidak" menyebabkan sedikit perubahan
maksud. Penggunaan "tidak" hanya menyatakan maksud secara biasa, sedangkan
penggunaan "bukan" menekankan pertentangan dua keadaan secara jelas.

Penggunaan dengan frasa sendi


Untuk frasa sendi, kata nafi bukan dan tidak digunakan menurut kesesuaian,
umpamanya:
1. Saya tidak ke sekolah hari ini kerana sakit.
2. Saya bukan dari sektor kerajaan.
3. Malaysia bukan di benua Afrika.
4. Buku ini bukan untuk anda.
Kata "bukan" dan "tidak" dalam keempat-empat ayat di atas tidak boleh saling
berganti. Oleh sebab itu, perhatian harus diambil dalam penggunaan kata "bukan"
dan "tidak".

Kesalahan yang biasa berlaku


Kesalahan yang biasa berlaku untuk ayat nafi ialah kekeliruan antara penggunaan
kata "bukan" dan "tidak".

Ayat tanya

Ayat tanya dalam bahasa Melayu boleh dibentuk dengan tiga cara:
Cara-cara untuk membentuk ayat tanya
1. Membubuh tanda tanya pada akhir ayat penyata

Ayat penyata Ayat tanya


Tetamu sudah tiba. Tetamu sudah tiba?
Buah itu sudah masak. Buah itu sudah masak?
Mereka hendak menolong kita. Mereka hendak menolong kita?

Dengan tidak mengubah susunan ketiga-tiga ayat di atas, ayat-ayat tanya boleh
dibentuk dengan tanda tanya di hujung ayat-ayat penyata. Dalam pertuturan, ayat
tanya di atas dinyatakan dengan suara menaik pada akhir ayat.

2. Menggunakan partikel "kah"


Ayat-ayat tanya dalam bahagian di atas juga boleh disungsang melalui penggunaan
partikel "kah" untuk mencipta ayat tanya songsang:
Ayat penyata : Tetamu sudah tiba.
Ayat tanya : Sudah tibakah tetamu?
Ayat penyata : Buah itu sudah masak.
Ayat tanya : Sudah masakkah buah itu?

Penggunaan partikel "kah" dalam jenis ayat tanya ini adalah penting untuk
mengelakkan kesamaran makna.

3. Menggunakan pelbagai kata


Ayat tanya juga boleh dibentuk dengan menggunakan kata ada, apa, bila, bagaimana,
berapa, mengapa, mana, dan siapa.
Kata Ayat tanya
Tanpa partikel "kah" Dengan partikel "kah"
Apa : Apa yang kamu beli tadi?
Apakah yang kamu beli tadi?
Bagaimana : Bagaimana cara untuk mendaftar diri?
Bagaimanakah cara untuk mendaftar diri?
Bila : Bila ayah kamu pulang?
Bilakah ayah kamu pulang?

Kecuali kata "ada", yang lain dapat berdiri sendiri tanpa partikel "kah". Bagaimanapun,
partikel "kah" sering digunakan untuk maksud penegasan.

Kesalahan yang biasa berlaku


Kesalahan yang biasa berlaku ialah penggunaan partikel "kah" di hujung ayat.
Umpamanya:
• Tetamu sudah tibakah?
• Buah itu sudah masakkah?
• Mereka hendak menolong kitakah?
Kesalahan ini tertimbul kerana dipengaruhi oleh bahasa sehari-hari seperti berikut:
• Tetamu sudah tibake?
• Buah itu sudah masakke?
• Mereka hendak menolong kitake?

"Ke" sebagai bentuk ucapan sehari-hari bagi "kah" tidak boleh digunakan dalam
tulisan. Selain itu, "kah" tidak boleh digunakan di hujung ayat.

Ayat songsang

Dalam ayat songsang, predikat terletak pada awal ayat dan subjek pula terletak pada
hujung ayat. Ini merupakan hal yang terbalik dalam ayat biasa:

AYAT BIASA → SUBJEK + PREDIKAT


AYAT SONGSANG → PREDIKAT + SUBJEK
AYAT PASIF → OBJEK + KATA KERJA + SUBJEK
Ayat songsang memberikan lagi satu cara untuk menyatakan sesuatu supaya
membantu menghidupkan tulisan anda. Penggunaan ayat songsang sekali sekala
akan menyebabkan bahasa anda akan lebih indah dan segar. Selain itu, ayat
songsang amat berguna jika anda perlu menekankan predikat, dan bukan subjeknya.
Semua jenis ayat dapat disongsangkan.

Susunan biasa Susunan songsang

Ayat inti Encik Yosri birokrat. Birokratlah Encik Yosri.


Kucing itu ke sana. Ke sana kucing itu.
Orang itu adik kamu? Adik kamukah orang itu?
Kamu belum makan? Belum makankah kamu?
Surat itu akan saya kirimkan. Akan saya kirimkan surat
itu.
Saya ketinggalan bas pada hari itu. Ketinggalan bas saya pada
hari itu.
Perhatikanlah bahawa dalam setengah-tengah ayat seperti di atas, partikel "kan"
(untuk ayat tanya) dan partikel "lah" (untuk ayat berita) perlu digunakan supaya jelas
bentuk ayat songsang itu.

Ayat inti
Ayat inti ialah ayat yang paling ringkas. Ayat ini boleh digunakan untuk menerangkan
sesuatu dengan ringkas dan tepat, tanpa menimbulkan sebarang kesamaran makna.
Umpamanya, jika anda menyatakan "Emas ialah logam", tiada tafsiran makna lebih
daripada satu. Oleh itu, ayat inti amat berguna untuk menjelaskan sesuatu dengan
konkrit. Selain itu, sasterawan sering menggunakan ayat inti untuk mempercepatkan
jalan cerita, atau untuk menimbulkan perasaan ingin tahu pembaca.

Ayat gabungan
Ayat gabungan ialah ayat yang terdiri daripada dua atau lebih ayat yang digabungkan
menjadi satu ayat dengan menggunakan kata penghubung seperti dan, serta, atau,
tetapi, lalu, dan sebagainya untuk mengaitkan pendapat yang berhubungan antara
satu dengan yang lain. Bahasa Melayu mempunyai enam pola ayat gabungan, iaitu:

1. Ayat dengan ayat


2. Subjek dengan subjek
3. Predikat dengan predikat
4. Adverba dengan adverba
5. Objek dengan objek.
6. Ayat gabungan dengan kata penghubung yang berpasangan.
Ayat pancangan
Ayat pancangan ialah ayat gabungan yang terdiri daripada satu ayat besar dan satu
klausa (ayat kecil), umpamanya:
• Keluarga Ali berpindah ke Kuala Lumpur kerana penukaran kerjanya.
• Jika hari hujan, saya tidak akan keluar dari rumah.
• Angkatan tentera British tertewas di Singapura walaupun mempunyai lebih askar
berbanding dengan tentera Jepun
Analisis Kesalahan Bahasa

Ejaan dan Tanda Baca


Ejaan yang digunakan ialah ejaan menurut Sistem Ejaan Rumi yang dilaksanakan
pada tahun 1972. Ejaan ini juga digunakan dalam semua kamus-kamus terutamanya
Kamus Dewan.
Calon harus memberikan perhatian terhadap perkara berikut:
a. Sistem keselarasan vokal
b. Ejaan kata terbitan
c. Ejaan kata majmuk
d. Ejaan kata pinjaman

Sistem Keselarasan Vokal


Pengguna bahasa Melayu terutamanya bangsa asing amat gemar menggunakan
sistem keselarasan vokal yang tidak tepat. Hal ini boleh didefinasikan sebagai
pengaruh dialek.

Contohnya: hebuh, sinalai, olih, keleja


Sepatutnya : heboh, senarai, oleh, kerja

Ejaan Kata Terbitan


Awalan meN- menjadi men- apabila diimbuhkan pada kata dasar yang bermula
dengan huruf d,c,j, sy dan z, serta perkataan pinjaman yang mengandungi gugus
konsonan yang bermula dengan huruf t dan s.

Contohnya :
deru - menderu
duga - menduga
caci - mencaci
Ejaan Kata Majmuk
Terdapat sebilangan kecil bentuk kata majmuk yang penggunaannya dianggap sudah
mantap dan dieja sebagai satu perkataan yang utuh, walaupun bentuk kata tersebut
mempunyai dua kata dasar. Perkataan yang demikian dieja sebagai satu perkataan.
Bentuk tersebut ialah:

tanggungjawab
olahraga
tandatangan
matahari
suruhanjaya
jawatankuasa
sukarela
warganegara
setiausaha
kakitangan
pesuruhjaya
bumiputera
antarabangsa
beritahu
kerjasama
Selain contoh yang ditunjukkan di atas, ejaan kata majmuk ditulis terpisah.
Contoh:
jalan raya
tunjuk ajar
ambil alih
kuat kuasa
kenal pasti
ibu bapa
campur aduk
daya serap

Ejaan Kata Pinjaman


Kesalahan penggunaan ejaan kata pinjaman merupakan akibat pengaruh ejaan
bahasa sumber bagi kata yang telah mantap, kekeliruan antara bunyi sebutan
dengan sistem visual bagi ejaan dan ejaan kata khusus yang menggunakan nombor.
Contoh:
klas, plan, klab, gran - kelas, pelan, kelab, geran
psikoloji, otomatik, kota - psikologi, automatik, kuota
dekad ke 10, abad ke 20 - dekad ke-10, abad ke-20

Perbendaharaan Kata
Calon mestilah mempunyai perbendaharaan kata yang luas supaya senang
mengenal pasti kesalahan penggunaan kosa kata. Di samping itu, pemilihan kata
mestilah bersesuaian dengan maksud sesuatu ujaran.

1. Kata-kata yang mempunyai konotasi yang tertentu


Setiap perkataan mempunyai makna konotasi dan denotasi. Misalnya, perkataan
“kesan” dan “akibat”. Perkataan kesan bermaksud “apa-apa yang timbul daripada
sesuatu tindakan, keputusan yang boleh jadi baik atau buruk. Manakala perkataan
“akibat” bermaksud kesan yang buruk akibat perbuatan dan tindakan. Oleh yang
demikian calon harus memilih konteksnya yang sesuai.

Contoh:

(a) Kesan daripada keletihannya berlatih bola sepak menyebabkannnya terpelecok


lalu jatuh.
- Kata akibat lebih sesuai digunakan kerana mempunyai konotasi yang tidak baik.
(b) Sistem lampu isyarat yang baru diperkenalkan itu mengakibatkan perjalanan
kereta menjadi tidak lancar.
- kata menyebabkan lebih sesuai untuk menerangkan situasi ini.

Penggunaan Bentuk Jamak


Penggunaan bentuk jamak sering kali disalahgunakan, bukan sahaja dalam situasi
lisan tetapi juga dalam tulisan. Kadang kala, bilangan sudah dinyatakan tetapi kata
nama masih digandakan untuk menunjukkan maksud jamak.

Salah : Semua peserta-peserta diminta bersiap sedia.


Betul : Semua peserta diminta bersiap sedia.
Salah : Para-para jemputan diminta memakai pakaian kebangsaan.
Betul : Para jemputan diminta memakai pakaian kebangsaan.
Salah : Semua pelajar-pelajar diminta memakai lencana sekolah.
Betul : Semua pelajar sekolah diminta memakai lencana sekolah.

Penggunaan Kata Ganti Nama Diri


Penggunaan kata ganti nama diri yang sesuai amat penting apabila kita
berkomunikasi dengan lawan tutur. Kita kerap menemui penggunaan kata ganti nama
diri yang tidak tepat dengan situasi penggunaan bahasa.

Salah : Serigala itu mati. Ia ditembak oleh pemburu.


Betul : Serigala itu mati. Serigala itu ditembak pemburu.
Salah : Apakah yang mereka tulis?
Betul : Apakah yang ditulis oleh mereka?
Salah : Beliaulah pelajar yang selalu ponteng Kelas Bahasa Melayu.
Betul : Dialah pelajar yang selalu ponteng kelas Bahasa Melayu.

Anda mungkin juga menyukai