Anda di halaman 1dari 3

MENJELANG 2035, Malaysia akan menjadi negara tua apabila penduduk

berusia lebih 60 tahun merangkumi 15 peratus daripada jumlah penduduk


negara ketika itu. Adalah dianggarkan jumlah penduduk Malaysia akan
mencapai 36 juta orang pada tahun itu nanti.

Ini bermakna 5.4 juta orang terdiri daripada warga tua yang sudah pastinya
menuntut perhatian yang begitu rapi daripada pelbagai pihak yang
bertanggungjawab.

Jumlah ini adalah suatu angka yang cukup besar untuk ditangani dan wajar
difikirkan mulai sekarang kerana negara belum berpengalaman
menghadapi situasi seperti ini. Malaysia memasuki era negara tua hanya
15 tahun selepas bergelar negara maju, iaitu pada 2020. Pengalaman dari
negara maju pada hari ini dalam menangani isu berbangkit terhadap
golongan warga tua ini adalah begitu penting untuk dipelajari sekarang.

Pada masa kini jangka hayat masyarakat Malaysia semakin panjang


berbanding zaman pada awal kemerdekaan dahulu kerana beberapa
sebab. Antaranya kemudahan perkhidmatan kesihatan lebih baik,
kesedaran pentingnya menjaga kesihatan meningkat dan peningkatan taraf
hidup yang lebih baik berbanding 60 tahun lalu.

Tumpu dua asas utama

Dua asas utama yang wajar diberi perhatian dalam menangani golongan
warga tua ini iaitu pembangunan prasarana minda dan pembangunan
prasarana fizikal. Apa yang jarang diberi perhatian dalam masyarakat kita
yang serba serbinya moden pada hari ini ialah persoalan nilai dan
sistemnya. Jika diperhatikan dalam latar budaya negara, warga tua ini
adalah golongan yang begitu sensitif dalam pelbagai aspek kehidupan dan
perlu disantuni dengan sebaik mungkin dalam menyelesaikan sebarang
masalah timbul berkait dengan kehidupan mereka.

Golongan ini memerlukan kemudahan fizikal dan mental yang berbeza


daripada golongan lain kerana faktor umur mereka itu. Kemudahan tempat
tinggal golongan tua, kemudahan penjagaan kesihatan, keperluan pakaian
pakai buang dan seumpamanya diperlukan untuk meneruskan sisa-sisa
usia mereka yang telah lanjut. Antara nilai yang semakin menjauh dalam
kalangan masyarakat kita pada hari ini ialah memberikan kasih sayang
terhadap golongan warga tua.

Golongan warga tua ini memerlukan perhatian, kasih sayang daripada


keluarga, sahabat handai, tempat berbincang dan meluahkan perasaan
dalam susah senang menghadapi hari tua mereka. Kasih sayang yang
sebaiknya dari anak dan isteri atau suami dituntut oleh golongan ini untuk
diberikan, terutama bagi mereka yang diletakkan di rumah orang tua.

Pelbagai isu yang bersangkut dengan warga tua wajar dijadikan


keutamaan dalam setiap perancangan pembangunan yang dilakukan,
terutama dalam menyediakan keperluan warga emas itu sendiri.
Keutamaan yang sewajarnya diberikan ialah sokongan bersifat dalaman,
iaitu sumbangan kasih sayang, bertanya khabar, membantu meringankan
beban dan tekanan perasaan, terutama bagi golongan warga tua yang
tidak mempunyai waris atau telah ditinggalkan oleh anak serta tiada
saudara mara yang datang atau membantu mereka.

Namun begitu, sokongan ekonomi bagi yang benar-benar memerlukan


bantuan ini juga wajar dibantu dengan sebaiknya. Dari segi ekonomi rata-
ratanya, golongan warga tua ini tidak lagi bekerja dan tidak mempunyai
pendapatan tetap atau mungkin sekadar pencen tetap diperoleh yang
jumlahnya jauh lebih rendah. Sesetengahnya pula hanya mengharapkan
wang simpanan KWSP yang dicarum ketika bekerja dahulu.

Sedia prasarana fizikal

Prasarana fizikal yang dibangunkan perlulah mengambil kira golongan


warga tua ini yang mungkin kurang tenaga fizikal untuk melakukan
pergerakan dalam menjalankan aktiviti harian. Pengangkutan alternatif
untuk golongan ini misalnya wajar diberi perhatian untuk memudahkan
pergerakan mereka dalam menjalankan urusan seharian. Justeru,
prasarana fizikal yang dibina sewajarnya direkabentuk dengan mengambil
kira golongan ini yang juga mungkin selari dengan kegunaan orang kurang
upaya.

Satu daripada sektor yang amat diperlukan ialah prasarana sokongan


perubatan, terutama yang berkait dengan insurans perubatan yang
kebanyakan syarikat insurans tidak menerima atau membiayai insurans
perubatan berdasarkan umur tertentu, di samping mengambil kira faktor
keuntungan dan sebagainya. Golongan ini amat terdedah kepada penyakit
yang sukar diubati atau memerlukan kewangan rawatan yang tinggi dan
sukar dipenuhi.

Pada masa kini, banyak pusat rawatan alternatif disediakan untuk warga
tua terutama bagi penghidap penyakit biasa mahupun yang kronik.
Antaranya darah tinggi, sakit jantung, kencing manis dan ada yang boleh
menyebabkan badan lumpuh yang akhirnya memerlukan rawatan teliti dan
perhatian penuh.
Justeru, profil demografi warga emas ini perlu dibangunkan dengan
menyeluruh untuk mengenalpasti dan menentukan jumlah, lokasi dan
kategori mereka untuk memudahkan proses pemantauan seterusnya demi
pembangunan dan kelestarian komuniti ini.

Penulis ialah Prof Madya/Felo Kanan & Ketua Hal-ehwal Jaringan dan
Industri (HEJIM) Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI),
UKM

Anda mungkin juga menyukai