Fiqh Semasa-Hasrizal Abdul Jamil
Fiqh Semasa-Hasrizal Abdul Jamil
Fiqh Semasa – Gaya & Psikologi
Penyampaian Dakwah/Tarbiah
Pembentang:
Hasrizal bin Abdul Jamil
www.saifulislam.com
ABSTRAK
Islam yang dipelajari di dalam kerangka disiplin Pengajian Islam adalah ‘Meta
Islam’ iaitu Islam versi standard yang sepatutnya diamalkan. Islam yang
diamalkan, berkemungkinan selari dengan Meta Islam, tetapi sering berbeza
daripada Islam yang digariskan oleh dalil‐dalil naqli. Jurang di antara Islam yang
diamalkan dengan Islam versi yang ‘sepatutnya’ adalah ruang yang menjadi
fokus dakwah. Objektif kertas kerja ini adalah untuk mencerakin pendekatan
psikologi dan cabang‐cabang ilmu kemanusiaan sebagai alatan dakwah yang
boleh meningkatkan keberkesanan penyampaian. Penggarapan ilmu
kemanusiaan akan dianalisis sebagai kaedah yang boleh menyuburkan
pendekatan positif di dalam dakwah. Kertas kerja ini menggunakan kajian
kepustakaan dengan merujuk kepada buku‐buku, artikel‐artikel, makalah‐
makalah ilmiah dan halaman‐halaman web di internet yang berkaitan. Kajian ini
mendapati pemanfaatan ilmu‐ilmu kemanusiaan mampu memperbaiki mutu
penyampaian dakwah sekali gus meningkatkan penerimaan dakwah di dalam
masyarakat. Kertas kerja ini diharap dapat mencetuskan galakan di dalam
masyarakat untuk meningkatkan kualiti dakwah dengan menerapkan ilmu‐ilmu
kemanusiaan seperti psikologi di dalam analisis dan praktis.
_______________________________ 1
Hasrizal Abdul Jamil | 2014
PENGENALAN
Allah SWT memerintahkan umat Islam menggalas tugas dakwah sebagai
kesinambungan risalah Kenabian yang berakhir dengan kewafatan Nabi
Muhammad SAW pada 12 Rabī’ al‐Awwal 11H. Dakwah sebagai mekanisme
penyebaran Islam berperanan menyampaikan Islam daripada satu generasi
kepada satu generasi hingga ke akhir zaman. Allah memuji orang‐orang yang
berdakwah, sebagai manusia yang berbicara dengan sebaik‐baik perbicaraan.
Firman‐Nya:
“Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru
kepada Allah, serta dia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata:
"Sesungguhnya aku adalah dari orang‐orang Islam!” [Fussilat 41: 33]
Walau bagaimanapun, dakwah perlu dilakukan dengan cara yang menepati
kriterianya. Dakwah diperintahkan oleh Allah agar dilaksanakan dengan hikmah
dan pengajaran‐pengajaran yang baik.
Firman‐Nya:
“Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah serta pengajaran‐pengajaran yang
baik” [al‐Nahl 16: 125]
Hikmah telah diertikan oleh al‐Imām al‐Rāghib di dalam al‐Mufradāt bahawa ha‐
_______________________________ 2
Hasrizal Abdul Jamil | 2014
kelakuan itu daripada perkara‐perkara tidak baik mencemar natijahnya. Hikmah
juga diertikan sebagai isābah al‐haq bi al‐‘ilm wa al‐‘aql yakni memperolehi
kebenaran dengan jalan ilmu dan aqal. Dr. Salāh ‘Abd al‐Fattāh al‐Khālidī
mengemukan rumusan yang unik berkenaan pengertian hikmah dalam konteks
dakwah. Beliau berpendapat bahawa hikmah itu bermaksud:
Perkataan yang sesuai, untuk orang yang sesuai, pada masa yang sesuai, dengan
kadar yang sesuai dan menggunakan pendekatan yang sesuai (Al‐Khālidī 2007).
Kesesuaian itu, menuntut seorang pendakwah bukan sahaja memahami Islam
yang hendak disampaikan, tetapi juga Muslim yang hendak menerima dakwah
tersebut. Islam yang disampaikan itu, datangnya daripada Allah dan bersifat
Rabbani, manakala Muslim, juga non Muslim, yang hendak mengamalkan Islam
itu, adalah manusia ciptaan Allah dan bersifat manusiawi.
Atas alasan ini, Sheikh Yūsuf al‐Qaradhāwī di dalam karyanya Tsaqāfah al‐
Dā’iyah menggariskan bahawa salah satu ilmu yang diperlukan oleh seorang
Muslim untuk menyempurnakan peranannya sebagai pendakwah adalah al‐
tsaqāfah al‐insāniyyah atau ilmu‐ilmu kemanusian. Beliau menyenaraikan 6 ilmu
di bawah kategori ini, iaitu:
1. ‘Ilm al‐nafs (psikologi)
2. ‘Ilm al‐ijtimā’ (sosiologi)
3. ‘Ilm al‐iqtisād (ekonomi)
4. ‘Ilm al‐falsafah (falsafah)
5. ‘Ilm al‐akhlāq (etika)
6. ‘Ilm al‐tārīkh (sejarah)
Sheikh Yūsuf al‐Qaradhāwī menegaskan bahawa penguasaan ilmu ini membantu
seorang pendakwah memahami manusia (Al‐Qaradhāwi 1996). Semasa
_______________________________ 3
Hasrizal Abdul Jamil | 2014
membicarakan tentang ‘ilm al‐nafs (psikologi) dan kepentingannya kepada
dakwah dan pendakwah, beliau memperingatkan bahawa psikologi yang
dimaksudkan dalam konteks ini, tidaklah perlu tenggelam dalam perbahasan
falsafah, sebaliknya lebih tertumpu kepada memanfaatkan kajian‐kajian
psikologi popular berdasarkan data‐data kajian kuantitatif untuk manfaat
dakwah.
Ia bersesuaian dengan penerangan yang diberikan oleh Muhammad Abu al‐Fath
al‐Bayānūnī di dalam bukunya al‐Madkhal ilā ‘Ilm al‐Da’wah. Beliau
membahagikan metodologi dakwah kepada tiga iaitu:
1. al‐Manhaj al‐‘Ātifī (metodologi emosional)
2. al‐Manhaj al‐‘Aqlī (metodologi rasional)
3. al‐Manhaj al‐Hissi (metodologi praktikal)
Al‐Bayānūnī menjelaskan bahawa apa yang dimaksudkan dengan metodologi
emosional itu adalah metodologi dakwah yang memberikan fokus kepada hati,
untuk menggerakkan perasaan dan kemahuan (Al‐Bayānūnī 1995).
Hamdani Bakrani adz‐Dzakiey mengatakan bahawa pesanan‐pesanan al‐Quran
belum terolah menjadi satu disiplin ilmu yang mengembangkan eksistensi diri
manusia dalam perspektif Islam (Adz‐Dzakiey 2008). Beliau mengusulkan
bahawa psikologi Islam harus dibangun di atas beberapa ilmu keislaman sebagai
fondisi yang kuat. Agar ia berdiri sebagai psikologi yang boleh diiktiraf sebagai
psikologi Islam, fondisi kepadanya mestilah dibina di atas:
1. al‐Quran dan al‐Sunnah
2. ilmu Tauhid dan Aqidah Islam
3. Ilmu Fiqh Islam
4. Ilmu Tasawwuf Islam
5. Ilmu Akhlaq dan Etika Islam
Kebanyakan karya yang mengusulkan pemanfaatan psikologi dalam
perlaksanaan dakwah berkesan, menekankan tentang kepentingan cara
pengambilan teladan psikologi itu apabila naskhah yang dirujuk adalah karya‐
_______________________________ 4
Hasrizal Abdul Jamil | 2014
karya sarjana Barat. Ini adalah untuk mencegah pendakwah daripada
terperangkap di dalam wacana falsafah seperti Steven Blankaart, Sigmund
Freude dan Carl Jung yang mendukung pandangan hidup serta epistemologi
yang berbeza.
Dalam konteks dakwah, tumpuan mestilah diberi pada aplikasi, atau dalam erti
kata yang lain, memanfaatkan kajian‐kajian psikologi sedia ada, untuk
mencerakin dan menonjolkan intipati sedia ada di dalam warisan pemikiran
Islam. Psikologi adalah pemudah cara kepada menghuraikan elemen
kemanusiaan di dalam dalil naqli. Sesungguhnya teladan daripada Rasulullah
SAW sendiri tentang aspek kemanusiaan dalam menjayakan dakwah, itulah
yang hendak kita ketengahkan.
Psikologi itu sendiri bermaksud “kajian mengenai roh” berdasarkan istilah Latin
moden, psychologia. Ia mungkin diperkenalkan pada pertengahan kurun ke‐16
di Jerman berdasarkan istilah Yunani klasik, psykhe‐ "nafas, semangat, roh" +
logia "kajian mengenai". Manakala psikologi dengan maksud "kajian terhadap
minda" kali pertama direkodkan pada tahun 1748, daripada karya Christian
Wolff berjudul "Psychologia empirica" (1732). Seterusnya, kefahaman moden
bahawa psikologi itu adalah kajian tingkah laku manusia, bermula pada awal
1890’an (Harper 2014).
APLIKASI PSIKOLOGI DI DALAM DAKWAH
Banyak contoh yang diberikan oleh Sheikh Yūsuf al‐Qaradhāwī adalah contoh
yang sama dikemukakan oleh Dale Breckenridge Carnegie di dalam adikaryanya
How to Win Friends and Influence People.
Misalnya, Sheikh Yūsuf al‐Qaradhāwī memberikan saranan kepada pendakwah
untuk memanfaatkan kajian Henry C. Link di dalam bukunya The Return to
Religion. Melalui kajian kuantitatif psikologi, Henry C. Link membuktikan
bahawa “manusia yang beragama, sering berkunjung ke rumah ibadat,
menikmati keperibadian yang lebih kuat dan baik berbanding dengan orang
_______________________________ 5
Hasrizal Abdul Jamil | 2014
yang tidak beragama dan tidak melakukan apa‐apa ritual ibadah.” Kenyataan ini
merupakan sebuah bukti universal yang berguna bagi pendakwah mengajak
mansyarakat kepada kehidupan beragama, tanpa dihukum sebagai bias oleh
masyarakat. Sama ada hal ini dipandang dari sudut Islam, mahu pun Sains, ia
menatijahkan hasil yang sama, bahawa kehidupan beragama dan melazimkan
diri dengan ritual yang diajar oleh agama, manusia menikmati peningkatan
kualiti keperibadian yang tinggi.
Aplikasi lain kepada hal ini, turut boleh diteladani melalui contoh‐contoh
strategi pendidikan yang diolah oleh Sheikh ‘Abd al‐Fattāh Abu Ghuddah di
dalam bukunya al‐Rasūl al‐Mu’allim (diterjemahkan ke bahasa Melayu dengan
judul 40 Strategi Pendidikan Rasulullah SAW) . Buku ini mendatangnya banyak
contoh berkaitan psikologi pendidikan di dalam pendekatan Rasulullah SAW. Ia
membabitkan aspek silibus mengajar, situasi pelajar, kemampuan pelajar,
waktu pembelajaran dan elemen gender.
Misalnya, adalah hadith riwayat al‐Bukhari dan Muslim tentang kisah Malik bin
al‐Huwairith radhiyallahu ‘anh:
“Kami (golongan muda yang berumur lebih kurang sebaya) pernah datang
kepada Rasulullah SAW dan tinggal bersama Baginda selama 20 malam. Kami
mendapati Baginda adalah seorang yang amat penyayang lagi santun. Ketika
Baginda merasa kami merindui keluarga kami di rumah, Baginda bertanyakan
kami tentang siapa orangnya yang telah kami tinggalkan (di rumah). Maka kami
pun menceritakannya kepada Baginda. Kemudian Baginda bersabda, “pulanglah
_______________________________ 6
Hasrizal Abdul Jamil | 2014
kalian kepada keluarga kalian, tinggallah bersama mereka, ajarilah mereka,
anjurkanlah mereka untuk berbuat kebajikan dan melaksanakan solat
sebagaimana kalian melihatku mengerjakan solat. Apabila telah tiba waktu solat,
hendaklah salah seorang daripada kalian melaungkan azan dan hendaknya yang
paling besar (tua) dari kalian bertindak sebagai imam.” [HR al‐Bukhari dan
Muslim]
Di dalam peristiwa ini, Rasulullah SAW memaparkan hubungan yang mesra
dengan anak‐anak muda tersebut. Baginda mengesan kemerosotan komitmen
mereka selepas 20 malam berpisah daripada keluarga. Seterusnya Baginda
bertanya secara spesifik, soalan yang menampakkan minat Baginda kepada
masalah yang dihadapi oleh ‘anak murid’nya dan meminta mereka
menceritakannya. Empati yang ditunjukkan oleh Baginda, membolehkan
saranan Baginda agar apa yang telah dipelajari, dipraktikkan di rumah masing‐
masing dengan tatacara yang diajar. Jauh sekali Baginda memperlekeh rasa
rindu anak muda itu kepada keluarga mereka!
Sungguh, di dalam diri Rasulullah SAW terhimpun sifat‐sifat terpuji seperti rasa
belas kasihan, kasih sayang, berusaha menjauhi kepayahan (kesulitan),
menyukai kemudahan, santun kepada orang lain, sentiasa mencari kebaikan,
kekuatan iman dan keselamatan serta berusaha mencurahkan ilmu pengetahuan
dan kebaikan kepada orang lain dalam setiap kesempatan (Ghuddah 2011).
Al‐Bayānūnī menggariskan beberapa situasi untuk pendekatan psikologi di
dalam dakwah ini wajar diaplikasi (Al‐Bayānūnī 1995). Antara saranan beliau
ialah:
1. Dakwah kepada orang yang jahil. Alasannya, orang yang jahil
memerlukan kepada sikap berlemah lembut dan mengambil berat
terhadap dirinya, juga mengajarnya secara galakan (targhīb) kepada ilmu
pengetahuan, dan menjanjikan untuknya manfaat‐manfaat kebaikan yang
diperolehi melalui amalannya.
_______________________________ 7
Hasrizal Abdul Jamil | 2014
2. Dakwah kepada orang yang keliru tentang potensi dirinya, sama ada
lemah atau kuat keyakinannya. Maka pendakwah berperanan membantu
beliau mengenal pasti potensi diri, kelebihan dan kekurangan, untuk
pendakwah memilih pendekatan yang terbaik untuknya.
3. Dakwah kepada golongan yang emosinya rapuh seperti kaum wanita,
kanak‐kanak, anak yatim, fakir miskin, orang yang ditimpa bencana,
orang sakit dan yang seumpama dengan mereka.
4. Dakwah bapa kepada anak, dakwah anak kepada bapa, dakwah kepada
sanak saudara dan rakan karib.
5. Dakwah dalam kondisi yang lemah, untuk menguatkan semangat mad’u
(orang yang menjadi subjek kepada dakwah), dan meredakan emosi
penentang, agar dakwah diterima, atau berkurangnya tekanan ke atas
dakwah dan pendakwah.
Di dalam situasi sebegini, manusia berada di dalam keadaan emosional yang
melebihi rasional. Justeru dakwah yang mengabaikan aspek emosional seperti
pemilihan kata yang sesuai, memberikan contoh‐contoh yang dekat dengan
kefahaman mad’u, akan berisiko tinggi untuk ditolak. Penolakan kepada dakwah
itu terjadi, bukan kerana mad’u menolak kebenaran, tetapi kerana dakwah yang
menyinggung kondisi emosinya.
Hal ini bersesuaian dengan peringatan Allah SWT di dalam al‐Quran:
Maka dengan sebab rahmat daripada Allah itulah engkau telah bersikap lemah‐
lembut kepada mereka. Dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati,
tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka, dan
_______________________________ 8
Hasrizal Abdul Jamil | 2014
pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka
dalam urusan (peperangan dan hal‐hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau
telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka
bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang‐orang yang
bertawakal kepada‐Nya. [Āl ‘Imrān 3: 159]
Semasa mengulas ayat ini, Imam Birgivi (meninggal 1573M) menyatakan
bahawa pendekatan yang kasar terhadap salah laku yang terjadi menjadikan
dosa berganda dosa (Birgivi 2002). Ia menghilangkan kasih sayang dan empati
dalam usaha menghilangkan perkara‐perkara yang keji daripada manusia.
Daripada Abu Hurairah radiyallahu ‘anhu, beliau mendengar Abū al‐Qāsim
(Rasulullah) SAW bersabda:
“Tidak tercabut sifat kasih sayang dan belas (daripada diri seseorang) melainkan
daripada orang yang diharamkan daripadanya kebaikan” [HR al‐Tirmidhi]
KESAN PENDEKATAN PSIKOLOGI
Di dalam Sirah Nabi Muhammad SAW, banyak kisah yang dicatatkan tentang
pendekatan Rasulullah SAW pada menangani cabaran dakwah.
Antaranya adalah kisah seorang anak muda yang mahu berzina, seperti yang
dinukilkan ini:
_______________________________ 9
Hasrizal Abdul Jamil | 2014
Abu Umamah r.a. berkata: "Ada seorang pemuda datang menghadap Nabi SAW
seraya berkata, “Wahai Rasulullah, izinkanlah aku berzina.” Orang‐orang yang
ada di sekitarnya menghampiri dan memaki, “Celaka engkau, celaka engkau!”
Setelah Rasulullah SAW menyuruhnya untuk mendekatinya, pemuda itu pun
menghampiri dan duduk mendekati beliau, lalu beliau bertanya, “Apakah engkau
suka apabila zina itu terjadi pada ibumu?” Pemuda itu menjawab, “Demi Allah,
aku tidak suka, wahai Rasulullah, kiranya Allah menjadikan aku tebusanmu.”
Beliau membalas, “Begitu juga setiap orang, mereka tidak suka apabila zina itu
terjadi pada ibu mereka.” Beliau bertanya, “Apakah engkau suka apabila zina itu
terjadi pada saudara perempuanmu?” Pemuda menjawab, “Demi Allah, aku tidak
suka, wahai Rasulullah, kiranya Allah menjadikan aku sebagai tebusanmu.” Beliau
membalas, “Begitu juga setiap orang, mereka tidak suka apabila zina itu terjadi
pada saudara perempuan mereka.” Beliau bertanya, “Apakah engkau suka apabila
zina itu terjadi pada saudara perempuan ayahmu (ibu saudara)?” Pemuda
menjawab, “Demi Allah, aku tidak suka, wahai Rasulullah, kiranya Allah
menjadikan aku sebagai tebusanmu.” Beliau menjawab, “Begitu juga setiap orang,
mereka tidak suka apabila zina itu terjadi pada ibu saudara mereka.” Beliau
bertanya, “Apakah engkau suka apabila zina itu terjadi pada saudara perempuan
ibumu (ibu saudara)?” Pemuda menjawab, “Demi Allah, aku tidak suka, wahai
Rasulullah, kiranya Allah menjadikan aku sebagai tebusanmu.” Beliau membalas,
“Begitu juga setiap orang, mereka tidak suka apabila zina itu terjadi pada ibu
saudara mereka.” Kemudian Rasulullah saw meletakkan tangannya di dada
pemuda itu seraya berdoa, “Ya Allah, ampunilah dosanya, sucikanlah hatinya, dan
lindungilah kemaluannya.” Setelah itu, pemuda tersebut tidak menoleh sedikit pun
kepada hal‐ hal yang haram.”
_______________________________ 10
Hasrizal Abdul Jamil | 2014
Di dalam kisah ini, banyak iktibar yang kita peroleh pada meneladai dakwah
Baginda SAW kepada seorang anak muda yang tergamak meminta kebenaran
untuk berzina.
Riwayat ini, menjelaskan ketinggian peribadi dan wawasan Rasulullah SAW
berbanding sahabat yang berada di sekeliling Baginda. Bangkangan yang
dikemukakan oleh para sahabat itu difahami sebagai sikap yang teguh pada
mencegah kemungkaran, apabila melihat anak muda itu berkelakuan melampau
meminta kebenaran Rasulullah SAW untuk melakukan zina. Tetapi Rasulullah
SAW menampakkan kendali diri yang tinggi, dan membezakan di antara masalah
yang kelihatan berbanding dengan masalah yang sebenar. Masalah yang
kelihatan, adalah keinginan anak muda itu untuk berzina. Tetapi Baginda SAW
menunjukkan bahawa masalah sebenar anak muda itu bukan pada nafsunya,
tetapi pada cara berfikir yang salah. Meminta kebenaran untuk berzina itu bukan
cetusan nafsu semata, tetapi keinginan yang lahir daripada sikap mementingkan
diri sendiri.
Baginda SAW mengatasi masalah itu, tidak secara memberitahu, tetapi
melakukan proses soal jawab (coaching) agar akhirnya pemikiran yang salah itu,
diakui sendiri oleh anak muda berkenaan.
Pendekatan psikologi ini mencapai kesempurnaannya pada nilai empati tertinggi
apabila Rasulullah SAW bukan sahaja menyedarkan anak muda itu akan
kesalahannya, tetapi turut menjadikan doa dan pergantungan kepada Allah
sebagai sumber kekuatan yang teras.
Di dalam buku Di Hamparan Shamrock Kuseru Nama‐Mu, pengarang berkongsi
beberapa catatan peristiwa dakwah yang efektif kesan daripada memanfaatkan
pendekatan psikologi. Misalnya di dalam bab Dyslexia: Andai Diriku Lebih
Berusaha, pelajar nakal yang menjadi kemarahan ramai pihak di sekolah tempat
pengarang mengajar, akhirnya menatijahkan kesedaran bahawa pelajar
_______________________________ 11
Hasrizal Abdul Jamil | 2014
berkenaan menghadapi masalah pembelajaran yang dikenali sebagai dyslexia
(Hasrizal 2012).
Tanda‐tandanya hanya dapat dikenal pasti apabila guru berhenti memarahi
pelajar yang nakal dan malas membaca, lalu cuba memahami keadaan itu
daripada perspektif pelajar berkenaan.
Untuk memahami bagaimana ilmu‐ilmu kemanusiaan berfungsi meningkatkan
keberkesanan dakwah, perhatikan ilustrasi berikut:
Dakwah bermula daripada pendakwah memahami Islam. Proses memahami
Islam itu merujuk kepada teks‐teks sumber, bermula daripada al‐Quran dan al‐
Sunnah, diikuti oleh kupasan‐kupasan para Ulama’. Islam yang ditemui di dalam
teks ini adalah Islam versi yang sepatutnya diamalkan. Islam yang ideal ini
disebut sebagai Meta Islam.
Sekiranya orientasi fikiran pendakwah itu hanya pada melihat teks, beliau akan
bertemu dengan realiti yang adakalanya sama dengan apa yang dinyatakan oleh
teks, tetapi selalu juga berbeza. Islam yang diamalkan, berbeza daripada Islam
yang sepatutnya diamalkan. Jurang di antara Islam yang sepatutnya diamalkan
dengan Islam yang diamalkan, adalah jurang yang menjadi ruang dakwah.
_______________________________ 12
Hasrizal Abdul Jamil | 2014
Seandainya pendakwah beranggapan bahawa kegagalan mengamalkan Islam
yang sepatutnya itu berpunca daripada kejahilan, tidak memahami tuntutan
sebenar Islam, maka beliau mengharapkan agar penerangannya tentang ‘hukum’
dapat menyelesaikan keadaan. Akan tetapi di dalam banyak keadaan, mad’u
gagal mengamalkan Islam, bukan kerana tidak tahu apa yang sepatutnya
dilakukan, tetapi mereka dibelenggu oleh faktor‐faktor yang tiada keterangan
langsung di dalam teks.
Kegagalan mengiktiraf faktor ini, boleh menyebabkan pendakwah berkeras
dalam pendekatan dakwahnya. Namun di sana ada banyak faktor yang berkaitan
dengan kemanusiaan manusia, menjadi punca kegagalan mad’u mengamalkan
Islam.
Misalnya, selepas pendakwah bertindak menjelaskan kaedah sebenar
berkenduri selepas berlakunya kematian, mad’u mungkin masih tidak dapat
melakukannya. Perintah Rasulullah SAW agar para sahabat memasak makanan
untuk keluarga Ja’far bin Abī Thālib yang terbunuh di dalam Perang Mu’tah,
bersama nasihat ulama tentang isu meratap si mati, bahaya secara tidak disedari
menggunakan harta si mati yang merupakan harta anak yatim, dan pelbagai
penjelasan lain, masih belum mampu mengubah kebiasaan masyarakat.
Apabila pendakwah meneliti aspek psikologi dan sosiologi komuniti para
sahabat, di sebalik hukum hakam Syariat Islam, adanya elemen al‐ītsār ‘alā al‐
nafs (mengutamakan orang lain lebih daripada diri sendiri) yang disemai oleh
Baginda SAW (Mohammed 2008). Elemen ini disebut sebagai altruism dan ia
hanya dapat dikenali dan diusahakan di dalam kerja dakwah apabila pendakwah
memanfaatkan ilmu kemanusiaan seperti psikologi, dan sosiologi. Semestinya,
pendakwah terlebih dahulu merujuk kepada ilmu sejarah (Sirah) bagi mendapat
petunjuk berkenaan hal ini.
Dalam suasana semasa, literatur ilmiah di bidang psikologi mungkin sulit untuk
dirujuk oleh pendakwah. Sekurang‐kurangnya pendakwah boleh memanfaatkan
karya psikologi populis bagi mendapatkan asas‐asasnya.
_______________________________ 13
Hasrizal Abdul Jamil | 2014
Antara karya kontemporari yang boleh pendakwah manfaatkan untuk mengasah
kemahiran menggunakan pendekatan psikologi di dalam dakwah ialah The 7
Habits of Highly Effective People karya Stephen Covey. Demikian juga Everyone
Communicates, Few Connect: What the Most Effective People Do Differently, karya
John C Maxwell. Selain daripada itu, buku How to Win Friends and Influence
People oleh Dale Carnegie.
Pengarang juga secara khusus menggalakkan pendakwah memanfaatkan buku
tempatan nukilan Fazrul Ismail bertajuk Master P.I.E.S: Lonjakan Potensi Diri.
PENUTUP
Di dalam berinteraksi dengan para sahabat yang melakukan kesalahan,
Rasulullah SAW menggunakan berbagai‐bagai pendekatan psikologi seperti
berlembut, bertegas, menimbulkan perasaan benci kepada maksiat,
mengelakkan kemudaratan yang lebih besar dan lain‐lain, mengikut tahap kecil
atau besar sesuatu kesalahan yang dilakukan oleh mereka. Di dalam menghadapi
masalah kecil, baginda menggunakan pendekatan berlembut dan di dalam
menghadapi masalah besar terutama sekali kesalahan jenayah syariah, baginda
mengambil sikap yang tegas apabila terbukti kesalahan tersebut berdasarkan
bukti‐bukti yang kukuh. Pendekatan‐ pendekatan seumpama ini sangat baik
untuk dijadikan teladan kepada ketua negara, pemimpin masyarakat, hakim‐
hakim, guru‐guru dan ibu bapa.
Sabda Nabi Muhammad SAW:
“Sesiapa daripada kalangan kamu yang melihat kemungkaran, maka hendaklah
dia mengubah ia dengan tangannya. Jika dia tidak mampu melakukannya, maka
hendaklah dia mengubah ia dengan lisannya. Jika dia tidak mampu melakukannya,
_______________________________ 14
Hasrizal Abdul Jamil | 2014
maka hendaklah dia mengubah ia dengan hatinya. Dan demikian itu adalah
selemah‐lemah iman” [HR Ibn Hibban]
Pendakwah yang melihat kemungkaran, diperintah oleh Nabi SAW bukan
sekadar bertindak mencegahnya, tetapi bertindak mengubahnya ke arah yang
lebih baik. Pendakwah tidak wajar berpegang dengan sikap acuh tidak acuh dan
‘asalkan buat’. Sebaliknya pendakwah mestilah mempunyai keinginan yang
tinggi untuk melihat kemungkaran yang terjadi, boleh diubah menjadi kebaikan,
melalui pendekatan yang lebih empati, memahami, dan berseni.
Sayyid Qutb ra pernah menyebut bahawa tarbiah adalah seni membentuk
manusia.
RUJUKAN
Al‐Quran al‐Karim
Adz‐Dzakiey, H. B. 2008. Psikologi Kenabian. Yogyakarta: Al‐Manar.
Al‐Bayānūnī, M. a. a.‐F. 1995. Al‐Madkhal Ilā 'Ilm Al‐Da'wah. Beirut:
Muassasah al‐Risālah.
Al‐Khālidī, S. a. a.‐F. 2007. Ma'a Qasas Al‐Sābiqīn Fī Al‐Qur'ān. Damascus: Dār
al‐Qalam.
Al-Qaradhāwi, Y. 1996. Tsaqāfah Al‐Dā'iyah. Kaherah: Maktabah Wahbah.
Birgivi, M. B. P. a. a.‐B. 2002. Al‐Tharīqah Al‐Muhammadiyyah Wa Al‐Sīrah Al‐
Ahmadiyyah. Aleppo: Dār al‐Qalam al‐'Arabī.
Ghuddah, A. F. A. 2011. 40 Strategi Pendidikan Rasulullah Saw. Selangor:
Pelima Media Sdn Bhd.
Harper, D. 2014. Online Etymology Dictionary.
Hasrizal, A. J. 2012. Di Hamparan Shamrock Kuseru Nama‐Mu. Kuala Lumpur:
Galeri Ilmu Sdn Bhd.
Mohammed, W. 2008. Islamic Sociology. Kuala Lumpur: A.S. Noordeen.
_______________________________ 15
Hasrizal Abdul Jamil | 2014