Anda di halaman 1dari 6

Susun papan satu persatu,

Agar redup dahan rumbia;

Hidup berjiran bantu –membantu,

Agar hidup harmoni bahagia.

Maksud pantun di atas jelas memaparkan kepentingan hidup berjiran. Amalan


bantu-membantu sesama jiran menjamin kehidupan masyarakat yang harmoni dan
bahagia. Namun, pada era globalisasi kini, semangat kejiranan dalam kalangan
masyarakat semakin luntur.Kehidupan moden yang mementingkan kebendaan telah
menghanyutkan manusia dalam arus kesibukan yang tidak bernoktah sehingga jalinan
hubungan antara jiran tetangga disisihkan. Fenomena ini semakin membimbangkan
sekiranya menjadi ikutan golongan remaja kerana tingkah laku dan sikap remaja
sebenarnya banyak dipengaruhi oleh orang tua mereka. Contohnya, sekiranya ibu bapa
tidak pernah bertegur sapa atau tidak mengenali siapa jiran di sebelah rumah, sudah
pasti sikap ini akan dicontohi oleh anak-anak remaja mereka persis ungkapan bapa borek
anak rintik, bagaimana acuan , begitulah kuihnya. Siapakah insan yang pertama
menghulurkan bantuan jika kita dilanda musibah kalau bukan jiran di sebelah
rumah. Justeru, peranan ibu bapa sangat penting dalam menghidupkan semangat
kejiranan dalam sanubari generasi muda demi merealisasikan hasrat mewujudkan
kehidupan masyarakat yang harmoni.

Memang tidak dapat dinafikan, ibu bapa merupakan suri teladan atau role-
model kepada anak-anak . Oleh itu, tindak tanduk dan sikap ibu bapa terhadap
jiran akan diperhatikan dan dicontohi oleh anak-anak mereka. Ibu bapalah yang
mengasuh dan mendidik anak-anak dari tapak kaki sebesar dua jari sehinggalah
meningkat remaja. Umpama sehelai kain putih, anak-anak perlu dicorakkan bukan dengan
sahaja nilai-nilai agama malah nilai-nilai sosial yang murni. Justeru dalam usaha memupuk
semangat kejiranan dalam jiwa anak-anak-anak, ibu bapa sendiri perlu mengorak langkah
dengan menjalinkan hubungan yang baik sesama jiran tetangga. Contohnya, ibu bapa
perlu menunjukkan sikap sentiasa mesra dengan jiran, bertegur sapa dan bertanya
khabar apabila bersua muka, dan sebagainya. Ibu apa juga perlu menerangkan tentang
peranan dan kepentingan jiran kepada anak-anak sejak kecil supaya mereka
menghargai jiran tetangga sebagai sebahagian daripada kehidupan mereka. Bak kata
perpatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya, usaha memupuk amalan dan
pergaulan yang baik dengan jiran sejak kecil lagi akan kekal dipraktikkan oleh anak-anak
sehingga mereka meningkat remaja.

Selain itu, ibu bapa juga perlu melibatkan anak-anak dalam perkara-perkara
yang berkaitan hubungan dengan jiran supaya anak-anak dapat mempraktikkan
sendiri nilai-nilai kejiranan tersebut. Tak kenal maka tak cinta, justeru, amalan
kunjung-mengunjung mesti diamalkan supaya dapat mengenali jiran dengan lebih dekat
dan seterusnya kemesraan dapat diwujudkan. Janganlah dibiarkan anak-anak remaja kita
terlalu leka menonton televisyen, bermain permainan komputer atau melayari internet
sehingga tidak endah dengan suasana di sekeliling. Contohnya, ibu bapa boleh membawa
anak-anak mengunjungi jiran tetangga ketika sambutan Hari Raya, Tahun Baru Cina atau
Deepavali. Apa yang sering berlaku setiap kali hari kelepasan sempena Hari Raya
contohnya, ahli keluarga termasuk ibu bapa leka menonton televisyen kerana banyak
program menarik disiarkan. Mereka lebih rela memerap di rumah untuk menonton
program kegemaran menyebabkan budaya kunjung-mengunjung semakin
dipinggirkan. Justeru, ibu bapa mesti mengubah fenomena ini , lebih-lebih amalan
ziarah-menziarahi ini menjadi lebih penting jika jiran kita jatuh sakit atau mengalami
masalah. Ibu bapa perlu bijak memujuk anak-anak untuk turut sama menziarahi jiran
supaya amalan ini dapat dipupuk dalam kalangan remaja.

Tambahan pula, program-program yang dianjurkan oleh masyarakat di sesebuah


kawasan kejiranan turut dapat memupuk semangat bantu-membantu, hormat-
menghormati dan berkerjasama dalam kalangan masyarakat di kawasan
tersebut. Aktiviti seperti gotong-royong membersihkan kawasan taman perumahan,
aktiviti Hari Keluarga, Rukun Tetangga, dan sebagainya boleh dianjurkan oleh ahli
jawatankuasa yang berkenaan. Di kawasan kampung misalnya, aktiviti marhaban pada
Hari Raya, rewang ketika kenduri-kendara atau majlis perkahwinan, kumpulan bacaan
Yasin dan sebagainya juga merupakan aktiviti yang sangat penting untuk memupuk
semangat kejiranan ini. Di sinilah ibu bapa memainkan peranan yang amat penting untuk
memastikan mereka dan anak-anak remaja melibatkan diri secara aktif. Janganlah
ketiadaan masa atau ingin berehat setelah penat bekerja dijadikan alasan sehingga
aktiviti yang bermanfaat ini tidak mendapat sambutan yang sewajarnya. Melalui aktiviti
ini remaja berpeluang mengenali jiran dengan lebih dekat, beramah mesra terutama
dengan jiran yang seusia dengan mereka, menghormati jiran yang lebih tua dan secara
tidak langsung akan menyedari bahawa aktiviti seumpama ini adalah yang terbaik bagi
mengisi masa lapang remaja. Seperti ungkapan serampang dua mata, aktiviti yang
dianjurkan ini diharapkan bukan sahaja dapat memupuk dan menghidupkan semula
semangat hidup berjiran malah dapat mengurangkan ketaksuban dan kegemaran remaja
terhadap aktiviti yang berkaitan dengan kecanggihan alat teknologi, gajet dan internet.

Kesimpulannya, hidup berjiran merupakan amalan yang wajar dipelihara dalam


masyarakat pada masa kini. Tanpa hubungan yang baik dengan jiran, kepincangan
sebenarnya telah berlaku dalam keperibadian seseorang ahli masyarakat. Justeru,
sebagai pemimpin keluarga, perlakuan ibu bapa semasa bergaul dengan jiran akan
meninggalkan gambaran yang mendalam kepada remaja. Natijahnya, ibu bapa yang
prihatin tentang hubungan sesama jiran pasti akan melahirkan remaja yang dapat hidup
berbaik-baik dengan jiran, seterusnya mampu mewujudkan masyarakat Malaysia yang
hidup bersatu padu , harmoni dan bahagia.
Peranan Ibu Bapa Dalam Usaha Memupuk Semangat Kejiranan Dalam
Kalangan Masyarakat

Semangat kejiranan semakin hari semakin luntur dalam kalangan masyarakat. Jelaskan
peranan ibu bapa dalam usaha memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat.

Dalam kehidupan sehari-hari, keluar dari rumah, sama ada memandang ke kanan, ke kiri
atau memandang ke hadapan atau ke belakang, rumah yang kita lihat ialah rumah jiran.
Bagaimanapun kita mengasihi adik-beradik dan saudara-mara, namun jarak yang jauh
menyebabkan pergantungan kita pada jiran tetap ada. Jiran ialah tetangga atau mereka
yang tinggal di sekitar kita. Semangat kejiranan pula membawa pengertian jiran tetangga
yang hidup berbaik-baik, bertolak ansur dan bekerjasama antara satu sama lain. Dalam
kehidupan kita, kita dilarang menyakiti hati jiran, sebaliknya kita perlu bertolak ansur
dan hidup berlandaskan kasih sayang sesama individu tanpa mengira keturunan, usia,
agama atau pangkat. Pepatah Melayu ada mengatakan bahawa muafakat membawa
berkat. Jadi, kita perlulah mengutamakan jiran kita dalam kehidupan dan mengukuhkan
semangat kejiranan supaya kita sentiasa bersatu padu dalam kehidupan seharian. Walau
bagaimanapun, pada era globalisasi yang dipenuhi pancaroba moden, semangat kejiranan
dalam kalangan anggota masyarakat semakin luntur Oleh itu, semua lapisan masyarakat
terutamanya ibu bapa wajar mengambil langkah untuk memupuk semangat kejiranan
dalam kalangan masyarakat. Persoalannya, apakah langkah-langkah yang wajar diambil
oleh ibu bapa untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat?

Menyedari hakikat betapa pentingnya semangat kejiranan diamalkan oleh masyarakat


majmuk di negara ini, maka usaha perlu dilakukan oleh ibu bapa agar nilai yang berharga
ini tidak hilang daripada amalan hidup masyarakat kini. Ibu bapa haruslah menyertai
aktiviti gotong-royong yang dianjurkan oleh komuniti atau masyarakat setempat. Dalam
hal ini, ibu bapa boleh membawa anak-anak menyertai aktiviti tersebut bersama-sama.
Melalui aktiviti gotong-royong, semua penduduk setempat dapat berkumpul untuk
berbincang tentang aktiviti yang akan dilakukan. Apabila berkumpul dan berbincang,
mereka akan dapat berbual-bual dan mengenali antara satu sama lain dan sekali gus
membolehkan seseorang itu mengenal hati budi jiran mereka dengan lebih baik dan
dekat. Hal ini dapat digambarkan melalui pepatah Melayu yang mengatakan bahawa tak
kenal makan tak cinta. Sebagai contoh, aktiviti yang boleh dijalankan secara gotong-
royong adalah seperti membersihkan kawasan, mengadakan rumah terbuka, kenduri dan
sebagainya. Aktiviti-aktiviti yang dijalankan secara gotong-royong memerlukan
masyarakat bekerjasama bagai aur dengan tebing agar aktiviti tersebut dapat dijalankan
dengan lancar dan baik. Melalui cara ini, setiap ahli keluarga dapat menjalinkan hubungan
mesra sesama jiran tambahan pula mereka juga sedar akan peranan masing-masing dalam
sesuatu komuniti. Apabila dewasa kelak, anak-anak akan melakukan perkara yang sama
untuk mengeratkan semangat kejiranan. Konklusinya, ibu bapa haruslah mengadakan
aktiviti gotong-royong agar dapat memupuk semangat kejiranan dalam masyarakat.
Selain itu, ibu bapa perlulah menjadi suri teladan atau ‘role model’ yang baik kepada
anak-anak sekiranya mahu anak-anak mengamalkan semangat kejiranan dalam diri sendiri.
Ibu bapa perlulah mengamalkan cara hidup seperti aur dengan tebing atau ke bukit sama
didaki, ke lurah sama dituruni dan hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah
untuk mencapai keberkatan dalam hidup. Sebagai anggota dalam sesebuah masyarakat,
ibu bapa mesti mempunyai semangat kejiranan dan prihatin terhadap jiran mereka.
Apabila mengambil berat akan hal-hal jiran, bukanlah bermaksud kita hendak menjaga
tepi kain mereka atau mengambil tahu akan hal rumah tangga mereka, tetapi kita
mengambil tahu masalah-masalah yang dihadapi oleh jiran dan cuba membantu mereka
supaya dapat meringankan beban yang dihadapi oleh jiran. Hal ini dikatakan demikian
kerana dalam kehidupan berkeluarga, setiap keluarga pasti akan menghadapi masalah dan
masalah itu hanya boleh diatasi atau dikurangkan dengan bantuan orang lain. Sebagai
analoginya, ketika ketua keluarga kurang sihat, maka ahli-ahli keluarga itu memerlukan
bantuan daripada jiran untuk menghantar ketua keluarga itu ke hospital, memberitahu
keluarganya yang tinggal jauh dari tempat tinggal mereka, mendapatkan bantuan
kecemasan ataupun kewangan dan sebagainya. Sikap berat sama dipikul, ringan sama
dijinjing yang ditunjukkan oleh ibu bapa terhadap jiran, akan menyebabkan anak-anak
juga turut mengambil berat tentang jiran mereka. Tegasnya, ibu bapa yang berjaya
menjadi iktibar yang baik, sudah pasti mampu memupuk semangat kejiranan dalam
kalangan masyarakat.

Di samping itu, ibu bapa juga mestilah mengadakan majlis-majlis rumah terbuka
bersempena dengan sesuatu sambutan perayaan. Amalan mulia ini bukan sahaja dapat
mengeratkan silaturahim dan menjalin ukhuwah, tetapi juga mampu mengukuhkan
semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat. Melalui majlis rumah terbuka, ibu bapa
boleh membawa anak-anak bersama-sama. Dalam majlis tersebut, masyarakat dapat
berkumpul dan mengenali antara satu sama lain dengan lebih dekat. Mereka juga
berpeluang untuk bertukar-tukar pendapat tentang sesuatu perkara dan bertanya
khabar sambil menikmati juadah yang disediakan oleh tuan rumah. Dengan itu,
masyarakat akan lebih memahami adat resam, agama dan budaya masing-masing di negara
ini. Sebagai contohnya, majlis-majlis rumah terbuka sempena sambutan Hari Raya
Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Hari Krismas dan Hari Deepavali hendaklah dijadikan acara
tahunan Kehadiran ibu bapa bersama-sama ahli keluarga dalam majlis rumah terbuka,
bukan sahaja dapat memperkenalkan anak-anak mengenali lebih dekat adat resam
sesuatu budaya malah dapat menanamkan semangat kekitaan dalam diri anak-anak dan
mengamalkan semangat kejiranan Tegasnya, majlis-majlis rumah terbuka mestilah
diadakan setiap tahun agar mampu mendekatkan ahli masyarakat untuk bertemu muka
dan membentuk masyarakat yang harmoni

Seterusnya, ibu bapa hendaklah menyemai budaya ziarah-menziarahi dalam kalangan


masyarakat sebagai langkah untuk mengukuhkan dan meningkatkan semangat kejiranan
dalam diri anak-anak. Dalam hidup bermasyarakat, ibu bapa digalakkan membawa anak-
anak-anak menziarahi jiran tetangga pada masa-masa yang sesuai. Dengan menziarahi
jiran, kita akan mengetahui masalah dan keadaan yang dihadapi oleh jiran kita. Semua
masalah boleh diselesaikan bersama-sama dan hal ini akan menjadikan hidup mereka lebih
aman dan sentosa walaupun dalam keadaan yang serba kekurangan. Sebagai contohnya,
ibu bapa boleh membawa anak-anak berkunjung ke hospital jika kita mendapat tahu
bahawa jiran kita telah dimasukkan ke hospital kerana menghidap sesuatu penyakit .
Amalan ini dapat membentuk sifat kasih sayang dan sikap ambil berat serta membuang
sejauh-jauh sikap anani dan hidup seperti enau di dalam belukar, melepaskan pucuk
masing-masing’. Walaupun pepatah Melayu ada mengatakan bahawa berat mata
memandang, berat lagi bahu memikulnya, namun sebagai jiran, kita mestilah berpegang
teguh pada prinsip cubit paha kiri, paha kanan terasa juga. Jadi, melalui lawatan kita,
sekurang-kurangnya kita dapat meringankan beban yang dialami oleh jiran kita dan
secara tidak langsung, mereka dapat hidup dengan lebih selesa, aman dan tenang. Anak-
anak turut mengambil berat tentang jiran yang ditimpa masalah sama seperti ibu bapa
mereka. Jelasnya, ibu bapa boleh mengamalkan budaya kunjung-mengunjungi dalam diri
anak-anak untuk memupuk semangat kejiranan.

Akhir sekali, ibu bapa bolehlah menggalakkan anak-anak supaya melibatkan diri dalam
aktiviti sosial seperti Hari Keluarga. Setiap komuniti sering mengadakan aktiviti seperti
hari keluarga untuk merapatkan hubungan dalam kalangan masyarakat setempat. Aktiviti
kemasyarakatan ini kerap diadakan sama ada di padang, taman rekreasi atau di tepi
pantai. Ibu bapa boleh membawa anak-anak bersama-sama dan setiap ahli keluarga boleh
menyertai permainan yang disediakan. Selain itu, ibu bapa boleh mendedahkan kepada
anak-anak tentang kepentingan hidup bantu-membantu dalam masyarakat setempat yang
mempunyai satu sistem yang teratur. Persatuan atau pertubuhan ini hendaklah
melibatkan semua penduduk tempatan sebagai ahli. Dewasa ini, banyak pertubuhan
sukarela ditubuhkan dalam masyarakat seperti pertubuhan rukun tetangga,
Jawatankuasa Keselamatan dan Kebajikan Kampung (JKKK) dan sebagainya. Sebagai
contoh, melalui pertubuhan seumpama ini, masyarakat setempat mengawasi keselamatan
kawasan tempat tinggal atau taman secara bergilir-gilir untuk mengelakkan berlakunya
kejadian-kejadian yang tidak diingini daripada berlaku seperti membunuh, merogol,
merompak dan sebagainya. Hal ini dapat kita lihat dalam peribahasa Melayu, iaitu ibarat
aur dengan tebing yang mementingkan semangat kejiranan atau saling membantu antara
satu sama lain dalam kehidupan. Jelasnya, ibu bapa berperanan penting untuk
menggalakkan anak-anak supaya melibatkan diri dalam aktiviti sosial sebagai langkah
untuk memupuk semangat kejiranan.

Berdasarkan perbincangan di atas, dapat saya simpulkan bahawa semangat kejiranan


dalam setiap individu amat penting untuk melahirkan masyarakat yang penyayang dan
membentuk perpaduan kaum. Walau apa-apa pun keadaan dan di mana-mana pun kita
tinggal, kita perlulah mempunyai jiran yang baik hati, iaitu jiran yang menjadi tempat
untuk meminta bantuan ketika kita dalam keadaan yang susah dan sentiasa menghulurkan
bantuan dengan senang hati dan menghiburkan ketika kita senang. Jadi, untuk mempunyai
jiran yang baik, maka kita perlu menonjolkan diri kita sebagai jiran yang baik kepada
jiran kita. Sekiranya kita berbaik-baik dengan jiran, maka jiran juga akan berbaik-baik
dengan kita. Jiran Sepakat Membawa Berkat perlu terus diamalkan dalam kehidupan kita
sehari-hari. Jangan kita berasa susah dalam usaha mengamalkan budaya yang terpuji ini.
Amalkan dengan hati yang tulus, barulah kita memperoleh keberkatan dalam kehidupan.
Oleh itu, dengan meningkatkan semangat kejiranan, perpaduan kaum akan bertambah
utuh. Jadi, dalam setiap masa, kita mestilah sentiasa berusaha untuk memastikan
semangat kejiranan sentiasa diamalkan supaya negara kita sentiasa aman, harmoni, dan
sentosa

Anda mungkin juga menyukai