Anda di halaman 1dari 6

PERSOALAN YAQAZAH (Menurut Fatwa Mufti Brunei )

Adakah Harus dan Boleh Menerima Zikir dan Doa daripada Rasulullah SAW pada masa sekarang,
waktu yang menerimanya itu jaga atau waktu tidur dalam mimpi?

Berkata Syeikh Abdul Qadir bin Syeikh Abdullah bin Syeikh Al Idrus Baalawi yang hidup tahun
978 Hijrah dan mati tahun 1038 Hijrah dalam kitabnya An Nurus Safir ‘An Akhbaril Quranil ‘Asyir:

Adalah Imam Al Hafiz As Sayuti itu ada banyak karamah terbit daripadanya itu, kebanyakannya
itu berlaku sesudah ia mati (dan matinya pada tahun 911 Hijrah)

Berkata Al ‘Alamah Syeikh Zakaria bin Syeikh Muhammad Al Mahalli As Syafie bahawa Imam As
Sayuti itu telah ditimpa oleh sesuatu perkara yang besar pada suatu masa, maka saya minta
daripadanya, menulis surat wasiat atau pesanan kepada sesetengah anak muridnya, melalui
saya, maka Imam As Sayuti enggan berbuat begitu dan Imam itu telah melihatkan kepada saya
akan sehelai kertas yang ditulis dengan tangan Imam itu, bahawa:

“Saya telah berhimpun dengan Nabi SAW waktu jaga banyak kali lebih dari 70 kali dan sabda
Nabi SAW kepada saya, yang maksudnya:

“Bahawa siapa yang ada keadaannya begini, maka tiadalah ia berhajat pada pertolongan dan
bantuan daripada sesiapa.”

Telah dihikayatkan daripada Imam As Sayuti telah berkata:

“Saya telah melihat dalam tidur saya, seolah-olah saya ada di hadapan majlis Nabi SAW, maka
saya sebutkan sebuah kitab yang saya telah mula mengarangnya dalam perkara hadis dan sunat
iaitu Jam’ul Jawaami’ ,

maka saya berkata kepada Nabi SAW: “Hamba akan bacakan sedikit daripada isi kitab itu,

maka sabda nabi SAW: Bawalah kepada saya, hai guru hadis (Ya Syeikhul Hadis).”

Berkata Imam As Sayuti: “ Mimpi itu suatu khabar gembira kepada saya lebih besar dari dunia
dan seluruhnya.”

Dari kitab Khususiyyatu Yaumil Jum’ah karangan Imam As Sayuti dicetak di Damsyik tahun
1386-1966 Hijrah.

Al Habib Syeikh Abdul Qadir Al Idrus itu juga ada mengarang kitab bernama Bifadhailil Ahya’I
Kitab “Ahya” karangan Imam Al Ghazali yang mati tahun 505 Hijrah yang terkenal itu dan kisah
Imam As Sayuti itu ada disebutkan oleh Syeikh Najmuddin Al Ghazzi dalam kitabnya Al
Kawakibus Saairah.

Adalah Al Habib Umar bin Abdul Rahman Al ‘Athas yang empunya ratib bernama “ Ratibul
‘Athas” yang terkenal di Malaysia dan rantau sebelah ini, yang mati pada atahun 1072 Hijrah dan
ditanam di Huraidah Hadramaut (Selatan Tanah Arab) , ada berlaku di tangannya beberapa
perkara yang ganjil dan pelik atau karamah setengah dari perkara-perkara itu:

1. Apabila Al Habib Umar itu pergi ziarah kubur bapanya Sayyid Abdul Rahman , ia berkata pada
kubur bapanya dan ia mengkhabarkan segala perkara dengan penglihatan dan nampak dengan
matanya.

2. Kerabatnya berkata sedang kami duduk di rumah kami dan di sisi kami Al Habib Umar Al
‘Athas, maka tiba-tiba ia memerah akan lengan bajunya dengan air bertitik, maka kami bertanya,
“Ya Sayyidi, apa air ini?” Ia menjawab, “ Bahawa suatu kumpulan orang kekasih kami, telah
rosak perahu mereka di dalam laut Syam (Tanah Hajaz), dan mereka minta tolong daripada kami
maka kami datang membantu mereka, mereka dilepaskan oleh Tuhan mereka dari bencana
alam, dan basah ini dari air laut itu.”

3. Apabila Habib itu beribadah kepada Tuhannya dengan seorang diri jauh daripada manusia
maka Nabi SAW datang kepadanya hal keadaannya nyata dan Nabi SAW menyuruh akan dia
mengajak manusia kepada jalan Allah Taala, dan menunjuk dan mengajar mereka. Mengapa
saya tiada melihat akan keadaan Rasulullah SAW itu dengan nyata, kerana jikalau terdinding
daripada saya oleh Nabi SAW sekejap sahaja, nescaya tiada saya bilangkan diri saya daripada
kalangan orang Mukmin, dan mengapa terdinding Nabi SAW daripada saya padahal baginda SAW
itu ain wujud saya.

4. Seorang lelaki meminang akan seorang perempuan berkahwin dengannya, maka bapa
perempuan dan saudaranya enggan menerimanya, maka ia marah dengan hal yang beraku itu
dan ia kembali ke rumahnya dan ia berazam akan membunuh mereka, apabila malam gelap ia
menyandang senjatanya dan keluar menuju kepada bapa dan saudara perempuan itu, di antara
ia berjalan-jalan tiba-tiba ia merasa seorang yang memegang tangannya seperti harimau yang
ganas dan ia berpaling, tiba-tiba ia melihat Habib Umar Al ‘Athas, maka ia tercengang gementar
dan Al habib itu berkata, “ Ke mana engkau hendak pergi?” Ia berkata, “Saya ada mempunyai
suatu hajat.” Katanya, “ Engkau tiada mempunyai suatu hajat, tetapi engkau keluar ini kerana
berbuat begini, begini. Hendaklah engakau kembali ke rumah engkau.” Dan Al Habib itu
melepaskan tangannya dan laki-laki itu pun kembali ke rumahnya. Tiada beberapa hari datang
bapa perempuan dan saudaranya mengambil hatinya dan menerangkan sebab-sebab penolakan
pinangan itu dan meminta maaf. Dan keduanya berkata, “Perempuan itu bagi engkau. Demi Allah
kami tiada mengahwinkannya selain daripada engkau.” Kemudian laki-laki itu berkahwin dengan
perempuan itu, dan mendapat anak-anak sepertimana khabar gembira yang terbit daripada Al
Habib Umar Al ‘Athas itu.

Ini kita petik dari Fathu Rabbin Nas huraian Ratib Habib Umar bin Abdul Rahman Al ‘Athas, telah
dihimpunkan oleh Maulana Al ‘Arif Sayyid Hussin bin Almarhum Al ‘Alamah Sayyid Abdullah bin
Muhammad bin Muhsin bin Hussin Al ‘Athas dalam bahasa Melayu pada tahun 1342 Hijrah.

Dihikayatkan oleh Abu Abdullah Al Qastalani bahawa ia melihat Nabi SAW dalam tidur dan ia
mengadukan kepada Nabi akan sengsara hidup dan fakirnya dan papanya. Maka Nabi SAW
mengajarkan dia akan suatu doa.

Dari kitab Al Wasaailu Syafi’ah oleh Imam Muhaddis Sayyid Muhammad Bin Ali Khidr yang mati
tahun 960 Hijrah, dan Sayyid itu mengulas doa yang di atas ini.

Ketahui olehmu barangsiapa yang menyebut akan “ Asmaul Husna” yang di atas ini, dan dia
berperangai dengan perangai kalangan orang-orang yang terpilih daripada hamba Allah, dan
beradab dengan adab wali-wali Allah, maka Allah Taala akan hidupkan roh “Asmaul Husna” akan
hati orang itu. Dan Allah akan terangkan akan hatinya dengan cahaya hakikat “Asmaul Husna”
itu. Dan ia tiada memohon sesuatu daripada Allah melainkan Allah berikan apa yang ia mohon.

Adalah Habib Al Arifbillah Ahmad bin Hussin bin Abdullah Al ‘Athas, datuk kepada Al Habib
Sayyid Muhammad bin Salim bin Ahmad Hussin Al ‘Athas dan Al Habib Sayyid Muhammad bin
Salim rh. Itu pengelola masjid Ba’alawi di Bukit Timah di Singapura. Dan Al ‘Alamah datuk Habib
Sayyid ‘Alawi bin Thahir Haddad Al Haddar, muftikerajaan Johor yang trdahulu itu adalah anak
murid kepada Habib Al Arif Ahmad bin Hussin Al ‘Athas.

Berkata habbib Sayyid ‘Alawi bin Thahir Al Haddad dalam kitabnya ‘Uqudul Almaasi Bimanaaqibi
Syaikhil Thoriqah Wa Imaamil Haqiiqah, Al Arifbillah Habib Ammad bin Hussin Al ‘Athas: Kata
Syeikh Muhamad bin ‘Audh bin Muhammad Bafadhlu dalam kitab Manaaqibil ‘Arifbillah Al Habib
Ahmad bin Hussin Al ‘Athas bagaimana disebutkan oleh Imam Habib Al ‘Idrus bin Umar Al habsyi
bahawa Al Habib Al Arif Ahmad Al ‘Athas itu seorang wali Allah yang mutlak dan dia dibenarkan
mengkhabarkan apa perkara yang disembunyikan oleh orang lain.

Adalah Al Habib Arifbillah Ahmad bin Hussin Al ‘ Athas itu apabila banyak melihat Rasulullah SAW
sehingga berulang-ulang kali semalam hingga tujuh kali.

Adalah Al Habib Al Arifbillah itu apabila ia berasa syak pada suatu hadis maka ia bertanya
kepada Nabi SAW.

Adalah Al Habib Al Arifbillah itu dapat mengetahui perkara bohong, katanya saya melihat keluar
daripada mulut pembohong itu seperti sesuatu asap.

Al Arifbillah itu dapat mengenal karangan-karangan kitab-kitab ilmu, mana kitab itu ditulis
mengikut hawa nafsu atau kerana ta’asub atau lain-lain dari hawa nafsu dan ta’asub.

Al Arifbillah itu dapat memilih mana-mana kitab yang sayugia dibaca dan diamalkan oleh ahli
ilmu.

Adalah guru Al Arifbillah Habib Ahmad bin Hussin Al ‘Athas itu bernama Ghausu Zamaanih Al
Habib Abu Bakar bin Abdullah Al ‘Athas telah memohon pandangan dan pilihan dalam sesuatu
perkara kepada Nabi SAW maka Nabi SAW bersabda kepadanya: “ Akan datang kebenaran atau
datang isyarat di atas tangan seorang anak-anak kamu.”:

Al Arifbillah Ahmad bin Hussin Al ‘Athas berkata adalah roh-roh datang kepada saya pada
permulaan hidup saya sebagai suatu utusan sepuak lepas sepuak dan dia bercerita bahawa
setengah orang mati lalu kepadanya lepas roh-roh berpisah dari jasad orang-orang mati itu atau
lalu malaikat kepadanya dengan mmbawa roh-roh itu. Saya Tanya (Habib Mufti), ke mana roh-
roh yang tuan guru lihat tadi? Jawabnya , dia bersiyarat dengan tangannya bahawa roh-roh itu
pergi ke pihak kiblat.

Al Arifbillah itu menceritakan kepada (Al Habib Mufti) bahawa Al Arifbillah berhimpun dengan
roh-roh “barzzakhiyyah” yang belum masuk ke dalam jasad manusia di dalam suatu perkara
berlaku.

Adalah Al Arifbillah itu bangun tidur pada 1/3 yang terakhir dari waktu malam, ia mengambil air
sembahyang, dan ia sembahyang dan panjang sembahyangnya itu. Kemudian ia membaca zikir-
zikir yang panjang dan mengulang-ulang “Asmaul Husna”, ia bertasbih, ia bertahmid, ia bertakbir
pada tiap-tiap “isim” itu. Kemudian ia baca zikir-zikir yang lain kemudian ia baca Quran dengan
bacaan sederhana tiada cepat dan tiada lambat dan dia dapat membaca lima juzuk Al Quran
sebelum terbit fajar.

Disebutkan bahawa Al Arifbillah dan Al Afiful Munawwar Ahmad bin Abdullah Balkhair
sembahyang witir berjemaah dengan membaca 10 juzuk Al Quran.

Adalah wirid Al Arifbillah dalam sehari 25,000 “Lailahaillallah” dan membaca separuh Quran.
Adapun usaha Al Arifbillah pada membaca kitab-kitab ilmu dari kitab-kita tafsir, hadis, tasawuf
dan lain-lain, maka tiadalah kita ketahui (kata Al habib ‘Alawi) seseorang pun seperti Al Arifbillah
itu.

Berkata Al ‘Alamah Muhammad Bifadhlu, saya berhubung dengan Al Arifbillah pada tahun 1316
Hijrah, maka banyak bilangan kitab yang ia baca di hadapan Al Arifbillah dan lain-lain penuntut
membaca kitab di hadapannya menunjukkan kitab-kitab yang dibaca dihadapannya itu dari
semenjak Al arifbillah balik dari Mekah sehingga tahun itu tiada kurang dari 26 tahun, adalah
sangat banyak tiada dapat dikira, kerana tuan guru Al Arifbillah itu tiada sabar dari ilmu dan dari
ibadah dan dari zikir, semuanya itu makanan bagi dirinya dan rohnya, dan saya tiada lihat akan
seseorang pun tahan mendengar kitab-kitab ilmu seperti tuan guru itu.

Adalah Al Arifbillah itu apabila ia melayan “dhif-dhif” dan tetamu atau utusan-utusan maka ia
tiada tahan dari meninggalkan membaca kitab, maka ia letakkan sebuah kitab di atas ribanya dan
ia balik-balikan halaman kitab itu, sambil ia melayani “dhif-dhif” itu kerana ia gemarkan ilmu dan
kitab-kitab ilmu.
Dipetik dari Uqudul Almaasi.

Diriwayatkan oleh Imam Abu Na’im dan Ibnu Basykuwal daripada Imam Sufyan As Tsauri telah
berkata, di antara ketika saya mengerjakan haji, tiba-tiba masuk seorang pemuda, dia tiada
mengangkat sebelah kaki dan tiada meletakkan sebelah kaki, melainkan ia berselawat atas Nabi
SAW dan keluarga baginda.

Maka saya katakan kepadanya: “Adakah dengan ilmu kamu kata begitu?” Pemuda itu
menjawab: “Ya”. Kemudian pemuda itu berkata: “Siapa tuan?”
Saya menjawab: “ Saya Sufyan As Tsauri.” Ia bertanya: “Dari Iraq ?” Saya jawab: “Ya.”
Pemuda itu bertanya: “ bagaimanakah tuan kenalkan akan Allah?” Saya jawab: “Allah
memasukkan malam ke dalam siang dan Allah memasukan siang ke dalam malam dan Allah
menggambarkan anak-anak dalam rahim.” Kata pemuda itu: “ Wahau Sufyan, tuan belum
kenalkan Allah dengan sebenar-benar kenal.”
Saya berkata: “ Bagaimana kamu kenalkan Allah?” Jawab pemuda itu: “ Bifaskhil hammi, wa
naqdhil ‘azmi. (ertinya: dengan membuang bimbang dan membatalkan azam.). Dan saya
bimbang maka saya buang bimbang itu, dan saya berazam maka dibatalkan azam saya itu,
dengan itu saya kenal bahawa bagi saya ada Tuhan yang Esa yang mentadbirkan hal ehwal
saya.”

Saya berkata: “Apa itu selawat yang kamu selawat kepada Nabi SAW?” jawab pemuda itu:
“Ceritanya begini: Adalah saya pergi kerja dan bersama-sama saya ibu saya, dan ibu saya minta
saya bawa dia masuk ke dalam Kaabah. Maka saya bawa ibu saya ke dalam Kaabah, maka ibu
saya terjatuh dan bengkak perutnya dan hitam legam mukanya. Maka saya duduk disisinya
dengan sedih hati saya, dan saya angkat 2 tangan ke langit dan saya berkata: Ya Rabbi Ya
Tuhanku, beginikah Tuhan hamba buat kepada sesiapa yang masuk ke dalam rumah Tuhan
hamba (Kaabah), maka tiba-tiba awan naik dari sebelah Tihamah, dan tiba-tiba ada di dalamnya
seorang lelaki memakai pakaian putih, dan ia masuk ke dalam Kaabah. Dan ia lalukan tangannya
di atas perut ibu saya, maka muka ibu saya menjadi putih dan kesakitannya reda. Kemudian ia
berjalan hendak keluar dari Kaabah itu maka saya tarik bajunya dan saya berkata kepadanya:
“Siapa tuan yang menolong menyelamatkan saya dari kesedihan saya?” Jawabnya, “ Saya Nabi
kamu, Nabi Muhammad yang kamu memberi selawat ke atasnya.”

Maka kata saya: Ya Rasulullah “Fa Ausini” (ertinya mohon beri pesan pada saya). Sabda
Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Janganlah angkat sebelah kaki dan jangan letakkan sebelah kaki melainkan kamu berselawat di
atas Sayidina Muhammad dan di atas keluarga Sayidina Muhammad.”

Kata saya: “ Adalah orang muda ini dari kalangan wali-wali yang sampai kepada Allah.”

Saya kata ini kisah yang diceritakan Imam Sufyan As Tsauri yang terkenal dan dinukilkan oleh
Imam Abu Na’im, pengarang kitab Haliyaatul Auliya’ dan Ibnu basykul dan telah dinukilkan oleh
“Muhadissud Dunya” Sayyid As Syeikh Abdullah As Siddiq Al Ghamaari daripada ulama Al Azhar
dan ulama Al Maghrib dalam kitabnya Fadhailun Nabiyyi fil Quranil Illahiyatu Fissolah ‘Ala Khairil
Bariyyah dicetak oleh maktabah Al Kahirah Syari’ As Sonadiqqiyah, Medan, Al Azhar, Mesir.

Sedikit masa yang lalu saya telah mendengar seorang penceramah di suatu radio dengan jahil
dan lalai dia mengatakan tiada mungkin dan tiada boleh seseorang menerima wirid dan amalan
daripada Rasulullah SAW di dalam kaabah zaman sekarang atau sebelum sekarang, adalah Al
‘Alamah Ibnu Taimiyah menegur ahli taswuf bagaimana tersebut dalam kitab Al Fatawal
Hadissiyah atau pengikut-pengikut Al hafiz bin Rejab dan Az Zahbi atau sefaham mereka seperti
Syeikh Abu Bakar Al Jazairi da Syeikh Halali yang ada di Madinah Almunawarrah itu kedua-
duanya tiada senang hati dengan ahli bait Rasulullah SAW dan dengan ahli tasawuf.

Maka nyata dari kata-kata ulama yang di atas ini, bahawa berjumpa dengan Nabi SAW waktu
tidur atau waktu jaga, dan Nabi SAW mengajar akan sesuatu ilmu, suatu doa, suatu selawat dan
suatu zikir, adalah HARUS DAN BOLEH, bagaimana telah berlaku pada ulama-ulama, ahli ilmu
Islam, wali-wali Allah dan orang-orang solehin, kita berkata perkara seperti ini termasuk di
bawah erti kata
“ fadhoilul ‘amal”.
Adapun perkara halal dan haram telah tertutup dengan terhenti wahyu kepada Nabi kita dan
dengan wafat Nabi kita SAW sebagaimana kita telah sebutkan di awal-awal rencana ini.

Sila baca kitab-kitab berkenaan wali-wali Allah seperti Syawahidul Haq karangan Syeikh Yusuf
Anbahani dan kitab Lathoifulminan karangan Al Arifbillah Tajuddin bin ‘Athaillah As Sakandari
yang mati tahun 709 Hijrah dan Jami’u karamatil Auliya’ karangan Syeikh Anbahani dan Hilyatul
Auliya’ oleh Al Hafiz Abu Na’im dan karangan Al ‘Alamah Dr. Abdul Halim Mahmud, Mesir dan
lain-lain.

Pihin Datuk Ser Maharaja Datuk Seri Utama


Awang Haji Ismail bin Umar Abdul Aziz
Mufti Kerajaan Brunei Darussalam

Pejabat Mufti,
Kementerian hal Ehwal Agama,
Negara Brunei Darussalam.
14 Jamadil Awal 1408H
4 Januari 1988.

Anda mungkin juga menyukai