Anda di halaman 1dari 10

1

KAEDAH PENGAJARAN GURU TILAWAH AL-QURAN: KAJIAN KES DI MAAHAD


INTEGRASI TAHFIZ SAINS DAN TEKNOLOGI NEGERI SELANGOR

Mariam Abd.Majid, Sahlawati Abu Bakar, Zetty Norzuliana Mohd Rashed, Suriani Sudi, Wan
Ramizah Hasan & Muhammad Yusuf Marlon B.Abdullah

Abstrak

Kajian ini adalah untuk meneroka kaedah pengajaran tilawah al-Quran oleh guru pendidikan
Islam di Maahad Integrasi Tahfiz Sains dan Teknologi Negeri Selangor (MITS). Bagi memenuhi
objektif kajian ini pendekatan kualitatif menggunakan reka bentuk kajian kes iaitu kes pada satu
tempat atau single case single site. Kaedah temubual separa berstruktur, pemerhatian dalam
bilik darjah dan analisis dokumen telah digunakan dalam kajian ini. Data yang diperolehi
dianalisis menggunakan program Atlas t.i versi 7.5.4. Dapatan kajian mendapati guru
memulakan pengajaran tilawah al-Quran dengan memperkenalkan tajuk pembelajaran dan
meminta pelajar membaca beberapa potongan ayat al-Quran terlebih dahulu sebagai induksi
dalam pembelajaran. Kaedah penceritaan, perbincangan, pembacaan al-Quran secara tartil dan
bertaranum, komunikasi dua hala antara pelajar dan guru, pemberian latihan dan latih tubi
kepada pelajar yang lemah, pembentangan hukum-hukum tajwid daripada potongan ayat-ayat
al-Quran yang dibaca merupakan antara kaedah dalam perkembangan pengajaran yang
dilakukan di MITS. Guru menamatkan sesi pembelajaran tilawah al-Quran dengan kaedah
pengukuhan iaitu membuat penjelasan terhadap intipati pengertian ayat-ayat al-quran yang
telah dibaca dibaca dalam sesi pembelajaran. Alat bantu pengajaran yang kerap digunakan oleh
guru tilawah al-Quran di MITS adalah naskhah al-Quran, kertas mahjung, papan putih dan
poster hukum tajwid.

Kata kunci:Kaedah pengajaran,tilawah al-Quran,guru pendidikan Islam

1.0 PENDAHULUAN
Pendidikan al-Quran bertujuan mendidik manusia bagi mencapai kesejahteraan di dunia dan
akhirat. Manusia yang celik al-Quran berupaya mengenal Tuhannya, pencipta dirinya dan alam
serta seluruh isi alam dan makhluk. Al-Quran mendidik manusia untuk bekerja bersungguh-
sungguh dengan penuh dedikasi serta ikhlas kerana Allah SWT, melatih manusia agar menjauhi
segala godaan syaitan seterusnya menunjukkan jalan yang benar.
Guru pendidikan Islam (GPI) merupakan antara golongan yang berperanan penting dalam
masyarakat Islam khususnya dalam usaha menyampaikan ilmu berkaitan pembelajaran al-Quran.
Bagi menjamin keberkesanan pengajaran al-Quran, setiap pengajaran al-Quran yang
disampaikan perlu dirancang dengan baik termasuk kaedah, pendekatan, strategi, langkah dan
2

sebagainya untuk menjamin pengajaran dan pembelajaran berkesan dan tercapai objektifnya
yang tersurat dan tersirat.

2.0 PENYATAAN MASALAH


Kaedah pengajaran tilawah al-Quran adalah pengajaran kemahiran. Rohizani et. al.(2005)
menjelaskan bahawa mengajar kemahiran perlu menekankan kepada arahan, demonstrasi dan
pembetulan terhadap kesilapan pelajar. Guru perlu lebih banyak memberi penekanan kepada
usaha pembentukan kemahiran pelajar dalam pembelajaran tilawah al-Quran dengan melakukan
talaqqi dan musyafahah. Kajian oleh Ab. Halim et. al (2006) menunjukkan bahawa kelemahan
dalam pengajaran pendidikan Islam menyebabkan timbulnya masalah penguasaan kemahiran
membaca al-Quran dalam kalangan pelajar. Penemuan ini bertepatan dengan dapatan kajian
Mohd Aderi (2004) berkaitan celik al-Quran dalam kalangan pelajar tingkatan dua di Kuala
Lumpur yang menunjukkan bahawa walaupun 63 peratus daripada responden kajian ialah
mereka yang telah khatam al-Quran tetapi tahap membaca keseluruhan responden adalah pada
tahap sederhana dan lemah. Justeru, kajian ini dilakukan bagi meneroka kaedah pengajaran guru
tilawah al-Quran di Maahad Tahfiz Sains di Negeri Selangor.

3.0 BATASAN KAJIAN


Kajian ini membataskan hanya GPI yang mengajar di Maahad Integrasi Sains dan Teknologi
sebagai peserta kajian. Seterusnya kajian ini membataskan GPI yang mengajar sekolah
menengah bawah iaitu pelajar tingkatan dua. Selain batasan terhadap peserta, kajian ini juga
membuat batasan terhadap fokus kajian iaitu terhadap kaedah pengajaran guru tilawah al-Quran.

4.0 LANDASAN TEORI KAJIAN


Kaedah pengajaran al-Quran berkesan sering dikaitkan dengan kemahiran guru menyampaikan
ilmu tersebut tidak sekadar perancangan pengajaran yang ditulis dengan teliti malahan ia juga
merangkumi bagaimana kaedah seseorang guru berupaya meningkatkan pemahaman, pembacaan
dan penghafalan murid terhadap apa yang diajar oleh guru. Menurut Mohd Aderi Che Noh dan
Rohani Ahmad Tarmizi (2009) berpendapat bahawa antara punca pelajar hilang tumpuan semasa
belajar ialah disebabkan oleh cara guru menerangkan dan menggunakan bahan pengajaran yang
membosankan.
Seseorang guru haruslah mempunyai gaya, cara atau stail dalam menyampaikan ilmunya
termasuklah teknik dan pendekatan yang digunakan ke atas pelajar. Menurut Mohd. Yusuf
(2000) menukilkan pandangan al-Kailany (1986) yang menyebut bahawa kaedah yang digunakan
semasa mengajar al-Quran harus disesuaikan dengan objektif pengajaran. Terdapat lima panduan
guru yang disenaraikan oleh al-Kailany dalam memilih kaedah mengajar al-Quran iaitu :
3

1. Kaedah yang dipilih haruslah sesuai dengan tujuan dan objektif pengajaran.
2. Kaedah yang sesuai dengan mata pelajaran yang diajar.
3. Kaedah yang digunakan sepadan atau setara dengan umur pelajar.
4. Guru harus mampu menggunakan dan mengaplikasikan kaedah yang dipilih.
5. Masa yang mencukupi untuk mengaplikasikan setiap kaedah.

Kaedah yang dikemukakan oleh al-Kailany ini menitik beratkan faktor kemanusiaan, kerana
pelajar mempunyai latar belakang pendidikan dan kemampuannya tersendiri.
Menurut Misnan Jemali et. al (2014) menukilkan teori pengajaran Ibnu Khaldun bahawa buku
teks merupakan alat bantu mengajar (ABM) yang paling penting dalam pengajaran dan
pembelajaran di bilik darjah. Penilaian guru terhadap pelajar hendaklah berdasarkan sukatan
pelajar yang ditentukan oleh buku teks tersebut. Beliau juga menyatakan bahawa pengajaran dan
pembelajaran yang berkesan ialah pengajaran yang dilakukan secara beransur-ansur, satu demi
satu dan sedikit demi sedikit (tadrij), terutamanya dalam pengajaran al-Quran (Misnan Jemali et.
al, 2014).
Ibnu Khaldun (2000) menekankan kaedah pengulangan kerana kadangkala pelajar tidak dapat
memahami penyampaian kali pertama atau kedua. Dalam hal ini, guru dicadangkan mengulang
semula pelajaran tersebut sehingga pelajar dapat memahaminya. Pendekatan Ibnu Khaldun juga
tahap pertama menerangkan secara sepintas lalu iaitu secara mudah kemudian menjelaskan isi
kandungan secara terperinci dan mendalam.
Mohd Yusuf Ahmad (2000) menegaskan objektif dari perspektif yang lebih luas dan bersepadu
dalam pengajaran al-Quran telah dilaksanakan oleh Nabi Muhammad s.a.w sebanyak enam
prinsip pengajaran dan pembelajaran al-Quran, kemudian diikuti oleh para sahabat sehinggalah
ke generasi hari ini. Enam kaedah dan amalan pendidikan pengajaran al-Quran itu ialah:

1. Tilawah iaitu boleh membaca al-Quran dengan baik dan fasih.


2. Tafahhum dan tafsir iaitu mengetahui makna dan faham maksud ayat-ayat yang dibaca.
3. Tatbiq bermaksud menghayati atau merealisasi ajaran al-Quran dalam hidupnya dengan
sepenuh hati dalam semua aspek kehidupan.
4. Tahfiz iaitu menghafaz ayat-ayat tertentu dari al-Quran dan dijadikan sebagai amalan,
bacaan dalam solat dan wirid.
5. Tarannum bermaksud membaca al-Quran dengan suara yang baik dan merdu serta
dengan lagu yang sesuai
6. Ta’lim bermakna mengajar. Ia bermaksud berusaha belajar sehingga boleh mengajar
orang lain. Dengan cara ini, al-Quran boleh berkembang dari satu masyarakat ke satu
masyarakat dan dari satu generasi ke satu generasi (Mohd Yusuf Ahmad, 2000).
4

Berdasarkan panduan kaedah-kaedah peengajaran dan pembelajaran al-Quran di atas, guru harus
bijak memilih dan mengaplikasikan mana-mana kaedah yang sesuai dengan masa, tempat dan
keadaan mengikut tahap pencapaian pelajar, umur dan kemampuan guru itu sendiri.
Rasulullah s.a.w mengajar sahabat baginda dalam mengajar dan membaca al-Quran dengan baik
sehingga sempurna keenam-enam perkara di atas. Kemudian dengan cara yang sama juga
sahabat-sahabat mengajar kepada pengikutnya sehinggalah ke generasi terkemudian (Mohd
Yusuf Ahmad, 2000).
Allah SWT telah mengajar baginda setiap ayat setiap ayat dengan penuh tartil. Ini dapat dilihat
dalam firman Allah SWT menerusi surah al-Qiyamah.
Maksudnya :
Janganlah kamu gerakkan lidahmu untuk membaca al-Quran kerana hendak cepat-
cepat menguasainya. Sesungguhnya atas tanggungan Kami lah mengumpulkannya (di
dadamu) dan membuatmu pandai membacanya. Apabila Kami telah selesai
membacakannya maka ikutilah bacaannya itu.
(al-Qiyamah: 16-18)

Maksud ayat di atas menunjukkan larangan dari tergesa-gesa membaca ayat al-Quran dan Allah
SWT memberi jaminan bahawa ayat-ayat suci itu sudah pasti akan dapat dihafal kerana Allah
SWT akan melapangkan dada baginda untuk memudahkan al-Quran itu dibaca dan diingati. Ini
bermakna, dalam pengajaran dan pembelajaran al-Quran, kaedah talaqqi dan musyafahah itu
penting bagi membolehkan murid mengikut bacaan dengan makhraj yang betul. Kedua kaedah
talaqqi dan musyafahah merupakan kaedah yang asas di dalam pengajaran dan pembelajaran
tahfiz al-Quran sepertimana yang telah dilaksanakan oleh Jibrail a.s dan Rasulullah s.a.w dalam
menghafaz al-Quran semasa penurunan wahyu (Abu Najihat, 2002; Abu al-Fida’, 2006).

Kaedah tingkatan bacaan yang telah dikemukakan ini menunjukkan bahawa Islam mengambil
berat perbezaan individu dan tidak memberatkan seseorang dalam beramal. Ajaran-ajaran Islam
yang disampaikan tidak memadai melalui percakapan sahaja, malah ia memerlukan contoh amali
dari Rasulullah s.a.w. sendiri. Rasulullah s.a.w. mengajar banyak ayat al-Quran kepada para
sahabat, mereka berusaha memahami dan mengambil hukum daripadanya. Perbezaan bacaan
mengikut tahap individu memberi peluang kepada orang yang membaca al-Quran tadabbur
makna dan isi kandungan al-Quran agar ia dapat menjadi tazkirah dan tazkiyyah untuk hati dan
jiwa.

5.0 METODOLOGI KAJIAN


Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif. Ia melibatkan temubual guru pendidikan Islam
secara berfokus dan mendalam, pemerhatian semasa sesi pengajaran guru dan analisis dokumen.
Kajian kualititatif ini dipilih kerana ia lebih sesuai untuk mengetahui motif yang wujud dalam
sesebuah organisasi dan melihat situasi sebenar yang berlaku termasuk mengalami persekitaran
yang dikaji (Yin, 1994).
5

Kajian ini berbentuk kajian kualitatif yang memfokuskan kepada satu tempat atau single case
single site. Kes yang dimaksudkan dalam kajian ini ialah kaedah pengajaran guru Al-Quran
manakala tempat kajian ialah salah sebuah maahad tahfiz Sains di Selangor. Menerusi kajian kes,
pengkaji dapat menyiasat sesuatu unit sosial yang kompleks secara menyeluruh dan mendalam
(Patton 1990; Hitchock & Hudges 1995). Melalui rekabentuk kajian yang dipilih, pengkaji juga
dapat memaparkan peristiwa sebenar yang berlaku, dilihat dan dialami dalam persekitaran yang
dikaji (Yin, 1994).
Dengan kajian kes yang mengunakan pendekatan kualitatif bukan sahaja membolehkan pengkaji
bertemu dengan peserta kajian malah pengkaji dapat memahami secara lansung apa yang berlaku
dan berinteraksi dengan mereka (Yin,1994). Menerusi kajian ini, pengkaji berada bersama guru
dan pelajar dalam situasi yang sebenar iaitu dalam bilik darjah semasa pengajaran pendidikan
Islam berlangsung. Pemerhatian yang dijalankan sebanyak dua kali adalah untuk memberi fokus
kepada aktiviti pengajaran dan pembelajaran al-Quran yang dijalankan.
Kajian kes ini dapat memberikan dapatan yang lebih realistik dan bermakna. Kaedah pengajaran
guru Al-Quran tidak dapat digambarkan dengan jelas dan menyeluruh melalui pendekatan
kuantitatif. Proses pengajaran al-Quran melibatkan kepada perlakuan, juga berlaku dalam
keadaan yang tertentu dan dengan rasional yang tertentu iaitu tidak dapat dihuraikan melalui
kajian kuantitatif. Oleh itu kajian-kajian yang berfokus kepada pemerhatian semasa pengajaran
sering menggunakan etnografi (LeCompte,M.D.&Preissle, J.1993). Langkah ini untuk
membekalkan data yang banyak dan mendalam tentang amalan guru, hubungan pemikiran dan
perlakuan.
Dapatan kajian : Kaedah pengajaran guru tilawah al-Quran di Maahad Tahfiz Sains Negeri
selangor
Persoalan kajian ini ialah berkaitan dengan bagaimanakah guru pendidikan Islam mempraktikkan
kaedah pengajaran tilawah al-Quran di peringkat permulaan pengajaran, perkembangan dan
penutup.
Secara umumnya, hasil dapatan kajian ini diambil dari data kualitatif iaitu temubual dan
pemerhatian peserta kajian. Menerusi pemerhatian mendapati, GPI 1 memulakan sesi pengajaran
dengan berlangsung GPI1 dengan memperkenalkan tajuk pembelajaran dan meminta pelajar
membaca beberapa potongan ayat al-Quran terlebih dahulu sebagai induksi dalam pembelajaran.
Dapatan kajian ini selari dengan kajian Abdul Hafiz et al. (2003) dan Abdul Hafiz et al. (2005)
yang menunjukkan bahawa kaedah takrar dan kaedah tasmi’ merupakan kaedah yang sering
diamalkan dalam pengajaran dan pembelajaran tahfiz.

GPI 1 meneruskan kaedah pengajaran al-Quran dengan kaedah penceritaan yang diperolehi
menerusi guru beliau semasa menuntut di Mesir. Ustazah Azie menyatakan bahawa beliau
banyak mempraktikkan kaedah bercerita semasa dalam sesi pengajaran dan pembelajaran.
Antara pernyataan beliau terhadap murid-murid semasa dalam kelas pengajaran al-Quran ;
6

“….lepas korang ngaji, korang boleh minta apa yang korang nak minta. Budak
memang camtu. Ustazah.. boleh tak saya minta lulus? Kalau hafal Quran boleh
minta, tapi kalu kamu main-main kamu mengantuk, kita datangkanlah cerita
imam Malik, bagi motivasi,……cerita pasal anacondalah, pasal ular besar.
Kamu tau tak ular ni dari mana? Dalam al-Quran. Datangkanlah ayat al-Quran.
Ular kan zaman nabi Musa asalnya kecil je. Pastu Allah Taala datangkan
kalimahnya berbeza dalam Quran”.
. (GPI MTS/TB/KP:147,152)

Demikianlah, penceritaan merupakan salah satu kaedah yang digunakan dalam pengajaran al-
Quran di MITS.

Ustazah Azie turut mengaplikasi kaedah perbincangan dalam kumpulan semasa di dalam bilik
darjah. Kaedah perbincangan ini dikendalikan dengan memberi aktiviti kepada para pelajar dan
menerusi aktiviti tersebut dapat dilihat perbezaan tahap penerimaan para pelajar. Antara huraian
beliau;

“…..kita buat camni, goreng pisang panas, pecah group, group ni baca, group
lain akan betulkan group ni, kita tengoklah contoh group akak ngan group saya,
group akak sikit, kesalahan sikit maka dia lah menang. So dia dapatlah 10
markah atas meja dia. Ia jadi galakan. Dia ni 10 dia baru 5, jadi dia orang
bersaing. Satu kumpulan kalau 30 saya buat dalam 10 lah”.
(GPI MTS/TB/KP:156)

Kaedah perbincangan menerusi proses mengenal pasti kesalahan bacaan di antara satu kumpulan
dengan kumpulan pelajar yang lain dapat menambahbaik tahap bacaan al-Quran dalam kalangan
pelajar.

Melalui pemerhatian di dalam bilik darjah menunjukkan bahawa Ustazah Azie menggunakan
kaedah bacaan al-Quran secara tartil dan bertaranum untuk menarik perhatian pelajar. Pelajar
diminta untuk membaca al-Quran secara tartil dan bertarannum. Kaedah bacaan taranum turut
diselitkan dalam cara pembacaan Ustazah Azie sendiri supaya dapat menarik pelajar untuk
meneruskan sesi pembelajaran al-Quran. Terdapat komunikasi dua hala antara pelajar dan guru
dengan guru membaca dan pelajar mengikutnya selepas guru berhenti membaca. Pelajar juga
turut diminta untuk melihat mulut guru agar mendapat bacaan yang betul.
. (GPI MTS/OBS/KP:028)

Kaedah ini selaras dengan pandangan Abu Najihat (2002) dan Abu al-Fida’ (2006) yang
menjelaskan bahawa kaedah talaqqi dan musyafahah merupakan kaedah yang asas di dalam
pengajaran dan pembelajaran tahfiz al-Quran sepertimana yang telah dilaksanakan oleh Jibrail
a.s dan Rasulullah s.a.w di dalam menghafaz al-Quran semasa penurunan wahyu (Abu Najihat,
2002; Abu al-Fida’, 2006).
7

Ustazah Azie melaksanakan kaedah pengajran dan pembelajaran al-Quran menerusi


pembahagian kumpulan pelajar. Beliau membahagikan pelajar mengikut tahap iaitu yang baik,
sederhana dan lemah dalam satu kumpulan. Pembahagian kumpulan-kumpulan ini merupakan
antara kaedah dalam pengajaran dan pembelajaran al-Quran yang dipraktikkan oleh Ustazah
Azie di MITS. Menurut Ustazah Azie ;

“….ada saya bahagikan tiga orang dan seorang tu kita memang pasti tajwid dia
memang ok. Seorang lagi pertengahan seorang lagi yang memang lemah. Sebab
apa supaya bila kita suruh baca jika dua-dua hebat, maka yang lemah ini akan
bawak diri, tak pe lah kaulah ngaji, nanti yang lemah ni kata tak pe aku pun sama
jugak, jadi dia belajar. Dia akan bincang. Saya suka lagi camtu”
(GPI1 MTS2/TB/KP:182)

Menurut Ustazah Azie, beliau amat menitikberatkan aspek latihan kepada pelajar yang lemah.
Beliau mengakui beliau menggunakan kaedah latih tubi kepada pelajar-pelajar yang lemah
tersebut. Beliau kadang-kadang menggunakan pendekatan datang ke asrama pelajar bagi
membantu pelajar yang lemah. Menurut Ustazah Azie;

“….buat latih tubi dalam kelas bagi pelajar lemah…Kita akan buat kelas
malam…saya datang asrama, jom kita ngaji. Pelajar suka pembelajaran secara
informal. Kalau lansung susah la...”
(GPI MTS/TB/KP:168,170,178)

Melalui pemerhatian semasa sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas, Ustazah Azie
banyak menggunakan kaedah latih tubi bersama pelajar. Beliau meminta pelajar mengeluarkan
hukum-hukum tajwid daripada potongan ayat-ayat al-Quran yang dibaca. Pemerhatian di dalam
kelas mendapati Ustazah Azie telah memilih seorang pelajar perempuan untuk mengenal pasti
hukum tajwid yang terdapat dalam ayat al-Quran dan pelajar terbabit tidak dapat menjawab.
Maka, soalan dibuka kepada seluruh kelas bagi menjawab persoalan kekeliruan ikhfa’haqiqi dan
ikhfa’ syafawi…..
(GPI MTS/OBS/KP:35)

Demikianlah kaedah-kaedah dalam peringkat perkembangan pengajaran dan pembelajaran al-


Quran yang diaplikasi oleh Ustazah Azie semasa di dalam kelas di MITS iaitu kaedah
penceritaan, perbincangan dalam kumpulan, bacaan secara tartil dan tarannum, pembahagian
kumpulan pelajar merangkumi yang baik, sederhana dan lemah dalam satu kumpulan, kaedah
latih tubi, latihan dan perhatian khusus kepada pelajar yang lemah dan mengenalpasti hukum-
hukum tajwid dalam bacaan al-Quran.

Daripada dapatan kajian berkaitan kaedah pengajaran Tahfiz al-Quran oleh Azmil Hashim et. al.
(2013) bertajuk Latar Belakang Guru Tahfiz dan Amalan Kaedah Pengajaran Tahfiz al-Quran di
Malaysia mendapati bahawa item yang mendapat interpretasi min tahap tinggi ialah item tasmi’,
jumlah tikrar, tadarus, talaqqi dan musyafahah dan tadarus tasmi’ bersama rakan-rakan. Ini
menunjukkan bahawa guru menggunakan kaedah tasmi’ selepas dihafaz untuk mengukuhkan
8

hafazan, memperbetulkan hafazan dan penilaian secara meluas. Guru juga memberi penekanan
terhadap kaedah tikrar sebagai kaedah utama dalam menghafaz al-Quran. Justeru, kaedah
tadarus, tasmi’, talaqqi dan musyafahah juga merupakan kaedah yang diberi keutamaan dalam
kaedah pengajaran dan pembelajaran tahfiz al-Quran (Azmil Hashim et. al., 2013).

Di peringkat penutup pengajaran dan pembelajaran al-Quran, Ustazah Azie menutup sesi
pengajaran dan pembelajaran dengan peneguhan terhadap pengertian ayat serta pengajaran yang
dapat diambil daripada pengertian ayat al-Quran. Sesi pembelajaran dan pengajaran al-Quran
diakhiri dengan kata-kata nasihat dan galakan kepada para pelajar agar membaca al-Quran
dengan tartil dan betul. Pemerhatian dalam kelas semasa akhir sesi pengajaran dalam kelas
mendapati Ustazah Azie menasihati pelajar agar membaca al-Quran dengan sebutan yang betul
agar mampu meresap ke dalam hati dan jiwa manusia. Beliau menerangkan bahawa perintah
yang Allah SWT turunkan kepada manusia agar membaca ayat al-Quran dengan tartil yang betul.
Menerusi kaedah tartil ini timbul satu ilmu talaqqi iaitu wajib bagi golongan penghafaz al-
Quran. Ayat-ayat al-Quran yang menjadi fokus pengajaran pada hari itu dikaitkan dengan ayat
al-Quran yang lain beserta dengan contoh seperti surah al-Alaq sebagai peneguhan.
(GPI MTS/OBS/KP:027)

Ini bertepatan dengan kerangka teori yang Azmil Hashim et. al. (2013) yang dikemukakan oleh
al-Qabisi (1955) telah menggunakan kaedah tertentu dalam proses pengajaran dan pembelajaran
tahfiz. Antaranya ialah kaedah talqin (mengajar), takrar (latih tubi), al-mail (cintakan al-Quran)
dan al-fahm (kefahaman).
Demikianlah kaedah pengajaran dan pembelajaran al-Quran yang efektif perlu dilaksanakan
meliputi pada tahap permulaan, perkembangan dan penutup sesi pengajaran dan pembelajaran al-
Quran. Mohd Yusof (2000) menjelaskan bahawa ketiga-tiga tahap itu adalah penting dalam
pengajaran dan pembelajaran al-Quran.
Disamping kaedah-kaedah yang diaplikasi, Ustazah Azie turut menggunakan alat bantu
mengajar dalam pelaksanaan kaeadah pengajaran subjek Tilawah al-Quran. Alat bantu mengajar
yang kerap digunakan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran al-Quran di MITS adalah
naskhah al-Quran, kertas mahjung, papan putih dan poster hukum tajwid.

6.0 KESIMPULAN
Guru memperkenalkan tajuk pembelajaran dan meminta pelajar membaca beberapa potongan
ayat al-Quran terlebih dahulu pada awal pembelajaran mereka. Guru menggunakan kaedah
bercerita, kaedah perbincangan, menggunakan kaedah bacaan al-Quran secara tartil dan
bertaranum, komunikasi dua hala antara pelajar dan guru dengan guru membaca dan pelajar
mengikutnya selepas guru berhenti membaca dan pelajar diminta untuk melihat mulut guru agar
mendapat bacaan yang betul. Guru juga membahagikan pelajar kepada satu kumpulan pelajar
yang mempunyai tiga tahap iaitu yang baik, sederhana dan lemah dan menitikberatkan aspek
latihan dan latih tubi kepada pelajar yang lemah. Selain itu, guru juga meminta pelajar
9

mengeluarkan hukum-hukum tajwid daripada potongan ayat-ayat al-Quran yang dibaca. Guru
menamatkan pembelajaran dengan melaksanakan kaedah pengukuhan iaitu membuat penjelasan
terhadap intipati pengertian ayat-ayat al-quran yang telah dibaca dibaca dalam sesi pembelajaran.
Guru menggunakan alat bantu iaitu naskhah al-Quran, kertas mahjung, papan putih dan poster
hukum tajwid.

7.0 RUJUKAN
Ab.Halim Tamuri.2006. Modul Pengajaran dan Pembelajaran Tahfiz al-Quran: Pendekatan
Masa Kini. Konvensyen Pensyarah Tahfiz Peringkat Kebangsaan. Universiti Kebangsaan
Malaysia.

Abdul Hafiz Abdullah & Hasimah Muda. 2003. Kaedah Hafazan al-Quran yang Sistematik dan
Praktikal dalam Melahirkan Para Huffaz yang Rasikh. Selangor :UiTM.

Abdul Hafiz bin Abdullah, Hussin Salamon, Azmi Shah Suratman, Sulaiman Shakib Mohd
Noor, Kamarul Azmi Jasmi & Abdul Basit Samat @ Darawi. 2005. Sistem Pembelajaran Dan
Kaedah Hafazan Al-Quran Yang Efektif: Satu Kajian Di Kuala Lumpur Dan Terengganu.
Universiti Teknologi Malaysia.

Abu Najihat Al-Hafiz. 2002. Panduan bagi Hafiz-hafizah dan Qari dan Qari’ah. Selangor:
Penerbit Darul Iman.

Al-Kaylani, Taisir, Iyad & Mulhim.1986. At-Taujih al-Fanny fi Usul at-Tarbiyah wa Tadris.
Beirut: Muktabah Lubnan.

Al-Qabisi. Abi Hasan Ali Muhammad Khalaf. 1955. Ar-Risalah al-Mufassolah li Ahwal al-
Mua’allimin wa Ahkam Almu’allimin wal Mutaallimin. Kaherah: Dar Ehya’ al Kutub al-
Arabiyyah.

Hitchcock,G.&Hughes,D. 1995.Research And The Teacher: A Qualitative Introduction To


School Based Research.London&New York:Routledge.
Ibn Khaldun. 2000. Muqaddimah Ibn Khaldun. Terj. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan
Pustaka.

LeCompte,M.D.&Preissle,J.1993.Ethnography and Qualitative Design in Educational


Research.2nd Edition.San Diego:Academic Press.
Misnan Jemali, Ab. Halim Tamuri & Azmil Hashim. 2014. Kaedah Pengajran al-Quran Sekolah
Menengah Kebangsaan di Negeri Perak. International Jurnal of Islamic Studies and Arabic
Language Education 1(1):35-44.
10

Mohd Aderi Che Noh. (t.th.). Amalan Pengajaran Tilawah al-Quran : Satu Tinjauan Terhadap
Persepsi Guru di Sekolah Menegah Harian Malaysia. Jurnal of Islamic and Arabic Education.
1(1):57-72.

Mohd Aderi Che Noh. 2004.Celik al-Quran di kalangan pelajar tingkatan satu Zon Pudu Kuala
Lumpur. Kertas Projek Sarjana Pendidikan. Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi.

Mohd Aderi Che Noh & Rohani Ahmad Tarmizi. 2009. Persepsi Pelajar Terhadap Amalan
Pengajaran Tilawah al-Quran. Jurnal Pendidikan Malaysia. 34(1):93-109.

Mohd Farid Mohamad, Zawawi Ismail & Rahimi Md Saad. t.th. Celik al-Quran: Cabaran dan
Realiti Dalam Pendidikan Islam Di Sekolah. Jurnal Masalah Pendidikan. Fakulti Pendidikan
Universiti Malaya.

Mohd Yusuf Ahmad. 2004. Sejarah dan Kaedah Pendidikan al-Quran. Kuala Lumpur:
Universiti Malaya.

Yin, R.K. 1994.Case Study Research: Design And Methods (2nd edition). Thounsand Oaks: Sage
Publications, Inc.