Anda di halaman 1dari 14

See discussions, stats, and author profiles for this publication at: https://www.researchgate.

net/publication/320842619

Inovasi Politik di Malaysia: Keperluan atau Kehendak?

Conference Paper · June 2012

CITATIONS READS
0 1,280

5 authors, including:

Nik Mohd Saiful W Mohd Sidik Amir Asraf Yunus


Universiti Putra Malaysia University of Malaya
4 PUBLICATIONS   0 CITATIONS    3 PUBLICATIONS   0 CITATIONS   

SEE PROFILE SEE PROFILE

Some of the authors of this publication are also working on these related projects:

Softskills View project

Inovasi Politik View project

All content following this page was uploaded by Amir Asraf Yunus on 04 November 2017.

The user has requested enhancement of the downloaded file.


Regional Conference on Cross Cultural Communication and National Integration 2012
(RECCNI2012) * 19-21 June 2012 * Kuala Lumpur

Inovasi Politik di Malaysia: Keperluan atau Kehendak?


Mohammad Faizal Mohammad Mokhtar; Universiti Putra Malaysia, Malaysia;
faizal.mokhtar79@gmail.com
Nik Mohd Saiful W. Mohd Sidik; Universiti Putra Malaysia, Malaysia; nikmohdsaiful@gmail.com
Amir Asraf Yunus; Universiti Putra Malaysia, Malaysia; asrafyunus@gmail.com
Abdul Hadi Samsi; Universiti Putra Malaysia, Malaysia; hadisamsi88@gmail.com
Mohd Razali Harun; Universiti Putra Malaysia, Malaysia; ilazar82@yahoo.com.my

Abstrak – Landskap politik di Malaysia mengalami banyak perubahan seiring dengan


kepesatan pembangunan negara dan kemajuan teknologi global. Keadaan ini sedikit sebanyak
memberi kesan langsung terhadap iklim politik negara, selain mengubah pendekatan ahli
politik dalam berpolitik dan melaksanakan sistem demokrasi negara. Ini menyebabkan
timbulnya rasa tidak senang hati antara satu sama lain terutama golongan ahli parti politik
yang berlainan corak perjuangan serta ideologi. Justeru itu, inovasi politik dilihat antara cara
terbaik dalam merapatkan jurang yang wujud dalam landskap politik negara pada masa kini
dalam usaha menjayakan hasrat Malaysia mencapai status Negara berpendapatan tinggi, selain
merealisasi wawasan negara menjelang tahun 2020. Kertas ini akan melihat kepada
keutamaan mewujudkan inovasi politik dalam landskap politik Negara dengan melihat samada
ianya satu bentuk kehendak atau keperluan dalam mengubah corak pemikiran, dan
pendekatan ahli politik berpolitik, serta sistem demokrasi di Malaysia. Inovasi politik
diketengahkan untuk mencari idea kreatif bagi memperbaiki sistem politik di Malaysia. Ini
kerana corak politik di Malaysia perlukan anjakan paradigma kepada urus tadbir politik yang
berdaya saing, lebih matang dan terbuka mengikut acuan sendiri. Ini supaya segala keputusan
yang dibuat lebih mengutamakan rakyat. Inovasi politik membolehkan politik disesuaikan
dengan perkembangan tamadun manusia pada abad ke-21.

Kata Kunci – inovasi politik; anjakan paradigma; pendekatan politik

PENGENALAN
Perubahan landskap politik negara pada hari ini adalah seiring dengan kepesatan
pembangunan negara. Keadaan ini sekaligus menyebabkan rakyat cenderung untuk
menuntut perubahan dalam sistem demokrasi negara, selain mendesak perubahan cara
dan kaedah ahli-ahli politik dalam menjalankan kempen-kempen politik terutama
setiap kali tiba musim Pilihan Raya Umum (PRU).

Perubahan landskap politik negara juga berlaku bukan kerana PRU ke-12 atau semasa
PRU berkenaan. Menurut Saifuddin Abdullah (2011), ia berlaku sejak terbitnya
milenium baru ini. Antara faktor yang mempengaruhi perubahan tersebut ialah
globalisasi, liberalisasi, teknologi maklumat dan informasi, dan kemunculan generasi Y.
Rakyat pada hari ini didapati semakin jelek dengan sistem demokrasi sedia ada dan
corak politik ahli-ahli politik tidak kira daripada parti mana sekalipun. Bagi rakyat, cara
dan kaedah yang diamalkan sejak pilihan raya pertama diadakan pada tahun 1955,
hingga kini sudah lapuk ditelan zaman. Mereka mengharapkan agar ada perubahan
dilakukan bagi mengukuhkan sistem demokrasi negara dan menarik minat lebih ramai
pengundi turun mengundi semasa PRU berlangsung. Justeru itu, beberapa pihak telah
mengambil inisiatif untuk memberikan cadangan kepada pihak pemerintah agar
memainkan peranan yang lebih aktif dalam memacu proses pendemokrasian yang baik
di Malaysia. Antara contoh yang paling popular ialah Himpunan BERSIH 3.0 yang
diadakan di Kuala Lumpur pada 28 April yang lalu.1 Mereka telah menjalankan
beberapa siri himpunan sebelum ini untuk tujuan yang sama iaitu Himpunan BERSIH
dan Himpunan BERSIH 2.0.

Sebagai contoh, Barisan Nasional (BN) yang sentiasa yakin akan kemenangan dalam
tangan mereka, masih menggunakan paradigma perjuangan lama dalam manifesto
pilihan raya dengan menjadikan pembangunan sebagai tonggak atau landasan
perjuangan mereka (Ahmad Atory, 2009). Sedangkan mereka tidak sedar generasi
Melayu yang lahir daripada Dasar Ekonomi Baru (DEB) tidak melihat pembangunan
material sebagai landasan kempen yang penting. Mereka sebaliknya tertumpu kepada
isu-isu bukan pembangunan material seperti Bahasa Melayu yang tidak lagi menjadi
bahasa pengantar dalam subjek Matematik dan Sains, keadilan, kehakiman, isu rasuah
dan sebagainya. Bagi masyarakat bukan Melayu pula, mereka lebih suka melihat kepada
perkara-perkara bukan ekonomi, antaranya isu ketuanan Melayu, agama Islam dan
kebudayaan.

Kesan langsung daripada kejengkelan penerimaan rakyat terhadap sistem demokrasi


sedia ada dan cara lapuk berpolitik memberi kesan hebat pada PRU ke-12 yang
berlangsung pada Mac 2008. Pada ketika itu, BN yang diberi mandat memerintah
negara sejak tahun 1955 sebagai Parti Perikatan, terpaksa akur dengan tsunami politik
yang melanda negara hingga menyaksikan perubahan besar berlaku dalam sistem
demokrasi Malaysia yang tidak mengalami banyak perubahan sejak berlakunya tragedi
perkauman pada 13 Mei 1969. Keputusan PRU ke-12 menyaksikan BN sekadar mampu
meraih kemenangan majoriti tipis berbanding pembangkang pada peringkat Parlimen.
Pada peringkat Dewan Undangan Negeri pula, BN hilang empat negeri iaitu Selangor,
Perak, Pulau Pinang dan Kedah. Manakala Kelantan kekal sebagai kubu kuat PAS.

Susulan itu, satu inovasi politik perlu dilaksanakan bagi mengubah sistem demokrasi
negara dan mengubah corak lapuk mengenai cara ahli politik berpolitik agar dapat
menarik semula minat rakyat turun mengundi dalam memilih parti atau pemimpin yang
benar-benar layak memerintah dan mewakili suara mereka di Parlimen mahupun

1
Terdapat lapan tuntutan yang dikemukan dalam himpunan tersebut iaitu Bersihkan Senarai Undi (Daftar Pemilih),
Reformasikan Undi Pos, Gunakan Dakwat Kekal, Akses Media Yang Bebas & Adil, Tempoh Berkempen Minima 21
Hari, Kukuhkan Institusi Awam, Hentikan Rasuah dan Hentikan Politik Kotor.
Regional Conference on Cross Cultural Communication and National Integration 2012
(RECCNI2012) * 19-21 June 2012 * Kuala Lumpur

Dewan Undangan Negeri. Perubahan yang dilaksanakan dipercayai mampu mengubah


persepsi rakyat sekaligus membolehkan mereka menerima cara baru berpolitik yang
tidak menjemukan atau menjengkelkan. Ini kerana, inovasi politik menekankan
mengenai imaginasi manusia dalam aspek kepercayaan, tindakan dan perbuatan (James
Farr dan rakan-rakan, 1989). Bagi rakyat pula, kempen politik berasaskan ugutan
mahupun taburan janji bukan lagi corak politik berkesan dalam dunia serba moden dan
canggih pada hari ini.

Untuk itu, kertas kerja ini akan menilai sama ada inovasi politik diperlukan di Malaysia
dalam usaha mengubah sistem demokrasi dan sistem politik Negara, atau sekadar satu
bentuk kehendak dalam merealisasikan hasrat pelaku-pelaku politik untuk terus kekal
dalam jawatan dan mentadbir Negara.

INOVASI POLITIK
Terma inovasi politik merupakan sesuatu yang baru dalam sistem politik dan
demokrasi Malaysia. Meskipun ia pernah disebut dan dicadangkan oleh Timbalan
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah dan Menteri Sains Teknologi dan
Inovasi, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili, masih tidak ada pelaksanaan khusus bagi
merealisasikannya.
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, inovasi bermaksud sesuatu yang baru
diperkenalkan seperti kaedah, adat dan lain-lain yang baru. Malah terma inovasi juga
ada dinyatakan sebagai salah satu nilai aspirasi dalam Gagasan 1Malaysia yang
diperkenalkan Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak pada tahun
2009. Menurut Saifuddin Abdullah (2010), budaya inovasi menunjukkan kesediaan
untuk berubah, serta mencuba perkara dan cara baru dalam kehidupan. Dari segi
konsep, ia merangkumi kreativiti dan inovasi yang menjadi penggerak kepada
pertumbuhan dalam setiap bidang. Inovasi juga meliputi penambahbaikan dan
penyesuaian kepada kreativiti sedia ada hingga memberi nilai tambah yang boleh
digunakan.
Sementara itu, inovasi menurut Barbara Wejnert (2002), berupaya memberi kesan
kepada Negara, negeri-negeri dalam sesebuah Negara, dan organisasi-organisasi serta
pertubuhan-pertubuhan sosial yang kebanyakkannya terlibat dengan isu-isu berkait
rapat dengan masyarakat. Antaranya, model politik mengenai demokrasi, polisi
kebajikan, pendidikan dan perundangan Negara. Inovasi juga mampu memulihkan
kualiti hidup individu, selain menambah baik struktur organisasi dan sosial.
SISTEM DEMOKRASI MALAYSIA
Sistem demokrasi negara yang diamalkan sejak Tanah Melayu memperoleh
kemerdekaan daripada kerajaan British, seterusnya selepas pembentukan Malaysia
pada 1963, masih kekal utuh sehingga hari ini. Ia masih suatu sistem politik yang
terbaik. Menurut Chan (1993) dalam sistem demokrasi, pemilihan pemimpin-pemimpin
dibuat menerusi pilihan raya yang mencabar atau sistem demokrasi yang mengamalkan
pilihan raya yang bebas dan adil. Sistem ini masih lagi diamalkan sehingga ke hari ini.
Menurut K.S Jomo (1996), 87.1 peratus rakyat Malaysia percaya bahawa demokrasi
adalah sistem kerajaan yang terbaik dan 56.1 peratus bersetuju bahawa Malaysia
mengamalkan sistem demokrasi. Namun begitu, 49.3 peratus kaum Cina dan 43 peratus
masyarakat India bersetuju Malaysia sebuah negara yang mengamalkan sistem
demokrasi. Rujukan ini adalah pertanda terhadap kefahaman rakyat Malaysia mengenai
proses sistem demokrasi yang mempengaruhi pilihan raya di Malaysia.
Namun demikian, bagi menambahkan kekuatan dan mengurangkan kelemahannya,
pemikiran semula perlu dilaksanakan terutamanya mengenai cara berfikir dan
melakukan sesuatu atas nama demokrasi, malahan tentang gagasan demokrasi itu
sendiri (Saifuddin Abdullah, 2011). Justeru itu, sesuatu perlu dilakukan dalam usaha
mematangkan demokrasi di Malaysia. Ini termasuk mempertingkat dan
memperluaskan penglibatan generasi muda dan belia dalam sistem demokrasi negara.
Menurut kajian Freedom House, Malaysia bukanlah sebuah negara yang mengamalkan
sistem demokrasi yang bebas sepenuhnya terutamanya dari aspek pilihan raya,
berbanding dengan Jepun dan Korea Selatan. Amalan separa demokrasi ini berlaku
sejak tahun 1974 lagi, sekaligus menyebabkan Profesor Huntington pada tahun 1991
mengklasifikasikan Malaysia sebagai sebuah negara yang tidak demokrasi, bersama-
sama Singapura dan Thailand.
Laman sesawang www.freedomhouse.org mendefinisikan negara yang mengamalkan
sistem demokrasi yang sebahagian bebas, tidak menghormati sepenuhnya hak-hak
dalam politik dan hak asasi orang awam. Negara-negara di dalam kategori ini biasanya
terjejas akibat persekitaran rasuah, kelemahan pelaksanaan undang-undang dan
mengamalkan landskap politik berasaskan satu parti yang mendominasi dan mengawal
pentadbiran negara. Malah perubuhan sama turut menyifatkan sistem pilihan raya yang
wujud di Malaysia adalah bebas, namun tidak adil.
Pelbagai isu berbangkit saban tahun, namun seringkali dinafikan pihak berwajib
dengan menyatakan ianya satu fitnah dalam usaha menjatuhkan kerajaan atau
pemimpin. Antara isu berbangkit ialah mengenai kebebasan akademik, sistem
perundangan dan kehakiman, sistem pilihan raya, amalan media dan pelbagai lagi yang
menyebabkan timbulnya kejengkelan dan kebencian rakyat pada parti pemerintah.
Dalam erti kata lain, Malaysia merupakan negara yang mengamalkan sistem demokrasi
terpimpin bagi mengawal kebebasan dari aspek tertentu dalam usaha memastikan
Regional Conference on Cross Cultural Communication and National Integration 2012
(RECCNI2012) * 19-21 June 2012 * Kuala Lumpur

negara kekal aman dan sejahtera daripada sebarang ancaman yang boleh menyebabkan
Malaysia kembali dijajah kuasa asing.

CORAK POLITIK MALAYSIA


Barat melihat politik di Malaysia tertumpu kepada pluralisme politik yang juga
merupakan ciri sistem politik negara. Terdapat tiga etnik yang berbeza dengan masing-
masing mempunyai institusi politik tersendiri. Keadaan ini menyebabkan ahli-ahli sains
sosial barat terpesona dan berminat dengan konflik dan perpecahan politik yang wujud
di Malaysia.
Malaysia merupakan negara yang mempunyai masyarakat majmuk yang terdiri
daripada berbilang kaum dan bangsa. Namun begitu, kemajmukan tersebut dilihat
sebagai satu bentuk provokasi yang timbul akibat daripada percampuran etnik di
Malaysia. Menurut Rupert Emerson (1957), British telah mencorak masyarakat majmuk
di Malaysia dan negara ini mempunyai contoh masyarakat majmuk paling sempurna
dengan latar belakang yang berbeza dan mempunyai perkongsian baik dari aspek
kehendak ekonomi, bahasa, budaya dan kepelbagaian.
Di Malaysia, istilah ‘politik’ merupakan satu istilah yang hangat diperdebatkan. Ahli
politik menggunakan istilah tersebut sebagai satu teori permainan atau ‘the game
theory’ yang mengakibatkan ramai di antara mereka kecewa dalam kancah permainan
politik (Shariff Ahmad, 1983).
Malaysia sejak pilihan raya pada tahun 1955 telah mengamalkan sistem satu parti
dominan yang terdiri daripada pelbagai parti politik ataupun komponen bagi
membentuk kerajaan (Means, 1991 dan Noorulhafidzah, 2011). Barisan Nasional (BN)
yang dahulunya dikenali sebagai Parti Perikatan yang terdiri daripada gabungan 13
parti politik, masih kekal mentadbir negara walaupun berdepan dengan tsunami politik
pada PRU ke-12 pada tahun 2008.
Dalam pilihan raya itu, hanya 58 peratus pengundi Melayu membuang undi untuk
kerajaan, manakala hanya 35 peratus dari kalangan masyarakat Cina (Ong, 2008).
Walaupun BN dapat mengekalkan majoriti undi popular, tetapi kemerosotan pada
pilihan raya kali ini adalah begitu mengejutkan dan ditafsirkan sebagai "'kemenangan
bersejarah" untuk pembangkang (Weiss, 2009). Buat kali pertama, kerajaan kehilangan
majoriti dua pertiga di parlimen dan BN juga hilang empat kerajaan negeri.
Menurut kajian oleh Abdul Rashid Moten (2011), kebanyakan responden menganggap
sistem politik Malaysia menjadi berat sebelah dan tidak seimbang kerana tindakan
kerajaan yang memerintah mengekang amalan hak sivil dan politik melalui sekatan
perhimpunan atau demotrasi, perintah tahanan (ISA), dan kuasa perundangan serta
darurat. Malah, menurut Harold Crouch (1990), sistem politik di Malaysia sebagai tidak
autoritarian dan tidak demokratik, tetapi hanya sebuah demokrasi yang diubahsuai.
Corak politik yang diamalkan oleh pemimpin politik ketika menjelang Pilihan Raya
Umum (PRU) juga masih ditakuk lama. Kempen-kempen politik dengan cara mengugut
rakyat seperti mana yang diamalkan Barisan Nasional (BN) sudah tidak sesuai
dilakukan memandangkan rakyat dalam dunia politik moden pada hari ini lebih
dahagakan pemimpin yang lebih mempunyai kredibiliti dan keyakinan yang tinggi
dalam membawa arus perubahan kepada rakyat terutamanya yang melibatkan perkara-
perkara atau isu yang tidak bersifat material.
Rakyat sudah jelek dengan sikap para pemimpin yang suka memanipulasi kepercayaan
rakyat dalam mencapai kehendak politik mereka masing-masing (Means, 1991). Malah
tindak-tanduk pemimpin yang gemar mengutamakan survival politik individu dengan
mengutamakan diri sendiri dan keluarga lebih daripada rakyat, hanya akan memakan
diri, sekaligus menjejaskan peluang untuk kekal mentadbir negara.
Situasi ini akan memberikan kesan yang mampu mempengaruhi keputusan pilihan raya
di negara ini (Amer Saifude dan rakan-rakan, 2011). Keadaan ini pasti menyebabkan
rakyat atau pengundi cenderung memilih calon pemimpin berasaskan etnik mereka
semata-mata, bukan lagi berasaskan parti politik pilihan mereka. Mereka pasti akan
memilih calon yang memperjuangkan aspirasi dan kepentingan etnik mereka. Secara
tidak langsung senario ini menyebabkan peratusan pengundi yang keluar membuang
undi berkurangan.

KEPERLUAN ATAU KEHENDAK?


Melihat kepada senario sistem demokrasi dan sistem politik yang diamalkan di
Malaysia, penting bagi kita mengenalpasti sama ada inovasi politik ini adalah
merupakan satu keperluan yang perlu dilaksanakan atau kehendak semata-mata bagi
tujuan survival pelaku-pelaku dalam kedua-dua sistem berkenaan. Ia penting bagi
memastikan wujudnya anjakan paradigma kepada urus tadbir politik yang lebih
berdaya saing dan lebih profesional dalam memacu negara ke arah mencapai status
negara berpendapatan tinggi dan merealisasikan wawasan negara menjelang tahun
2020.

Keperluan
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, istilah keperluan bermaksud sesuatu yang
diperlukan, keharusan atau kemestian. Misalnya untuk mencapai pemerintahan yang
baik. Justeru itu, inovasi politik di Malaysia adalah perlu bagi memastikan perubahan
dapat dilaksanakan dalam memantapkan sistem demokrasi dan politik negara.
Inovasi politik bukanlah perkara yang baru dalam dunia politik moden. Ia telah
dilaksanakan oleh barat sejak lama dahulu. Amerika Syarikat misalnya telah
melaksanakan inovasi politik pada tahun 1930-an menerusi idea Presiden Andrew
Jackson. Perubahan berani yang dilakukan itu berjaya membawa sistem demokrasi dan
Regional Conference on Cross Cultural Communication and National Integration 2012
(RECCNI2012) * 19-21 June 2012 * Kuala Lumpur

politik di Amerika Syarikat kekal sehingga hari ini. Pentadbiran Jackson telah
memperkenalkan sistem dua parti yang membawa kepada peningkatan jumlah
pengundi pada pilihan raya yang diadakan. Sebelum itu, Amerika Syarikat
mengamalkan sistem pelbagai parti.
Kesedaran mengenai perlunya inovasi politik juga pernah disuarakan Presiden James
Monroe pada tahun 1821. Monroe yang mempertahankan jawatan Presiden bagi
penggal kedua sedar bahawa sistem politik Amerika Syarikat tidak lagi boleh
diteruskan dengan pengamalan sistem pelbagai parti. Beliau yakin sistem yang
diamalkan itu hanya meningkatkan kadar permasalahan perpaduan kaum dan rasuah
atau penyalahgunaan kuasa di Negara itu.
Di Malaysia, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili pada
tahun 2010 pernah menyuarakan pandangan bahawa Malaysia memerlukan inovasi
politik, terutamanya di Sabah dan Sarawak. Beliau menggesa Barisan Nasional (BN) di
kedua-dua negeri itu melakukan inovasi politik untuk terus kekal sebagai ‘simpanan
tetap’ bagi parti gabungan itu. Menurutnya, masih ada kelemahan dalam sistem sedia
ada untuk diperbetulkan. Pemimpin harus bersedia mendengar perubahan yang
dituntut rakyat. Jika BN mempunyai keazaman politik untuk mendengar dan
melaksanakan perubahan, parti itu tidak akan menghadapi masalah di masa hadapan.
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah pada tahun 2011 turut
menyarankan agar sesuatu dilaksanakan bagi mematangkan lagi demokrasi negara. Ia
selaras dengan salah satu daripada cabaran Wawasan 2020, iaitu mewujudkan
masyarakat demokratik yang matang. Pelaksanaannya bukan sesuatu yang mudah,
namun ia boleh direalisasikan sekiranya semua pihak dapat menerimanya dengan baik.
Antara langkah yang boleh dilakukan dalam mengaplikasikan inovasi politik ialah
menggunakan pendekatan politik baharu.
Menurut Subroto Katimin (2012), Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul
Razak telah mewujudkan satu model politik baharu yang berasaskan idealisme
perjuangan. Ia menitikberatkan amalan politik ilmu bukannya politik ampu, politik
hikmah bukannya politik fitnah dan politik bakti bukan politik undi. Dalam model ini,
para pentadbir kerajaan tidak boleh lagi memainkan peranan sebagai "pemerintah",
sebaliknya sebagai "pemudahcara".
Matlamat memodenkan politik ini bertujuan membangunkan rangka kerja organisasi
yang cukup fleksibel (Welch, 1967). Ia juga membantu dalam proses menggalakkan
pengwujudan masyarakat yang moden. Justeru itu, pelaksanaannya menuntut
perubahan dalam sifat penglibatan politik yang merupakan aspek yang paling sukar
dicapai. Secara ringkasnya, kerajaan perlu sepenuhnya mempunyai kemampuan dalam
melaksanakan skop tugasan yang luas bagi mencapai tujuan yang dinyatakan.
Melalui model politik baharu, badan-badan politik dan sayap-sayap dalam pertubuhan
seperti Barisan Nasional (BN) digalakkan mengambil inisiatif untuk mengadakan
sesuatu program yang hasilnya akan dapat menyelesaikan isu dan masalah rakyat yang
dibangkitkan. Dengan cara ini, kerajaan BN akan mendekatkan parti dengan rakyat dan
rakyat tidak perlu bergantung kepada pihak lain. Malah, rakyat boleh mengharapkan
BN sebagai parti yang mampu memenuhi harapan rakyat dan menyelesaikan masalah.

Kehendak
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, istilah kehendak didefinisikan sebagai hajat,
keinginan atau kemahuan yang keras. Ia penting dalam usaha untuk pengekalan
survival ahli-ahli politik dalam arena politik negara.
Kehendak di dalam konteks politik di Malaysia merujuk kepada budaya demokrasi yang
dapat menjamin kestabilan politik demokratik. Menurut William Case (2001) kerajaan
Malaysia memiliki keunikan “autoritariansme” yang dapat menjamin demokrasi dalam
kestabilan politiknya.
Masyarakat Malaysia amat memerlukan perubahan yang akan meningkatkan
kepercayaan mereka terhadap sistem demokrasi yang sedia ada. Dari sudut parti
politik, konteks kehendak perlu ada bagi memperbaiki struktur gaya demokrasi yang
akan menunjukkan bahawa sistem demokrasi di Malaysia adalah pada tahap matang.
Daripada unjuran yang diperhalusi, menurut Mohd Arif Atan (2009) Pilihan Raya
Umum ke-12 nyata bukan sahaja mendatangkan tsunami politik kepada Barisan
Nasional (BN) bahkan dikhuatiri menjejaskan masa depan politik, ekonomi dan sosial
Melayu. Dengan ini, jelas menunjukkan kejutan bahawa tahap sistem demokrasi
menjadi mitos yang akan mengakibatkan sokongan Melayu semakin lemah dan
menjurus kepada parti bukan Melayu.
Kealpaan dalam sistem demokrasi memperlihatkan sokongan golongan muda-mudi
yang makin memberontak di dalam hal-hal berkaitan belia. Sokongan belia pada masa
kini, menjadi trend yang sukar untuk diperbaiki kerana kelemahan gara-gara sosialisasi
“tak apa” dari pelbagai segi tidak menjaga kebajikan dan hak mereka. Gelombang belia
ini mencari kestabilan pada saat-saat akhir dengan mengembalikan peluang yang cerah
kepada pembangkang. Ledakan keinginan mereka mencari kestabilan dengan menaruh
harapan kepada parti pembangkang dan seterusnya menjadikan harapan baru di
Malaysia.
Menurut Dzulkifli Ahmad (2009) berdasarkan model ekonometrik, purata swing atau
tersasar peringkat parlimen di semenanjung Malaysia jika dibandingkan pada Pilihan
Raya Umum ke-11 pada tahun 2004, melayu 5.13 peratus, cina 56.26 peratus, dan India
meningkat kepada 69.09 peratus. Angka swing ini menunjukkan tahap kepercayaan
demokrasi di Malaysia telah diperjelas. Ini jelas menunjukkan kehendak dalam inovasi
politik di Malaysia merupakan satu mekanisme yang yang perlu ada pada masa kini.
Regional Conference on Cross Cultural Communication and National Integration 2012
(RECCNI2012) * 19-21 June 2012 * Kuala Lumpur

Memahami mesej rakyat, kehendak inovasi politik bukan lagi satu mitos yang perlu
ditakuti oleh parti pemerintah di Malaysia. Masyarakat Malaysia bukan lagi berfikiran
jumud di dalam perkembangan kemajuan komunikasi dan teknologi (ICT) yang
membolehkan mereka mengakses segala maklumat alternatif politik. Manusia tidak
akan berinovasi tanpa teknologi, malah aspek perbandaran (urbanisasi) dan
pendedahan ICT membuktikan bahawa budaya politik di Malaysia bukan lagi suatu
yang sukar ditafsir oleh rakyat Malaysia.
Politik yang berlaku di Malaysia kini juga sudah mencapai satu tahap kepada kehendak
bagi sesebuah parti dalam mengukuhkan lagi kekuatan parti. Sebagai contoh PAS dan
DAP sudah mula membuka keahlian parti kepada bangsa-bangsa lain. Bagi DAP Melayu,
mereka sedang rancak merekrut dan mengasuh calon-calon Melayu berstatus frust yang
mana calon-calon ini dipilih dan dikenal pasti sebagai calon yang boleh membawa
kemenangan atau winnable candidates kepada DAP umumnya dan Pakatan Rakyat
khususnya (Agenda Daily).2
Seperti sedia maklum PAS merupakan sebuah parti Islam yang hanya untuk orang
Melayu sahaja sebelum ini, namun apabila inovasi dilakukan dengan membuka keahlian
kepada orang bukan Islam untuk menyertai parti tersebut telah membuka satu
lembaran baru kepada parti tersebut untuk menarik lebih banyak sokongan daripada
bangsa lain. Menurut Pengerusi Kelab penyokong PAS (KPP) kaum India, N.
Balasubramaniam, kelab ini telah mengumpul lebih daripada 40,000 orang ahli bukan
Melayu. Keahlian paling ramai pada masa ini adalah di Perak iaitu seramai 19,000
orang diikuti Kedah seramai 15,000 orang, Selangor 5,000 orang dan Pahang 4,800
orang (Malaysiakini).3
Inovasi politik ini juga merujuk kepada kehendak rakyat itu sendiri yang mahukan
perubahan di samping kebajikan mereka terjaga oleh pemimpin yang di pilih oleh
mereka. Umno dan Kerajaan Barisan Nasional sering dikaitkan dengan rasuah dan salah
guna kuasa sebagai contoh kes skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang dan Bekas Menteri
Besar Selangor, Dr. Mohamad Khir Toyo serta beberapa pegawai kerajaan di Selangor,
begitu juga pada zaman pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi, yang mana beliau
memperlekehkan kematangan dan daya fikiran rakyat menerusi kes Tan Sri Eric Chia
dan Tan Sri Kasitah Gadam serta 18 kes berprofil tinggi (Zainal Abidin Ahmad, 2012).
Kes-kes rasuah yang berlarutan ini menyebabkan Barisan Nasional mengalami
kekalahan pada pilihan raya ke-12 terutamanya di tiga kubu kuat Barisan Nasional iaitu
Selangor, Kedah dan juga Pulau Pinang. Pemilihan Pakatan Rakyat di tiga negeri
tersebut di pengaruhi juga dengan manifesto-manifesto Pakatan Rakyat yang
mementingkan kebajikan rakyat.

2
Boleh didapati di laman sesawang www.agendadaily.com
3
Boleh didapati di laman sesawang http://mb.selangorku.com
Negeri Selangor misalnya pada ambang pemerintahan Kerajaan Barisan Nasional
rakyat tidak mendapat manfaat dan faedah tetapi pada pemerintahan Pakatan rakyat
yang di teraju oleh Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim, telah diberikan manfaat di
samping menjaga kebajikan rakyat di antaranya bekalan air percuma 20 meter padu,
hadiah masuk universiti RM1000, Tabung warisan Anak Selangor (TAWAS) sebanyak
RM100, Skim Mesra Usia Emas dan banyak lagi bantuan yang telah di sediakan oleh
kerajaan Pakatan Rakyat kepada rakyat. Kegagalan menjaga kebajikan rakyat oleh
Barisan Nasional sebelum ini telah memberikan peluang kepada kerajaan Pakatan
Rakyat untuk mendapat sokongan daripada rakyat untuk terus menyokong perjuangan
kerajaan sedia ada yang dilihat sebagai pejuang kebajikan rakyat (Selangorku, 2012).4

KESIMPULAN
Selepas hampir 55 tahun mencapai kemerdekaan daripada pihak penjajah, kini sudah
tiba masanya Malaysia melaksanakan inovasi politik yang lebih tertumpu pada sistem
demokrasi negara dan juga corak amalan berpolitik di negara ini. Sebelum ini Malaysia
seolah-olah mengamalkan budaya politik yang bukan berpaksi kepada budaya watan
Malaysia. Malaysia dilihat seolah-olah mengamalkan budaya politik yang tidak
bersesuaian dengan budaya timur yang dibanggakan selama ini. Apa yang pasti, budaya
politik yang kurang baik sudah menular dalam jiwa pemain-pemain politik di Malaysia.
Natijahnya, mereka sanggup menggunakan cara berpolitik kotor semata-mata mahu
mengaut keuntungan politik secara cepat.
Inovasi politik perlu dilaksanakan segera di semua peringkat dalam masyarakat.
Antaranya, inovasi politik perlu diterapkan melalui sistem pendidikan. Melalui
pendidikan, kanak-kanak di peringkat sekolah perlu diajar dan diterapkan dengan nilai-
nilai murni dalam pembelajaran seharian khususnya dalam aspek kepimpinan.
Pemahaman di peringkat awal ini perlu supaya mereka telah mendapat pendedahan
seawal tentang budaya kepimpinan bestari sekiranya menjadi pemimpin kelak. Selain
itu, ia juga sesuai dilaksanakan di peringkat pengajian tinggi. Belia atau mahasiswa di
Institut Pengajian Tinggi (IPT) merupakan nadi kepada pembangunan negara pada
masa akan datang. Lebih dari itu, mereka bakal menerajui kepimpinan negara kelak.
Oleh itu, budaya berpolitik secara positif perlu menjadi asas dalam mengembangkan
bakal kepemimpinan mereka ketika menuntut di universiti.
Ini bermakna inovasi politik bukan hanya tertumpu kepada golongan pemain-pemain
politik yang bersifat kepartian semata-mata, malah melangkaui sempadan umur, etnik
dan latar belakang pendidikan. Oleh itu, budaya politik yang matang, inklusif dan
berinovasi hanya mampu dicapai sekiranya ahli masyarakat di semua peringkat
memahami akan agenda inovasi politik yang menuntut perubahan dilaksanakan bagi
memastikan impian negara dalam wawasan 2020 bagi mencapai status negara maju.

4
Boleh didapati di laman sesawang http://mb.selangorku.com
Regional Conference on Cross Cultural Communication and National Integration 2012
(RECCNI2012) * 19-21 June 2012 * Kuala Lumpur

RUJUKAN
Ahmad Atory Hussain. 2009. Politik Melayu di Persimpangan, Suatu Analisis Pilhan Raya
Umum 2008. Utusan Publications and Distributors Sdn Bhd. Kuala Lumpur.
Abdul Rashid Moten. 2011. Changing Political Culture and Electoral Behavior in
Malaysia. Asian Affairs: An American Review, 38:1, 39-56
Amer Saifude Ghazali, Mohammad Redzuan Othman, Zulkanain Abdul Rahman, Rosmadi
Fauzi. 2011. Pilihan Raya Umum Malaysia ke 13: Kecemerlangan Kerajaan atau
Pembangkang?. Dalam Prosiding Persidangan Mengenai Pilihan Raya dan
Demokrasi Di Malaysia 2011.
Barbara Wejnert. 2002. Integrating Models of Diffusion of Onnovations: A Conceptual
Framework. The Annual Review of Sociology. Boleh didapati di atas talian
http://soc.annualreviews.org
Bernama. 2010. BN Sabah dan Sarawak Perlu Lakukan Inovasi Politik. Diakses
daripada laman sesawang www.bernama.com pada 29 April 2012.

Brownlee, Jason. 2007. Authoritarianism in an Age of Democratization. Cambridge:


Cambridge University Press.

Case W. Malaysia’s resilient pseudodemocracy. J Democr 2001;12 1:43–57.


Chan Heng Chee. 1993. Democracy: Evolution and Implementation, An Asian Perspectives
dalam Democracy and Capitalism: Asian and American Perspectives. Institute of
Southeast Asian Studies: Singapore.
Claude E. Welch Jr. (ed). 1967. Political Modernization. Wadsworth Publishing
Company: California.
Dzulkifli Ahmad. 2009. Memahami Tsunami Politik PRU-12. Di dalam Haris Zalkapli.
Cabaran Politik Baharu Malaysia. Media Icon Sdn. Bhd.

Gabriel Almond dan Sidney Verba. (1965). The Civic Culture. Boston: Little, Brown.
Gordon P. Means. 1991. Malaysian Politics: The Second Generation. Oxford University
Press: New York.

Greene, Kenneth F. 2007. Why Dominant Parties Lose: Mexico’s Democratization in


Comparative Perspective. Cambridge: Cambridge University Press.

Harold Crouch. 1990. Malaysia: Neither Authoritarian nor Democratic.

James Farr, Terence Ball & Russell L. Hanson. 1989. Ideas in Context: Political Innovation
and Conceptual Change. New York: Cambridge University Press.
Jose Arsenio Torres dalam Claude E. Welch Jr (ed). 1967. Political Modernization.
Wadsworth Publishing Company: California.

Mahathir bin Mohamad. 1970. The Malay Dilemma. Singapore: Asia Pacific Press.

Mohd Arif Atan. 2009. Antara kecuaian pimpinan dan cauvinisme bukan Melayu. Di
dalam Haris Zalkapli. Cabaran Politik Baharu Malaysia. Media Icon Sdn. Bhd.

Michael Curtis (ed). 1962. The Nature of Politics. Avon Books: New York.
Noorulhafidzah Zawawi. 2011. Democratization in Malaysia: Why Does Election Result
Count?. Di dalam Prosiding Persidangan Mengenai Pilihan Raya dan Demokrasi
Di Malaysia 2011.

Ong Kian Miang. 2008. Making Sense of the Political Tsunami. Lawan sesawang
Malaysiakini.com diakses pada 27 Februari 2012. Boleh didapati secara atas
talian di http://www.malaysiakini.com/news/79604.
Richard Wyn Jones (ed). 2001. Critical Theory & World Politics. Lynne Rienner
Publishers: London.

Rupert Emerson. 1957. Foreword, di dalam Frank H. H. King. 1957. The New Malayan
Nation: A Study of Communalism and Nationalism. New York. Statistik populasi
semasa didapati daripada Kedutaan Malaysia di Washington, pada Mac 1990.
Saifuddin Abdullah. 2011. Mendepani Transformasi Ketiga Demokrasi. Boleh didapati di
The Malaysian Insider yang diakses pada 23 April 2012.
Saifuddin Abdullah. 2011. UMNO Perlu Pemikiran Politik Progresif. Boleh didapati di
dalam The Malaysian Insider yang diakses pada 23 April 2012.

Kwame S. Jomo. 1996. Elections’ Janus Face: Limitations and Potential in Malaysia di
dalam Robert H. Taylor. 1993. The Politics of Elections in Southeast Asia.
Washington, DC: Woodrow Wilson Center Press and Cambridge University Press.

Shariff Ahmad. 1983. Menjunjung Kasih. Kuala Lumpur.


Straits Times, 24 September 1998.

Subroto Hj. Katimin. 2012. Barisan Nasional: Pandangan Dari Jauh. Di dalam Hashim
Yaacob. Memahami Politik Menjelang Pilihan Raya ke-13. Pekan Buku
Publications.
The Economist. 2008. The Trials of Anwar. July 19, 37.
Weiss, Meredith. 2000. The 1999 Malaysian General Elections: Issues, Insults, and
Irregularities. Asian Survey 40 (3).
Regional Conference on Cross Cultural Communication and National Integration 2012
(RECCNI2012) * 19-21 June 2012 * Kuala Lumpur

Zainal Abidin Ahmad. 2012. PRU 13, UMNO Tumpas?. Petaling Jaya: Gerakbudaya
Entreprise.

View publication stats

Anda mungkin juga menyukai