Anda di halaman 1dari 1

PETALING JAYA: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin

mengakui mempunyai perancangan dan resepi tersendiri bagi memperkasakan lagi


Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) sekiranya badan induk itu diberikan
amanah untuk mengambil alih program berkenaan.

Menurut Hamidin, hasil perbincangan 'enam mata' bersama Kementerian Belia dan Sukan
(KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) dan FAM, beliau yakin satu keputusan positif mampu
dicapai dengan masing-masing meletakkan keutamaan pembangunan bola sepak di
peringkat akar umbi sebagai objektif utama.

"Kami sudah beberapa kali mengadakan perbincangan dengan pihak MSN, KBS dan juga
Menteri Sukan (Syed Saddiq Syed Abdul Rahman) dan menyatakan hasrat serta pandangan
dari segi kaca mata bola sepak.

"Kami sedang tunggu jawapan daripada menteri dan KBS, mungkin dalam masa terdekat
mereka akan membuat pengumuman itu.

"Tapi di pihak kami, FAM sudah menyampaikan pandangan dan saya buat masa ini enggan
mengulas lanjut memandangkan pasukan (Skuad B-16 tahun negara) masih lagi beraksi
di kejohanan (Konfederasi Bolasepak Asia) menentang Jepun esok.

"Untuk berlaku adil, biarlah ia habis perlawanan selepas itu saya akan membuat
kenyataan bagi pihak FAM," katanya ketika ditemui pada Seminar Pembangunan
Bolasepak Belia 'The Modern Trends In Youth Development' anjuran Persatuan
Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), di sini, hari ini.

Sebelum ini, hala tuju NFDP menjadi topik hangat selepas pertukaran kerajaan pada
Mei lalu dengan FAM dikatakan bakal mengambil alih program berkenaan.

NFDP yang dilancarkan pada 10 April 2014 adalah hasil cetusan idea bekas Menteri
Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang mahu melahirkan ramai pemain bola
sepak bertaraf dunia secara konsisten serta mengubah ekosistem pembangunan bola
sepak yang lebih sistematik dan menyeluruh.

Untuk rekod, NFDP kini mempunyai lebih 25,000 pelatih berusia tujuh hingga 17 tahun
yang menjalani latihan di pusat NFDP seluruh negara yang dibantu lebih 1,000
jurulatih termasuklah pelatih elit di Akademi Bolasepak Negara Mokhtar Dahari di
Gambang.

Sementara itu, mengulas mengenai skuad kendalian Lim Teong Kim yang akan menentang
Jepun di saingan AFC B-16 di Stadium Nasional Bukit Jalil petang esok, beliau
percaya kejutan mampu dilakar sekiranya pemain memberi fokus sepenuhnya untuk aksi
terakhir Kumpulan A itu.

Katanya, meskipun skuad Samurai Biru itu dikatakan antara pasukan 'gergasi' benua
ini, namun tahap bola sepak di peringkat bawah umur adalah setara dan tidak
mustahil kemenangan boleh diraih.

"Pasukan Jepun ini (B-16) bukan pasukan Piala Dunia. Peratusan untuk pasukan di
peringkat bawah umur 16, 19 ataupun 23 adalah sama tetapi bila peringkat senior
baru nampak ada perbezaan ketara.

"Jadi saya kira pasukan kita esok kalau bermain dengan semangat satu pasukan dan
mempunyai jati diri kita boleh kalahkan Jepun," katanya.

Malaysia tiada pilihan lain selain wajib menang ke atas Jepun sekiranya berhasrat
untuk melangkah ke peringkat lapan terbaik selepas kegembiraan menewaskan
Tajikistan 6-2 pada aksi pertama Khamis lalu diganggu Thailand yang menumbangkan
skuad negara 2-4 pada Ahad lalu.