Anda di halaman 1dari 4

1.

0 AKTIVITI PEMULIHAN TULISAN

1.1 Latihan Sebelum Menulis

Antara aktiviti yang boleh dilaksanakan untuk pemulihan tulisan ialah dengan
mengelolakan kelas lukisan dan bentuk-bentuk penting yang menjadi asas penulisan
iaitu bulatan, garisan, lengkungan serta kombinasi lengkungan dan garisan lurus. Selain
itu, pelajar perlu didedahkan untuk membuat berbagai-bagai bentuk dengan
menggunakan jari mereka. Titik permulaan harus diberitahu serta dilukiskan dan guru
harus memberitahu arah dan bentuk yang harus dibuat oleh murid.

1.2 Latihan Menulis

Murid yang telah mampu menggunakan pensil dengan baik sudah boleh didedahkan
dengan latihan tangan melalui aktiviti penulisan huruf-huruf yang hamper sama. Namun
demikian, huruf b dan d tidak harus diajar bersama kerana kedua-dua huruf ini mudah
dibalikkan oleh murid-murid yang keliru. Huruf q pula harus diajar lewat sedikit
bersama-sama dengan huruf u. Dalam erti kata lain, sebaik-baiknya beberapa huruf
harus diajar berturutan supaya setiap bentuk baru dapat dikaitkan dengan huruf yang
baru dipelajari. Berikut adalah cara-cara berkesan yang boleh digunakan untuk
mengajar latihan menulis:

I. Murid boleh disuruh menyalin atau meniru bentuk-bentuk huruf yang telah
disediakan.

II. Titik permulaan harus disediakan oleh guru di atas kertas tulisan murid dan
ketika mengajar seseorang murid secara individu, guru harus menyatakan
langkah-langkah yang dibuatnya ketika menulis seperti (“turun, naik, ke kanan
dan bulat untuk huruf p”)

III. Setelah murid menulis huruf yang besar di atas kertas, mereka harus diajar
menulis dalam ruang yang kecil sedikit. Murid juga akan diingatkan supaya tidak
melintasi garisan antara ruang untuk mengelakkan huruf terbalik.
IV. Murid yang bermasalah visual harus diberi huruf-huruf yang sudah sedia
dipotong, ditampal pada sehelai kertas sebagai panduannya.

1.3 Huruf Besar

Pada kebiasaannya, huruf besar diajar kepada murid setelah mereka tahu menulis
huruf kecil. Ini kerana, huruf besar kurang digunakan berbanding huruf kecil. Selain itu
juga, di sebelah huruf besar, murid akan disuruh menulis huruf kecil yang sama.

1.4 Huruf Bersambung

Latihan untuk memulakan tulisan sambung adalah untuk melembutkan tangan murid
supaya pelajaran tulisan menjadi lebih seronok. Berikut adalah cara-cara yang
berkesan untuk dilaksanakan:

I. Garis sambungan yang menyatukan huruf harus diajar terlebih dahulu.

II. Latihan ini boleh ditunjukkan pada papan tulis dengan menggunakan pelbagai
warna kapur atau di atas buku tulisan murid menggunakan pelbagai pensel
warna atau krayon.

III. Latihan ini juga harus diikuti dengan keterangan guru mengenai perjalanan kapur
atau pensel semasa guru sedang menulis. Kaedah ini mampu menarik minat dan
perhatian murid. Sebagai contoh:

a) Bukit dan lembah: mari kita naik bukit, turun ke lembah, naik bukit, turun
dan sebagainya.

b) Ombak: ombak di lautan naik kemudian pecah, naik dan pecah dan
sebagainya.

c) Tali disimpul: naik dan simpul seperti menjerat lembu, naik dan
sebagainya.
d) Gigi gergasi: gigi atas gergasi, tanpa lubang, giginya masih baik dan
belum rongak, gigi bawah gergasi tidak rongak juga.

e) Mencantum manik: cantumkan manik, manik dan benang dan sebagainya.

IV. Setelah murid diajar huruf tidak bersambung, maka tulisan sambung hanya
merupakan lanjutan daripada tulisan tidak bersambung iaitu untuk
menyambungkan semua huruf supaya cepat ditulis.

V. Semua huruf sambung perlu dibandingkan dengan huruf tidak bersambung dan
perubahan yang berlaku harus diterangkan oleh guru.

VI. Jika murid berasa sukar untuk menulis huruf sambung, guru perlu menunjukkan
tulisan sambung yang hamper sama dengan yang tidak bersambung (kaedah
tulisan manuskrip yang disambung)

VII. Guru boleh menggunakan warna anak panah atau pangkah untuk titik permulaan
dan arah perjalanan pensel atau pen.

VIII. Pengajaran tulisan sambung harus dibuat seperti mengajar tulisan tidak
disambung iaitu huruf-huruf yang menggunakan cara penulisan yang hampir
sama diajar bersama satu persatu.

1.5 Menulis Perkataan Dalam Tulisan Sambung

Setelah murid dapat menguasai penulisan huruf sambung, latihan menulis perkataan
dalam tulisan sambung pula harus didedahkan. Murid yang sukar menulis tulisan
sambung mungkin tidak dapat mengaitkan tulisan sambung dengan huruf-huruf yang
tidak bersambung. Guru boleh mengurangkan kesukaran ini dengan membuat garisan
condong di antara setiap huruf lain dengan pensel supaya setiap huruf dapat
dikenalpasti oleh murid.
Bagi mengajar jarak di antara perkataan pula, guru boleh menyuruh murid
meletakkan jari kelengkeng dari tangan sebelah yang tidak digunakan untuk menulis di
hujung perkataan dan menandakan jarak ini dengan titik. Perkataan baru akan
diteruskan di titik ini.

1.6 Rumusan Pemulihan Tulisan

Kaedah-kaedah pengajaran yang dinyatakan ini boleh digunakan untuk proses


pengajaran pemulihan tulisan. Sebagai contoh, jika murid tidak dapat mengenal
keseluruhan sesuatu huruf, guru boleh menggunakan huruf yang telah dipotong
sebagai panduan titik.

Cara yang paling efektif untuk mengajar murid yang sudah pandai menulis tetapi
masih kaku ialah dengan cara menyalin. Untuk peringkat awal, murid boleh diarahkan
untuk menyalin tulisan bersambung yang besar ( setengah inci atau tiga per empat inci)
yang telah disediakan guru ke atas kertas nipis supaya jelas kelihatan tulisan yang
disalin. Kemudian, tulisan induk ini boleh dikecilkan pula. Dengan kaedah ini, murid
dapat melatih ketangkasan penulisan mereka sekaligus memudahkan tugasan menulis.