Anda di halaman 1dari 1

SINOPSIS DRAMA TENANG-TENANG AIR DI TASIK

Drama ini dimulakan dengan tindakan Muzafar memberitahu ibunya tentang


kesanggupannya melatih sekumpulan peserta cacat penglihatan mengendalikan kayak dengan
betul sebelum mereka menyertai ekspedisi berkayak merentasi Tasik Permai. Ibunya tidak
bersetuju kerana bimbang akan keselamatan anak tunggalnya itu. Ibu Muzafar bimbang tindakan
anaknya itu akan menambahkan beban dan menyusahkannya kelak.
Walau bagaimanapun, Muzafar bertegas untuk melatih peserta- peserta itu
memandangkan ramai pekerja di tempat peranginannya yang bercuti. Muzafar juga berjanji untuk
menjaga keselamatan diri sepanjang empat hari tiga malam dia berada di tempat peranginan
tersebut. Azizi berasa hairan apabila Muzafar menceritakan kisah ibunya yang melarangnya
melatih kumpulan orang cacat penglihatan sedangkan ibu Muzafar sebenarnya merupakan
seorang wanita yang disegani sebagai seorang pemimpin wanita yang unggul, berfikiran terbuka,
dan berpandangan jauh. Namun, Azizi memujuk Muzafar dengan alasan ibunya terlalu
menyayanginya sehingga menyebabkan dia berasa bimbang dan bertindak sedemikian.
Para pekerja di Permai Resort menyambut kedatangan kumpulan peserta cacat
penglihatan itu dengan baik dan mesra. Kumpulan itu terdiri daripada 36 orang tetapi enam orang
daripadanya berpenglihatan normal. Selepas para peserta berehat, Azizi dan Muzafar mula
menerangkan, memberi tunjuk ajar dan melatih para peserta tersebut tentang cara-cara berkayak
dengan betul dan cara-cara memberi serta mendapatkan pertolongan seandainya kayak terbalik.
Mereka dibantu oleh beberapa orang sukarelawan seperti Nurul, Haris, dan Chee Keong.
Pada malamnya, Azizi bersembang dengan Muzamir di beranda chalet. Dalam perbualan
mereka, Muzamir melahirkan rasa gembiranya dan berterima kasih kepada Azizi dan Muzafar
kerana dia akhirnya berpeluang merasai pengalaman berkayak. Hal ini demikian kerana Muzamir
berasa kecewa terhadap rakan-rakan sepejabatnya yang memandang rendah dan
memperkecilkan keupayaannya sebagai orang kelainan upaya. Lantaran itulah, dia berusaha
untuk mengatur ekspedisi berkayak tersebut untuk membuktikan keupayaannya berkayak seperti
orang yang normal. Dia berasa bersyukur dan gembira apabila pihak pengurusan tempat
peranginan itu bersedia menerima kehadiran mereka.
Seterusnya, Nurul dan Azizi bercerita tentang peristiwa ekspedisi berkayak merentasi Tasik
Permai yang telah ditempuhi oleh mereka. Nurul mengucapkan terima kasih kepada Azizi dan
Muzafar yang banyak memberikan tunjuk ajar dan membantu pasukannya sepanjang ekspedisi
tersebut. Azizi juga berterima kasih kepada Nurul, Haris dan Chee Keong yang turut membantu
untuk memudahkan ekspedisi berkayak merentasi Tasik Permai pada siang itu. Azizi juga
memperoleh pengajaran dan menyatakan kekagumannya terhadap Nurul, Haris dan Chee Keong
yang mempunyai darjah kesabaran yang tinggi dalam mengajar dan membimbing rakan-
rakannya yang cacat penglihatan sehingga mereka mampu berkayak dengan begitu baik.
Dalam perbualan dengan Haris, dan Nurul, Muzafar dapat mengetahui kisah sedih Muzamir
yang berasal dari sebuah keluarga ternama dan kaya di Kelantan tetapi diserahkan kepada
keluarga angkat di Johor ketika berusia tiga bulan disebabkan dia dilahirkan cacat penglihatan.
Muzafar membelek mukanya di hadapan cermin untuk melihat persamaannya dengan Muzamir.
Azizi menegaskan bahawa Muzafar dan Muzamir banyak mempunyai persamaan dari segi wajah
dan perawakan.
Muzafar pulang ke rumah setelah aktiviti ekspedisi berkayak di Tasik Permai selama empat
hari tiga malam bersama Muzamir dan rakan-rakannya tamat. Ibu Muzafar bersyukur apabila
anaknya, Muzafar pulang ke rumah dengan selamat. Muzafar memujuk ibunya ke studio untuk
menonton rakaman ekspedisi berkayak merentasi Tasik Permai bersama-sama para peserta
cacat penglihatan tersebut. Sewaktu tayangan video itu, Ibu Muzafar tergamam apabila melihat
persamaan yang ada pada Muzafar dan Muzamir.
Muzafar berasa hairan apabila ibunya tidak mahu meneruskan tontonan video peserta-
peserta ekspedisi berkayak di Tasik Permai. Muzafar juga mula sangsi akan status dirinya
sebagai anak tunggal apabila melihat reaksi ibunya yang seolah-olah menyimpan suatu rahsia
selepas mengetahui latar belakang Muzamir. Muzafar bercerita kepada Azizi tentang
perasaannya sewaktu dia membantu Muzamir akibat kayaknya terbalik. Muzafar juga menitiskan
air mata sewaktu mereka bersalaman dan berpelukan sebelum Muzamir berangkat pulang.