Anda di halaman 1dari 2

E-FORUM 4

Bincangkan keperluan kod etika profesionalisme dan peraturan pendidikan dalam


profesion keguruan.

Selain menyebarkan ilmu, segala tingkah laku seorang guru akan menjadi
contoh teladan kepada pelajar selain mereka dapat membina masyarakat yang
mempunyai budaya yang bertamadun tinggi. Seseorang guru yang baik seharusnya
mempunyai sifat dan kualiti peribadi seperti baik hati, pandai berjenaka, sabar,
bertanggungjawab, yakin pada diri dan mempunyai sifat kepimpinan.
Konsep profesion menurut Kamus Dewan, ‘profesion’ ialah suatu bidang
pekerjaan khasnya yang memerlukan pendidikan dan kecekapan serta kemahiran yang
tinggi dan latihan yang khas. Contohnya, perundangan, perubatan, perguruan dan
lain-lain. Berdasarkan ciri-ciri profesion, Mok Soon Sang ( 1996 ) merumuskan secara
ringkas konsep profesionalisme sebagai suatu pekerjaan yang khusus dan dijalankan
oleh orang yang mempunyai kelulusan. Perkataan etika berasal daripada Bahasa
Inggeris “ethic”. Perkataan “ethic” itu pula dari bahasa Greek ethos yang membawa
maksud sikap atau adat yang menentukan tingkah laku sesuatu golongan. Etika ialah
satu sistem dasar tingkah laku bagi sesuatu kumpulan manusia atau organisasi yang
meliputi aspek-aspek tertentu. Contoh yang dimaksudkan ialah aspek-aspek moral
yang baik dan yang buruk, serta yang betul dan yang salah, dengan tujuan memberi
garis panduan kepada ahli-ahli berkenaan. Masyarakat pula menggunakan etika itu
untuk menganalisis, menilai dan menentukan sama ada tingkah laku manusia telah
mengikut peraturan yang ditetapkan.
Guru perlu memiliki kod etikanya sendiri demi memartabatkan profesion
perguruan. Kod etika dianggap penting kerana kod etika menyediakan garis panduan
bagaimana bertingkah laku dalam profesion perguruan dan ia amatlah sesuai untuk
dirujuk dan diamalkan oleh guru.Selain itu, Kod Etika Perguruan menyatakan dengan
jelas tentang tanggungjawab guru terhadap pemegang amanah dalam bidang
pendidikan jadi guru lebih faham dan jelas tentang tanggungjawab mereka. Tambahan
pula, kandungan yang dinyatakan dalam Kod Etika Perguruan di negara ini
menunjukkan perbezaan tertentu berbanding kod etika di negara lain. Oleh itu, guru
dapat melihat keunikan etika yang diamalkan sama ada di negara ini ataupun di
negara lain. Menerusi kod etika, guru dapat meningkatkan lagi imej profesion
perguruan secara hitam putih dan rasmi. Secara tidak langsung, perkara ini akan
membuka mata masyarakat untuk menghayati tanggungjawab guru yang luas dan
berat dan menyokong guru dalam mencapai matlamat pendidikan dan negara.Etika
kerja merupakan nilai-nilai yang penting dalam sesebuah organisasi. Pengamalan
etika dapat mengekal, dan memelihara kepercayaan yang diberi dalam menjalankan
tugas, serta memupuk tanggungjawab bersama dan mengeratkan perhubungan antara
ahli dalam organisasi
Peraturan dalam pendidikan adalah untuk membolehkan masyarakat Malaysia
menguasai ilmu, kemahiran dan nilai murni yang diperlukan dalam dunia yang
berdaya saing tinggi serta bersifat global, kesan daripada perkembangan pesat sains,
teknologi dan maklumat. Peraturan pendidikan adalah lebih kepada sistem pendidikan
dalam menghasilkan insan kelas pertama iaitu sistem pembelajaran. Tujuan peraturan
pendidikan ditubuhkan adalah untuk mencegah guru-guru atau pegawai pendidikan
daripada melakukan perkara-perkara yang boleh memburukkan imej institusi
pendidikan dan penyalahgunaan kuasa seperti mencegah guru daripada terlibat dalam
kegiatan politik. Ia juga bertujuan untuk memberikan pengajaran kepada guru-guru
serta pegawai pendidikan melalui kes-kes yang lepas serta hukuman yang dikenakan
untuk setiap kesalahan yang dilakukan dengan mengenakan tindakan kepada guru
yang telah berbuat salah. Peraturan pendidikan juga memastikan guru-guru serta
pegawai pendidikan sentiasa menjalankan amanah yang dipikul dan memberi
peringatan kepada guru-guru serta pegawai pendidikan akan akibat dan hukuman
sekiranya tidak menjalankan tanggungjawab dan salah guna kuasa. Oleh itu, terdapat
beberapa perkara yang telah ditekankan dalam peraturan pendidikan untuk para guru
mematuhinya. Kesimpulannya, para guru seharusnya menghayati kod etika perguruan
serta peraturan pendidikan untuk menjadi seorang guru yang berjaya.

Anda mungkin juga menyukai