Anda di halaman 1dari 10

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

YBhg. Tan Sri Dato’ Paduka Dr. Mazlan Ahmad, Pengerusi Lembaga Pengarah UKM.
YBhg. Ahli-ahli LPU.
YBhg. Prof. Tan Sri Dato’ Wira Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin, Naib Canselor
UKM.
Timbalan-Timbalan Naib Canselor dan Pegawai Pengurusan Utama.
Para Dekan Fakulti dan Pengarah Institut,
Ahli-ahli Senat, Pegawai-pegawai Kanan, Para Tetamu Kenamaan, Pimpinan Mahasiswa, Tuan-
tuan dan Puan-puan sekalian.
1. Pertamanya, sukalah saya melafazkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah Taala
kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya, maka dapat kita bersama-sama di majlis Syarahan
Utama sempena Ekspo Permacuan Kegemilangan Warisan Ilmu pada pagi yang berbahagia ini.
Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih dan setinggi penghargaan
kepada Universiti Kebangsaan Malaysia khususnya Yang Berbahagia Naib Canselor, kerana
sudi menjemput saya menyampaikan syarahan ini. Perhimpunan ini membolehkan kita
mengimbau segala pencapaian dan kejayaan yang dikecapi UKM selama 40 tahun selain
meneliti segala cabaran dan kesukaran yang telah dan akan dihadapinya.
2. Ibarat sebuah perjalanan yang panjang, tentunya banyak liku yang telah ditempuh, banyak
halangan yang dilalui, selain sebahagiannya laluan direntas dengan sangat tenang. Namun,
dalam ketenangan itu, kita harus sentiasa bertanya, apakah kita sedang menuju destinasi yang
pasti? Kita juga harus menjangka, bahawa tidak semestinya ketenangan itu akan berpanjangan
selama dalam perjalanan ini. Dengan premis yang sedemikian, maka kita harus mempunyai
persiapan dan persediaan yang sewajarnya, kerana kita tidak pasti apa dan bagaimanakah
bentuk cabaran dan halangan, yang bakal dihadapi nanti, lebih-lebih lagi perjalananan kita tiada
penamatnya.
3. Sebagai Menteri Pengajian Tinggi, saya mengucapkan tahniah kepada UKM yang telah
menempuh 40 tahun usianya, dan berada di gerbang 41 tahun pada 18 Mei 2011 ini.
Sewajarnya detik kita menyaksikan kegemilangan yang menandai kedewasaan ini, dijadikan titik
renungan, kerana UKM adalah satu-satunya universiti yang memiliki sejarahnya yang unik dan
istimewa, lahir daripada hasil gesaan dan aspirasi pejuang kebangsaan, untuk memartabatkan
bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu serta menjadi institusi mercu tanda bagi pendidikan
kebangsaan, di samping mendorong kemajuan dan pembangunan rakyat, khususnya orang
Melayu yang sangat dhaif pada waktu itu.
UKM Obor Perjuangan Kebangsaan
4. Kini, dalam usia melewati 40 tahun, saya berkeyakinan, UKM akan dapat terus
mempertahankan idealisme penubuhannya, memastikan kelangsungan jati diri kebangsaan
dalam konteks globalisasi; berprakarsa untuk menjadi universiti bertaraf dunia dalam acuan
sendiri; beristiqamah dalam pembinaan modal insan untuk kesejahteraan masyarakat yang
berdaya saing; memapar konsep universiti sebagai lambang kesarjanaan dan wibawa ilmiah
negara, serta menterjemahkan peranannya yang besar sebagai sebuah universiti penyelidikan
dalam sistem inovasi negara. Dalam usia menjelang 41 tahun, UKM telah mengeluarkan 1,620
graduan PhD, 17,471 sarjana dan 119,892 graduan prasiswazah. Mereka adalah siswazah
dalam pelbagai bidang dan sedang menabur bakti di seantero dunia. Pada hari ini juga, jumlah
enrolmen adalah seramai 28,403 orang dengan 10,198 daripadanya adalah pelajar
pascasiswazah. Ini jelas membuktikan keupayaan UKM sebagai sebuah universiti besar yang
menarik, serta tidak menghampakan harapan rakyat dan negara. Masyarakat umum terus ingin
melihat, obor perjuangan yang memenuhi harapan mereka tetap marak menyala di bumi UKM.
5. Justeru, pada hari ini juga, sudah sewajarnya kita merakamkan tanda hormat dan
penghargaan yang paling tinggi, kepada para pelopor dan pejuang UKM, sama ada mereka
berperanan pada peringkat merintis, menubuh, membina dan mengisi kelangsungan legasi
UKM; dan sama ada kepada mereka yang telah berpulang ke Rahmatullah atau telah bersara
daripada perkhidmatan di universiti. Sesungguhnya, bukan sedikit pengorbanan mereka. Jasa
bakti mereka amat berharga, dan tidak ternilai sebagai sebahagian daripada catatan dan artifek
dalam kemerdekaan, perkembangan dan pembangunan negara yang kini menjadi mercu tanda
besar, yang membentuk landskap pendidikan tinggi tanah air dan dunia juga.
Menggilap Potensi untuk Kemakmuran Negara
6. Landskap pendidikan tinggi di seluruh dunia sedang berhadapan dengan pelbagai cabaran
besar. Universiti dituntut memenuhi kehendak dan keperluan sezaman khususnya dalam soal
melahirkan modal insan, yang hari ini merupakan kekuatan bagi sesebuah negara. Ini di
samping meneruskan usaha menjana ilmu demi kepentingan manusiawi serta mengasuh dan
membentuk pemimpin masa depan.
7. Di Malaysia, sektor pendidikan tinggi adalah faktor kritikal yang seharusnya mampu
mentransformasi negara melalui penghasilan modal insan yang berkualiti dan berketerampilan.
Bagi menentukan Malaysia berjaya muncul menjadi negara maju berpendapatan tinggi dan turut
menjadi pemain utama dalam ekonomi global, satu-satunya pilihan kita ialah menggerak cergas
serta menggemblengkan seluruh rakyat Malaysia sebagai modal insan negara agar mereka
berpotensi, berkemahiran dan berbakat. Nisbah rakyat yang berpendidikan tinggi yang lebih
besar tentunya menjadi satu daripada faktor yang mencipta kemakmuran dan kesejahteraan
negara.
8. Terkini, sektor pengajian tinggi negara menggalas tanggungjawab yang besar dan berat
dalam menyediakan prasarana untuk mengembangkan ekonomi berasaskan pengetahuan dan
inovasi. Perkembangan dan trend semasamenuntut penyediaan landasan pendidikan tinggi yang
luas dan terbuka. Justeru, isu kebolehjangkauan atau aksesibiliti pendidikan tinggi kepada
seramai mungkin warga negara menjadi keutamaan dan perlu diberi perhatian besar. Ini kerana
mobiliti sosial melalui akses dan pencapaian akademik merupakan tunjang bagi membina warga
bermentaliti kelas pertama, berupaya mengembangkan diri secara lebih fleksibel, mencari
peluang secara kreatif dan berinovasi, dan mampu meningkatkan ekonomi diri dan negara
berasaskan pendekatan kelestarian.
9. Dalam hubungan ini, Kementerian Pengajian Tinggi dan semua agensi di bawahnya termasuk
UKM, harus memikul tanggungjawab melebarkan peluang dan menggarap konsep
pendemokrasian pendidikan tinggi, menggilap potensi sumber manusia di negara ini dengan
penuh kesedaran, dan pendekatan strategik yang terbaik dan berkesan. Pelbagai kaedah harus
digubal untuk membolehkan bakat dan potensi rakyat digilap, dipupuk dan dipelbagaikan dalam
kerangka pendidikan tinggi yang relevan dan memberi keuntungan kepada negara.
10. Kaedah dan pendekatan kreatif dalam gagasan Pembelajaran Sepanjang Hayat yang
disediakan UKM misalnya menerusi program pengajian berterusan dan program eksekutif untuk
golongan yang sedang bekerja, bagi saya merupakan dukungan dinamik yang padu terhadap
tanggungjawab ini. Saya percaya masih terdapat pelbagai kaedah yang lebih inovatif mampu
diteroka dari masa ke semasa.
Kualiti Modal Insan
11. Satu daripada matlamat dalam Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) ialah
melahirkan modal insan minda kelas pertama. Dan melalui Pelan Pembangunan Modal Insan
Inovasi Peringkat Tertiari yang dilancarkan baru-baru ini, ia bertujuan menjana modal insan
inovasi yang berkualiti untuk memacu dan menggerakkan transformasi negara berteraskan
inovasi dan kreativiti.
12. Matlamat ini menghendaki Universiti menghasilkan graduan cemerlang yang dapat
memenuhi keperluan dan harapan negara, bukan sahaja berpengetahuan dan upaya menguasai
bidang ilmunya malahan memiliki kemahiran khusus serta mempunyai daya keusahawanan
selain dapat menempatkan dirinya dalam pasaran tenaga kerja yang diperlukan. Negara yang
inovatif ekonominya bukan sahaja digerakkan oleh inovasi dan teknologi tetapi juga oleh bakat
atau talent. Golongan yang mempunyai bakat inilah yang mencetuskan penciptaan kekayaan
dan pertumbuhan ekonomi bagi sesebuah negara. They are the intellectual powerhouse behind
wealth creation and economic growth of a nation.
13. Oleh itu Universiti mempunyai peranan bukan sahaja melahirkan graduan yang cemerlang
akademiknya, tetapi graduan yang berbakat untuk negara yang disediakan dengan segala
kemahiran yang diperlukan dalam abad ke 21 ini. Kemahiran-kemahiran ini penting sebagai
membolehkan negara bersaing dan bekerjasama di peringkat global (compete and cooperate)
dalam persekitaran ledakan maklumat yang pelbagai. Dan sebagaimana kita ketahui" kemahiran
ini di simpulkan sebagai kemahiran 4 C iaitu:
(i). Pemikiran kritikal dan penyelesai masaalah (critical thinking and problem solving)
(ii). Keberkesanan berkomunikasi (effective communication)
(iii). Collaboration and team building - boleh bekerja secara berkesan termasuk dengan
kumpulan yang berbeza pandangan, dan
(iv). Kreativiti dan inovasi.
14. Dalam konteks ini, universiti perlulah memperkemas semua program pengajian berteras hasil
pembelajaran bagi memastikannya berada di atas landasan yang betul. Inisiatif tersebut saya
percaya mampu menghasilkan siswazah berkeyakinan kerana ilmunya, mahir berfikir dan
menangani masalah, petah berbicara termasuk berkomunikasi dalam bahasa asing,
mengaplikasi ICT secara bermanfaat, berdaya usahawan, berketerampilan dalam sukan,
kesenian dan keterlibatan sivik, bertanggungjawab sosial serta menghayati nilai murni dan
beretika. Selain kualiti kurikulum yang mantap, beberapa inistiatif tambahan boleh dilakukan bagi
memperkukuhkan kreativiti khususnya daya usahawan di kalangan para pelajar. Dalam
hubungan ini, penubuhan Pusat Pembangunan Keusahawanan dan EKS (UKM-CESMED) yang
menyahut rangsangan Pelan Transformasi Ekonomi Negara boleh dilihat sebagai satu usaha
strategik kerana ia memupuk penyediaan modal insan yang inovatif dan berdaya keusahawanan
melalui program pendidikan dan latihan yang berkualiti.
Menyediakan Pendidikan Tinggi Secara Berkesan dan Produktif
15. Walaupun kita menggembleng pelbagai prinsip baharu untuk mencapai matlamat negara
maju berpendapatan tinggi, kita harus bergerak bersama-sama untuk memperteguhkannya
dengan tunjangan budaya dan nilai tradisi yang positif. Bagi kita, kesinambungan kemodenan
dengan tradisi menjadi teras kepada transformasi negara. Kemajuan dan pembangunan, mesti
dibina dan wujud dengan roh serta semangat jati diri demi kesempurnaan dan kesejahteraan
bangsa dan negara. Dalam erti kata lain, sains dan teknologi bukanlah jawapan mutlak kepada
setiap persoalan masyarakat yang semakin membelenggu, sebaliknya kita juga memerlukan nilai
dan dorongan kemanusiaan yang tinggi lagi kukuh.
16. Pujian perlu diberikan kepada UKM kerana terus menyerlahkan kekuatannya termasuk
dalam bidang sains sosial dan kemanusiaan, mempertaruh tanggungjawab sebuah universiti
kebangsaan yang sentiasa memartabatkan nilai sebagai landasan ekosistem kehidupan yang
sejahtera. Dengan penubuhan dan pemerkasaan pusat kecemerlangannya iaitu Institut Alam
dan Tamadun Melayu (ATMA), Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), Institut
Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), Institut Kajian Oksidental (IKON), Institut Islam
Hadhari (HADHARI), Institut Kajian Etnik (KITA), Institut Kajian Rantau Asia Barat (IKRAB),
Pusat PERMATApintar dan Pusat Pemerkasaan Remaja, saya percaya UKM sangat subur
dengan sumber intelektualnya, yang mampu menggubal jawapan terhadap pelbagai persoalan
kemasyarakatan dan kemanusiaan yang dihadapi negara dan di kancah antarabangsa.
17. Dengan menjadikan Pembinaan Negara Bangsa sebagai nic peneraju ekosistem ilmunya,
UKM diiktiraf terkehadapan dalam membentuk keutuhan jati diri dan penghayatan gugusan nilai
murni dalam kalangan warganya. Saya percaya UKM mampu menegaskan keseimbangan
modenisasi negara dengan tradisi seperti termaktub dalam Perlembagaan Negara dan Rukun
Negara, mengimbau masyarakat bahawa itulah inti sari jati diri kita dalam pembinaan sebuah
bangsa atau nation building. Hanya melalui simbiosis, gabungan harmoni dan keseimbangan
antara pemodenan dengan tradisi, suatu penegasan proses kesinambungan dalam perubahan
bangsa, dapat menjadi penentu kepada pembinaan sebuah peradaban bangsa moden, dari
perspektif yang kita inginkan.
Mengupaya Penyelidikan dan Inovasi dalam Pemajuan Masyarakat
18. Selain pengeluaran modal insan, aktiviti penyelidikan merupakan nadi kedinamikan dan
inovasi sesebuah universiti. Ini bermakna, penyelidikanlah yang akan memastikan universiti itu
terus relevan melalui penciptaan ilmu-ilmu baharu dan segar. Dalam hubungan ini, kita perlu
memastikan konteks penyelidikan yang dilaksanakan mesti mengambil kira faktor-faktor
signifikan seperti berimpak tinggi selain ia mampu diterjemahkan sebagai jawapan kepada
permasalahan masyarakat semasa, dalam dan luar negara. Dalam mengupayakan penyelidikan
dan inovasi oleh universiti untuk masyarakat ini, kementerian telah memperkenalkan tujuh
platform penyelidikan berimpak tinggi iaitu pemanasan global, penyakit berjangkit, perubatan
tropika, keselamatan tenaga dan air, kecukupan makanan, pembuatan termaju dan tambah nilai
serta ICT. Selain itu, bidang-bidang seperti kecekapan tenaga dan tenaga diperbaharui juga
perlulah diberi perhatian berat memandangkan kedua-duanya merupakan elemen penting ke
arah mencorakkan ekonomi negara di masa hadapan. Ini kerana kelangsungan ekonomi negara
sangat berkait rapat dengan bekalan tenaga yang mencukupi dan penggunaannya secara efektif
dan cekap. Dalam hal ini, UKM diharap dapat menentukan peranan mereka untuk
membangunkan nic yang berkaitan khususnya dua platform penyelidikan yang sedang
diterajuinya iaitu pemanasan global dan ICT.
19. Tidak dinafikan, penentu utama kemakmuran ekonomi bagi kebanyakan negara, adalah
produk dan proses ekonomi, yang mengalami evolusi melalui teknologi dan inovasi. Sehubungan
dengan itu, dalam usaha meningkatkan keupayaan mencipta dan menginovasikan produk dan
proses baharu, pengwujudan inkubator yang dapat menjana industri, paten dan perniagaan
baharu telah diperkenalkan melalui insitiatif Pelan Pembangunan Modal Insan Inovasi.
Berdasarkan perancangan hasil segera (Quick Wins) pelan tersebut, lapan inkubator akan
diwujudkan iaitu satu inkubator bagi setiap universiti penyelidikan dan tiga inkubator yang
dikongsi bersama oleh universiti-universiti di zon utara, zon tengah dan zon selatan. Selain itu,
KPT juga bercadang melantik 100 orang pasca doktoral warganegara Malaysia dan 100 orang
pasca doktoral bukan warganegara Malaysia setiap tahun untuk tempoh lima tahun mulai tahun
2011. Saya percaya, sebagai sebuah universiti bertaraf universiti penyelidikan yang mempunyai
kekuatan dan kelebihan tersendiri, UKM mampu memainkan peranan dan sumbangannya yang
kritikal dalam menjayakan ruang inovasi terbaharu ini.
Memanfaat Ilmu dan Kemahiran untuk Kesejahteraan Masyarakat
20. Sebuah universiti dalam konteks dunia moden, tidak lagi dianggap sebagai sebuah “menara
gading” iaitu eksklusif, megah dan terasing daripada masyarakatnya. Sebaliknya, universiti harus
menjadi salah satu daripada komponen ekosistem masyarakat yang terpadu, memberi
pengukuhan kepada masyarakat di persekitaran, negara dan dunia global. Kewujudan universiti
amat perlu dirasai kehadirannya dan kehilangan fungsinya akan amat dirasai kerugiannya oleh
masyarakat dan negara. Justeru dalam hal ini, saya yakin, universiti sebagai institusi ilmu, bukan
sahaja memiliki himpunan tenaga pemikir dan intelektual, untuk mengasuh modal insan berkualiti
tinggi, bagi memenuhi tuntutan pasaran dan industri, sekaligus menyumbang kepada
pertumbuhan ekonomi, bahkan membina gagasan dan idea konkrit serta bermakna bagi
memimpin negara menyelesaikan pelbagai kemelut dan permasalahan semasa. Pusat
PERMATApintar yang ditubuhkan di UKM pada 1 Januari 2010 misalnya, membuktikan bahawa
universiti seperti UKM berkeupayaan menyediakan pendidikan holistik untuk golongan pelajar
pintar cerdas yang selama ini kurang diberi perhatian oleh pendidikan arus perdana. Selain itu,
pembangunan sosial dan masyarakat oleh universiti perlu diperkukuhkan melalui jaringan
antarabangsa dan dalam hal ini, UKM telah menterjemahkannya melalui penyertaan dalam The
Tailloires Network. Ini sekaligus berupaya mengantarabangsakan peranan universiti dalam soal
jalinan dengan masyarakat dan ia wajar disambut oleh universiti-universiti lain.
21. Walaupun pada prinsipnya, ahli akademik wajib menjalankan penyelidikan untuk meneroka
ufuk ilmu, membina kepakaran dan meneraju kepimpinan intelektual, masih banyak ruang dalam
penyelidikan yang boleh dikembangkan untuk manfaat masyarakat awam. Penyelidikan bersifat
fundamental boleh digembleng bersama penyelidik bersifat gunaan untuk kesejahteraan
masyarakat. Ahli akademik perlu mengubah set minda dari ‘ilmu untuk ilmu’ kepada ‘ilmu untuk
masyarakat dan negara’. Dalam konteks ini, hala tuju penyelidikan perlu sejajar dengan isu
mengupas persoalan yang dihadapi oleh komuniti setempat, bangsa serumpun dan masyarakat
sejagat. Isu-isu asas yang masih menghambat pembangunan komuniti dan ekonomi negara
seperti pembinaan negara bangsa, pembangunan teknologi tempatan (indigenous), sains untuk
masyarakat, memperkukuh warisan dan ketamadunan bangsa, pembangunan sumber manusia
berilmu, dan memperkukuhkan daya saing negara merupakan isu pokok yang masih
memerlukan penyelidikan yang mendalam.
22. Pendekatan penyelidikan yang bersifat multi-bidang, pembinaan pasukan penyelidik bersifat
kebangsaan berasaskan isu pokok atau sektor penting, dan meningkatkan produk atau hasilan
penyelidikan yang boleh dimanfaatkan terus oleh masyarakat seharusnya menjadi agenda
kritikal penyelidikan universiti. Membawa pengetahuan, kepakaran dan kemahiran yang terdapat
di universiti untuk faedah masyarakat melalui jangkauan dan perkhidmatan perlu dijadikan
agenda baru dalam ‘sistem penyelidikan universiti’. Dalam konteks ini, kontinum penyelidikan
perlu dirancang daripada aspek huluan (strategi dan aktiviti penyelidikan) hingga ke peringkat
hiliran (penyaluran dapatan kepada masyarakat dan pengkomersialan). Interaksi dan kerjasama
universiti – industri - masyarakat perlu dijalin secara berterusan melalui mekanisme kerjasama,
rakan kongsi dan penglibatan pihak berkepentingan dalam suatu rantai nilai penyelidikan yang
jelas.
23. Dalam usaha mengangkatkan lagi peranan dan sumbangan ahli akademik dalam konteks
masyarakat juga negara dan bersesuaian dengan kesejagatan kerjaya ahli akademik, universiti
perlu menggalakkan mereka terlibat dengan mobiliti akademik untuk menyumbang kepakaran
kepada sektor-sektor perkhidmatan awam yang lain. Dan dalam masa yang sama, ahli-ahli
akademik yang terlibat dalam mobiliti ini sama ada dalam bentuk peminjaman, berkhidmat
secara pentadbiran dan sebagainya, perlulah diberikan pengiktirafan dan kedudukan yang
sewajarnya. Ini kerana sepanjang tempoh mobiliti tersebut, mereka turut memperoleh ilmu dan
kemahiran yang baharu dan itu semua boleh dimanfaatkan oleh universiti sekembalinya mereka
nanti.
Kepemimpinan dan Pengurusan Bakat Komuniti Berilmu
24. Dalam persekitaran baharu, universiti dituntut mengorak pembaharuan dan keberanian,
melakukan rejuvenasi, memekar dan menyuburkan semula budaya akademia yang tulen. Sejajar
dengan namanya, universiti harus menjadi medan yang meraikan perdebatan semua idea dan
pemikiran secara ilmiah dan terbuka. Ruang yang luas harus dipaparkan kepada idealisme
positif untuk berkembang memandangkan komitmen mencari kebenaran sememangnya
melandasi kewujudan sesebuah universiti. Suasana ini akan membentuk kecemerlangan di
universiti dan ia hanya muncul seandainya dibudayakan dalam kampus dan didukung oleh
semua pemegang berkepentingan.
25. Bagi golongan mahasiswa, kita semua mengakui mereka adalah golongan muda yang penuh
dengan idealisme dan mungkin juga sedang mencari identiti sendiri. Dalam perayauan itu,
mereka akan menemui pelbagai perkara yang mencabar idealisme yang sedang berkembang
dalam jiwa. Mereka ingin menyuarakan sesuatu yang mengusik kalbu mereka. Sebuah universiti
yang diterajui kepimpinan berjiwa besar dan dinamik, harus menyediakan ruang yang pelbagai
untuk membolehkan warga mudanya menyuarakan pandangan. Izinkan pemimpin mereka
menyuarakan pandangan yang mereka fikir mewakili ahlinya. Iktiraf peranan dan kebolehan
mereka. Walau bagaimanapun dalam masa yang sama, kita perlu memberi perhatian kepada
kebimbangan dan amaran oleh Max Weber bahawa, janganlah semua perkara perlu
dirasionalisasikan tanpa berpijak dan berpegang kepada nilai-nilai utama kita. Ini kerana
rasionalisasi tanpa sempadan akan memusnahkan nilai dan kepercayaan yang menjadi tiang
seri kepada keutuhan negara selama ini.
26. Selain itu, pimpinan utama universiti perlu memimpin budaya dan aspirasi universitinya, yang
menyemarakkan keazaman dan kesungguhan, menggesa ahlinya berlumba-lumba
meningkatkan lonjakan prestasi dan menempah kredibiliti. Merekalah yang menjadi peniup
semangat dan penunjuk jalan serta model ikutan dalam pembudayaan kecemerlangan universiti.
Saya yakin UKM berjaya mewujudkan persekitaran ini, apabila seluruh warganya berpegang
teguh kepada nilai perubahannya “Mengilham Harapan, Mencipta Masa Depan”. Sebagai
organisasi naungan, UKM memaparkan tanggungjawabnya menyediakan sekitaran yang
memberi ruang menyubur segala kebolehan warganya. Warga UKM harus yakin bahawa inilah
tempat kebolehan dan bakat mereka dipupuk, labuhan warga berkarya dan berjaya dalam
karyaan mereka.
27. Kepemimpinan akademik pula harus muncul berupaya mendapat penghormatan, menjadi
rujukan dan memperoleh sanjungan daripada komuniti akademik keseluruhan. Kemampuan
membangun dan menjalin jaringan intelektual termasuk di peringkat antarabangsa, bukan sahaja
mengukuhkan citra universiti, malah mengundang penjanaan dana, justeru keyakinan mereka
terhadap kehandalan akademia dan penyelidik di universiti kita.
28. Kepekaan pemimpin yang mengurus komuniti berilmu ini adalah prasyarat yang utama untuk
kecemerlangan. Fahami aspirasi mereka dan bangunkan budaya kerja sebagai sebuah pasukan
yang besar yang semuanya terlibat, tergolong dan terangkum. Memiliki dua orang Profesor
Ulung, 253 Profesor, 20 Felo Utama, 421 Profesor Madya, 21 Felo Kanan, 474 Pensyarah
Kanan, 644 Pensyarah, 146 Tutor, 101 Guru Bahasa dan 7,376 kakitangan pengurusan dan
pentadbiran, sebenarnya UKM mempunyai kumpulan bakat yang sangat kaya. Justeru, bakat
warganya harus ditadbir dan diurus dengan mengambil pelbagai pertimbangan. Saya gembira di
UKM, pengurusan bakat dalam pembangunan sumber manusia diberi perhatian secara
mendalam. UKM merencana Pelan Pengurusan Bakat, yang komprehensif dalam menangani
persoalan bagaimana bakat yang ada harus ditadbir dan diurus sebaik mungkin demi memberi
nilai besar kepada Universiti. Ini termasuk pengwujudan kumpulan bakat (talent pool) bagi
memenuhi keperluan pelapisan kepimpinan dan peralihan kuasa.
29. Saya berpendapat, pengwujudan kumpulan ini sangat fundamental bagi membolehkannya
memiliki banyak pilihan yang terbaik apabila berlaku keperluan mengisi barisan kepimpinan.
Penentuan dalam meletakkan seseorang ahli dalam kumpulan ini harus dibuat secara telus,
berasaskan kriteria yang objektif, berdasarkan merit, berintegriti tinggi, terbukti berkompetensi,
adil dan berhemah tinggi. Setiap ahli kumpulan bakat harus dipupuk dengan disediakan pelan
latihan yang bersesuaian. Pihak pengurusan tertinggi perlu mengambil kira peralihan kuasa
secara proaktif, perancangan berjangka panjang dan bukannya bertindak apabila terdapatnya
kekosongan jawatan. Pembentukan pelan ini adalah satu langkah strategik yang memperlihatkan
pengurusan beriltizam dalam memastikan kesinambungan kegemilangan UKM.
Autonomi Universiti
30. Pada pertengahan tahun lalu, saya mengumumkan bahawa lima buah universiti penyelidikan
di negara ini dijangka mendapat autonomi penuh menjelang tahun 2015. Autonomi bakal
diberikan atas keyakinan kerajaan terhadap keupayaan dan kebertanggungjawaban universiti
dalam mentadbir urus dengan penuh integriti dan bertahap cemerlang. Langkah ini adalah
selaras dengan rancangan kerajaan untuk memberi autonomi secara berperingkat kepada
institusi pengajian tinggi sebagaimana yang dibentangkan dalam Rancangan Malaysia Ke-10
(RMKe-10). Langkah memberi autonomi ini adalah selari dengan amalan yang dilakukan oleh
universiti-universiti ternama kerana ia menggalakkan kecemerlangan akademik untuk menjadi
lebih inovatif dan kreatif. Langkah memberi autonomi ini adalah satu daripada usaha di bawah
Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (2007-2020).
31. Sejak pengumuman tersebut, panel penilai telah dilantik dan mereka memulakan penilaian
ke atas beberapa buah universiti dari segi kesediaan universiti berkenaan dianugerah autonomi.
Beberapa aspek penting dilihat dalam proses penilaian ini termasuk kepimpinan universiti,
governans, kawalan mutu, dan kemampuan untuk menjana pendapatan.
32. UKM adalah antara kumpulan pertama universiti yang dinilai dalam projek rintis audit
autonomi. Setakat ini saya difahamkan panel penilai berpuas hati dengan penilaian yang
dijalankan di sini. Laporan penilaian telah pun dikemukakan kepada Kementerian Pengajian
Tinggi untuk pertimbangan selanjutnya. Saya percaya UKM sentiasa bersiap siaga dan sudah
bersedia jika diberi anugerah ini. Di sini, saya juga merakamkan penghargaan kementerian
kepada UKM, yang telah membantu membangun dan menggubal Code of University Good
Governance (CUGG) dan seterusnya menghasilkan University Good Governance Index (UGGI)
iaitu alat yang diaplikasi dalam menilai kesediaan institusi untuk dianugerah status autonomi.
33. Satu lagi kejayaan UKM adalah memperoleh status swaakreditasi pada April 2010. Status
berprestij ini saya kira membantu UKM menjadi lebih bingkas menjana ilmu, mencipta dan
melakukan inovasi yang menyumbang secara terus kepada pertumbuhan modal insan dan
ekonomi negara. Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian, Harapan
34. Semua yang saya nyatakan ini adalah gesaan untuk terus menjadikan sektor pengajian
tinggi termasuk UKM tetap relevan, dirujuk dan dihormati bukan sahaja di peringkat kebangsaan
dan rantau malah global. Seperti saya nyatakan pada awal syarahan ini, bahawa UKM sebagai
sebuah universiti kebangsaan, tentunya mempunyai peranan serta tanggungjawab istimewa dan
tersendiri. Sebagai universiti yang mendukung jati diri kebangsaan negara, UKM harus terus
berjuang dan mampu membuktikannya sebagai universiti terpilih yang memartabat bahasa
Melayu serta menyejagat ilmu dalam acuan kebangsaan. Saya faham, pembentukan jati diri
bangsa Malaysia dengan menggunakan bahasa Melayu banyak cabarannya.
35. Dalam mendukung misi ini, saya pasti UKM tidak pernah tergelincir kerana sedar bahawa
perjuangan bahasa Melayu terus gagah berasaskan tiga landasan, iaitu pertama, ilmu global
tidak relevan selagi tidak ditafsir, diadun dan dimanfaatkan dalam konteks tempatan. Proses
pemikirannya disalur melalui bahasa watan yang menjadi bahasa kebangsaan termasuk bahasa
Melayu. Kedua, penghormatan dunia kepada kepelbagaian, termasuk kepelbagaian bahasa,
memberi peluang untuk bahasa lain berkembang di persada antarabangsa; dan ketiga,
peradaban dunia tidak akan berkembang jika hanya didominasi satu bahasa. Justeru, bahasa
Melayu tetap utuh martabatnya dengan pelbagai peranan. Ini kerana ia adalah bahasa istana,
bahasa adat istiadat, bahasa perdagangan, bahasa ilmu dan bahasa wahana pembentukan jati
diri kebangsaan.
36. Saya difahamkan UKM telah terus melaksanakan beberapa inisiatif untuk memartabatkan
bahasa Melayu. Antaranya adalah pengwujudan sebuah jawatankuasa Penataran Bahasa
Melayu (PENABAYU) yang menyelaras aktiviti memartabatkan bahasa Melayu seperti
terjemahan karya-karya besar dunia ke bahasa Melayu dan kajian berterusan mengenai
pendaulatan bahasa Melayu. Ini tentu sekali tidak menafikan kepentingan bahasa dunia yang
lain diperkukuhkan dalam penguasaan warga universiti. Menerusi projek Kod Amalan Bahasa
Melayu di Persada Antarabangsa (KAMPA) yang berpangkalan di ATMA, UKM berusaha
mengantarabangsakan bahasa Melayu dengan menghasilkan buku panduan penggunaan
bahasa Melayu yang baik dan betul yang menjadi rujukan masyarakat antarabangsa. ATMA
juga, telah mengusahakan jurnal terjemahan yang mengandungi artikel-artikel penting mengenai
pelbagai bidang ilmu dalam berbagai-bagai bahasa diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu.
37. Akhir kata, UKM adalah lambang keunggulan ikon identiti negara yang menabur bakti,
menjadi tonggak kesuburan akal budi, jati diri kebangsaan dan perpaduan negara. Ekosistem
Ilmu UKM terbentuk berpandukan enam tonggak kecemerlangan iaitu governans berautonomi
dan berakauntabiliti, kepemimpinan berkaliber, bakat berbudaya cemerlang dan profesional,
sistem pengajaran pembelajaran menghasilkan siswazah yakin dan berkompetensi global,
penyelidikan berinovasi menjana kekayaan dan kesejahteraan sosial, serta keterlibatan dalam
masyarakat untuk mencurah bakti bagi pembangunan. Semua ini akan melonjak dan memacu
warisan ilmu UKM yang terbina selama empat dasawarsa ke puncak kegemilangan. Ekspo
Pemacuan Kegemilangan Warisan Ilmu pada hari ini jelas menunjukkan kewibawaan UKM
sebagai sebuah universiti ulung di negara ini. Syabas diucapkan kepada seluruh warga UKM.
38. Pada kesempatan ini, saya suka mengungkapkan kembali harapan Duli Yang Maha Mulia
Tuanku Canselor. Titah Baginda, UKM milik negara dan mesti mencerminkan hasrat negara.
UKM mesti menjadi perintis bagi kerangka kewujudan yang selesa dengan misinya, komuniti dan
kosmologinya serta mampu menjadi tarikan dunia. Di peringkat global, UKM mesti cemerlang
namun tidak terasing dan tetap berakar umbi pada masyarakatnya. Akarnya terpasak di tanah
airnya, jangkauannya menerjah ufuk persada dunia. Itulah takrifan universiti unggul dalam acuan
sendiri yang harus terpahat kukuh di dalam hati dan sanubari kita semua.
39. Sekali lagi saya mengucapkan jutaan terima kasih dan setinggi penghargaan kepada UKM
atas dedikasi dan kesungguhan mereka menjayakan majlis pada hari ini. Terima kasih juga atas
jemputan kepada saya menyampaikan Syarahan Utama pada kali ini. Ia merupakan satu
penghormatan dan harapan saya, agar UKM terus maju dan menjadi sebuah universiti yang
sentiasa menjadi kebanggaan negara dan rakyatnya.
40. Dengan lafaz BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM, saya merasmikan Ekspo Pemacuan
Kegemilangan Ilmu UKM 2011. Sekian, saya sudahi syarahan saya dengan Wassalamualaikum
warahmatullahi wabarakatuh

Baca lebih lanjut di http://www.mstar.com.my/lain-


lain/kampus/2011/05/03/teks-ucapan-penuh-menteri-pengajian-tinggi-pada-
majlis-syarahan-utama-ukm/#KK9PU50dK0uBmRKr.99

Anda mungkin juga menyukai