Anda di halaman 1dari 1

Petikan Teks ‘Hikayat Raja-Raja Pasai’

Maka Raja Muhammad pun pergilah ia dengan segala


rakyatnya menebas rimba itu. Maka ada di tengah rimba itu
serumpun betung terlalu amat tebalnya betung itu. Maka
ditebas oleh segala rakyat itu tiada habis ditebasnya, habis-
habis tumbuh pula. Maka berangkat raja kendiri menebas
betung itu, maka habislah betung itu. Maka dilihat oleh Raja
Muhammad pada sama tengah betung itu ada rebungnya
seperti badan besarnya; maka hendak diparang oleh Raja
Muhammad rebung itu, maka keluar seorang kanak-kanak
perempuan terlalu baik segala parasnya; maka
dibuangkanlah gedubangnya, lalu segera diambilnya
kanak-kanak itu maka didukungnya lalu dibawanya kembali
ke rumahnya. Serta dilihat oleh isteri baginda Raja
Muhammad mendukung kanak-kanak itu, maka segeralah
didapatkan oleh isteri baginda lalu disambutnya. Maka
duduklah baginda dua laki isteri itu. Maka dilihat oleh isteri
baginda budak, budak perempuan. Maka terlalu sukacita
baginda laki isteri itu. Maka baginda pun berkhabarlah
kepada adinda itu daripada pertamanya datang kepada
kesudahannya peri baginda mendapat kanak-kanak itu di
dalam rebung betung. Maka dinamai oleh baginda Puteri
Betung.

(Dipetik daripada Nik Safiah Karim. (2010). Panorama bahasa Melayu


sepanjang zaman).