Anda di halaman 1dari 10

SASTERA DALAM MUTIMEDIA

1.0 Pengenalan

Pada era teknologi sekarang, multimedia memainkan peranan yang sangat penting
dalam pelbagai bidang. Kewujudan teknologi maklumat memberi pilihan baru kepada
masyarakat dalam menikmati bukan sahaja karya sastera tetapi sumber informasi, hiburan dan
pembelajaran. Integrasi media dalam teknologi maklumat jauh lebih kompleks dan menuntut
perubahan dan inovasi dalam laluan sastera itu sendiri. Internet telah membuka kepada
interkasi sosial yang lebih terbuka menerusi facebook, blog, google plus, twitter, instagram,
dan segala aplikasi-aplikasi yang lain. Pembaharuan ini memerlukan sastera bergerak seiringan
agar ia kekal dinamik dan terbuka untuk semua. Buku-buku yang hanya mempunyai foto dan
teks berganti dengan laman yang diselimuti multimedia. Keseronokan dan interaksi menjadi
pemangkin kepada populariti dunia siber dan multimedia. Sastera harus dibangunkan dalam
bentuk baru yang lebih praktikal agar dapat bersama dalam arus pembaharuan. Ledakan
persuratan menggantikan kelisanan sudah dilihat sebagai suatu pembaharuan yang amat
menuntut kepada dimensi dan gaya baru persembahan sastera. Apa lagi kehadiran multimedia
ia memerlukan perubahan yang ketara dalam penikmatan dan penghasilan karya sastera. Jika
perubahan ini gagal ditangani sastera akan terhindar dari lalu lintas zaman yang berubah.

1.1 Pengenalan Sastera dalam Multimedia

Multimedia merupakan proses komunikasi berasaskan teknologi komputer yang


menggabungkan penggunaan unsur digital seperti teks, audio, grafik, animasi dan video untuk
menyampaikan maklumat. Multimedia adalah kata gabungan yang merujuk banyak dan
kepelbagaian alat atau perantara komunikasi. Multimedia juga boleh merujuk kepada
penggunaan komputer untuk mencipta, menyimpan dan menggunakan kandungan multimedia.
Oleh itu multimedia telah dijadikan satu medium untuk menyebarkan maklumat berkaitan
dengan sastera yang terdiri dari karya tradisional dan karya moden. Multimedia merupakan
salah satu medium atau pengantara yang digunakan untuk menyebarkan karya sastera kepada
masyarakat atau khalayak. Sastera dalam konteks ini dirujuk sebagai bahan yang akan
digunakan untuk disebarkan melalui medium multimedia. Dengan adanya multimedia,
kefahaman terhadap ilmu kesusasteraan melayu akan dapat difahami dengan mudah dan
berkesan. Shaikh Mohd Saifuddeen (2002), sistem multimedia ialah penggunaan alat teknologi
maklumat yang menggabungkan pendengaran dan penglihatan seterusnya diproses oleh
pemikiran untuk membentuk satu maklumat. Perkembangan dalam teknologi multimedia
membuka peluang yang lebih besar dalam merubah cara pembelajaran, memperoleh maklumat
dan mengaplikasikan maklumat dalam ilmu pengetahuan. Menurut Jamalludin dan Zaidatun
(2003), Zamri dan Nur Aisyah (2011), multimedia membuka ruang kepada para pendidik
mengaplikasikan pelbagai teknik pengajaran, manakala murid diberi peluang untuk memegang
kuasa kawalan bagi sesuatu sesi pembelajaran. Hal ini menunjukkan bahawa multimedia
mampu mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih menarik berbanding kaedah
konvensional yang hanya berpandukan buku teks.

1.2 Fungsi Multimedia

1.2.1 Mempelbagaikan medium sastera

Selama ini medium sastera mungkin tidak terlibat secara langsung dengan penggunaan
komputer dan elemen multimedia yang lain. Jika ada, ia hanya setakat berbentuk persembahan
semata-mata tetapi bukan diterapkan melalui pembelajaran formal. Oleh itu, multimedia pada
kali ini akan lebih akrab terhadap sastera dan begitulah sebaliknya.

1.2.2 Memeperjelaskan konsep yang abstrak

Dalam kesusasteraan melayu tedapat beberapa konsep yang abstrak. Sebagai contoh,
jika kita ingin menjelaskan gaya bahasa tertentu seperti personifikasi dan metafora. Mungkin
multimedia mampu membantu menjelaskan gaya bahasa tersebut secara grafik, animasi, audio
video dan teks. Jika ingin menjelaskan gaya bahasa personifikasi dengan menunjukkan daun
nyiur yang melambai-lambai ditiup angin. Mungkin juga boleh melukis gambar hati dan di
dalamnya ada taman bagi menggambarkan metafora "taman hati". Di situ kita mampu
menjelaskan perkara yang nyata dan abstrak sifatnya. Mungkin pada aspek yang lebih abstrak
lagi, bahan-bahan sastera yang sebegitu akan lebih mudah difahami.

1.2.3 Penggunaan pelbagai indera.

Kita sering menggunakan pelbagai indera untuk memaham tentang sesuatu perkara.
Oleh itu multimedia mampu menarik perhatian panca indera kita samada melalui pandangan
mata, pendengaran, perasaan dan daya sentuh kita ketika berinteraksi secara interaktif dengan
bahan multimedia.

1.2.4 Kesan apresiasi yang lebih mendalam.

Secara mudah maksud apresiasi adalah kesan penghayatan terhadap sesuatu perkara.
Dalam konteks sastera, sudah tentu ia merujuk kepada pelbagai bahan yang ada dalam karya
sastera. Oleh itu, multimedia mampu memberikan kesan apresiasi yang tinggi jika bahan
sastera itu divideo, dilukis dan dianimasikan.

2.0 Isu Penggunaan Multimedia Dalam Sastera

Secara umumnya, senario perkembangan dunia siber dan kecanggihan teknologi


maklumat menimbulkan kerisauan dalam kalangan para ibu bapa, guru dan masyarakat,
khususnya terhadap pendidikan di peringkat kanak-kanak. Golongan kanak-kanak kini banyak
terpengaruh dan terdedah kepada rancangan-rancangan hiburan di televisyen, CD-ROM dan
video-video hiburan berbanding yang berbentuk pendidikan. Ini menyebabkan ada dalam
kalangan mereka yang menjadikan kartun-kartun kegemaran sebagai ikon hidup mereka
sekaligus meninggalkan impak negatif ke atas perkembangan akhlak dan jati diri kanak-kanak
tersebut. Ini jelas membuktikan bahawa elemen-elemen media yang semakin popular di negara
kita khususnya kepada golongan ini memberi kesan kepada akhlak, peribadi dan perkembangan
mereka. Izam Shah (2007) dalam kajiannya menyatakan bahawa perisian-perisian permainan
kini sering direka untuk menghibur dan dijadikan sebagai satu bentuk rekreasi terutama kepada
kanak-kanak. Walaubagaimanapun, perisian-perisian permainan untuk tujuan pendidikan amat
kecil bilangannya terutamanya untuk mata pelajaran yang kurang popular seperti Pendidikan
Islam dan yang berbentuk keagamaan. Kekurangan perisian seperti ini dan kebanyakan perisian
yang telah dibangunkan di pasaran tidak mempunyai keseimbangan di antara hiburan dan
pendidikan. Hal ini menyumbang kepada masalah akhlak, tingkah laku, prestasi dan
pencapaian dalam kalangan kanak-kanak masa kini.

2.1 Bebanan Kurikulum

Seterusnya ialah bebanan kurikulum merupakan antara perkara paling utama dalam isu
ini. Kajian Hamzah (2004), Abdul Rasid, Shamsudin dan Norzila (2011) mendapati guru
Bahasa Melayu terutamanya terpaksa menanggung bebanan kurikulum terutama dalam tajuk
Komsas. Hal ini kerana dalam tempoh tiga tahun, guru perlu menghabiskan teks Komsas untuk
memenuhi keperluan Penilaian Menengah Rendah. Teks yang banyak bukan sahaja
membebankan pengajaran guru, malah memberi tekanan kepada pembelajaran murid. Bebanan
ini menyebabkan kreativiti pengajaran guru di dalam bilik darjah terbatas. Oleh itu, guru
terpaksa menggunakan kaedah tradisi bagi memastikan teks kajian dapat dihabiskan dalam
tempoh tersebut.
2.2 Aktiviti Sekolah Padat

Selain itu, aktiviti sekolah yang padat menyebabkan jadual tugasan guru padat. Selain
terlibat dengan proses P&P di dalam bilik darjah, guru juga terlibat dengan kokurikulum dan
aktiviti murid di luar bilik darjah. Jadual guru yang padat menyebabkan mereka kurang masa
untuk merancang pengajaran mereka di dalam bilik darjah. Menurut Lachs (2006), aktiviti luar
bilik darjah yang padat menyebabkan guru kurang masa untuk merancang penggunaan
sebarang teknologi dalam mempelbagaikan kaedah pengajaran sesuatu mata pelajaran.
Kenyataan ini disokong oleh kajian Iman M. Alghazo (2006), Zamri dan Nur Aisyah (2011)
yang menyatakan bahawa guru juga terbeban dengan tugas lain di luar bilik darjah seperti
mengendalikan program yang melibatkan murid. Hal ini ditambah dengan penjadualan aktiviti
guru yang tidak sistematik menyebabkan guru terkejar-kejar untuk menghabiskan silibus.
Kekangan ini mematikan kreativiti guru untuk menggunakan kaedah pengajaran yang lebih
kreatif dalam proses P&P Komsas dalam Bahasa Melayu.

2.3 Kekurangan Bahan Bantu Mengajar

Kekurangan bahan bantu mengajar di sekolah juga antara masalah yang dihadapi oleh
guru Bahasa Melayu dalam P&P Komsas. Kekurangan bahan bantu mengajar bukan lagi isu
yang melanda sekolah luar bandar dan sekolah pedalaman, tetapi keadaan ini turut dialami di
sekolah bandar (Zuraidah 2008). Kemudahan berasaskan TMK seperti komputer, CD-ROM
dan Internet yang kurang memuaskan di sekolah menyukarkan pengaplikasian multimedia
dalam proses P&P. Masalah tersebut telah menyebabkan para guru memilih untuk
menggunakan buku teks dan buku rujukan untuk mengajar di dalam bilih darjah. Kenyataan
ini disokong dengan Rozinah (2005), Zamri dan Mohamed Amin (2008) bahawa kurangnya
bahan bantu mengajar di sekolah membantutkan kreativiti guru untuk mempelbagaikan kaedah
pengajaran untuk mengalakkan pembelajaran aktif di dalam bilik darjah. Hal ini menyebabkan
guru cenderung untuk bergantung kepada bahan bantu mengajar bercetak seperti buku teks dan
buku kerja sebagai aktiviti P&P.

2.4 Kekurangan Sokongan Pihak Pentadbiran

Selain itu, sokongan pihak pentadbiran juga merupakan isu yang menghalang
pengaplikasian multimedia dalam proses P&P Komsas. Hal ini kerana kurangnya kesedaran
pihak pentadbiran untuk memberikan latihan kemahiran penggunaan teknologi kepada guru.
Kenyataan ini disokong oleh Brikerhoff (2006) dan Nur Aisyah (2011) yang menyatakan
bahawa pihak pentadbiran perlu memberi peluang kepada guru menerima latihan intensif bagi
membangunkan sesebuah perisian pembelajaran. Pihak pentadbiran tidak boleh mengharapkan
guru untuk mengambil inisiatif sendiri mendalami teknologi multimedia selepas waktu
sekolah. Hal ini demikian bagi membangunkan sesebuah perisian multimedia memerlukan
kemahiran dan kepakaran bagi memastikan perisian yang dibina mampu menggalakkan
pembelajaran aktif. Walaubagaimanapun, matlamat untuk mempelajari teknologi ini sukar
direalisasikan kerana peruntukan masa yang kurang untuk guru belajar menggunakan teknologi
tersebut akibat terikat dengan aktiviti luar yang padat.

2.5 Pembelajaran Berasaskan Peperiksaan

Faktor pembelajaran berasaskan peperiksaan juga antara masalah yang dihadapi guru
untuk mengaplikasikan teknologi multimedia dalam P&P. Kenyataan ini disokong oleh kajian
Ros Azura (2007), Nur Aisyah (2011) dan Zamri dan Nur Aisyah (2011) bahawa murid
mempelajari Komsas semata-mata untuk lulus peperiksaan. Hal ini kerana sistem pendidikan
semasa yang berasaskan peperiksaan menyebabkan murid belajar hanya untuk lulus dengan
cemerlang dalam peperiksaan. Sistem pengajaran semasa ini tidak memberi peluang kepada
murid menghayati citra budaya bangsa dan cita rasa mengikut acuan masyarakat Malaysia
(Mohd. Azman 2003). Faktor ini telah mendorong murid mempelajari Komsas hanya untuk
lulus peperiksaan bukan untuk penghayatan dalam membina jati diri. Menurut Jeniri (2007),
corak pembelajaran berasaskan peperiksaan tidak mampu menghasilkan murid-murid yang
berkebolehan berfikir secara kreatif dan tidak berpotensi melahirkan perasaan dan pemikiran
mereka melalui ciptaan karya sastera. Murid-murid hanya belajar berpandukan format
peperiksaan tanpa meneroka ilmu pembelajaran dengan lebih mendalam.

2.6 Kekangan Masa

Selain itu, faktor kekangan masa telah menjadi halangan bagi menetapkan pendekatan
konstruktivisme dalam pembelajaran Bahasa Melayu. Pembelajaran yang hanya memberikan
tumpuan kepada latihan menjawab soalan pemahaman semata-mata tidak membolehkan murid
berpeluang mengambil bahagian secara aktif dalam P&P, selain tidak mempelajari lain-lain
kemahiran yang sewajarnya dikuasai. Kenyataan ini disokong oleh kajian Saifol Bahary (2004)
bahawa guru cenderung menggunakan kaedah latih tubi dan latihan kefahaman selepas sesi
pembelajaran di dalam bilik darjah sebagai usaha meningkatkan kefahaman murid. Kaedah ini
kurang merangsang perkembangan kognitif murid terhadap hasil pembelajaran mereka. Kajian
Ros Azura (2007) menyatakan bilangan murid yang melebihi 30 orang di dalam bilik darjah
merupakan faktor yang menyukarkan guru untuk memberi peluang kepada setiap murid untuk
terlibat secara aktif dalam P&P. Oleh demikian, penghasilan perisian P&P dapat memberikan
ruang kepada murid belajar mengikut kemampuan diri.

2.7 Murid tidak Menunjukkan Minat

Minat murid juga merupakan sebab utama tajuk Komsas kurang diterima. Kebanyakan
murid dikatakan kurang berminat terhadap bahan-bahan sastera kerana beranggapan bahawa
sastera tidak mempunyai kepentingan kepada mereka (Naapie 2002; Abdul Rasid, Shamsudin
& Norzila 2011). Murid-murid kurang berminat dengan bahan sastera yang disifatkan tidak
relevan dengan proses P&P kini. Selain itu, teks sastera yang sukar difahami dan memerlukan
proses pembacaan yang panjang mengukuhkan lagi alasan mereka untuk mengabaikan
pembelajaran tersebut. Hal ini berkaitan dengan kajian yang dilakukan oleh Adam (2003) yang
mendapati bahawa murid mempunyai tanggapan sambil lewa dan selalu menganggap bahawa
bahan-bahan sastera adalah sebuah karya ringan dan remeh-temeh. Bahan sastera sering
disifatkan sebagai bebanan kepada para murid kerana teks dan konteksnya yang sukar
difahami. Murid kurang berminat untuk membaca dan mendalami kandungan teks sastera
kerana kurang faham dengan maksud yang hendak disampaikan dalam karya-karya tersebut.
Kaedah pengajaran konvensional yang digunakan oleh guru seperti kaedah bercerita dan kuliah
meningkatkan ketidakfahaman murid terhadap subjek berkenaan. Kajian Jeniri (2007)
mendapati bahawa murid mempunyai tanggapan sambil lewa dan selalu mengangap bahawa
bahan-bahan sastera kurang relevan dengan perkembangan semasa. Guru cenderung
mengabaikan nilai estetika dalam sesebuah karya yang dikaji. Keadaan ini juga menyumbang
kemerosotan minat dan motivasi mereka untuk mengikuti P&P Komsas di dalam bilik darjah.

3.0 Pandangan Penggunaan Multimedia dalam Pengajaran dan Pembelajaran Mata


Pelajaran Sastera

3.1 Persediaan Bahan

Guru yang terlibat dalam P&P untuk subjek sastera boleh menggunakan papan cerita
kerana ia dapat memberikan kesan yang lebih mendalam terhadap murid kerana elemen-elemen
multimedia seperti teks, audio, grafik, animasi dan video diterapkan untuk menyampaikan
maklumat. Papan cerita akan mencatatkan segala keperluan terhadap bahan multimedia yang
akan dibina. Misalnya jika penceritaan memerlukan gambar yang dilukis, maka catatan di
papan cerita akan membantu ingatan pembina multimedia agar menyediakan lukisan
berkenaan.

3.2 Penyediaan Instrumen Multimedia

Untuk mengaplikasikan penggunaan multimedia dalam subjek sastera instrumen-


instrumen diperlukan dalam P&P. Instrumen multimedia mungkin dicatatkan dalam papan
cerita sebagai bahan yang berkait dengan "hardware" dan "software". Keperluan instrumen ini
bergantung kepada kemampuan pihak yang akan membina multimedia. Oleh itu, perlulah
mempunyai sumber kewangan yang mencukupi kerana bahan-bahan atau instrumen yang
digunapakai akan menelan kos perbelanjaan yang tinggi. Keadaan ini juga bergantung kepada
peruntukan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia supaya ia dapat disalurkan ke sekolah-
sekolah yang terlibat. Persediaan software seperti powerpoint, movie maker dan lain-lain
adalah perlu. Begitu juga persediaan hardware seperti kamera, alat imbasan perakam suara dan
lain-lain. Semua instrumen ini akan dicatat dalam papan cerita.

3.3 Penyediaan Keperluan

Sebelum mengaplikasikan penggunaan mulitimedia, pihak sekolah perlu menyediakan


dan melengkapkan segala keperluan untuk memastikan perkara-perkara yang penting telah
diselesaikan terlebih dahulu. Misalannya, membuat perbicangan secara terbuka yang
melibatkan guru-guru yang berpengalaman, ibu bapa dan juga murid. Menerusi perbincangan
ini, pihak sekolah boleh menetapkan matlamat jangka masa pendek dan panjang bagi melihat
sama ada keberkesanan multimedia ini boleh meningkatkan prestasi murid dalam subjek
sastera. Ibarat multimedia itu hanya sekadar kehendak, kerana tanpa multimedia, P&P masih
boleh berjalan seperti biasa. Keperluan tambahan yang berkait rapat dengan multimedia juga
dicatat di dalam sesebuah papan cerita. Bahan-bahan tersebut akan membantu meningkatkan
kualiti sesebuah multimedia. Umpamanya, jika sesebuah papan cerita itu memerlukan aktiviti
rakaman, maka sebuah studio yang sesuai perlu disediakan bagi tujuan tersebut. Kadangkala
persediaan keperluan lebih lama berbanding proses mencipta multimedia.

3.4 Perbelanjaan

Seperti yang telah dibincangkan, kos untuk menggunakan alat teknologi pasti menelan
kos yang tinggi. Namun, sekiranya diberikan peruntukan yang lebih menerusi sumbangan
daripada Badan-badan bukan Kerajaan (NGO), ibu bapa dan lain-lain maka ia dapat memberi
peluang kepada pihak sekolah untuk menggunakan multimedia dalan subjek sastera. Tidak ada
catatan perbelanjaan yang khusus perlu dicatat di dalam sesebuah papan cerita. Namun segala
keperluan yang dicatatkan tentunya mempunyai kos tertentu. Oleh itu papan cerita akan
membantu seseorang pembina multimedia menganggarkan kadar perbelanjaan yang bakan
dikeluarkan. Semakin canggih rancangan di papan cerita, maka semakin tinggilah perbelanjaan
yang bakal dikeluarkan.

3.5 Membantu Pelajar Memahami Dunia Pengarang

Keupayaan multimedia membantu pelajar memahami dunia pengarang. Melalui


pendedahan dengan bahan bantu secara multimedia pelajar dapat memahami pemikiran
pengarang serta karyanya. Pelajar juga dapat menikmati karya sastera dengan lebih mudah
apabila mereka dapat akses kepada rujuan lain seperti biodata pengarang, istilah sastera, dan
makna kosa kata dalam karya sastera. Pelajar dapat memahami latar dengan mudah melalui
foto dan video. Ini membolehkan pelajar dapat menimba pengalaman yang sama sebagaimana
pengalaman pengarang ketika menghasilkan karya sastera. Pelajar juga dapat menikmati karya
sastera dari pelbagai perspektif seperti diperdengarkan bagaimana teks sastera itu dibaca atau
dideklamasi, serta keupayaan melihat dimensi lain seperti perspektif ekonomi, sosial, dan
sejarah dalam karya berkenaan. Bahan-bahan bantu ini antara yang penting untuk menjadikan
multimedia lebih relevan dengan teks semata-mata.

Kesimpualan

Secara kesimpulannya, multimedia adalah salah satu hasil daripada kemajuan


teknologi. Namun, penggunaan multimedia ini akan menelan perbelanjaan yang tinggi dan
sekiranya murid tidak menunjukkan minat yang mendalam terhadap subjek sastera ia bukanlah
satu pelaburan yang bijak lerana tidak dapat pulangan yang berbaloi. Pelaksanaan elemen
sastera dalam pengajaran dan pembelajaran seni bahasa dilihat bersifat sebagai satu pendekatan
didik hibur dalam kaitannya dengan pedagogi KSSR. Saranan murni ini juga perlu dijadikan
sebagai usaha untuk memperkaya strategi dan pendekatan P&P guru. Dalam hal yang bersifat
modal insan, penguasaan pelbagai kaedah, pendekatan dan teknik dalam P&P bukan sahaja
dapat memperlihatkan bakat terpendam seseorang guru malah lebih penting daripada itu ialah
bagaimana seseorang guru mampu menjadikan dirinya seorang “pelakon” yang seimbang
dalam konteks jasmani, emosi rohani dan intelek. Manakala murid yang berperanan sebagai
pelajar pula akan dapat melihat seterusnya mewarisi ciri kreativiti yang dimiliki oleh guru. Di
samping seronok menikmati isi pelajaran, guru dan murid sebenarnya telah berganding bahu
mencipta suasana yang harmoni di dalam bilik darjah khususnya dalam waktu P&P yang
pendek tetapi amat berat tanggungjawab pengisiannya. Kementerian Pelajaran Malaysia &
Medec (2007), menyatakan gabungan pelbagai media yang memanfaatkan sepenuhnya deria
penglihatan dan pendengaran mampu menarik minat belajar. Namun yang utamanya ialah
pencapaian objektif pengajaran dan pembelajaran dengan berkesan. Harus diingat bahawa
teknologi multimedia hanya bertindak sebagai pelengkap, tambahan atau alat bantu kepada
guru. Multimedia tidak akan mengambil alih tempat dan tugas guru. Multimedia adalah sebagai
saluran pilihan dalam menyampaikan maklumat dengan cara yang lebih berkesan. Pandangan
ini adalah sebagai dimensi yang harus difikirkan dalam penggunaan multimedia dalam sastera.
Meskipun tujuan bahagian ini diketengahkan kepada pelajar adalah untuk membolehkan
pelajar menghasilkan bahan sastera menggunakan multimedia, tetapi pengetahuan tentang
kepentingan multimedia dalam pendidikan juga harus diperolehi. Ia sebagai langkah pertama
ke arah penghasilan bahan sastera mengunakan multimedia. Kita harus bergerak dalam
perubahan ini. Sastera harus dinikmati dengan gaya baru dan wahana baru yang lebih berkesan.
Kita tidak harus biarkan sastera tertinggal dari arus pembaharuan ini sebaliknya berupaya
membina dimensi yang lebih efektif dengan pembaharuan yang ada.
Rujukan

Basiron, I. (2012). Kesan kaedah pengajaran multimedia interaktif dalam pengajaran seni
visual (Doctoral dissertation, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia).

Kesan Penggunaan Elemen Multimedia di dalam Sistem Pendidikan (2007). Retrieved from:
http://hezrulakram.weebly.com/kesan.html

Kesusasteraan Melayu Komunikatif (2013). MULTIMEDIA DALAM SASTERA (2013).


Retrieved from: http://yokmanceng.blogspot.my/2013/09/3.html

Multimedia dan Sastera (2013). Retrieved from:


http://mimbarkata.blogspot.my/2013/06/multimedia-dan-sastera.html

Noor, N. A. M., Mahamod, Z., Hamat, A., & Embi, M. A. (2016). Persepsi Pelajar Terhadap
Aplikasi Perisian Multimedia dalam Pembelajaran KOMSAS Bahasa Melayu Tingkatan
1. Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu, 2(1), 1-16.

Othman, S., & Jamian, A. R. (2013). Pelaksanaan elemen sastera dalam pengajaran dan
pembelajaran seni bahasa kurikulum standard sekolah rendah. Jurnal Bahasa, 13(2), 292-312.