Anda di halaman 1dari 2

Sejak akhir-akhir ini, tajuk-tajuk berita seperti di atas sering dipaparkan dalam media massa

sama ada media cetak atau media elektronik. Fenomena ini kian kritikal dan menggusarkan
fikiran masyarakat. Peratus kes kemalangan ini terus meningkat dari setahun ke setahun,
terutamanya pada musim perayaan. Senario yang menggemparkan ini tidak boleh dibiar
berterusan dan mesti ditangani dengan secepat mungkin. Apakah usaha-usaha yang patut
diimplementasikan bagi menyelesaikan masalah yang merunsingkan dan mengacau-bilaukan
minda masyarakat ini?

Kemalangan jalan raya tidak harus dipandang enteng,


Mesti dibanteras ke akar umbi,
Kudrat semua pihak mesti digembleng,
Azam janganlah berbelah bagi.

Pada pendapat saya, kerajaan memainkan peranan penting dalam usaha penyelesaian ini.
Kerajaan mesti menguatkuasakan undang-undang. Hukuman berat mesti dikenakan terhadap
sesiapa yang berani melanggar peraturan di jalan raya. Bak kata peribahasa, "setinggi-tinggi
terbangnya bangau, akhirnya pasti jatuh ke tanah". Tamsilnya, saya mencadangkan agar
pesalah laku trafik haruslah didenda sekurang-kurangnya RM500 atau dipenjarakan selama enam
bulan. Dengan ini, pengguna jalan raya tidak akan berani memperlekeh amaran kerajaan lagi.

Selain itu, kerajaan mesti memperketat tahap kelulusan ujian yang dijalankan untuk menguji
pemandu kenderaan. Oleh sebab itu, usaha kerajaan mestilah berlandaskan peribahasa di mana
ada kemahuan, di situ ada jalan. Lesen-lesen tidak harus diberikan kepada para pemandu
dengan mudah. Rentetan itu, kerajaan mesti sentiasa membiayai ongkos untuk mengadakan
pelbagai kempen kesedaran. Kempen-kempen ini haruslah diadakan dengan objektif
menyedarkan para pengguna jalan raya tentang kepentingan mematuhi peraturan jalan raya.
Inisiatif ini mampu membantu meminimumkan kemalangan di jalan raya yang terus berlaku.

Seterusnya, polis trafik mestlah menjalankan tugas dengan dedikasi. Mereka mesti menjalankan
tugas masing-masing dan memberkas golongan yang melanggar undang-undang di jalan raya.
Saman mesti sentiasa dikeluarkan untuk memberi amaran kepada si pelanggar peraturan jalan
raya. Kelengkapan polis trafik mestilah sempurna. Di samping itu, polis trafik yang amanah amat
diperlukan. Mereka tidak harus menerima rasuah sebaliknya mesti bersikap adil dan saksama.
Sikap berdiri di atas pagar mestilah dipraktikkan oleh anggota polis trafik. Implikasinya,
polis-polis trafik juga turut memainkan peranan yang agak penting.

Lain daripada itu, segenap lapisan masyarakat mesti melaksanakan tanggungjawab masing-
masing. Jika didapati ada pengguna jalan raya telah melanggar undang-undang seperti
mengadakan perlumbaan haram dan sebagainya, kita mesti segera membuat laporan kepada
pihak berkuasa. Dengan bekerjasama bagai aur dengan tebing antara polis dan masyarakat,
kemalangan dapat dikurangkan.

Kata orang tua-tua, “malang tidak berbau”. Pengguna jalan raya sendiri mesti memahami
maksud bidalan ini. Pengguna jalan raya mesti sentiasa memerhatikan papan-papan tanda di tepi
jalan. Papan tanda yang disediakan oleh kerajaan bertujuan memastikan keselamatan para
pengguna di jalan raya. Keselamatan para pengguna jalan raya pasti dapat dijamin jika arahan
telah dipatuhi. Akhir sekali, pemandu kenderaan mesti sentiasa memusatkan perhatian semasa
memandu. Mereka tidak harus memandu sambil membuat perkara lain seperti menggunakan
telefon, bergosip dengan orang lain dan sebagainya.

Kesimpulannya, kemalangan yang di jalan raya berlaku tidak diimpikan oleh setiap orang. Bak
kata pepatah, “pandu cermat jiwa selamat”. Pengguna-pengguna jalan raya mestilah
mengimplementasikan kewajipan masing-masing. Dengan ini, barulah keselamatan setiap
pengguna dapat dijamin. Usaha-usaha kolektif yang telah saya cadangkan mestilah dilaksanakan
dengan segera. Ingat, “hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih!”