Anda di halaman 1dari 1

Kebudayaan warisan bangsa negara ini semakin dilupakan oleh remaja kita dek arus pembangunan yang

rancak itu.
Jelaskan usaha-usaha yang dapat dilakukan untuk melestarikan warisan seni budaya.

Kebudayaan warisan bangsa bolehlah ditakrifkan sebagai kebudayaan sesuatu bangsa itu yang amat
dihargai oleh rakyat. Kebudayaan warisan bangsa merujuk budaya yang sudah diamalkan sejak berkurun
lamanya oleh sesuatu bangsa itu. Antara kebudayaan itu meliputi pakaian, makanan dan juga bahasa
yang begitu diagungkan oleh setiap kaum itu. Pihak media massa juga ada menyiarkan pelbagai ulasan
mereka tentang kebudayaan warisan kita yang semakin terhakis terutama dalam jiwa remaja zaman
moden ini. Lantaran itu, pelbagai langkah susulan boleh diambil untuk memastikan kebudayaan warisan
ini terus berkekalan.

Langkah awal sudah pasti melibatkan penggunaan kempen kesedaran yang berkesan oleh pihak
berkuasa. Kempen ini disiarkan melalui media massa dengan menggunakan tokoh budaya sebagai
jurucakap kempen itu bersama-sama informasi yang lengkap tentang kebudayaan kita. Kaedah ini
memastikan remaja memahami dan mengetahui mengenai kebudayaan sendiri dengan mudah dan
menarik pula lalu timbul perasaan menghargainya. Jadi, kempen yang efektif berupaya untuk memastikan
kebudayaan ini terus berkekalan.

Selain itu, pihak berkuasa boleh menubuhkan pelbagai agensi dan institusi latihan yang berkaitan
dengan kebudayaan ini. Peranan agensi ini adalah untuk melancarkan program berkaitan dengan
kebudayaan sepanjang tahun dan institusi ini pula berpeluang melatih remaja tentang aspek kebudayaan
itu dengan baik. Sudah pasti ramai remaja kita akan mahir dalam tarian, seni tukang, lukisan corak batik
dan nyanyian dondang sayang itu. Jelaslah, kewujudan agensi khas dan institusi latihan menjamin
kebudayaan kita ini terus wujud dalam sanubari remaja kita pula.

Bukan sahaja kempen dilancarkan dan agensi serta insitusi ditubuhkan tetapi perubahan minda
masyarakat terhadap kebudayaan juga harus berlaku dengan drastiknya. Masyarakat terutama ibu bapa
sering memandang rendah aktiviti atau kerjaya dalam bidang kebudayaan dengan alasan tiada prospek
masa depan. Jika ibu bapa melihat kebudayaan sesuatu yang baik sudah pasti remaja lebih rela untuk
melibatkan dirinya dalam sebarang aktiviti budaya ini. Sesungguhnya, persepsi masyarakat yang
kelirulah yang menyebabkan kebudayaan kita terus whiling ditelan dek zaman.

Malah, pemberian pelbagai insentif daripada pihak kerajaan boleh memberikan galakan agar
masyarakat menghargai kebudayaan ini. Pemberian insentif itu meliputi pemberian geran kewangan,
biasiswa, kemudahan pinjaman dan sebagainya yang memudahkan pihak tertentu untuk mengikuti
latihan atau menganjurkan program berunsur kebudayaan ini. Jika lebih banyak aktiviti kebudayaan
boleh dianjurkan sudah pasti tahap kefahaman masyarakat tentang kepentingan kebudayaan itu amat
dihargai pula. Oleh itu, insentif yang betul dan banyak serta mudah memberikan satu peluang untuk
kebudayaan ini terus wujud di Malaysia.

Tambahan pula, kebudayaan warisan negara ini boleh diteruskan melalui pengawalan budaya asing ke
negara ini. Maksudnya, semua program televisyen yang berunsur budaya kuning hendaklah dipantau
oleh pihak berkuasa kerana penghakisan kebudayaan warisan negara ini berlaku disebabkan oleh
mudahnya budaya luar meresap ke dalam jiwa remaja. Kesukaran untuk melihat budaya luar
mengurangkan risiko buat remaja untuk mengikuti budaya yang tidak sesuai itu. Maka, tindakan tegas
untuk mengawal kehadiran budaya luar menjadi benteng asas memastikan kebudayaan warisan kita ini
terus wujud untuk beberapa dekad akan datang pula.

Kesimpulannya, semua tindakan yang disuarakan tadi memang praktikal untuk dilaksanakan di
Malaysia. Kerjasama semua pihak terutama remaja itu amat diperlukan agar kebudayaan kita ini terus
berkekalan. Kegagalan untuk mengekalkan kebudayaan sendiri boleh menyebabkan imej negara dan
masyarakat itu sendiri akan musnah dalam sekelip mata sahaja. Bak kata pepatah 'tak lekang dek panas,
tak lapuk dek hujan' yang membuktikan betapa pentingnya kebudayaan sesebuah bangsa itu dalam
kehidupan.