Anda di halaman 1dari 1

Usaha-usaha Pemuliharaan Alam Sekitar 1

Dalam era ledakan teknologi maklumat hari ini, sering kali kita melihat dan menatap pelbagai berita yang
berkaitan alam sekitar. Berita tentang alam sekitar yang menghiasai paparan media elektronik ini juga turut menjadi
bualan masyarakat di mana-mana sahaja. Sebagai spesies yang paling berkembang di muka bumi, adalah amat
penting bagi kita untuk berusaha melindungi dan memelihara penghuni lain di bumi ini. Bumi kita mempunyai
sistem yang kompleks dan pelbagai hasil daripada hubungan simbiosis dan saling kebergantungan. Setiap spesis
mempunyai tempatnya sendiri dan biasanya tidak boleh ditukar ganti. Sebagai contoh, jika serangga menjadi pupus,
banyak tumbuhan tidak akan dapat membiak dan ini mengakitbatkan binatang pemakan tumbuhan
kebuluran. Secara langsung, ini akan menjejaskan binatang lain ataupun manusia yang menjadikan binatang
tersebut sebagai sumber makanan. Oleh itu, adalah amat penting bagi kita untuk bergiat aktif dalam usaha-usaha
pemuliharaan alam sekitar.

Seperti kita sedia maklum/Sebagai pembuka bicara isu ini, kaedah memulihara alam sekitar adalah dengan
mengadakan aktiviti gotong- royong membersihkan kawasan persekitaran. Gotong-royong ini boleh dilakukan
dalam kelompok yang kecil iaitu hanya melibatkan ahli keluarga ataupun dalam bentuk kelompok yang besar yang
melibatkan masyarakat atau agensi-agensi kerajaan yang berkaitan. Peribahasa sepakat membawa berkat
membuktikan sekiranya kita mengadakan aktiviti gotong-royong, kita dapat membersihkan kawasan persekitaran
kita agar alam sekitar kita lebih bersih dan secara tidak langsung dapat menjamin kesihatan diri, keluarga dan
masyarakat. Antara aktiviti gotong-royong yang boleh dijalankan untuk memulihara alam sekitar ialah
membersihkan kawasan perumahan, kawasan pantai, kawasan rekreasi dan sebaginya. Jelaslah bahawa aktivti
gotong royong adalah salah satu cara untuk memulihara alam sekitar.

Selain aktiviti gotong-royong, pemuliharaan alam sekitar juga boleh dilakukan dengan mengadakan aktiviti
penanaman semula pokok oleh pihak berkuasa tempatan (PBT). Pokok sangat berguna kepada kehidupan manusia.
Kepentingan pokok terhadap alam sekitar umpama aur dengan tebing iaitu saling memerlukan. Selain daripada
membekalkan oksigen, pokok juga boleh bertindak sebagai penampan kepada kekuatan angin dan membantu
menyeimbangkan ekosistem alam. Hari ini peratus pokok yang hidup semakin berkurangan akibat daripada
pembalakan haram, penerokaan hutan dan pembukaan kawasan untuk pembangunan. Oleh itu, kita seharusnya
menyahut seruan atau menyokong kempen penanaman pokok yang dijalankan oleh kerajaan bagi memulihara alam
sekitar.

Tidak dapat dibafikan bahawa, penguatkuasaan undang-undang merupakan langkah yang berefektif untuk
melestarikan alam sekitar. Pelbagai undang-undang telah digubal dan dipinda untuk memastikan alam sekitar kita
dipulihara dan terpelihara. Namun undang-undang tersebut hanya menghiasi di dada-dada helaian kertas dan tidak
dikuatkuasakan hingga mengakibatkan manusia semakin rakus menjalankan akitiviti yang merosakkan alam.
Undang-undang berkaitan dengan penerokaan hutan, pencemaran alam sekitar, pembuangan sampah dan
sebagainya harus dikuatkuasa dengan sepenuhnya bagi memberi kesedaran kepada masyarakat tentang
kepentingan menjaga alam sekitar. Kita tidak mahu sikap sudah terhantuk baru terngadah menjadi amalan dalam
kehidupan kita. Jelaslah bahawa, penguatkuasaan undang-undang sangat penting untuk memulihara alam sekitar.

Jika diteliti dengan lebih mendalam, cara menjaga alam sekitar yang seterusnya ialah peranan yang perlu
dimainkan oleh media massa sama ada ada media elektronik ataupun media cetak. Media masa adalah wahana
yang menghubungkan masyarakat dengan dunia luar. Media massa berperanan memberi kesedaran dan info-info
tentang kepentingan menjaga alam sekitar kepada masyarakat. Media masa juga perlu membuat liputan yang
meluas tentang kempen, program-program dan usaha-usaha yang dijalankan oleh kerajaan atau pihak swasta yang
menjurus kepada pemuliharaan alam sekitar. Sikap seia sekata dan sederap melangkah antara media massa dan
agensi pemuliharaan alam sekitar dapat merealisasikan keinginan kita untuk memulihara alam sekitar. Dengan
kerjasama yang diberikan ini, secara tidak langsung media massa dapat menyampaikan mesej yang jelas kepada
masyarakat berkaitan dengan kepentingan pemuliharaan alam sekitar.

Daripada huraian yang dinyatakan di atas, jelaslah kepada kita usaha-usaha memulihara alam sekitar ini bukan
kerja mudah dan perlu digembeleng oleh semua pihak sama ada pihak ibu bapa, masyarakat, pemimpin
masyarakat, agensi kerajaan dan juga pihak swasta. Jika kita mengamalkan sikap berpeluk tubuh atau hanya sebagai
pemerhati tidak akan memberi apa-apa sumbangan dalam memulihara alam sekitar. Untuk menjamin
kelangsungan hidup yang sejahtera, aman dan sihat sewajarnya kita membuat anjakan paradigma dengan berusaha
memulihara alam sekitar kita. Janganlah setelah nasi menjadi bubur, barulah kita cuba berusaha melestarikan alam
sekitar yang sangat bermakna ini. Marilah sama-sama kita berazam untuk terus memulihara alam sekitar yang
dikurniakan oleh Tuhan ini dengan sebaik mungkin.