Anda di halaman 1dari 2

Contoh Karangan: Ciri-ciri Remaja

Berwawasan

Remaja pada masa ini merupakan angkatan muda yang akan menjadi tonggak
pemerintahan pada masa hadapan. Bijak pandai ada berkata, sekiranya kita hendak
melihat kepimpinan masa hadapan, lihatlah remaja yang ada pada masa ini.
Lantaran itu, dalam menempuh milenium yang sarat dengan cabaran reformasi ini,
ciri-ciri remaja yang kamil dan mempunyai nilai keinsanan yang syumul penting
untuk membangunkan negara. Dalam hal ini, semua pihak berperanan bagi
melahirkan remaja yang mempunyai ciri-ciri remaja yang berwawasan.
Berakhlak mulia merupakan salah satu ciri remaja berwawasan. Hal ini
demikian kerana akhlak yang luhur, datang dari hati yang bersih. Remaja yang
berakhlak mulia akan suka didampingi malah akan meraih rasa hormat daripada
orang sekeliling. Remaja yang berakhlak mulia pasti tidak akan terjebak dengan
kemelut sosial yang mementingkan dunia hedonistik semata-mata serta berusaha
untuk menghindarkan diri daripada bergaul dengan remaja-remaja yang bermasalah.
Taat pada agama sudah pasti dapat melahirkan individu yang berakhlak mulia
kerana semua agama di dunia menyeru kepada kebaikan dan melarang kepada
kemungkaran. Secara tidak langsung, remaja yang mempunyai sikap mahmudah
dapat dilahirkan seterusnya dapat menjadi seorang insane yang kamil. Remaja yang
berakhlak mulia juga sudah pasti dapat membezakan antara yang baik dan yang
buruk, yang mana kaca, yang mana permata, bak kata peribahasa yang baik
dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan. Jelaslah bahawa berakhlak
mulia merupakan salah satu ciri remaja berwawasan.
Selain itu, remaja berwawasan sudah pasti mempunyai ilmu pengetahuan
yang luas dan tinggi. Remaja yang berwawasan pasti akan berusaha untuk
mencari ilmu dan sentiasa dahagakan ilmu. Pepatah ada juga mengatakan ‘carilah
ilmu sehingga ke negeri China’ kerana ilmu yang ada hanya setitik daripada
selautan. Malahan, Albert Einstein juga pernah berkata ‘semakin banyak yang
dipelajari, semakin banyak yang tidak diketahui’. Dengan melahirkan remaja
yang berilmu pengetahuan, anak muda ini tidak akan mudah ditipu oleh pihak yang
tidak bertanggungjawab serta akan sentiasa dihormati dan disanjung oleh
masyarakat sekeliling. Jelaslah bahawa, remaja yang berilmu pengetahuan juga
merupakan ciri yang vital dalam melahirkan remaja yang berwawasan.
Di samping itu, remaja yang berwawasan juga akan sentiasa gigih untuk
menggapai gamitan menara impian. Sudah tentulah budaya pesimistik dan culas
dikikis serta dibuang jauh untuk mencapai kejayaan walau seruwet manapun yang
diamalkan oleh remaja berwawasan ini. Secara langsung, remaja berwawasan akan
gigih berusaha menggunakan setiap detik dan waktu agar diisi dengan perkara yang
bermanfaat dan berfaedah kerana masa itu emas. Selain itu, masa yang pergi tidak
mungkin akan kembali. Oleh itu, remaja yang berwawasan akan memastikan setiap
masa yang terluang diisi dengan perkara yang mendatangkan maslahat seperti
menelaah buku, beriadah atau melakukan ibadah kerana cendekiawan ada
mengatakan masa ibarat pedang,sekiranya kita leka mata pedang itu akan
memenggal kita. Jelaslah bahawa, gigih berusaha merupakan ciri yang signifikan
dalam melahirkan remaja yang berwawasan.
Sementelahan itu, bersemangat patriotik juga merupakan ciri remaja
berwawasan. Remaja yang berwawasan akan berusaha menjaga nama baik negara
serta memerah keringat untuk menaikkan nama negara. Remaja yang berwawasan
juga akan mengekalkan perpaduan negara yang sudah sedia terjalin ukhuwah
sesama manusia mahupun berlainan bangsa dan agama demi menyahut seruan
‘Satu Malaysia’ yang diuar-uarkan oleh Dato’ Seri Najib bin Tun Abdul Razak.
Terbuktilah bahawa, remaja yang berwawasan akan mempunyai semangat patriotik
yang tinggi.
Tuntasnya, semua pihak haruslah bergabung tenaga melahirkan remaja yang
berwawasan agar Malaysia akan terus maju dan terkenal di seluruh pojok dunia
pada masa hadapan.