Anda di halaman 1dari 2

Faedah-Faedah Melibatkan Diri Dalam Aktiviti Sukan

Penulis : Pendidik Malaysia on Monday, May 11, 2015 | 8:54 AM


Soalan : Pada tahun 2011, kerajaan telah memperkenalkan program 1Murid 1Sukan untuk memastikan semua
murid terlibat dalam bidang sukan. Huraikan pendapat anda tentang faedah-faedah melibatkan diri dalam
aktiviti sukan dalam kalangan murid.

Sukan ialah segala kegiatan yang memerlukan kemahiran atau ketangkasan serta tenaga yang dilakukan sama
ada sebagai acara pertandingan, hiburan atau untuk mengisi masa lapang dan beriadah. Pada tahun yang lalu,
kerajaan telah memperkenalkan dasar 1Murid 1Sukan kerana menyedari kepentingan bersukan. Contoh
aktiviti sukan yang agak popular kini ialah seperti olahraga, renang, bola sepak, tenis, badminton dan skuasy.
Persoalannya apakah faedah jika seseorang murid itu melibatkan diri dalam aktiviti bersukan?

Faedah bersukan yang utama kepada murid ialah sukan dapat meningkatkan disiplin. Hal ini demikian kerana
individu yang ingin berjaya dalam bidang sukan mesti mempunyai disiplin yang tinggi dan dapat mengawal diri
untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan. Contohnya, setiap pemain dalam sesebuah pasukan itu mesti
menepati masa, rajin berlatih, tidak merokok dan mematuhi arahan jurulatih. Oleh itu, secara tidak langsung
sukan juga turut membentuk disiplin murid tersebut.

Seterusnya, sukan juga penting bagi melahirkan seseorang murid yang sihat. Hal ini demikian kerana bersukan
boleh menguatkan otot dan tulang serta menyihatkan badan. Misalanya, seseorang murid yang bersukan pada
setiap petang akan membakar lemak berlebihan dalam badan. Oleh itu, murid yang aktif bersukan jarang
mendapat demam dan selesema berbanding dengan rakan-rakannya yang tidak bersukan.

Selain itu, seseorang murid yang aktif dalam kegiatan sukan akan terdidik untuk mengagihkan masa dengan
sewajarnya kerana masa itu emas. Hal ini dikatakan demikian kerana murid tersebut akan menentukan masa
yang sesuai untuk memberikan tumpuan terhadap sukan dan masa untuknya belajar. Contohnya, seseorang
murid yang menyertai pasukan sekolah mesti ada jadual latihan sukan dan jadual belajar. Oleh itu, seseorang
murid yang aktif dalam sukan juga berjaya dalam pelajaran.

Faedah berikutnya, sukan juga membentuk murid menjadi seseorang yang berfikiran positif. Hal ini dikatakan
demikian kerana dengan aktif bersukan seseorang itu dapat berfikir secara rasional dan berkeyakinan tinggi
serta tidak cepat berputus asa. Contohnya, Datuk Lee Chong Wei tetap tidak berputus asa walaupun gagal
meraih pingat emas dalam sukan Olimpik baru-baru ini. Oleh itu, sukan penting dalam melahirkan murid yang
berfikiran positif.

Akhir sekali, murid yang aktif bersukan juga dapat menggunakan masa lapang mereka dengan lebih
bermanfaat. Hal ini dikatakan demikian kerana biasanya murid yang aktif dalam bidang sukan tidak berminat
bermain permainan komputer dan tidak akan menghabiskan masanya untuk berpeleseran di pusat beli-belah,
menonton televisyen dan berbual-bual kosong. Oleh itu, sudah pasti mereka akan menghabiskan masa dengan
lebih bermanfaat.

Izharnya, jelaslah di sini bahawa melibatkan diri dalam sukan banyak membawa faedah kepada murid. Oleh
itu, pihak kerajaan perlu menyediakan banyak kemudahan untuk bersukan di sekolah. Ibu bapa pula patut
menggalakkan anak-anak mereka bersukan. Begitu juga dengan guru-guru perlu melengkapkan diri dengan
pelbagai kemahiran sukan. Saya percaya dengan adanya kerjasama antara semua pihak lebih ramai lagi jaguh
sukan negara yang akan menyerlah di peringkat antarabangsa, asalkan kita tidak melakukannya sekadar
hangat-hangat tahi ayam.

Anda mungkin juga menyukai