Anda di halaman 1dari 2

Cabaran mempertahan nilai-nilai murni

Tatkala kita ingin melangkah ke era negara maju, terdapat banyak nilai yang semakin terhakis
yang boleh mengancam kesejahteraan masa depan masyarakat dan negara jika kita ingin
menzahirkan ia dalam acuan sendiri. Acuan sebuah negara yang berjaya, dengan pencapaian
ilmu dan sains dan teknologinya, bersatu-padu, aman, makmur dan bahagia dan pada masa
sama mengekalkan nilai-nilai murni bersama dalam jati diri Malaysia.

Hal ini penting agar kemajuan dan kejayaan yang dicapai akan terus kekal tanpa menjadikan
kita hidup dalam kacau-bilau, penuh kebimbangan dan menghasilkan masyarakat yang sakit
seperti mana yang dilihat berlaku dalam perwatakan banyak negara maju di dunia.

Kerana itu, kita perlu sentiasa memastikan nilai-nilai hidup murni terutamanya hormat
menghormati sentiasa dijaga serta memastikan sensitiviti budaya, agama dan kepelbagaian
cara hidup yang ada akan sentiasa terpelihara. Semangat dan prinsip Rukun Negara perlu
terus ditanamkan dan dijadikan nilai utama untuk tujuan tersebut.

Cabaran yang dihadapi kita sekarang ini jauh lebih besar dari apa yang kita ingin capai tatkala
negara mencapai kemerdekaan lebih setengah abad lalu. Antaranya, kebebasan, pembangunan
dan kemewahan hidup yang dicapai dari dasar dan kepimpinan pembangunan negara yang
mapan, pembangunan teknologi komunikasi dan maklumat yang pantas, perkembangan media
sosial yang begitu terbuka, lahirnya pemberita dan pelapor media sosial, komen-komen terus
pada media atas talian dan banyak lagi perkembangan lain yang berlaku di sekeliling kita
dalam konsep langit terbuka.

Malah kemajuan pesat dalam ilmu pengetahuan dan penguasaan pelbagai disiplinnya dengan
pertambahan bilangan yang besar dalam kalangan rakyat yang berijazah dan berpendidikan
tinggi di negara ini juga tidak banyak membantu dalam menghadapi krisis moral yang ada.

Generasi masa kini yang lahir dengan segala kesenangan dan kemudahan, mendapat peluang
yang terbuka luas dari segala dasar yang dibangunkan serta berfikiran kritikal terhadap
pelbagai perkara sekelilingnya, nilai-nilai yang menjadi teras kepada kesejahteraan
masyarakat sekian lama dipegang sering dipertikai dan dijadikan bahan untuk dipersenda
termasuk nilai hormat menghormati. Sebahagiannya menzahirkan dengan cara yang begitu
menjengkelkan dan boleh mengundang kemarahan dan kebencian sesama masyarakat.

Contoh terdekat, semasa kematian keluarga seorang pemimpin negara baru-baru ini yang
bukan sahaja tidak mengundang simpati di media sosial, sebaliknya penuh dengan cemuhan
dan caci maki yang panjang. Ini bukan sahaja perbuatan biadab malah di luar pemikiran
mereka yang waras dan berilmu pengetahuan tinggi.

Dalam mana-mana budaya pun, perbuatan seperti ini apatah lagi mengeji orang yang telah
tiada tidak mungkin boleh diterima akal. Inilah agaknya yang diinginkan oleh mereka yang
berusaha selama ini menanam bibit kebencian bukan sahaja kepada pemimpin dan kerajaan.
Berita-berita disebar tanpa fakta sahih, melihat hanya dari sebelah pihak dan enggan
menerima penjelasan .

Benar sekali kandungan buku yang ditulis oleh Annette Simmons (2015), Whoever Tells The
Best Storiy Wins – yang memperlihatkan pentingnya membangunkan jalan cerita tertentu
untuk menanamkan kepercayaan dan keyakinan dan sebaliknya bukan sahaja terhadap jenama
barangan tetapi juga kepimpinan dan orang-orang tertentu. Membangunkan jalan cerita yang
begitu meyakinkan sehingga diterima, dipercayai malah dijadikan bahan termasuk untuk
membenci orang lain.

Usaha-usaha perlu dibuat dengan lebih bersungguh-sungguh dan tegas untuk membanteras
gejala seperti ini terutamanya fitnah dan pemberitaan tidak sahih yang banyak meracun
fikiran masyarakat. Proses pendidikan formal dan tidak formal perlu dilaksanakan untuk
mengajak masyarakat termasuk anak-anak muda kita menggunakan saluran yang betul dalam
menzahirkan perasaan mahu pun perbuatan apabila tidak bersetuju, tidak memahami atau
mendapat perkhabaran yang tidak jelas.

Masyarakat perlu dididik untuk menghargai kebebasan yang diberi dan memanfaatkan secara
sihat dalam membangunkan masa hadapan negara yang maju dan progresif. Masa hadapan
negara yang berasaskan ilmu pengetahuan dan penguasaan pelbagai kemahiran perlu
meletakkan prinsip asas kesejahteraan masyarakat dal;am tindakan penting dalam menentukan
masa hadapan negara,

Bukan itu sahaja, perasaan hormat menghormati ini juga perlu dilihat secara lebih luas. Sejak
beberapa tahun kebelakangan ini nampaknya ia menjadi amat longgar. Acara-acara besar
yang diadakan di khalayak ramai termasuk di kompleks perniagaan diadakan dalam bahasa
asing yang tidak difahami oleh semua orang, tidak lagi menggunakan bahasa Melayu. Di jalan
raya dan lebuh raya, pengguna tidak lagi menghormati orang lain sehingga menggunakan
laluan kecemasan menyebabkan kematian apabila ambulans tidak dapat tiba segera untuk
menyelamatkan mangsa kemalangan.

Dalam bulan Ramadan ini pun dahulunya amat jarang orang makan secara terbuka. Malah
rasa hormat antara kaum menyebabkan yang bukan Islam juga tidak berbuat demikian demi
menghormati rakan-rakan Islamnya.

Banyak lagi yang kita dapat lihat hari ini kejadian-kejadian sumbang berlaku akibat hilangnya
rasa hormat ini. Tiba masanya kita melihatnya semula bersama-sama jika kita benar-benar
serius inginkan negara kita mencapai status negara maju yang sejahtera. Trilogi budi-budi
bahasa, budi bicara dan budi pekerti perlu terus diterapkan di hati setiap warga negara yang
sayangkan negaranya.

Anda mungkin juga menyukai