Anda di halaman 1dari 10

Pengurusan Masa Dalam Hidup Seorang Muslim

Post by: ummuhani on March 26, 2008, 01:20:17 PM

Oleh:
Ummi Hani Abu Hassan

PENGENALAN

Setiap makhluk dikurniakan oleh Allah dengan jumlah masa hanya 24 jam sehari
semalam. Dengan jumlah itulah, para makhluk menjalani kehidupan tanpa lebih dan
kurang berbanding mahkluk lain. Namun begitu, setiap manusia mempunyai kaedah
tersendiri menguruskan masanya. Orang yang cemerlang dan berjaya mempunyai sistem
pengurusan masa yang berbeza berbanding orang biasa. Begitu juga orang awam,
pengurusan masa mereka tidak sama dengan para pemimpin dan tokoh masyarakat.

Justeru, konsep pengurusan masa amat dititik-beratkan oleh Islam kerana ia berhubungan
dengan tujuan penciptaan manusia iaitu menjadi hamba dan khalifah Allah SWT.
Manusia diberikan masa untuk melaksanakan dua tanggungjawab tersebut mengikut
aturan yang ditetapkan Islam. Bahkan, setiap perkara yang dilakukan oleh manusia akan 
diperhitungkan di akhirat.

Kertas kerja ini akan menumpukan kepada pengurusan masa seorang Muslim
berpandukan kepada peranan hamba dan khalifah Allah SWT.

1. Pengurusan Masa

Pengurusan merupakan istilah yang berkait dengan sistem pembangunan manusia sama
ada berbentuk individu atau organisasi iaitu keluarga dan masyarakat. Pengurusan
merupakan kemahiran awal dan asas yang diamalkan dalam sejarah kehidupan dan
perkembangan ketamadunan manusia.  Lazimnya, sistem pengurusan diaplikasikan dalam
bidang perniagaan yang merujuk kepada permintaan dan keperluan pasaran. Misalnya,
persaingan pasaran global telah meningkatkan permintaan terhadap barangan. Dan ia
memerlukan kepada pengurusan sumber yang efektif.

Dalam kehidupan seharian manusia, pengurusan menjadi perkara terpenting bagi


menangani aktiviti yang berkait dengan masa, tenaga, kebolehan, tugasan, kerjaya, hak
dan peluang. Keputusan pengurusan yang diambil oleh seseorang individu akan
mempengaruhi sistem hidupnya.  Oleh kerana masa merupakan nyawa yang
menggerakkan aktiviti kemanusian individu, adalah penting ia mempunyai garis panduan
yang dinamakan pengurusan masa.

Manusia mempunyai 24 jam untuk menjalankan tanggungjawab mereka yang pelbagai.


Dalam kehidupan seorang Muslim, semua tanggungjawab yang dilaksanakan di dunia
adalah untuk menuju kepada kehidupan kekal di akhirat. Sekiranya masa yang
dikurniakan oleh Allah SWT tidak digunakan untuk menyelesaikan tanggungjawab
(amanah), maka manusia akan mengalami kehancuran baik di dunia mahupun akhirat.
1.1   Tanggungjawab Sebagai Hamba Allah

Secara fitrahnya manusia mengetahui bahawa penciptaan mereka ke dunia ini


mempunyai matlamat dan hala tuju. Manusia juga dikurniakan dengan aturan kehidupan
iaitu malam dan siang. Firman Allah Taala bermaksud:
   “Dan Dia juga menjadikan matahari dan bulan sentiasa beredar, untuk kepentingan
(kemudahan) kamu, dan Dia  yang menjadikan malam dan siang bagi faedah kamu.”
(Surah Ibrahim: 33)

Kejadian malam dan siang mempunyai falsafah waktu kepada manusia. Umumnya,
manusia bekerja, beramal dan berusaha di waktu siang manakala di waktu malam
diperuntukkan untuk merehatkan diri. Beberapa petikan ayat al-Quran menyebut bahawa
masa sangat penting dalam kehidupan makhluk. Antaranya yang disebutkan Allah
bermaksud:
“Demi malam apabila ia menyelubungi segala-galanya (gelap). Dan siang apabila ia lahir
terang benderang.” (Surah al-Lail: 1-2)

   Tugas hamba Allah adalah dengan mematuhi segala perintah yang telah disyariatkan
olehNya. Firman Allah Taala bermaksud:
“Iaitu orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan
duduk, semasa berbaring dan mereka memikirkan tentang kejadian langit dan bumi,
sambil berkata : Wahai Tuhan kami, tidaklah Engkau menjadikan tanda-tanda ini dengan
sia-sia. Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab api neraka.” (Surah Ali
Imron: 191)

Allah SWT sebagai Tuhan dan Pencipta seluruh makhluk telah menyediakan silibus
syariat kepada manusia. Bagi orang-orang yang beriman, mereka  menunaikan solat lima
waktu sehari semalam sebagai penghubung di antara makhluk dengan Pencipta.
Ketetapan waktu solat juga telah disyariatkan Allah bagi mendidik manusia agar menjadi
makhluk yang berdisplin dan merendahkan diri (hamba).

   Dr Yusuf al-Qardhawi  menerangkan bahawa ketetapan waktu solat mempunyai


hikmah yang sangat besar. Antaranya ialah:

a)   Solat Subuh – Apabila manusia menjalani rehat sepanjang malam, mereka perlu
bersegera meraikan masuknya waktu siang untuk bekerja dan beramal. Permulaan
siangnya dimulai dengan waktu Subuh agar manusia bersyukur kepada Tuhan Yang
Menghidupkan dan Memberi Rezeki. Waktu Subuh juga memberi kesegaran kepada
manusia apabila anggota tubuh dibasahi wudhuk. Manakala rohani mereka dibangunkan
dengan khusyuk dan tunduk kepada Allah.

b)   Solat Zohor – Setelah bertukus-lumus menunaikan tanggungjawab (bekerja, belajar


dan lain-lain), tubuh dan otak manusia memerlukan rehat. Justeru, waktu Zohor
merupakan terapi kepada setiap Muslim untuk seketika melapangkan diri daripada tugas-
tugas keduniaan dan menyerahkannya kepada Sang Pencipta. Ia juga menjadi platform
kepada seseorang Muslim untuk bermuhasabah diri agar  berusaha meningkatkan kualiti
tanggungjawab mereka terhadap ummah.

c)   Solat Asar- Di dalam al-Quran, Allah SWT telah merakamkan surah al-Asr
bermaksud masa.  Asar adalah sempadan daripada siang kepada malam. Jangka waktunya
juga adalah pendek dan terbatas. Oleh itu, Allah SWT berpesan supaya manusia tidak
lalai daripada mengingati Allah terutama apabila mereka mampu menyelesaikan
tanggungjawab di siang hari dengan sempurna. Firman Allah Taala bermaksud:
“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali mereka yang berpesan-
pesan kepada kebaikan dan berpesan kepada kesabaran.”
(Surah al-Asr: 1-3)

d)   Solat Magrib – Apabila masuknya waktu malam, manusia mempunyai kelapangan


waktu daripada urusan pekerjaan. Sebahagian waktu di antara Magrib dan Isya’
hendaklah digunakan untuk perkara bermanfaat seperti membaca al-Quran, mendengar
tazkirah, berzikir dan lain-lain. Malahan, Rasulullah SAW menganjurkan supaya
memanjangkan waktu zikir selepas solat Magrib. 

e)   Solat Isya’- Solat Isya adalah penutupan ibadah wajib dalam kehidupan seharian
seorang Muslim. Ia menjadi medan muhasabah dan pengharapan agar Allah SWT
mengurniakan peluang (umur) keesokan harinya. Bahkan, solat Isya mempunyai waktu
yang sangat panjang sehingga masuknya waktu Subuh supaya manusia tidak sesekali
lalai daripada berterima kasih kepada Allah SWT sebagai Tuhan dan Pencipta Sekalian
Alam.
 
1.2 Tanggungjawab Sebagai Khalifah Allah

   Manusia memakmurkan bumi dengan kelebihan akal dan fizikal yang dikurniakan
Allah. Manusia, sejak zaman nabi Adam AS hidup berkeluarga dan bermasyarakat.
Komunikasi di antara manusia akan mewujudkan bentuk perhubungan yang
menghidupkan bumi.

   Pada zaman Rasulullah SAW, Islam telah menjadikan masyarakatnya sebagai manusia
yang unggul dan digeruni musuh. Ketegasan Islam mengatur kegiatan umat tidak
memungkinkan wujudnya pembaziran masa terhadap perkara-perkara yang tidak
berfaedah. Rasulullah SAW adalah ahli masa yang bijak mengatur keperluan hidupnya 
berdasarkan peranan baginda SAW sebagai ketua keluarga, pemimpin masyarakat, dan
nabi seluruh manusia akhir zaman. Bahkan Baginda SAW bersabda:
   “Ambillah peluang lima perkara sebelum datangnya lima perkara, iaitu masa mudamu
sebelum tuamu, masa sihatmu sebelum sakitmu, masa kayamu sebelum miskinmu masa
lapangmu sebelum sibukmu dan masa hidupmu sebelum matimu.”
(Hadis riwayat Ahmad)

   Sebagai khalifah, manusia menggunakan ilmu dan kepakaran untuk mencari rezeki bagi
melangsungkan kehidupan. Justeru, mereka melakukan pelbagai pekerjaan yang sesuai
dengan kemampuan diri. Dalam era moden kini, masa semakin pantas bergerak seiring
dengan kemajuan zaman. Misalnya, waktu perjalanan ke negara-negara dunia telah
menjadi pendek dan cepat. Manusia juga melakukan pelbagai kerja secara pantas akibat
bantuan alat-alat teknologi malah maklumat dan infomasi boleh disebarkan ke seluruh
dunia hanya beberapa saat menggunakan kemudahan internet. Namun, kepesatan
pembangunan juga menjadikan hidup manusia semakin komplek hingga masa yang ada
tidak cukup untuk menyelesaikan banyak masalah-masalah kehidupan. Sebagai
khalifahNya, manusia tidak boleh meminggirkan keutamaan ibadah sebagai tanda syukur
kepada Allah SWT. Firman Allah Taala bermaksud:

   “Dan Dialah yang menjadikan malam dan siang silih berganti untuk siapa yang mahu
beringat (memikirkannya) atau mahu bersyukur (akan nikmat-nikmatNya).”
(Surah al-Furqan:62)

Islam juga menggalakkan umatnya bermuhasabah. Bonus diberikan kepada mereka yang
sanggup bangun di sepertiga malam untuk bermuamalah dengan Pencipta setelah
siangnya sibuk menunaikan tanggungjawab insaniah. Teladan daripada baginda SAW
yang menguruskan masa dengan baik walaupun baginda memegang pelbagai peranan
tetapi menghabiskan waktu malamnya untuk bermunajat kepada Allah SWT.

Selain itu, maksud khalifah juga merujuk kepada pemimpin masyarakat. Sebagai
pemimpin, sebahagian waktu diperuntukkan untuk menyelesaikan permasalahan umat.
Kualiti sesebuah masyarakat bergantung kepada kepimpinan yang amanah seperti yang
dilaksanakan oleh khulafa ar-Rasyidin . Misalnya, sewaktu pemerintahan Saidina Umar,
baginda sering keluar di waktu malam kerana memantau kebajikan rakyatnya. Bahkan,
baginda lebih miskin daripada rakyatnya. Menurut Imam Hasan al-Basri, masa adalah
lebih penting daripada harta.  Manakala khalifah Umar Abdul Aziz mengatakan:
“Sesungguhnya malam dan siang sedang melakukan terhadap kamu, maka hendaklah
kamu bertindak ke atas keduanya.”

   Tauladan daripada generasi terdahulu membuktikan bahawa keagungan tamadun Islam


berpunca daripada pengurusan pemerintahan yang cekap. Kelebihan umat Islam berbeza
dengan kaum musyrikin sekiranya mereka mengaplikasikan saranan agama terhadap
penjagaan masa. Kaum musyrikin bersungguh-sungguh terhadap pekerjaan kerana
menganggap dunia adalah syurga, sebaliknya Islam mengibaratkan dunia sebagai ladang
untuk mengutip hasil di akhirat nanti. Apabila pengurusan masa hilang, maka status
sosial masyarakat Islam juga akan terjejas, mereka menjadi umat yang lemah, lalai dan
tidak komprehensif.  Menurut kata-kata hukama:
“Masa adalah ibarat pedang, sekiranya kamu tidak memotongnya, ia akan memotong
kamu.”     

 2. Pembaziran Masa di Kalangan Masyarakat Islam

Di abad ke 21, Islam belum menjadi kuasa besar selepas era penjajahan barat khususnya
negara-negara Eropah. Justeru, para sarjana Islam telah membuat kajian tentang sebab
dan punca kelemahan umat Islam sehingga tidak mampu mandiri seperti yang diasaskan
oleh Rasulullah SAW dan para sahabat baginda. Antara punca kelemahan umat Islam
ialah pembaziran masa.

2.1 Menghabiskan masa terhadap perkara yang tidak menjadi keutamaan

   Dr Yusuf Qardawi mengatakan sebahagian umat Islam kini kerap mendahulukan
perkara yang kurang penting berbanding perkara yang penting. Perkara penting adalah
urusan-urusan wajib yang termaktub dalam syariat Islam. Di antara perkara-perkara
tersebut ada yang besar, penting dan utama dan ada pula yang kecil, ringan, kurang
penting dan kurang utama iaitu asasi, cabang (furu’), dan rukun. 

   Sebagai contoh, para remaja Islam kini mengutamakan kekuatan jasmani berbanding
kekuatan akal fikiran. Jika remaja lelaki lebih gemarkan permainan olahraga dan bola
sepak, remaja wanita lebih mendahulukan kecantikan tubuh dan rupa paras berbanding
kecantikan hati budi. Kajian menunjukkan, wanita di seluruh dunia puratanya
menghabiskan tiga tahun daripada usia mereka untuk bersolek di hadapan cermin  Begitu
juga, sebahagian daripada umat Islam suka berdebat dan berbahas perkara-perkara yang
tidak membangunkan ummah seperti masalah perbezaan mazhab dan politik berbanding
perkara-perkara yang boleh membangunkan intergriti masyarakat Islam seperti
penerokaan Sains dan Teknologi, IT, Sains Kemanusiaan, Ekonomi dan lain-lain. Dr
Yusuf Qardawi turut memberikan contoh, di sebahagian negara Islam, pemerintah lebih
gemar mendirikan masjid-masjid besar berbanding menyumbang dana kepada program
berbentuk akidah dan pembinaan sahsiah masyarakat.

   Sikap mengutamakan perkara yang tidak penting juga menyebabkan umat Islam
ketinggalan dan menjadi masyarakat pengguna kepada produk-produk masyarakat bukan
Islam.
        
2.2 Banyak bercakap daripada bertindak dan bekerja

   Satu faktor kelemahan yang ketara di kalangan umat Islam ialah banyak bercakap
daripada bertindak. Ramai sedar bahawa masalah yang dialami oleh Muslim di seluruh
dunia turut berpunca daripada perpecahan ideologi mazhab terutama puak ahli Sunnah
dan Syiah. Selain itu, perpecahan turut berlaku akibat perbezaan ideologi politik yang
menghakis nilai persaudaran sesama bangsa. Namun, usaha penyatuan hanya kedengaran
di balik manifesto atau ruang bicara tanpa usul tindakan yang menyatukan-padukan
sesama Muslim. Sebagai contoh, negara-negara Islam yang bernaung bawah pertubuhan
OIC  kerap mengusulkan permasalahan umat Islam khususnya di negara Asia Barat
seperti Palestin, Iraq, Lubnan dan lain-lain, namun jalan penyelesaiannya masih kabur
walaupun persidangan antara negara-negara Islam ini diadakan pada setiap tahun.
2.3 Tidak serius dengan permasalahan umat

Di zaman globalisasi ini, umat Islam disibukkan dengan perkara-perkara berbentuk


keduniaan terutama pengaruh budaya dari Barat. Musuh Islam iaitu zionis sengaja
merangka imej yang menyimpang daripada agama untuk diguna pakai oleh seluruh
masyarakat dunia termasuk umat Islam. Ejen produk budaya pula adalah di kalangan
selebriti dunia yang menjadi pujaan remaja seperti artis hiburan, atlet sukan, model dan
lain-lain. Akibatnya, jiwa umat Islam melekat kepada perkara-perkara yang melalaikan
mereka daripada urusan agama.

Berapa ramaikah di kalangan generasi muda kini mengambil berat terhadap isu-isu global
umat Islam seperti kemiskinan masyarakat Islam di Sudan, peperangan antara puak Syiah
dan Sunnah di Iraq, kezaliman Israel ke atas rakyat Palestin, perebutan kuasa di kalangan
pemimpin-pemimpin Islam termasuk di Pakistan, Mesir, Syria dan lain-lain. Nyatanya,
kebanyakan generasi muda kini lebih selesa menyibukkan diri dengan kegiatan yang
bersifat individu antaranya menghabiskan masa menonton rancangan hiburan, membeli-
belah, mengumpul harta dan kekayaan hingga terlupa pada nasib saudara-saudara Islam
yang terpinggir dan tersisih.

Oleh itu, tidak hairanlah mengapa permasalahan umat Islam tidak pernah selesai malahan
semakin kronik walaupun sebahagian negara Islam sudah mencapai taraf kemajuan
setanding Eropah.

2.4 Membuat sesuatu tanpa perancangan dan sambil lewa

   Faktor kelemahan umat Islam juga adalah melakukan sesuatu kerja tanpa perancangan
yang teliti dan rapi. Akibatnya, pelbagai agenda ummah tergendala dan tidak dapat
membina pembangunan insaniah masyarakat.

   Misalnya, perlaksanaan Islam Hadhari yang dipromosikan kerajaan Malaysia masih


ditahap sederhana dan lesu akibat tidak dihayati masyarakat. Misi yang tidak dirancang
dengan berhati-hati akan mengakibatkan kesan yang tidak memuaskan walaupun
matlamatnya adalah kebaikan. Dalam hal ini, Islam telah memberikan gambaran yang
jelas tentang pengurusan dan perancangan tindakan, contohnya perlaksanaan solat, zakat
dan haji mempunyai garis panduan tersendiri dan tidak boleh dipraktiskan sesuka hati.
Bagi umat Islam yang ingin menunaikan haji, mereka perlu mencari wang yang halal,
membebaskan diri daripada maksiat dan dosa, membayar hutang dan menyediakan
keperluan sebaiknya sebelum berangkat ke tanah suci.

   Bagi melaksanakan dakwah, umat Islam juga perlu bersatu-padu dan bekerjasama.
Sikap mengambil-berat akan meletakkan Islam di puncaknya. Firman Allah Taala;
   ‘Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka adalah
menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh  yang makruf, mencegah
dari kemungkaran, mendirikan solat, membayar zakat, dan mereka taat kepada Allah dan
rasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa
lagi Maha Bijaksana.’ –Surah- at-Taubah; 71

KESIMPULAN

Kehidupan manusia tidak pernah bebas daripada tanggungjawab dan kerja. Semakin
bertambah usia seseorang itu, kerja dan tanggungjawabnya semakin berat. Justeru, untuk
menjadi manusia yang beramanah dengan waktunya, seorang Muslim perlu
mendahulukan perkara-perkara yang penting dan mengimbangi di antara urusan dunia
dengan urusan akhirat.

Sabda Rasululah SAW;


   ‘Sepatutnya ke atas seorang yang berakal itu, ia mempunyai empat waktu; waktu untuk
dia berdoa kepada Allah SWT, waktu dia bermuhasabah dirinya, waktu untuknya
memikirkan ciptaan Allah dan waktu untuk dia mencari keperluan makanan dan
minuman.’

Pengurusan Masa Dalam


Kehidupan
Written by Administrator   
Monday, 08 September 2008

Islam amat menitikberatkan umatnya agar sentiasa menghargai


masa. Allah SWT telah menegaskan di dalam Al-Quran bahawa masa itu amat berharga
dan mereka yang mensia-siakan usia hidupnya dengan perkara yang sia-sia akan
dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Masa merupakan neraca perhitungan terhadap
segala pergerakan insan. Masa yang berlalu itu tidak akan kembali walau sedetik pun.
Masa akan sentiasa meninggalkan kita, sedar ataupun tidak.

Allah SWT  menggambarkan betapa mustahaknya masa dalam kehidupan insan melalui
firmanNya yang bermaksud: "Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian,
kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh. Mereka berpesan-pesan dengan
kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran". (Al-Asr: 1-3)

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Rebutlah lima perkara sebelum datang lima
perkara, usia mudamu sebelum tua, masa sihatmu sebelum sakit, masa senangmu
sebelum papa, masa hidupmu sebelum mati dan masa lapangmu sebelum sibuk".
(Riwayat At-Tarmizi)

Orang yang benar-benar menghargai masa tidak akan membiarkannya berlalu begitu
sahaja. Malah ia dipenuhi dengan kerja-kerja amal soleh lagi bermanfaat kerana ia sedar
bahawa waktu itu adalah umpama umurnya. Dengan berlalunya masa bererti kurang
umurnya dan kurang pula amalannya serta kurang pula bekalan pahalanya  sedangkan
itulah bekalan yang akan dibawa ke akhirat kelak.

Bagi mereka yang tidak menggunakan masa itu dengan baik, ia beroleh kerugian dalam
hidupnya, bak kata Saidina Ali: "Masa itu ibarat sebilah pedang, jika kamu tidak
memancungnya, nescaya ia akan memancung kamu".

Seseorang yang dapat mengurus masanya dengan bijak akan mencerminkan wibawa
keperibadiannya yang mulia. Ia juga membawa kesan ke atas segala urusan duniawi dan
ukhrawi. Dalam aspek jasmani sebagai contoh, jika peruntukan waktu tidur kita adalah
selama enam atau tujuh jam, tetapi kita menonton TV sehingga larut malam, kesannya
kita akan mengalami kelesuan pada esok harinya, dengan itu akan menjejaskan prestasi
kerja dan kualiti perkhidmatan kita.

Begitu juga dalam aspek ibadat, di mana solat pada awal waktu amat digalakkan.
Melewat-lewatkan solat tanpa alasan yang munasabah akan menjejaskan kualiti solat kita
bahkan amat dimurkai oleh Allah SWT. Ini ditegaskan dalam satu peristiwa yang
diriwayatkan oleh Abdullah bin Mas'ud dengan berkata:

"Pada suatu hari para sahabat lalu di hadapan Rasulullah s.a.w. maka Baginda
bersabda kepada mereka: Tahukah kamu apa yang difirmankan oleh Tuhan kamu?
Mereka menjawab: Allah dan Rasul yang lebih mengetahui. Rasulullah s.a.w.
mengulangi pertanyaan tersebut sebanyak tiga kali... Allah SWT berfirman kepadaku
yang bermaksud: "Demi kebesaran dan kemuliaanKu, tiada sembahyang seseorang tetap
pada waktunya melainkan Aku memasukkannya ke dalam syurga. Dan barangsiapa
bersembahyang di luar waktu, maka jika Aku kehendaki, Aku menghormatinya dan jika
Aku kehendaki, Aku mengazabnya". (Riwayat al-Tabrani)

Pengurusan masa yang bijak dilakukan oleh mereka yang peka menggunakan masa yang
ada padanya. Masa tidak disia-siakan walau sesaat pun kerana mereka yang mengabaikan
masa dalam pengurusan akan menghadapi pelbagai konflik dan masalah dalam
menyelesaikan kerja. Akhirnya ia akan menghadapi kecelaruan dalam personaliti
sehingga memberi kesan negatif ke atas produktiviti dan budaya kerja seseorang.

Untuk mengelakkan kerugian dalam hidup ini serta mendapat keberkatan dari Allah SWT
maka setiap individu hendaklah memperuntukkan masa seperti berikut:

1. Masa beribadat kepada Allah (ibadat khusus) dengan mengerjakan sembahyang, puasa,
zakat, menunaikan haji, berzikir dan lain-lain.

2. Masa bekerja. Mengikut bidang pekerjaan masing-masing, asalkan ia tidak bercanggah


dengan syariat Islam.

3. Masa untuk menambahkan intelektual. Samada melalui pembelajaran formal atau tidak,
pembacaan, pendengaran, perbincangan, menghadiri majlis ilmu yang boleh
meningkatkan kemantapan rohani dan keintelektualan.

4. Masa bersama keluarga. Setiap individu perlu kepada kebahagian keluarga untuk
mencapai kebahagian, ia bergantung kuat kepada kebijaksanaan menguruskan masa
tersebut.

5. Masa bermasyarakat dan bersosial. Setiap individu memerlukan hidup bermasyarakat


dan perlu kepada bantuan orang lain. Oleh itu, kerja-kerja kemasyarakatan perlu
diperuntukkan masa yang sesuai dan khusus supaya hubungan antara satu sama lain
bertambah erat dan mesra. Sebagai contoh, mengadakan aktiviti gotong-royong, bersukan,
berpersatuan, kerja-kerja amal dan sebagainya.

6. Masa berehat. Setiap insan perlu kepada kerehatan setelah penat lelah memerah otak
dan tenaga melakukan sesuatu pekerjaan. Oleh itu, ia memerlukan masa tertentu untuk
memperolehi kerehatan. Masa rehat adalah penting kepada setiap orang untuk
memulihkan tenaga dan fikiran bagi meneruskan kehidupan.

Bagi memastikan waktu digunakan untuk perkara-perkara yang berfaedah, maka setiap
individu muslim haruslah menyusun jadual harian mengikut keutamaan tugas dan
tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya. Semasa berada di tempat kerja tumpuan
hendaklah diberikan sepenuhnya kepada tugas-tugas yang diamanahkan kepadanya
sehingga selesai waktu pejabat. Setelah itu, tumpuan hendaklah diberikan pula kepada
aktiviti-aktiviti kemasyarakatan termasuk menjalankan aktiviti-aktiviti rekreasi dan
bimbingan keluarga. Pada waktu malam pula, tumpuan hendaklah diberikan kepada
bimbingan keluarga serta melakukan amal ibadat secara berjemaah dan menghadiri
majlis-majlis ilmu. Setelah selesai menjalankan tugas-tugas atau aktiviti-aktiviti tersebut
sampailah masanya untuk berehat.

Rasulullah s.a.w. telah membahagikan masa Baginda kepada empat bahagian:

1. Waktu untuk bermunajat kepada Allah SWT.


2. Waktu untuk bermuhasabah (menghitung diri).
3. Waktu untuk berfikir tentang kekuasaan dan ciptaan Allah SWT.
4. Waktu untuk memenuhi keperluan hidup.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman, janganlah
kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak pinak kamu daripada
mengingati Allah (dengan menjalankan perintahnya). Dan (ingatlah) sesiapa yang
melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi." (Surah Al-Munafiqun:
9).

Pembaziran boleh berlaku disebabkan perkara-perkara berikut:

1. Menangguhkan kerja.
2. Tidak mengutamakan kerja-kerja yang lebih penting.
3. Tidak mengikut jadual yang ditetapkan.
4. Tidak merancang kerja harian.
5. Agihan tugas yang tidak sistematik.
6. Keputusan yang dibuat tidak teliti.
7. Menyerahkan tugas kepada orang yang bukan ahlinya.
8. Menggunakan peralatan yang tidak sesuai dengan kehidupan semasa.
9. Sikap pekerja yang tidak mementingkan nilai masa.

Kesimpulannya, untuk mewujudkan pengurusan yang cekap dan efisien, ia mempunyai


kaitan rapat tentang sejauh mana keberkesanan seseorang itu menguruskan masa dengan
baik, kerana pengurusan masa yang baik akan menghasilkan prodaktiviti yang berkualiti.
Dengan sebab itu Islam memandang masa itu amat bernilai dan meletakkan bahawa
pembaziran masa dan pengurusan yang tidak baik adalah merugikan seseorang itu samada
semasa hidup di dunia ini dan juga di akhirat.

Anda mungkin juga menyukai