Anda di halaman 1dari 20

PENDEMOKRASIAN PENDIDIKAN:

SUATU PENTAFSIRAN DAN TINJAUAN


MENGENAI PENDEKATAN SERTA PELAKSANAANNYA
DALAM SISTEM PENDIDIKAN DI MALAYSIA*
(Oleh: Ahmad Fauzi bin Mohamed)

PENGENALAN

Y.A.B. Datuk Seri Dr. Mahathir bin Mohamad, Perdana Menteri Malaysia semasa
memperkenalkan Wawasan 2020 di Persidangan Majlis Perdagangan Malaysia pada
28hb. Februari, 1991 telah mencetuskan hasrat untuk meningkatkan status negara
Malaysia daripada sebuah negara yang sedang membangun kepada sebuah negara
perindustrian yang maju sepenuhnya menjelang tahun 2020. Dalam perkembangan
berkaitan, Y.A.B Perdana Menteri telah menegaskan:

"Daripada pengalaman yang menakjubkan selama dua dasawarsa


yang lalu di kalangan semua negara yang dulunya terbatas
'sumber alamnya', maka amatlah jelas bahawa sumber yang
paling utama bagi sesebuah negara adalah bakat, kemahiran,
daya cipta dan daya usaha rakyatnya. Tenaga otak kita adalah
sumber yang jauh lebih berharga daripada sumber alam. Rakyat
adalah sumber kita yang paling utama. Tanpa ragu-ragu lagi,
pada tahun 1990-an dan seterusnya Malaysia mestilah memberi
perhatian yang sepenuhnya terhadap pembangunan sumber yang
amat penting ini”.
(Malaysia Melangkah Ke Hadapan, hal. 20-21)

Matlamat menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang tahun 2020 boleh
dilaksanakan melalui pembangunan sumber manusia yang lengkap, seimbang dan
bersepadu. Proses pembangunan sumber manusia juga mestilah bersifat total atau
menyeluruh. Dengan lain perkataan, kita mestilah memastikan bahawa tidak ada mana-
mana golongan di dalam negara kita yang tercicir atau diabaikan dalam proses tersebut
dan menurut Y.A.B Perdana Menteri:

"Dalam pembangunan sumber tenaga manusia, kita tidak harus


mengabaikan separuh jumlah penduduk kita, yakni golongan
Bumiputra. Jika golongan ini tercicir, jika kemungkinan-
kemungkinan yang ada pada mereka tidak diperkembangkan, jika
mereka dibiarkan menjadi rintangan terhadap pertumbuhan
kebangsaan kita, maka kemajuan kita pastilah akan pincang”.
(Malaysia Melangkah Ke Hadapan, hal. 21-22)

Wadah utama kepada pembangunan sumber manusia pula sudah pasti sebahagian
besarnya bergantung kepada sistem pendidikan negara. Dengan lain perkataan, apabila
kita memperkatakan tentang isu pembangunan sumber manusia, maka mahu ataupun
tidak kita mesti menyentuh tentang sistem pendidikan negara. Untuk mencapai matlamat
pembangunan sumber manusia yang yang lengkap, seimbang, bersepadu dan
menyeluruh, maka sistem pendidikan juga mestilah berupaya menyediakan peluang yang
secukupnya kepada semua lapisan rakyat. Apabila kita berbicara mengenai isu peluang
dalam pendidikan, maka kita sebenarnya telah menyentuh tentang pendemokrasian dalam
pendidikan.

Esei ini secara ringkas akan cuba menyentuh, mentafsir dan membicarakan
mengenai pendemokrasian pendidikan. Beberapa isu lain yang bersangkutan dengannya
meliputi kepentingan serta pendekatan, pelaksanaan dan amalannya di dalam sistem
pendidikan di Malaysia akan turut dihuraikan terutamanya yang berkaitan dengan hasrat
dan cita-cita menjadikan Malaysia sebuah negara maju seperti apa yang diungkapkan
dalam Wawasan 2020.

DEFINISI PENDEMOKRASIAN PENDIDIKAN

Agak rumit bagi kita untuk memberi pengertian ungkapan pendemokrasian


pendidikan kerana skopnya amat luas dan agak subjektif. Pendemokrasian yang berasal
daripada perkataan demokrasi mempunyai beberapa definisi dan membawa pengertian
yang amat luas. Menurut Shaik Mohd. Noor Alam S.M. Hussain (1993) terlalu banyak
pengertian telah diberikan oleh ahli kaji politik dan sosiologi sehinggakan istilah
demokrasi menimbulkan lebih banyak kekeliruan daripada menampilkan suatu kepastian
pengertian yang perlu ada pada sesuatu doktrin yang boleh dijadikan asas serta penentuan
bukan sahaja bagi pembentukan kerajaan tetapi juga sebagai satu rangka budaya
pentadbiran sesebuah negara. Namun begitu, pengertian demokrasi yang akan dijadikan
asas dan premis perbincangan berkaitan dengan isu yang akan diutarakan ialah "social
equality and respect for the individual”.1

Pendidikan pula bolehlah diertikan sebagai "the knowledge or skill obtained”.2


Walau bagaimanapun dalam mendefinisikan pendidikan dalam konteks negara kita,
rujukan terbaik haruslah berdasarkan kepada apa yang telah diungkapkan di dalam
Falasafah Pendidikan Kebangsaan yang menjadi teras dan tonggak kepada pembangunan
sistem pendidikan negara iaitu:

"Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah


lebih memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh
dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan
harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani
berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha
ini adalah bertujuan untuk melahirkan warganegara Malaysia
yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, bertanggungjawab
dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi
sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga,
masyarakat dan negara”.
(Akta Pendidikan, 1996)

Berdasarkan definisi-definisi yang tersebut di atas, pendemokrasian dapatlah


dikonotasikan sebagai prinsip-prinsip kesamarataan hak-hak sosial setiap individu yang
menganggotai sesuatu masyarakat. Manakala pendidikan pula yang dikaitkan dengan satu
usaha adalah merupakan satu proses mendidik atau dididik (the act or process of
educating or being educated) untuk memanusiakan manusia. Apabila kita
memperkatakan tentang usaha mendidik dan dididik, ia pula berkait rapat dengan proses
yang berkaitan dengan pengajaran dan pemelajaran (the field of study concerned with
teaching and learning).

Justeru itu, secara `simplistic' dapatlah disimpulkan bahawa pendemokrasian


pendidikan adalah persamaan hak yang sama rata bagi setiap individu dalam proses

1
Microsoft® Encarta® 97 Encyclopedia. © 1993-1996 Microsoft Corporation.
All rights reserved.
2
Microsoft® Encarta® 97 Encyclopedia. © 1993-1996 Microsoft Corporation.
All rights reserved.
pengajaran dan pemelajaran yang disediakan oleh sesuatu sistem pendidikan di sesebuah
negara. Ini secara langsung bermaksud tidak harus wujud sebarang diskriminasi dalam
bidang atau sektor pendidikan di semua peringkat individu atau masyarakat.

KONSEP PENDEMOKRASIAN PENDIDIKAN

Apabila kita memperkatakan tentang pendemokrasian pendidikan sebagai


persamaan hak yang sama rata bagi setiap individu dalam proses pendidikan, maka secara
mudahnya apa yang dimaksudkan ialah pendidikan untuk semua. Namun begitu, untuk
menjamin sistem pendidikan negara mampu menyumbang dalam menjadikan Malaysia
sebuah negara maju menjelang tahun 2020, maka seharusnyalah konsep pendemokrasian
pendidikan di Malaysia dilihat dari skop yang lebih luas.

Pendemokrasian pendidikan yang dimaksudkan bukanlah sekadar


pendemokrasian sahaja tetapi ialah persamaan hak yang sama rata dari segi peluang
mendapat pendidikan yang bermutu (democratization of access to quality education).
Justeru itu, pendemokrasian pendidikan dari segi konsepnya adalah berkait rapat dengan
peluang serta mutu keseluruhan proses pendidikan dan melibatkan di semua peringkat
pendidikan.

Konsep pendidikan untuk semua bukanlah sekadar meliputi peluang yang sama
untuk mendapat pendidikan semata-mata tetapi pendemokrasian pendidikan yang dihajati
haruslah juga merangkumi peluang bagi semua individu untuk mendapat pendidikan yang
berkualiti. Dengan lain perkataan, tidak harus wujud sebarang perbezaan dan diskriminasi
di mana-mana peringkat masyarakat dari segi peluang dan mutu dalam pelaksanaan
sistem pendidikan pendidikan negara. Menurut Nor Aziah bt. Alias dan Azni Zain bt.
Ahmed (1995) pendidikan seharusnya merangkumi dan terbuka kepada segenap lapisan
masyarakat, bukan sahaja dari segi geografi bahkan juga dari segi golongan jenis dan
sektor ekonomi.

Oleh yang demikian, sistem pendidikan haruslah memastikan tidak ada mana-
mana golongan di negara ini yang tercicir dari memperolehi peluang untuk mendapat
pendidikan yang bermutu kerana jika keadaan sedemikian berlaku maka kemajuan yang
akan kita kecapi pada tahun 2020 nanti pastinya menjadi pincang. Secara `simplistic'
dapatlah disimpulkan bahawa dari segi konsepnya pendemokrasian pendidikan adalah
berkaitan dengan keupayaan dan kemampuan sistem pendidikan negara kita dalam
menyediakan peluang untuk menikmati pendidikan yang bukan sahaja luas tetapi juga
adil, saksama serta bermutu untuk semua lapisan rakyat Malaysia.

KEPENTINGAN ISU PENDEMOKRASIAN PENDIDIKAN

Secara umumnya, isu pendemokrasian pendidikan adalah penting kepada semua


lapisan masyarakat baik mereka yang terlibat secara langsung mahupun mereka yang
berada di luar sistem pendidikan. Kepada para pengurus pendidikan, isu ini penting
untuk dijadikan asas dan sandaran dalam membuat perancangan. Para pengurus atau
pentadbir pendidikan perlu merancang bagaimana matlamat yang telah ditetapkan dapat
dicapai. Dalam hal ini matlamat pendidikan adalah jelas iaitu mestilah berlandaskan
kepada apa yang terkandung di dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan dan apa yang
tersirat di dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Perancangan dan penyelenggaraan
sumber-sumber secara berkesan dan saksama akan memastikan agenda pendemokrasian
pendidikan diteruskan seadilnya dari segi peluang dan pendidikan mutu di semua
peringkat pendidikan.

Oleh kerana pendidikan adalah sebenarnya milik masyarakat, maka isu


pendemokrasian pendidikan turut penting kepada semua golongan masyarakat. Kepada
masyarakat umum isu ini penting dalam memberi kesedaran tentang kepentingan dan
keperluan pendidikan terutamanya dalam aspek pendemokrasian. Ini bertujuan untuk
meningkatkan keprihatinan mereka terhadap perkembangan terkini dan seterusnya
menimbulkan minat terhadap pendidikan secara amnya dan khususnya terhadap
pendidikan anak-anak mereka. Dengan ini adalah diharapkan agar wujudnya perkongsian
idea dalam menangani pelbagai masalah pendidikan. Justeru itu, masyarakat umum dapat
menjadi penyumbang terhadap maklum balas terhadap keberkesanan pelaksanaan sistem
pendidikan.
Isu ini juga penting kepada seluruh warga pendidikan khususnya mereka yang
berada di peringkat akar umbi iaitu di sekolah-sekolah. Golongan inilah sebenarnya
merupakan barisan hadapan di dalam menentukan kejayaan pelaksanaan sesuatu
perancangan. Dalam konteks pendemokrasian pendidikan, guru-guru haruslah sentiasa
memahami bahawa kewujudan mereka adalah bukan sekadar mengajar tetapi yang utama
ialah menyediakan peluang kepada anak didik mereka untuk menikmati pendidikan
berkualiti tanpa mengira batas-batas sosio-ekonomi, sempadan-sempadan geografi
ataupun perbezaan politik.

Memahami isu ini bererti para pendidik haruslah menginsafi bahawa peranan
mereka adalah memastikan para pelajar mereka memperolehi persamaan hak yang sama
rata dari segi peluang mendapat pendidikan yang bermutu sama seperti rakan-rakan
mereka yang lain baik di dalam daerah, negeri, negara atau di peringkat dunia. Untuk itu,
haruslah timbul kesedaran di kalangan para pendidik untuk terus menerus mengemaskini
ilmu pengetahuan, meningkatkan kepekaan dan sentiasa berusaha memperbaiki serta
menyesuaikan metodologi pengajaran selaras dengan keperluan masyarakat dan tuntutan
semasa khasnya dalam arus perkembangan teknologi maklumat yang semakin kuat
melanda dunia pada hari ini.

Isu pendemokrasian pendidikan juga adalah penting kepada para pelajar


khususnya dalam menimbulkan kesedaran dalam jiwa mereka tentang peluang yang luas
yang disediakan oleh sistem pendidikan negara. Adalah diharapkan dengan kesedaran
tersebut mereka akan untuk berlumba-lumba mencapai kecemerlangan. Mereka juga
harus sedar tentang kepentingan pendidikan untuk masa depan diri serta kepentingannya
dalam menentukan kelangsungan atau kesinambungan kegemilangan negara.

PENDEKATAN & PELAKSANAAN PENDEMOKRASIAN PENDIDIKAN

Pendekatan dan pelaksanaan pendemokrasian pendidikan dalam sistem


pendidikan di negara kita kebanyakannya adalah didorong oleh reformasi-reformasi
pendidikan. Justeru itu, dari segi pendekatan, pelaksanaan serta amalannya, reformasi-
reformasi pendidikan dalam sistem pendidikan negara selama ini adalah juga merupakan
salah satu isu yang berkait amat rapat dengan pendemokrasian pendidikan. Dalam
perkembangan yang sama, Wan Mohd. Zahid bin Mohd. Noordin (1993) menegaskan
bahawa:

"Reformasi Pendidikan juga telah menyediakan ruang untuk kita


melaksanakan pendemokrasian pendidikan.”
(Pendidikan Profesional, 1993 hal.2)

Dalam lipatan sejarah pendidikan negara, sistem pendidikan kita telah mengalami
beberapa kali reformasi terutamanya selepas negara mencapai kemerdekaan. Sejak sistem
kebangsaan yang dibentuk berasaskan perakuan-perakuan Penyata Razak (1956), Penyata
Rahman Talib (1960) dan Akta Pelajaran (1961), beberapa perkembangan telah berlaku
sehingga kajian semula perlu dibuat ke atas sistem tersebut dari semasa ke semasa.
Umpamanya pada tahun 1979, Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar
Pelajaran telah membuat beberapa perakuan penting ke arah memperkemaskan
pelaksanaan sistem pendidikan kita. Begitu juga halnya dengan pelaksanaan Kurikulum
Baru Sekolah Rendah (KBSR) dan kemudiannya diikuti dengan pelaksanaan Kurikulum
Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM).

Sesungguhnya, reformasi dalam pendidikan adalah perkara biasa kerana sistem


pendidikan bukanlah sesuatu yang statik. Sistem pendidikan yang berwibawa dan
responsif mestilah bersifat dinamis iaitu sentiasa berkembang dan berada di dalam
keadaan terkini selaras dengan peredaran masa dan keperluan zaman. Dengan lain
perkataan, tujuan reformasi adalah untuk memperbaiki dan meningkatkan lagi
kemampuan sistem pendidikan untuk memenuhi keperluan semasa dan cabaran masa
muka.

Maksud memperbaiki dan meningkatkan lagi kemampuan sistem pendidikan


dalam konteks reformasi pendidikan sebenarnya adalah bertujuan untuk meningkatkan
lagi peluang serta mutu pendidikan. Dengan lain perkataan, reformasi pendidikan adalah
berkaitan dengan keupayaan dan kemampuan sistem pendidikan negara kita dalam
menyediakan peluang pendidikan yang adil, saksama serta berkualiti untuk semua lapisan
masyarakat.
Apakah telah wujud apa yang dikatakan pendemokrasian pendidikan di dalam
sistem pendidikan di negara kita? Secara ringkasnya, ramai pakar yang terlibat dengan
sistem pendidikan mengakui bahawa pendemokrasian pendidikan sememangnya telah
wujud. Malaysia yang dikatakan sebagai sebuah negara yang mempunyai salah satu
sistem pendidikan yang terbaik di Dunia Ketiga diakui mengamalkannya. Isu
pendemokrasian pendidikan di Malaysia khususnya dari segi peluang dan mutu atau
kualiti pendidikan dapat dilihat atau dikesan beberapa aspek pendekatan, perlaksanaan
dan amalan seperti berikut:

Sistem Pendidikan

Secara amnya sistem pendidikan negara dapat dikategorikan kepada beberapa


peringkat. Peringkat-peringkat tersebut adalah peringkat Rendah yang memakan masa
enam tahun, peringkat Menengah yang dibahagikan kepada peringkat Menegah Rendah
selama tiga tahun, peringkat Menengah Atas selama dua tahun dan peringkat Tingkatan
Enam selama dua tahun. Ini diikuti dengan peringkat Pendidikan Tinggi yang terdiri dari
dua jenis institusi iaitu maktab dan universiti.

Peringkat-peringkat pendidikan tersebut boleh diklasifikasikan atau dipecah-


pecahkan lagi kepada beberapa jenis. Pendidikan Rendah contohnya terbahagi kepada
tiga kumpulan iaitu (1) Sekolah Kebangsaan; (2) Sekolah Rendah Kebangsaan; dan (3)
Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina) dan (Tamil). Begitu juga dengan Pendidikan
Menengah juga dapat dibahagi kepada berberapa kategori iaitu Sekolah Menengah Biasa,
dan Sekolah Menengah Teknik dan Vokasional.

Disamping itu juga, dalam sistem pendidikan Malaysia terdapat institusi-insitusi


pendidikan swasta dan kini ianya meliputi semua peringkat pendidikan. Sistem
pendidikan di Malaysia juga membenarkan penubuhan Sekolah Agama Rakyat iaitu
warisan dari Sistem Pondok sebagai pilihan untuk mendapatkan pendidikan.

Ada juga segelintir mempertikaikan perbezaan-perbezaan ini terutamanya


peringkat Pendidikan Rendah kerana sistem pendidikan sedemikian dikatakan tidak
menggambarkan satu bentuk pendidikan nasional. Isu tersebut tidak harus ditimbulkan
sekiranya kita dengan penuh sedar dan fahami bahawa semua perbezaan tersebut adalah
selaras dengan pendekatan dan pelaksanaan agenda pendemokrasian pendidikan. Perkara
ini dapat difahami dengan jelas dan mudah jika kita mengambil kira kedudukan rakyat
Malaysia yang terdiri daripada berbagai kaum. Perlulah ditegaskan bahawa walaupun
terdapat perbezaan-perbezaan, namun dari segi pelaksanaannya semua Pendidikan
Rendah masih berdasarkan dasar pendidikan yang sama dan mengamalkan kurikulum
yang serupa.

Dalam konteks yang sama, sistem pendidikan yang sedia ada tidak juga
melupakan atau mengabaikan kanak-kanak daripada golongan istimewa. Dengan lain
perkataan, kanak-kanak daripada golongan buta, cacat pendengaran dan bisu, serta
kanak-kanak ‘down syndrome’ juga berpeluang mendapat pendidikan di negara ini.
Namun yang masih menjadi isu ialah kanak-kanak golongan terpaksa mengikuti
kurikulum yang sama serta menduduki peperiksaan awam yang setaraf dengan rakan-
rakan mereka yang normal walaupun kemampuan mereka adalah lebih rendah.

Begitu juga halnya dengan institusi-institusi pendidikan swasta begitu ketara


kewujudannya pada masa kini. Peningkatan bilangan berbagai instiusi pendidikan swasta
yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan pada akhir-akhir ini serta keupayaannya
menawarkan berbagai kursus dan bidang pengajian juga adalah sebenarnya merupakan
sebahagian daripada agenda pendemokrasian pendidikan. Sesungguhnya peluang dan
kemudahan-kemudahan pendidikan yang ditawarkan oleh institusi pendidikan swasta
pada hari ini adalah merupakan kesinambungan dan pelengkap kepada sistem pendidikan
yang sedia ada.

Namun begitu, apa yang membimbangkan ialah wujudnya petanda-petanda


perbezaan yang ketara dan jelas dari segi peluang dan kualiti pendidikan di antara
institusi pendidikan swasta berbanding institusi pendidikan kerajaan. Meskipun dapat
difahami bahawa kewajipan dan kos untuk kerajaan untuk memperlengkapkan
keseluruhan institusi pendidikannya agar setanding dengan institusi pendidikan swasta
adalah jauh lebih besar, namun ini tidaklah harus dijadikan alasan untuk menghalalkan
apa yang sebenarnya sedang berlaku.
Begitu juga dengan langkah meningkatkan bilangan pelajar di universiti-universiti
tempatan mulai sesi pengajian Mei 1998 adalah merupakan langkah memantapkan
pendemokrasian sistem. Pertambahan bilangan pelajar bermaksud lebih ramai warga
negara yang layak akan diberi peluang untuk mendapatkan pendidikan. Namun begitu,
dalam pelaksanaannya haruslah dipastikan bahawa garduan yang bakal dihasilkan nanti
selain dari mampu memenuhi pasaran pekerjaan tempatan adalah benar-benar berkualiti
untuk menghadapi daya saing di peringkat global.

Pendidikan Untuk Semua

Sama sekali tidak dapat dinafikan bahawa dari segi pendekatan dan
pelaksanaannya sistem pendidikan di Malaysia sememangnya diwujudkan untuk semua
iaitu merangkumi segenap golongan masyarakat tanpa mengira batas sosial, ekonomi,
politik ataupun perbezaan geografi. Menurut Wan Mohd. Zahid bin Mohd. Noordin
(1993):

"…… ruang untuk kita melaksanakan pendemokrasian pendidikan


dengan makna bahawa setiap anak bangsa kita, khususnya anak-
anak daripada keluarga miskin dan berpendapatan rendah, anak-
anak di luar bandar dan pendalaman, memperolehi pendidikan
berkualiti.”
(Pendidikan Profesional, 1993 hal. 2)

Berdasarkan pernyataan tersebut jelas sekali bahawa dari segi pendekatan dan
pelaksanaannya dalam aspek pendidikan untuk semua, pendemokrasian pendidikan
memerlukan pengagihan peruntukan kewangan dan sumber secara adil dengan memberi
tumpuan khusus kepada kawasan luar bandar di Semenanjung, kawasan pendalaman di
Sabah dan di Sarawak serta kawasan-kawasan yang sesak dan miskin di bandar-bandar.
Dengan lain perkataan, sistem pendidikan kita tidak pernah mengabaikan atau
meminggirkan mana-mana golongan masyarakat khususnya untuk mendapat pendidikan
yang bermutu.

Selain daripada pendidikan percuma atau tidak dikenakan apa-apa bayaran,


beberapa langkah sokongan yang lain telah diwujudkan bertujuan memantapkan
pelaksanaan agenda pendemokrasian pendidikan dalam aspek ini, Bantuan buku-buku
teks melalui Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT), Rancangan Makanan Tambahan (RMT)
dan pemberian biasiswa oleh Kementerian Pendidikan atau lain-lain agensi bagi mereka
yang layak diadakan bertujuan agar kemiskinan tidak dijadikan alasan untuk seseorang
itu tidak bersekolah.

Namun begitu, sekali sekala kita dapati masih ada kanak-kanak di sana sini tidak
dapat meneruskan persekolahan atau terpaksa berhenti bersekolah kerana desakan hidup
keluarga. Fenomena ini amat sukar difahami terutamanya setelah 40 tahun negara
mencapai kemerdekaan lebih-lebih lagi dalam usaha kita menjadikan negara kita sebuah
negara maju menjelang tahun 2020. Adalah lebih janggal wujudnya situasi sedemikian
apabila kita sedang mengimpikan pendidikan bertaraf dunia. Sebenarnya isu sebegini
tidak harus timbul dalam era ini jika pihak-pihak pelaksana sistem pendidikan
terutamanya di peringkat akar umbi iaitu di sekolah-sekolah lebih peka dan memahami
tentang agenda pendemokrasian pendidikan.

Pendidikan Sarwajagat

Isu pendidikan untuk semua juga berkait rapat dengan aspek pendidikan
sarwajagat atau pendidikan universal. Pendidikan sarwajagat adalah berkaitan dengan had
umur seseorang kanak-kanak untuk mendapat pendidikan formal. Dari segi sejarahnya,
had umur bagi setiap individu untuk mendapat pendidikan formal semakin diperluaskan.
Perluasan ini adalah bertujuan memenuhi keperluan semasa dan cabaran masa muka.

Pendekatan dan pelaksanaan pendemokrasian pendidikan dalam aspek pendidikan


sarwajagat mendapati bahawa mulai pada tahun 1965 telah dilaksanakan sistem
pendidikan komprehensif. Semua pelajar secara automatis meningkat dari sekolah rendah
ke Tingkatan Satu dan pendidikan sarwajagat diperluaskan dari enam tahun kepada
sembilan tahun iaitu hingga ke Tingkatan Tiga di mana Peperiksaan Sijil Rendah
Pelajaran (SRP) atau Lower Certificate of Education (LCE) dan kini dikenali sebagai
Penilaian Menengah Rendah (PMR) dijadikan sebagai sekatan atau sempadan. Keputusan
peperiksaan tersebut dijadikan kayu pengukur untuk melayakkan seseorang individu
meneruskan pendidikan. Hanya yang melepasi piawai yang ditetapkan sahaja yang layak
ke Tingkatan Empat dan seterusnya ke Tingkatan Lima.
Bagi meneruskan agenda pendemokrasian pendidikan, kini pendidikan sarwajagat
telah dilanjutkan kepada 11 tahun walaupun bukan secara automatis, iaitu dengan
meletakkan syarat yang jauh lebih mudah dan longgar dari sebelumnya. Kini, dengan
keputusan yang paling minimum seseorang pelajar boleh meneruskan pendidikan
formalnya ke Tingkatan Empat walaupun dengan keputusan yang tersebut beliau sebelum
ini dikira tidak layak ke Tingkatan Empat dan langkah pelaksanaan ini adalah selaras
dengan dengan perakuan yang dibuat oleh Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan
Dasar Pelajaran, 1979.

Seperti biasa dari segi pendekatan dan pelaksanaannya, terdapat beberapa isu lain
yang berbangkit. Antaranya ialah pertambahan bilangan kelas dan guru berbanding
dengan sebelumnya dan perkara ini sebenarnya bukanlah satu masalah yang besar dan
telahpun dapat diatasi. Namun begitu, terdapat dua isu yang agak besar yang menjadi
cabaran dan harus ditangani oleh sistem pendidikan. Pertama, ialah kesanggupan dan
kesungguhan para pelajar yang memperolehi kelulusan yang minimum itu sendiri untuk
meneruskan pelajaran; dan kedua ialah masalah kualiti pelajar.

Masalah kesanggupan para pelajar untuk meneruskan pelajaran timbul akibat


tarikan peluang pekerjaan yang agak luas terutamanya yang ditawarkan oleh sektor
perkilangan. Tawaran gaji yang agak lumayan serta lain-lain insentif yang menarik serta
syarat-syarat kelayakan permohonan yang rendah memindahkan minat mereka daripada
meneruskan pelajaran. Bagi segelintir, terutama yang menganggap diri mereka tidak
mempunyai harapan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia masa dua tahun tahun
yang mereka terpaksa habiskan untuk meneruskan pendidikan adalah sia-sia berbanding
dengan pendapatan yang akan diperolehi jika mereka bekerja.

Masalah kualiti pelajar yang meneruskan pelajaran ke Tingkatan Empat pula


sering dikaitkan dengan peratus keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Adalah
menjadi anggapan umum bahawa para pelajar dengan kelulusan yang minimum ini akan
menarik turun peratus kelulusan sesebuah sekolah. Kebimbangan di kalangan warga
sesebuah sekolah dalam perkara ini adalah wajar kerana kejayaan dan kecemerlangan
sesebuah sekolah itu sering diukur berdasarkan peratus kelulusan dalam sesuatu
peperiksaan. Namun begitu, para pengurus dan pentadbir kurikulum terutamanya di
peringkat sekolah-sekolah haruslah melihat ini sebagai satu peluang dan bukannya
sebagai satu masalah.

Kemudahan dan Infrastruktur

Apabila kita memperkatakan tentang pendemokrasian pendidikan sebagai


persamaan dari segi peluang dan mutu pendidikan maka kemudahan dan prasarana atau
infrastruktur pendidikan juga haruslah seimbang di antara semua sekolah. Contohnya,
seharusnya tidak wujud perbezaan yang ketara di antara sekolah berasrama penuh dengan
sekolah-sekolah biasa dan khususnya di antara sekolah-sekolah di bandar dan di luar
bandar.

Banyak perkara yang berkait dengan kemudahan dan infrastruktur pendidikan


iaitu seperti kemudahan-kemudahan untuk proses pengajaran dan pemelajaran, asrama,
Pusat Sumber Sekolah, komputer, tenaga pengajar yang berkualiti, sukan dan sebagainya.
Dalam perkembangan berkaitan, usaha memperbaiki prasarana pendidikan luar bandar
diteruskan umpamanya dengan membina asrama desa di setiap daerah, dengan
keutamaan diberikan kepada kawasan pendalaman.

Daripada segi kemudahan dan infrastruktur pendidikan luar bandar, Malaysia


boleh dikatakan di antara negara membangun yang mencatat rekod yang cemerlang.
Namun begitu, ini tidaklah pula bermakna kita harus cepat berpuas hati kerana kita tidak
wajar mencatat rekod kejayaan berbanding dengan negara-negara yang lebih mundur dan
dhaif. Sebenarnya apabila kita katakan pendemokrasian, kita harus juga melihatnya
daripada segi perbandingannya dengan negara-negara yang lebih maju sekurang-
kurangnya berbanding dengan negara-negara maju di rantau ini.

Pendidikan Bertaraf Dunia

Sememangnya Malaysia telah diakui dan boleh dikatakan di antara negara


membangun yang mencatat rekod yang cemerlang dalam bidang pendidikan. Namun
begitu, apabila kita katakan pendemokrasian, kita tidak seharus melihatnya dari segi skop
perbandingan di antara bandar dan luar bandar atau sekadar bersifat dalam negara
semata-mata. Skop perbandingannya haruslah lebih luas dan lebih global sebagai
memenuhi cabaran semasa serta matlamat dan tuntutan sistem pendidikan sebagai wadah
pembangunan negara bangsa dan ke arah pembentukan sebuah negara maju. Dalam
perkembangan berkaitan, Y.A.B. Datuk Seri Dr. Mahathir bin Mohamad menegaskan:

"Malaysia mempunyai salah satu sistem pendidikan yang terbaik


di Dunia Ketiga. Namun sebagai bekal kita mengharungi
perjalanan kepada generasi yang kedua ini, piawaian yang baru
hendaklah ditetapkan dan matlamat baru hendaklah dicapai”.
(Malaysia Melangkah Ke Hadapan, hal. 21)

Justeru itu, pendekatan, pelaksanaan dan amalan pendemokrasian pendidikan


haruslah dinilai dengan membuat perbandingan dengan negara-negara yang lebih maju.
Jika kita enggan melihat tahap pencapaian negara kita berbanding dengan negara-negara
tersebut, kita akan menjadi lebih jumud, terkongkong dalam kepompong atau ‘cocoon’
serta terselubung dan terselindung seperti kata pepatah Melayu hidup “bagai katak di
bawah tempurung”. Isu ini sebenarnya adalah selaras dengan hasrat negara untuk
mewujudkan satu sistem pendidikan kebangsaan yang berkualiti dan bertaraf dunia.

Pendidikan Berkualiti

Apabila kita menyatakan isu pendidikan bertaraf dunia, maka kita tidak dapat lari
dari memperkatakan tentang pendidikan berkualiti. Pendidikan berkualiti di semua
peringkat pendidikan adalah merupakan antara ciri utama yang akan menentukan taraf
sesuatu sistem pendidikan. Dalam perkembangan berkaitan, Y.B. Dato’ Seri Mohd. Najib
bin Tun Abdul Razak, Menteri Pendidikan Malaysia, semasa Persidangan Pendidikan
Nasional Ke-4, di Institut Aminuddin Baki pada 5hb. Ogos 19963 telah menegaskan
bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia berhasrat mewujudkan satu sistem pendidikan
berkualiti yang bertaraf dunia.

Demi mencapai matlamat strategik tersebut, Kementerian Pendidikan perlu


menambahbaikkan sistem pendidikan, kurikulum, profesion pendidikan, kemudahan

3
Seperti yang terdapat dalam kertas kerja Seminar Keguruan Abad 21 anjuran
Institut Perguruan Darulaman yang diadakan di Dewan Ibnu Khaldun, Institut
Perguruan Darulaman pada 16 November, 1996.
fizikal dan kelengkapan serta keefisienan pengurusan. Justeru itu, di antara fokus
strategik yang perlu diberi penekanan adalah memperkukuhkan pendemokrasian
pendidikan.

Oleh yang demikian, dari segi pendekatan, pelaksanaan dan amalannya maka
pendemokrasian pendidikan perlulah diperkukuhkan dengan memastikan setiap kanak-
kanak dalam lingkungan umur persekolahan menerima pendidikan yang berkualiti tanpa
mengira tahap sosio-ekonomi, keadaan fizikal dan tempat tinggal sekurang-kurangnya
untuk tempoh 11 tahun. Pendemokrasian pendidikan juga haruslah memastikan sistem
pendidikan memperluaskan peluang pendidikan berterusan untuk setiap penduduk.

Pendidikan Berterusan

Seperti yang dinyatakan di atas, pendemokrasian pendidikan juga haruslah


berperanan memastikan yang sistem pendidikan memperluaskan peluang pendidikan
berterusan. Pendidikan berterusan sebagai sebahagian sentuhan konsep pendidikan
seumur hidup bermaksud peluang untuk mendapat dan meneruskan pendidikan setiap
penduduk tanpa mengira tahap umur. Dengan lain perkataan, setiap individu tanpa
mengira batas usia masih disediakan peluang yang sewajarnya untuk menyambung
pendidikan khususnya selepas tamat mengikuti pendidikan wajib selama sembilan atau
11 tahun seperti apa yang terkandung dalam sistem pendidikan sekarang.

Dalam perkembangan yang berkaitan, adalah didapati bahawa dari segi


pendekatan dan pelaksanaan pendemokrasian dari sudut peluang untuk pendidikan
berterusan pada masa kini adalah semakin baik malah jauh lebih baik berbanding
perkembangannya sedekad yang lalu. Contohnya, hari ini pendidikan jarak jauh semakin
diperluaskan dan menjadi sesuatu yang agak lumrah. Hari ini sudah kedengaran
pendidikan jarak jauh untuk peringkat ijazah sarjana. Selaras dengan perkembangan
teknologi maklumat pada masa kini adalah diharapkan pendidikan jarak jauh yang
mempunyai ciri istimewa dari segi kelonggaran masa dapat dijadikan wadah dalam
menyediakan peluang untuk pendidikan berterusan khususnya bagi kalangan mereka
yang sudah bekerja tetapi masih berminat dan berkemampuan untuk meneruskan
pelajaran demi untuk meningkatkan taraf pendidikan mereka.
Sekolah Asrama Penuh

Salah satu lagi usaha rancangan bagi pendemokrasian pendidikan ialah


penubuhan sekolah-sekolah menengah asrama penuh. Matlamat utama penubuhannya
ialah untuk menyediakan peluang untuk menikmati pendidikan yang berkualiti khususnya
kepada pelajar-pelajar yang berpotensi dan cemerlang dari kalangan anak-anak keluarga
miskin dan daif dari luar bandar. Contohnya Sekolah Menengah Sains Cheras telah
dijadikan sebuah sekolah asrama penuh bagi anak-anak keluarga miskin.

Walau bagaimanapun, kuota diadakan bagi memastikan bahawa majoriti pelajar-


pelajar yang dibawa masuk ke sekolah-sekolah asrama penuh lainnya adalah daripada
kalangan anak-anak keluarga miskin. Semasa Allahyarham Tun Abdul Razak
melaksanakan program ini, pembinaan sekolah berasrama penuh dihubungkan dengan
program pembangunan luar bandar, dengan kemudahan bagi anak-anak yang paling
cerdik dari beberapa sekolah tertentu, dan dihubungkan juga dengan kemudahan bagi
anak-anak miskin. Jumlah selebihnya dikhaskan kepada pelajar yang memperolehi
prestasi akademik dan kokurikulum yang cemerlang tanpa mengira latar belakang
keluarga.

Matlamat dan dasar asal program perlu dikekalkan dengan memberikan peluang
kepada pelajar terbaik berdasarkan ‘merit’ manakala sejumlah besarnya dikhaskan
kepada pelajar-pelajar daripada keluarga miskin. Ada yang membidas bahawa
pelaksanaan prinsip pendemokrasian sekolah berasrama penuh, maktab perguruan dan
universiti dengan mengatakan pelaksanaan sedemikian bermakna kita terus-menerus
melayan ‘mediocrity’ atau kesederhanaan.

Dalam konteks ini, pendemokrasian bererti memperlahankan keadilan. Ada pula


yang membicarakan tentang ‘merit’ dan ‘mediocrity’ terlepas sama sekali daripada
perhitungan sama ada orang di kawasan pendalaman dan orang yang miskin terbela atau
tidak. Ada juga pihak-pihak yang menuntut supaya kita mengetepikan soal keadilan
sosial dan menekankan perhitungan ‘merit’ iaitu perhitungan berdasarkan keputusan
peperiksaan semata-mata. Ini adalah pandangan yang mengaibkan kerana sesungguhnya
tidak ada negara yang mempertahankan prinsip demokrasi dan keadilan yang sama sekali
mengetepikan kepentingan masyarakat luar bandar, masyarakat susah dan masyarakat
miskin.

Oleh yang demikian, dasar pendemokrasian pendidikan yang sedia ada haruslah
dikekalkan. Walau bagaimanapun, kita perlu menekankan, terutama kepada anak-anak
bumiputra, bahawa dasar ini tidak sekali-kali bererti mempertahankan kesederhanaan
atau ‘mediocrity’ dalam bidang pencapaian akademik. Sebaliknya mereka mestilah
berusaha mengejar kecemerlangan.

Sasaran Kerja Utama Kementerian Pendidikan Malaysia

Isu pendemokrasian pendidikan juga telah diungkapkan di dalam Sasaran Kerja


Utama Kementerian Pendidikan Malaysia. Sasaran Kerja Utama Kementerian Pendidikan
dimantapkan dalam Pelan Tindakan Sasaran 1996 di semua peringkat pengoperasian iaitu
di keseluruhan peringkat organisasi pendidikan; Kementerian, Jabatan-Jabatan
Pendidikan, Pejabat Pendidikan Daerah/Bahagian dan sekolah-sekolah.

Dari segi kedudukannya, pendemokrasian pendidikan bolehlah dikatakan diberi


prioriti kerana isu tersebut merupakan senarai teratas dalam Sasaran Kerja Utama
Kementerian Pendidikan Malaysia. Sasaran Kerja Utama tersebut merupakan matlamat
yang hendak dicapai oleh Kementerian Pendidikan dalam bidang pendidikan menjelang
tahun 2000. Termaktub dalam Sasaran Kerja Utama tersebut beberapa tumpuan utama
dan sasaran yang perlu dicapai oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dalam aspek
pendemokrasian pendidikan menjelang tahun 2000.

Tumpuan utama yang pertama ialah menentukan tiada pelajar buta huruf dalam
Sistem Pendidikan Negara. Adalah agak ganjil isu buta huruf masih wujud sedangkan
telah hampir 15 tahun pelaksanaan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) yang
dikenalpasti berorentasikan 3M (Membaca, Menulis dan Mengira). Masalah buta huruf
sewajarnya tidak berlaku apa lagi ianya disokong oleh aktiviti pemulihan. Kegagalan
mewujudkan 100% celik huruf bermaksud kegagalan pendemokrasian dalam sistem
pendidikan kita.
Tumpuan utama yang kedua yang termaktub dalam Sasaran Kerja Utama ialah
mewujudkan Pendidikan Universal sehingga ke peringkat Menengah Atas. Perkara ini
sudah mula diperkembangkan iaitu dengan melonggarkan syarat kelulusan peperiksaan
Penilaian Menengah Rendah sebelumnya ke tahap yang paling minimum bagi
membolehkan lebih ramai pelajar meneruskan pendidikan ke peringkat Menengah Atas.

Tumpuan utama seterusnya dalam aspek pendemokrasian pendidikan ialah


menyediakan bilik darjah dan guru terlatih yang mencukupi selaras dengan pertambahan
penduduk. Dalam konteks menyediakan guru terlatih yang mencukupi, adalah menjadi
hasrat kementerian untuk untuk mewujudkan 100% guru siswazah di semua sekolah
menengah menjelang tahun 2000 dan langkah ke arah tersebut sedang dan sudah
dilaksanakan iaitu antaranya dengan menyediakan peluang melanjutkan pelajaran yang
lebih kondusif di kalangan guru-guru yang sedang berkhidmat. Ini adalah bertujuan untuk
mewujudkan pendidikan yang berkualiti.

Walaupun nampak mudah tetapi masalah penyediaan bilik darjah yang


secukupnya selaras dengan pertambahan penduduk agak rumit untuk dilaksanakan. Ini
adalah kerana pertambahan penduduk sebenarnya adalah lebih pantas berlaku di bandar-
bandar besar berbanding dengan di kawasan luar bandar. Masalahnya ialah di kawasan
bandar sememangnya telah sedia padat didapati kekurangan ruang dan tidak mampu
untuk menampung pertambahan bilik darjah secukupnya.

Tumpuan utama keempat ialah memastikan semua kanak- kanak memasuki


sistem pra sekolah dan mencapai tahap "competency" yang miminum yang ditetapkan di
peringkat-peringkat tertentu. Manakala tumpuan kelima ialah menyediakan kemudahan
asas mengikut piawaian yang ditetapkan dan isu ini telahpun diulas di peringkat lebih
awal esei ini.

Sementara itu, tumpuan utama yang keenam ialah mencapai kadar penyertaan
pada tahap 100% di peringkat pendidikan Rendah, Menengah dan Menengah Atas.
Tumpuan ini adalah bertujuan untuk memastikan tidak ada mana-mana golongan yang
tercicir dari mendapat peluang mengikuti khususnya pendidikan yang berkualiti.
Manakala tumpuan utama yang ketujuh dan yang terakhir dalam aspek pendemokrasian
pendidikan ialah memastikan semua kanak-kanak akan memasuki sekolah pada umur
lima tahun. Dalam perkembangan berkaitan, tentulah ada banyak rasionalnya mengapa
perkara ini hendak dilaksanakan menjelang tahun 2000 nanti.

PENUTUP

Walaupun dapat disimpulkan bahawa dari segi pendekatan, pelaksanaan serta


amalan pendemokrasian pendidikan di Malaysia berada di landasan yang betul, kita tidak
harus cepat berpuas hati. Pendidikan adalah sesuatu yang bersifat dinamis dan kita
sebenarnya tidak hidup dalam satu kekosongan. Sebaliknya, kita hidup dalam dunia yang
penuh dengan cabaran dan persaingan. Dalam konteks negara, persaingan tersebut adalah
terutamanya ialah antara bandar dan luar bandar dan antara kaum. Tugas kita ialah
memastikan bahawa kita menggunakan peluang-peluang yang disediakan dengan sebaik
mungkin. Namun begitu, kita haruslah memperluaskan skopnya kerana:

“Daya saing yang mesti ada pada kita bukan sekadar daya saing
atau ‘competitiveness’ di kalangan kita sama sendiri. Daya saing
itu harus diperluas dalam konteks kawasan, dalam konteks
rantau, dan dalam konteks dunia yang menjadikan persaingan itu
‘global’ sifatnya, iaitu persaingan yang ada hubungkaitnya
dengan ‘competitive advantage’ negara kita dengan negara-
negara lain.
(Menangani Perubahan, 1989, 73)

Sesungguhnya pendidikan berkait rapat dengan kehidupan manusia kerana


pendidikan memainkan peranan yang penting dalam menentukan kehidupan manusia
sama ada masa kini atau masa depan. Pendidikan yang lengkap dan bermutu akan
menjadikan manusia dapat menjalani kehidupan yang baik dan sejahtera.

Namun begitu, dalam keghairahan menyediakan pembangunan sumber manusia


melalui sistem pendidikan negara kita mestilah memastikan pendekatan, pelaksanaan dan
amalannya adalah mengikut acuan kita sendiri iaitu berasaskan matlamat pendidikan
negara. Matlamat pendidikan negara yang wujud sekarang yang berpunca dari Falsafah
Pendidikan Kebangsaan adalah merupakan cita-cita murni yang hendak dicapai melalui
proses pendidikan. Dalam perkembangan berkaitan, Jawatankuasa Kabinet Mengkaji
Pelaksanaan Dasar Pelajaran (1979) menegaskan bahawa:
"Untuk kepentingan pembangunan negara tenaga rakyat yang
diperlukan bukan sahaja perlu dilihat dari segi bilangan, jenis
pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki bahkan perlu dilihat
juga dari segi nilai-nilai disiplin yang perlu diterima”.
(Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar
Pelajaran, 1979. Perengan 452, hal. 227)

Ini bermaksud sumber tenaga manusia yang bakal dilahirkan oleh sistem
pendidikan negara mestilah bersikap jujur dan dedikasi terhadap kerja. Mereka perlulah
mengamalkan budaya kerja yang sihat serta boleh berfikir secara rasional, kritis dan
kreatif serta mampu bertindak dengan baik sama ada secara individu mahupun secara
berkumpulan. Semua ini mestilah berlandaskan punca-punca dan nilai-nilai akhlak yang
mulia.

Demikianlah suatu pentafsiran tentang pendemokrasian pendidikan dan tinjauan


ringkas mengenai pendekatan, pelaksanaan dan amalannya dalam sistem pendidikan di
Malaysia. Walaupun agak banyak perkara yang berkaitan dengan pendemokrasian
pendidikan dihuraikan, masih terdapat beberapa isu lagi yang belum disentuh. Namun
begitu, adalah diharapkan esei ringkas ini dapat memenuhi keperluan untuk memberi
gambaran asas tentang pendemokrasian pendidikan khususnya dalam konteks sistem
pendidikan di negara kita Malaysia.

* Esei ini ditulis oleh penulis pada Disember 1997. Justeru, kemungkinan
besar terdapat beberapa fakta yang dibentangkan sudah tidak relevan lagi.
Harap maaf.

Anda mungkin juga menyukai