Anda di halaman 1dari 2

Kebanyakan remaja lepasan Sijil Pelajaran Malaysia mengimpikan kerjaya yang dapat

menjamin masa hadapan mereka.


Huraikan faktor-faktor pemilihan kerjaya bagi seseorang remaja.

Era pascaperindustrian dan pascaglobalisasi yang serba mencabar akal dan minda kita telah
menyumbang kepada perkembangan ekonomi pesat yang menjana pelbagai sektor pekerjaan di
Malaysia. Dalam sistem pendidikan di Malaysia, kita menghabiskan masa selama enam tahun di
sekolah rendah dan lima tahun di sekolah menengah. Selama sebelas tahun ini, pelajar sentiasa
disoal oleh guru-guru, “apakah kerjaya yang anda inginkan?” Semasa dalam tingkatan empat,
pelajar perlu memilih gabungan mata pelajaran yang sesuai berdasarkan minat mereka untuk
mengejar kerjaya impian. Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, kerjaya merujuk kepada
profesion atau pekerjaan yang dipilih sebagai cara mencari nafkah hidup. Kerjaya merupakan
panduan dalam kehidupan kita. Pada masa ini, pelajar sepatutnya telah menetapkan matlamat
tentang kursus dan kerjaya yang diingini mereka supaya mereka ada hala tuju dalam hidup tidaklah
seperti layang- layang yang terputus tali dan tidak menyesal dengan keputusan yang diambil
dikemudian hari. Antara kerjaya yang menjadi pilihan ialah doktor, juruterbang, jurutera, ahli kimia
dan sebagainya. Persoalannya, apakah faktor-faktor yang mempengaruhi dalam pemilihan sesuatu
bidang kerjaya dalam kalangan pelajar SPM?
Fokus perbincangan pertama saya berkaitan faktor minat dan cita-cita pelajar semasa di
bangku sekolah terutama dalam kalangan pelajar SPM. Minat dan cita-cita merupakan dua perkara
saling berkait dan merupakan faktor paling dominan mempengaruhi pemilihan kerjaya seseorang
pelajar terutama pelajar yang bakal menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Oleh sebab itu,
ketika mereka berada di tingkatan empat, pelajar perlu menentukan aliran yang mereka pilih, sama
ada aliran sains atau sastera. Bertitik tolak daripada itu, pelajar akan belajar dengan tekun untuk
meraih kejayaan cemerlang ke semua pakej mata pelajaran yang ditawarkan dalam jurusan yang
diambil. Hal ini kerana kecemerlangan mereka tersebut membolehkan mereka meneruskan
pengajian di menara gading untuk menggapai cita-cita mereka. Di Menara gading jugalah tepat
mereka menimba ilmu berdasarkan kerjaya yang mereka cita-citakan, sama ada untuk menjadi
golongan pekerja profesional seperti doktor, peguam, pendidik, pentadbir dan sebagainya. Jikalau
pelajar berusaha sudah pasti mereka akan menggapai kerjaya yang mereka impikan kerana di mana
ada kemahuan, di situ ada jalan. Tegasnya, faktor minat dan cita-cita merupakan dua aspek
penentu utama kejayaan pelajar untuk merealisasikan kerjaya mereka cita-citakan.

Selain faktor minat dan cita-cita, pelajar juga perlu memilih mata pelajaran yang ada kaitan
dengan kerjaya yang mereka pilih. Umumnya kita mengetahui bahawa semasa di alam persekolahan
lagi pelajar harus memilih subjek yang berkaitan dengan kerjaya yang akan diceburi oleh mereka.
Hal ini secara tidak langsung akan menyebabkan mereka lebih mahir dalam menguruskan kerjaya
yang akan diceburi kerana sudah mengetahui dan membuat persediaan yang rapi
umpama sediakan payung sebelum hujan. Dengan perkataan yang lain, pelajar seharusnya
mengambil subjek yang berkaitan dengan cita-cita masing-masing semasa mengambil Peperiksaan
Sijil Pelajaran Malaysia. Pada zaman yang serba canggih ini, bukan sahaja kemahiran yang dilihat
oleh majikan tetapi keputusan yang cemerlang dalam subjek yang dipilih itu bersesuaian dengan
kerjaya turut diberi keutamaan kerana hanya jauhari sahaja yang mengenali manikam. Contohnya,
jika pelajar memilih kerjaya sebagai seorang jurutera, subjek yang mereka mesti pilih ialah Lukisan
kejuruteraan. Jikalau pelajar berjaya menguasai mata pelajaran berkenaan sudah pasti mereka ada
kelebihan untuk menggapai kerjaya yang diidam-idamkan. Kesimpulannya, sudah terang lagi
bersuluh, pemilihan mata pelajaran juga penting untuk menentukan kejayaan pelajar merealisasikan
kerjaya yang mereka minati.

Bahkan juga, pelajar yang mengidamkan kerjaya yang diminati perlu mempunyai tokoh atau
idola sebagai motivasi untuk berjaya. Kebiasaaanya, idola yang dipilih perlulah seorang yang unik,
seorang yang tabah, dan berjaya dalam bidang kerjayanya. Sebagai contoh Hijjaz Kasturi, seorang
arkitek luar biasa negara, mendapat pendidikan di Adelaide University dan seterusnya ke Melbourne
University, Australia. Sekembalinya ke Malaysia tahun 1967, beliau telah memiliki kemahiran
tersendiri dan menerajui bidang arkitek negara. Beliau telah memenangi pertandingan rekebentuk
menara Maybank, bangunan Tabung Haji dan menara Telekom. Setiap rekabentuk bangunannya
menerapkan ciri-ciri keIslaman hingga ke hari ini sehingga namanya tersohor di Persada dunia.
Sekiranya pelajar mempunyai idola sendiri, sudah pasti kerjaya pilihan mereka sebagai seorang
arkitek akan dapat direalisasikan kerana setiap sejarah kejayaan serta teladan seperti ketekunan,
kegigihan dan kekreatifan idola mereka memotivasikan mereka untuk berjaya bukan sahaja di
Malaysia malah keseluruh dunia. Tegasnya, seseorang pelajar yang ingin berjaya menggapai
kerjaya idamannya memerlukan idola agar dapat mempengaruhi minda dan semangat mereka untuk
berjaya.

Selain itu, sokongan dan doa ibu bapa amat perlu untuk memastikan kerjaya idaman remaja
dapat direalisasinan. Ironisnya, jika minat seseorang itu tidak mendapat sokongan daripada kedua-
dua ibu bapa, sudah tentulah punah harapan mereka. Hal ini bermakna, seseorang yang hanya
mempunyai minat tetapi tidak mendapat restu daripada kedua-dua ibu bapa mereka tentang
pemilihan kerjayanya, sudah pasti mereka akan kecundang di peringkat awal lagi. Oleh hal yang
demikian, ibu bapa sewajarnya menyokong minat anak-anak walaupun pemilihan kerjaya mereka
bertentangan dengan harapan kedua-dua ibu bapa. Bagi menyokong pemilihan kerjaya anak-anak
mereka, ibu bapa boleh memperlengkapkan segala keperluan anak-anak dalam memenuhi kriteria
yang diperlukan. Sebagai buktinya, ibu bapa bolehlah memberikan dorongan, semangat dan
motivasi kepada anak-anak sama ada dalam bentuk material mahupun spiritual. Sekiranya, ibu bapa
tidak turut serta membantu usaha anak mereka untuk menggapai kerjaya idaman mereka sudah
pasti usaha berkenaan tidak akan kesampaian. Izharlah bahawa ibu bapa juga berperanan
menyokong minat anak-anak mereka dalam merealisasikan kerjaya masa depan anak-anak mereka.
Perbincangan saya telah meniti ke puncaknya, maka sebagai akhirulkalam, minat menjadi prioriti
utama dalam pemilihan sesuatu kerjaya. Dalam konteks ini, ibu bapa memainkan peranan penting
dalam pemilihan kerjaya anak-anak mereka. Hal ini demikian kerana anak-anak mereka memerlukan
sokongan dan dorongan daripada mereka sama ada dari aspek mental, spiritual mahupun fizikal.
Contoh ketara dari aspek sokongan mental dan spiritual ialah ibu bapa perlu memberikan motivasi
kepada anak-anak, manakala sokongan dari aspek fizikal pula ialah mereka perlu menyediakan
kelengkapan belajar anak-anak seperti buku rujukan dan menghantar mereka ke pusat tuisyen.
Sekiranya hal ini dapat dilaksanakan maka tidak ada lagi orang yang akan sesat di perjalanan untuk
memilih kerjaya kerana mereka menetapkan sasaran dari awal lagi. Walaupun demikian, jika
seseorang mempunyai minat dan hala tuju yang jelas, tetapi mereka bersikap genggam-genggam
bara, terasa panas dilepaskan dan tidak ada semangat kegigihan, ketabahan, keiltizaman dan
kecekalan, sudah pasti segala hasrat termasuk kerjaya yang menjadi idaman akan hancur lebur
umpama kubur tanpa nisan. Tuntasnya, perkara-perkara yang dinyatakan di atas hendaklah
dilaksanakan secara efektif dan janganlah bersikap keras-keras kerak nasi yang mudah putus asa
supaya pemilihan bidang kerjaya impian akan menjadi lebih jelas lagi.