Anda di halaman 1dari 5

Warisan Silat Gayong

Oleh Isma Ismail

Mungkin tanpa seorang insan berjiwa kental iaitu Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman
Uda Mohd Hashim yang sanggup bersusah payah tentunya Pertubuhan Silat Seni Gayong
Malaysia (PSSGM) tidak mungkin dapat bertapak sekali gus berkembang seperti mana
keadaan pertubuhan itu ketika ini.Hasil kerja keras Meor Abdul Rahman mengasaskan
pertubuhan berkenaan sekitar 1940-an, kini PSSGM sudah dianggotai lebih 50,000 ahli yang
bergiat aktif serta sudah melahirkan kira-kira tiga juta anak murid dalam ilmu persilatan
berkenaan.

Silat seni gayong adalah pertubuhan silat paling popular dan menjadi pemangkin kepada silat
lain, selain memiliki cawangan PSSGM di seluruh negara, silat seni gayong juga diambil
sebagai kurikulum di hampir semua institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Meor Abdul Rahman mewarisi ilmu silat seni gayong daripada datuknya, Syed Zainal Al-Attas
ketika usianya baru menjangkau 12 tahun. Segala ilmu dan petua silat seni gayong
diperturunkan satu persatu oleh datuknya itu yang sudah berusia lebih 100 tahun.
Beliau mempelajari silat seni gayong bersama-sama 40 orang rakannya di Kampung Pokok
Assam di Taiping, Perak hingga menjadikannya sebati dalam ilmu persilatan berkenaan.
Apabila menjangkau kepada usia dewasa, Meor Abdul Rahman mula mengembangkan ilmu
persilatan berkenaan ke luar Perak iaitu apabila beliau berhijrah ke Pulau Sudong, Singapura.

Sewaktu pemerintahan Jepun di Singapura pada 1943, Meor dikatakan pernah menewaskan
sekumpulan tentera Jepun yang lengkap bersenjatakan pedang. Apabila Jepun tewas pada
1945, Meor mengembangkan silat seni gayong di Singapura sebelum kembali ke Taiping dan
mengembangkannya pula di Kedah. Selepas kematian Meor di Ipoh pada 23 Jun 1991 ketika
berusia 76 tahun, silat berkenaan terus berkembang dan diterajui waris mutlak silat seni
gayong iaitu anak perempuannya, Siti Kalsom dan kini dipimpin pula oleh Yang Dipertua
PSSGM, Datuk Adiwijaya Abdullah, yang dilantik sejak November tahun lalu.

1
Asalnya, ilmu persilatan berkenaan dibawa ke Tanah Melayu (Malaysia) oleh Daeng Kuning
bersama-sama dengan enam saudaranya kemudiannya bermastautin dengan segala ilmu
persilatan diturunkan kepada keturunannya.Ia semakin berkembang apabila Meor Abdul
Rahman yang bertindak sebagai Mahaguru mengambil tujuh pemuda di Pulau Sudong iaitu
Naning Mat, Ahmad Arshad Hassan, Sabtu Likur, Yusof Rantau, Osman Timpong, Mustapha
Bengkok dan Bendol Benggol diperlimau sebagai murid Gayong pada sekitar 1942.

Bermula dengan hanya seramai tujuh murid, Silat Seni Gayong terus berkembang sehingga
ke pulau berhampiran seperti Pulau Seking, Pulau Bukum, Pulau Sebaruk, Pulau Sekijang,
Pulau Sembilan, Pulau Semakom dan Pulau Damar.
Silat Seni Gayong mula berkembang di pulau besar Singapura pada akhir 1949 apabila tujuh
murid pertama yang menjalani upacara Perlimau Tapak ialah Ahmad Sudi, Mansor Fadal,
Ustaz Mansor, Sinwan, Joned Hanim, Hosni Ahmad dan Salim.

Sinwan, Joned dan Salim ketika itu adalah anggota Jabatan Siasatan Jenayah Singapura
yang terawal menjadi muridnya dengan menjadikan kawasan di Bakar Sampah di pulau
besar Singapura sebagai pusat latihan Silat Seni Gayong dalam 1950.

Pada 1954, kumpulan wanita pertama seramai tujuh orang pula menyertai Seni Silat Gayong
di Singapura antaranya adalah Che Kalsom Kechik, Paridah Yusope dan Rafeah Fadal.

Pada pertengahan 1950–an, ramai bintang filem Melayu mempelajari ilmu persilatan
berkenaan antaranya ialah Jasni Ahmad, Neng Yatimah, Kasma Booty, P. Ramlee dan A.
Rahim.

Kemuncaknya adalah pada 1956, Datuk Onn Jaafar sendiri iaitu seorang tokoh politik dan
pemimpin Melayu yang disegani turut menjadi murid ilmu persilatan berkenaan hingga
kemudiannya beliau dilantik sebagai Penasihat Agung dan Waris Beradat Silat Seni Gayong.

Pada awal 1957, satu rombongan Silat Seni Gayong dari Singapura yang dipimpin sendiri
oleh Meor Abdul Rahman mengadakan persembahan di Kelab Sultan Abdul Hamid, Alor
Setar, Kedah atas undangan Tengku Laksamana Kedah, Tengku Kassim Ibni Sultan
Badlishah.

2
Pertunjukan berkenaan disaksi oleh Sultan Kedah ketika itu, Sultan Badlishah Ibni Sultan
Abdul Hamid Halim Syah dalam cubaan pertama untuk mengembangkan sayap ilmu
persilatan itu di Kedah.

Pada awal 1959, Meor Abdul Rahman mendaftarkan Sekolah Gayong Woodlands sebagai
sebuah institusi yang mengeluarkan sijil dan diploma kepada peserta yang lulus kursus yang
dianjurkan.

Tidak beberapa lama kemudian, Onn mengusulkan kepada Meor Abdul Rahman agar
mendaftarkan Silat Seni Gayong sebagai sebuah pertubuhan. Syor Onn itu dipersetujui Meor
Abdul Rahman.

Bagaimanapun, permohonan untuk mendaftarkan Silat Seni Gayong itu berhadapan sedikit
masalah hingga memaksa ia tertangguh beberapa kali, namun hasil usaha gigih Meor Abdul
Rahman yang mahu mewujudkan satu pertubuhan silat yang mampu menghimpunkan orang
Melayu akhirnya PSSGM berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Negara pada 22
Oktober 1963.

Dengan tertubuhnya PSSGM secara rasmi itu, ia diperkemaskan struktur organisasinya


dengan badan pentadbirannya dibantu oleh dua organisasi dalaman yang ditubuhkan khusus
dalam mengukuhkan pengurusan pengembangan dan pembangunan Silat Seni Gayong
Malaysia iaitu Lembaga Adat Istiadat dan Majlis Gurulatih.

YDP PSSGM, Adiwijaya berkata sehingga kini pertubuhan berkenaan terus menjadi wadah
kepada orang Melayu yang bukan saja dalam memperkembangkan dan memelihara seni
bela diri pusaka bangsa.

Menurutnya, seperti yang menjadi asas perjuangan ketika penubuhannya PSSGM oleh Meor
Abdul Rahman akan terus berperanan untuk menyatukan orang Melayu melalui seni silat.

“Selain itu, pertubuhan ini juga akan terus memainkan peranan membantu kerajaan dalam
menangani masalah gejala sosial yang melanda generasi muda ketika ini melalui aktiviti
dijalankan.

“Kita mahu melahirkan generasi baru yang berjiwa kental dan sentiasa menjaga peradaban
orang Melayu agar bangsa kita dapat mengharungi cabaran dunia global pada masa
sekarang,” katanya.

3
Adiwijaya berkata, paling penting bagi pertubuhan ketika ini adalah mahu mewujudkan
sebuah Wisma PSSGM yang bukan saja berperanan sebagai pusat pentadbiran kepada
pertubuhan itu tetapi juga mahu dijadikan sebagai lokasi perhimpunan kepada pengamal seni
silat.

Selepas penubuhannya secara rasmi kira-kira 47 tahun lalu, PSSGM sekali lagi bakal
mencatatkan sejarahnya tersendiri apabila akan menobatkan Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Razak sebagai Imam Khalifah Agung melalui penganugerahan Sandang Kebesaran,
Seri Mahkota Agung Bintang Pelangi.

Penganugerahan itu akan berlangsung pada 2 Oktober ini sempena majlis Perdana Gayong
dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri Bersama Perdana Menteri di padang Majlis Perbandaran
Ampang Jaya (MPAJ).

Majlis berkenaan dijangkakan akan menghimpunkan lebih 3,000 ahli PSSGM juga dijangka
dihadiri oleh Presiden Persekutuan Pencak Silat Antarabangsa (Pesilat), Eddy Nalaprya dari
Indonesia serta ahli gelanggang gayong luar negara antaranya dari United Kingdom, Syria,
Tunisia, Singapura, Perancis dan Amerika Syarikat.

Dengan penganugerahan itu, ia menjadikan Najib sebagai individu ketiga yang menerima
pengiktirafan oleh pertubuhan silat berkenaan selepas Sultan Perak, Sultan Idris Shah Ibni
Sultan Alang Iskandar dan Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein yang juga
bapa kepada Najib.

Semangat juangnya terhadap bangsa dan negara serta daya kepemimpinan yang tinggi
dimiliki Najib serta berketurunan Bugis sama seperti pengasas PSSGM, Datuk Meor Abdul
Rahman Uda Mohd Hashim membuatkan Perdana Menteri dipilih sebulat suara oleh
pertubuhan berkenaan mewarisi gelaran berprestij itu.

Menurut Adiwijaya, lazimnya kriteria yang dipandang dalam memilih penyandang jawatan
berkenaan mestilah individu berkenaan adalah tokoh yang berjiwa silat gayung dan mampu
menjadikan silat itu gah di persada antarabangsa.

Katanya, Najib dipilih kerana peranannya sebagai pemimpin Melayu yang mampu
memperkasakan lagi pertubuhan berkenaan sekali gus bersama-sama pemimpin PSSGM
mengangkat martabat orang Melayu sejajar dengan perjuangan asal pengasasnya sendiri.

4
Pihaknya yakin Najib memenuhi kriteria yang diperlukan itu dan atas dasar berkenaan
PSSGM sepakat menganugerahkan Seri Mahkota Agung Bintang Pelangi membawa gelaran
Imam Khalifah Agung itu.

“Pada majlis berkenaan, PSSGM juga menganugerahkan Seri Mahkota Agung Relang
Pelangi yang membawa gelaran Timbalan Imam Khalifah Agung kepada Datuk Seri
Mohamad Hasan yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan.

“Pemilihan Mohamad pula dibuat kerana sumbangannya sendiri kepada PSSGM dan beliau
bukan orang baru dalam pertubuhan ini, mungkin ramai yang tidak tahu bahawa Mohamad
diperlimau oleh Meor Abdul Rahman sendiri ketika berusia tujuh tahun,” katanya.

Dalam pertubuhan itu, terdapat beberapa lagi gelaran sandang kebesaran bermula dari
peringkat bawah iaitu Khalifah dan Srikandi Muda, diikuti Khalifah dan Srikandi, Khalifah
Kanan, Ketua Beradat, Waris Beradat hinggalah ke Timbalan Imam Khalifah Agung dan
Imam Khalifah Agung.

Sumber : Harian Metro, 25/09/2010

Anda mungkin juga menyukai