Jelajahi eBook
Kategori
Jelajahi Buku audio
Kategori
Jelajahi Majalah
Kategori
Jelajahi Dokumen
Kategori
Dalam era globalisasi dan modenisasi yang serba mencabar akal dan minda ini, sering meniti dari
bibir ke bibir insan sejagat tentang isu remaja yang kehilangan jati diri. Masalah yang membelenggu
seluruh masyarakat ini semakin hari semakin parah ibarat retak menanti belah. Pelbagai usaha telah
dilakukan untuk membendung masalah ini, namun usaha-usaha ini masih belum mampu
membuahkan hasil yang memberangsangkan. Aforisme di mana cendawan tumbuh, di situ tembilang
terentak mengungkapkan betapa pentingnya peranan ibu bapa untuk mengenal pasti punca-punca
yang menyebabkan remaja bertindak liar dan seterusnya menjalankan amanah
mereka sebagai ibu bapa untuk menangani masalah ini sehingga ke akar umbinya . Dalam
konteks ini, ibu bapa memainkan peranan yang penting untuk memastikan anak-anak mereka berjaya
dengan cemerlang khususnya dari segi akhlak agar tidak kehilangan jati diri.
Sehubungan dengan itu, ibu bapa wajar mengambil inisiatif untuk menyediakan
persekitaran yang kondusif. Hal ini demikian kerana persekitaran yang membina ialah wadah
yang berguna untuk mendorong sikap yang positif. Ibu bapa perlu faham bahawa anak-anak
diibaratkan sebagai kain putih yang bersih dan suci, persekitaran pula memainkan peranan yang
penting untuk mencorakkan kehidupan anak-anak. Oleh itu, persekitaran sedemikian dapat
membantu anak-anak muda menghindari gejala-gejala sosial. Bagi merealisasikan matlamat
ini, ibu bapa perlu memastikan kehidupan anak-anak bebas daripada anasir-anasir jahat. Ibu
bapa perlu mengenali rakan sebaya anak-anak mereka. Namun, tindakan ini bukan
bertujuan untuk mengongkong kehidupan anak-anak tetapi untuk memastikan anak-anak tidak
terpengaruh oleh gejala-gejala sosial yang memudaratkan . Ibu bapa juga boleh menghantar
anak-anak ke kem-kem motivasi yang mampu menjadi penyuntik semangat kepada kecemerlangan
akhlak anak-anak.
Jika dilihat dari sudut yang berlainan, ibu bapa harus mengambil langkah sederap untuk
memberi ajaran agama yang sempurna kepada anak-anak. Setiap agama pasti menuntut penganutnya
agar berbuat kebajikan dan menjauhi keburukan. Ajaran agama juga merupakan panduan dan
pedoman yang amat bermanfaat kepada anak-anak. Anak-anak yang memperoleh ajaran
agama yang sempurna lazimnnya dapat membezakan antara yang hak dengan yang batil. Bagi
merealisasikan hasrat ini, ibu bapa perlu membawa anak-anak ke tempat beribadat dan
seterusnya memperkenalkan ajaran agama kepada anak-anak. Tindakan ibu bapa memperkenalkan
agama kepada anak-anak ini membolehkan anak mereka berjinak-jinak dengan ajaran agama lalu
mencintainya dan mendalaminya seperti kata peribahasa tak kenal maka tak cinta. Kesannya,
anak-anak akan memperoleh pegangan agama yang kukuh dan tidak akan kehilangan hala tuju
kehidupannya bagai layang-layang putus tali. Anak-anak sedemikian pasti lebih cemerlang dari segi
akhlak dan sememangnya akan membenci amalan jahiliah yang membelenggu kehidupan masyarakat
moden.
Jika dikaji secara mendalam, ibu bapa wajib mengorak langkah untuk menemani
anak-anak dan seterusnya menyokong anak-anak khususnya dari segi emosi. Secara umumnya,
setiap insan mendahagakan kasih sayang dan perhatian daripada ibu bapa. Tambahan pula, ibu
bapa merupakan tempat perlindungan , tempat pergantungan dan tempat
perkongsian masalah anak-anak. Jadi, ibu bapa mesti meluangkan lebih banyak masa mengenali
anak-anak mereka serta memberi kasih sayang yang tidak berbelah bahagi bagai menatang minyak
yang penuh kepada anak-anak. Mereka juga bertanggungjawab untuk mengenal pasti sebarang
perubahan yang berlaku dalam kehidupan anak-anak dan seterusnya mengambil tindakan yang
bertepatan agar anak-anak tidak mengalami kekosongan jiwa. Anak-anak sedemikian lazimnya akan
mencari kasih sayang di luar rumah dan lebih mudah terjebak dalam gejala sosial yang
memudaratkan.
Satu lagi hakikat yang tidak boleh diketepikan ialah peranan yang diamanahkan
kepada ibu bapa untuk memberikan pendidikan tidak formal kepada anak-anak. Hal ini
demikian kerana ibu bapa merupakan insan pertama yang memberikan pendidikan kepada anak-anak
sejak anak-anak dilahirkan ke dunia fana ini. Tambahan pula, pendidikan tidak formal ini dapat
menjadi wahana untuk membentuk individu dewasa serta warganegara yang berguna, iaitu
warganegara cemerlang yang mampu memberi sumbangan kepada masyarakat. Bagi merealisasikan
matlamat ini, ibu bapa mesti menyemai nilai-nilai murni seperti bertanggungjawab, kerajinan dan
kesabaran sejak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Sememangnya nilai-nilai
murni amat berharga untuk mendorong anak-anak agar cemerlang dalam bidang akademik mereka
juga. Oleh itu, Ibu bapa perlu memastikan nilai-nilai murni ini tersemat dalam ingatan anak-anak
dan dipraktikkan oleh anak-anak.
Jika skop perbincangan kita ditumpukan, ibu bapa perlu menggembleng tenaga dan sumber
untuk menjadi suri teladan kepada anak-anak. Lazimnya, anak-anak akan mencontohi tingkah
laku dan perbuatan ibu bapa tanpa membezakan antara yang betul dengan yang salah. Anak-anak
tidak perlu berfikir panjang untuk mencontohi dan mengikuti tingkah laku ibu bapa. Hal ini bertepatan
dengan peribahasa bapa borek, anak rintik. Bagi merealisasikan matlamat ini, ibu bapa perlu
menzahirkan peribadi yang unggul . Mereka perlu menjauhi sikap yang negatif agar
anak-anak juga bersikap positif dan membenci sebarang kebobrokan yang
wujud dalam masyarakat moden ini. Peribahasa tepuk dada tanya selera
yang membawa maksud sesuatu perkara yang dilakukan haruslah difikirkan habis-habis harus
dihayati oleh ibu bapa yang ingin mengukuhkan jati diri anak-anak.
Kesimpulannya, semua pihak perlu berganding bahu untuk memastikan anak-anak muda
generasi ini cemerlang dalam pelbagai aspek dan mengikis sikap mementingkan diri-sendiri bagai
enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing yang mampu menghalang usaha murni ini. Ibu
bapa pula mesti bersikap proaktif seperti yang terkandung dalam peribahasa sediakan
payung sebelum hujan bagi memastikan anak-anak mereka dapat mengekalkan kecemerlangan dalam
suasana yang membina. Umumnya, anak-anak muda merupakan bakal pemimpin dan barisan
pelapis yang menakhodai bahtera pemerintahan dan pentadbiran negara
kita di samudera yang tak bersempadan pada masa depan.