Anda di halaman 1dari 2

TEKS UCAPAN KETUA MURID SEMPENA MAJLIS PERSARAAN

Assalammualaikum wbkth dan Salam Sejahtera.

Yang berusaha Puan Hajah Zubaidah binti Harun, Guru Besar SK Kati, yang diraikan Puan
Hajah Noor Hanim binti Mohd Yusof, Yang Dipertua PIBG Encik Mohd Munif bin Meor
Mahmud, Guru-guru Penolong Kanan, guru-guru, barisan ahli jawatankuasa PIBG SK Kati
serta rakan-rakan yang dihormati sekalian.

Terlebih dahulu saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak majlis kerana
memberi kesempatan kepada saya untuk menyampaikan ucapan bagi mewakili murid-murid
SK Kati.

Untuk itu, izinkan saya menyampaikan ucapan dalam rangkap-rangkap pantun :

Terbang serindit ke pohon meranti,

Hinggap sebentar membuat sarang,

Majlis indah lagi diberkati,

Bagi meraikan Cikgu Hanim tersayang.

Tiada kata seindah bicara,

Dapat dilafazkan seiring jasa,

Tiba ketika Cikgu Hanim bersara,

Bakti dicurah di ingatan sentiasa.

Bibir merah tergigit lada,

Lada dicampur bersama laksa,

Walau di mana Cikgu Hanim berada,

Ingatlah kami anak didik tercinta.

Berkilau-kilau cincin permata,

Begitu indah cantiknya rupa,

Biarpun kelak jauh di mata,

Namun di hati tidak kan lupa.

1
Petang hari menuju ke pekan,

Ingin membeli popia dan samosa,

Doa ikhlas kami hulurkan,

Semoga Cikgu Hanim sihat sentiasa.

Salam kemaafan kami hulurkan,

Semoga kemesraan terus berpanjangan,

Ilmu diberi harap dihalalkan,

Semoga perjuangan kami mendapat keberkatan.

Bagi mengakhiri ucapan ini, saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Cikgu Hajah
Noor Hanim binti Mohd Yusof kerana telah banyak menabur bakti dan mencurahkan ilmu
yang berguna untuk kami semua di SK Kati. Segala jasa baik dan tunjuk ajar Cikgu Hanim
tidak dapat kami balas hanya Tuhan sahaja yang mampu membalas segala-galanya. Terima
kasih juga kepada Cikgu Hanim kerana tidak pernah jemu mendidik kami ke arah
pembentukan sahsiah yang baik serta kecemerlangan akademik yang berterusan.

Akhirnya, saya bagi mewakili rakan-rakan saya yang lain ingin memohon ampun dan maaf
seandainya ada tingkah laku dan perbuatan kami yang menyinggung hati dan perasaan
Cikgu Hanim sama ada disedari mahupun tidak disedari. Halalkan segala ilmu yang telah
Cikgu Hanim berikan kepada kami selama ini. Terima kasih di atas segala-galanya. Terima
kasih cikgu.

Sekian, terima kasih.