Anda di halaman 1dari 2

SEUNTAI KATA SERAUT BAHASA

Pengerusi Jawatankuasa Induk Seminar Penyelidikan Tindakan PISMP 2015

Salam sejahtera, salam pendidikan dan salam satu Malaysia.

Pertama sekali, rasa syukur dan puji-pujian dapat di zahirkan kepada-Nya memandangkan Seminar
Penyelidikan Tindakan PISMP Ambilan Januari 2012 dapat dijayakan pada tahun ini. Setinggi-tinggi
penghargaan dan ucapan tahniah kepada para pensyarah dan barisan Jawatankuasa Seminar
Penyelidikan Tindakan PISMP 2015 yang berkorban masa, tenaga dan idea bagi memastikan seminar
ini dapat dilangsungkan dengan jayanya. Saya selaku pengerusi seminar amat menghargai sokongan
dan kepercayaan warga IPG Kampus Kent yang memberikan peluang kepada JPIPK untuk menerajui
seminar pada tahun 2015. Tujuan ini disambut baik oleh semua warga jabatan bagi meneruskan legasi
budaya keilmuan dan seterusnya menjadikan bidang pendidikan di Malaysia secara amnya, setanding
dengan bidang pendidikan pada peringkat global khususnya, dalam bidang penyelidikan malah
penghasilan kepada polisi pendidikan guru yang lebih mantap dan jitu.

Tema seminar penyelidikan tindakan pada tahun ini Penyelidikan Tindakan Peneraju Minda
Kelas Pertama merupakan gagasan yang mencerminkan perlunya perubahan dalam bidang
penyelidikan pendidikan dilakukan. Amalan penyelidikan dalam kalangan guru pelatih kini perlu
seiring dengan ledakan teknologi dan isu serta cabaran dalam bidang pendidikan. Begitu juga, guru
pelatih perlu berupaya mencari acuan atau ramuan agar mempunyai jati diri yang mampan, berkualiti
dan mempunyai minda kelas pertama. Sehubungan itu, seminar ini dapat dijadikan sebagai salah satu
landasan penjanaan ilmu baharu yang mampu menyumbang kepada peningkatan mutu
profesionalisme dalam proses pengajaran dan pembelajaran guru pelatih.

Tuntasnya, penganjuran seminar seperti ini perlu dikekalkan supaya majlis penjanaan dan
penghujahan ilmu dapat melahirkan komuniti yang menjunjung budaya keilmuan ke arah
kesejahteraan bersama.

Sekian, terima kasih.

Penyelidikan Tindakan Peneraju Minda Kelas Pertama

TAN SEOK KIANG


Ketua Jabatan Penyelidikan, Inovasi dan Profesionalisme Keguruan
Merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Seminar Penyelidikan Tindakan PISMP 2015
IPG Kampus Kent, Tuaran
SELAYANG KASIH LUAHAN RASA

Pengerusi Jawatankuasa Seminar Penyelidikan Tindakan PISMP 2015

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah kerana dengan limpah kurnia-Nya, saya berpeluang untuk
merakamkan sekalung penghargaan kepada warga IPG Kampus Kent khususnya Jabatan Penyelidikan
dan Inovasi Profesionalisme Keguruan (JPIPK) yang memberikan peluang kepada saya untuk
mengetuai Seminar Penyelidikan Tindakan PISMP Ambilan Januari 2012. Amanah yang diberikan ini
akan saya lunaskan dengan sebaik-baiknya memandangkan seminar ini menjadi wahana guru pelatih
berhimpun dengan tujuan mengembangkan pengetahuan dan kemahiran dalam dunia pendidikan.

Pemilihan tema Penyelidikan Tindakan Peneraju Minda Kelas Pertama ini dilihat amat
signifikan dengan usaha melestarikan budaya ilmu dalam kalangan pensyarah mahupun guru pelatih.
Hal ini demikian kerana proses penyelidikan tindakan yang dilangsungkan secara berterusan
merupakan petunjuk utama yang dapat mengukur dengan tepat kemajuan budaya keilmuan dan
kesejahteraan sesebuah negara. Perbahasan berkaitan dapatan proses penyelidikan pastinya dapat
memperkayakan lagi khazanah ilmu pengetahuan, kemahiran dan kompetensi yang dimiliki oleh para
guru pelatih. Oleh itu, penganjuran seminar ini dapat dijadikan sebagai salah satu sandaran untuk
meningkatkan kesarjanaan para guru pelatih sebagai pengamal bidang pendidikan dan menjadi
pencetus kepada pembangunan ilmu berkualiti.

Dalam kesempatan yang diberikan ini, saya ingin menitipkan ucapan tahniah dan
penghargaan kepada semua yang terlibat sama ada secara langsung mahupun tidak langsung dalam
menjayakan program ini. Tanpa sokongan dan tanggungjawab daripada semua pihak, program ini
pastinya tidak dapat berlangsung dengan jayanya. Mengakhiri ucapan ini, saya ingin memohon
kemaafan sekiranya terdapat sebarang kekhilafan dan kepincangan sepanjang mengemudikan seminar
ini. Sesungguhnya, segala yang lemah datangnya daripada kelemahan kami selaku urusetia dan segala
kebaikan itu adalah anugerah dan petunjuk dari Allah.

Sekian, terima kasih.

Penyelidikan Tindakan Peneraju Minda Kelas Pertama

ZAHIRUDIN BIN JUATIN


Pengerusi Jawatankuasa Kerja
Seminar Penyelidikan Tindakan PISMP 2015
IPG Kampus Kent, Tuaran

Anda mungkin juga menyukai