Anda di halaman 1dari 2

MARAH adalah akibat ledakan luar biasa emosi yang sudah tidak mampu

dikendalikan oleh sistem saraf di otak dengan pelbagai situasi dan maklumat yang
menekan dan mencabar minda.

Ledakan emosi inilah yang dinamakan kemarahan. Biasanya berlaku pada individu
yang kurang sabar dan emosional. Marah boleh dilempiaskan secara kreatif bagi
individu yang bijak tanpa menyakitkan mana-mana pihak. Banyak cara yang boleh
dilakukan bagi menghilangkan kemarahan antaranya melukis, menulis skrip dan
mendengar muzik.

Namun, cara yang terbaik adalah dengan mengambil wuduk setiap kali perasaan itu
datang. Di samping membaca ayatul Kursi, zikrullah, istighfar serta sentiasa
mengingatkan diri bahawa kemarahan itu adalah dari api dan api itu adalah asal
kejadian syaitan. Kita harus menutup pintu kemarahan kerana apabila kita marah,
syaitan akan berpesta dan itulah cara mudah untuk dia mempengaruhi kita.

Bermakna orang yang sedang marah adalah dikuasai oleh syaitan. Bagi
memadamkannya ia perlukan air, maka air wuduklah yang harus kita gunakan bagi
membanteras sikap mazmumah di dalam diri kita oleh sikap marah melampau.

Salah satu cara lagi ialah dengan membisikkan kepada diri sendiri dan katakan
mengapa aku mesti marah? Apa untungnya aku marah? Kalau aku marah tentu aku
menyakiti hati orang. Apa pulak kesan buruk dari tindakan aku ini?

Orang yang sedang marah sebenarnya mempamerkan kelemahan serta kebodohannya.


Tentu saja kita tidak mahu dikatakan lemah dan bodoh, jadi mulai hari ini tanamkan
sikap untuk menahan rasa marah dan cuba senyum dengan senyuman paling manis
biarpun hati sedang mendidih dengan kemarahan.

Cubalah berjenaka dan anggap masalah itu cuma hiburan. Jangan begitu serius semasa
bekerja kerana ini akan menyebabkan anda sering tertekan. Serius disini bermaksud
begitu terlampau memikirkan kerja sehingga sukar untuk memahami orang lain.
Dengan itu, sikap kita yang sebegitu keras akan menekan perasaan orang. Sekaligus
menjauhkan orang lain dari kita dan itu bakal mengundang tekanan di dalam diri.

Selain itu, kurangkan aktiviti yang menekan minda, carilah perbualan yang positif dan
jangan cuba berbual perkara negatif seperti mengumpat orang, menyebarkan fitnah
dan sebagainya. Ini kerana berita-berita kosong akan menyakitkan minda dan jiwa
seterusnya meletuskan rasa amarah yang teramat.

Kalau rasa tertekan dengan kerja cubalah bertenang, rehatkan minda seketika, cuba
buat sesuatu selama lima minit contohnya melukis, menulis dan buatlah apa-apa
sahaja yang seketika tapi jangan pula ambil kesempatan sehingga mengabaikan tugas-
tugas kita yang sebenarnya. Tapi bagi orang yang tidak kreatif dia tidak akan dapat
memahami erti tekanan yang dihadapi orang lain.

Apa yang dia tahu kerja mesti cepat, mesti siap, tahu mengarah itu dan ini. Bila orang
buat kesilapan terus saja dimarahi. Orang sedemikian memang tidak punya perasaan
kemanusiaan yang tinggi. Sikap sedemikianlah yang menyebabkan mereka mudah
menjadi insan yang pemarah dan tidak tahu menghormati orang lain. Ingatlah bahawa
sesungguhnya sifat marah bakal mengundang pelbagai masalah kesihatan kepada
anda.

Di samping itu, senyuman juga mampu mengurangkan rasa marah. Walaupun senyum
nampak mudah namun senyuman tidak mudah di ukir di wajah orang yang berada
dalam keadaan marah. Namun percayalah, dengan senyuman perasaan marah kita
akan menjadi reda.

Bagi mengelakkan tekanan di dalam diri anda dan orang lain, sifat marah bukanlah
jalan penyelesaian masalah, sebaliknya anda sendiri akan terperangkap dengan
masalah yang berpanjangan seandainya ini berlaku di dalam sesebuah organisasi yang
anda sertai.

Dengan itu, undanglah suasana yang kondusif dengan senyuman yang sopan dan
sikap yang ramah. Tidak perlu hadirnya perasaan marah kerana sifat tersebut harus
kena pada tempatnya. Jika tidak marah pun, tidak wajar andai kemarahan itu adalah
untuk menegakkan yang hak. – HARAKAHDAILY 18/5/2017

Penulis ialah pelajar Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam
Malaysia

Anda mungkin juga menyukai