Anda di halaman 1dari 4

MEMBANGUN PENDIDIKAN BERKARAKTER DAN BERBASIS BUDAYA BANGSA

Oleh : WAN NOR ADILAH BINTI WAN MOHD PARID

Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang dulunya dikenali sebagai Falsafah Pendidikan Negara
merupakan tonggak kepada spektrum pendidikan di Malaysia. Falsafah pendidikan yang dirumuskan
pada tahun 1988 dan diaktakan dalam Akta Pendidikan 1996 ini jelas melakarkan satu wacana
kebangsaan yang mempunyai identiti negara bangsa. Falsafah Pendidikan Negara yang wujud ini
sebenarnya adalah reaksi yang terlahir dalam mengisi kelompongan isi kandungan Penyata Razak
1956, Laporan Rahman Talib 1960 dan Dasar Pendidikan 1970. Terhasil daripada syor-syor dalam
Laporan Kabinet 1974, Falsafah Pendidikan Kebangsaan lahir dalam rencah dan kemelut pembinaan
negara bangsa yang baru sahaja menginjak ke jinjang kemerdekaan; dengan mengambil kira
kelompongan dasar-dasar pendidikan sebelum ini, peristiwa berdarah 13 Mei, serta berlatar
belakangkan Rukun Negara dan Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Secara asasnya, bertitik tolak daripada tahun-tahun sebelum menuju kemerdekaan lagi telah wujud
kesedaran dalam pimpinan semasa negara bersama-sama rakyat mengenai peri pentingnya
kewujudan satu sistem pendidikan yang beridentitikan tanah air bagi menggantikan sistem
pendidikan acuan Barat. Jika disoroti sejarah pendidikan di tanah air, pendidikan yang wujud adalah
terasing yang mana ia berlenggangan dengan Dasar Pecah-Perintah zaman kolonialisasi. Konsep
segrerasi telah dibentuk dalam acuan pendidikan pada zaman ini dengan setiap kaum menubuhkan
sekolah mereka iaitu sekolah Melayu, Inggeris, Cina dan Tamil yang menggunakan bahasa pengantar,
kurikulum, buku dan guru masing-masing. Walaupun sebenarnya pendidikan formal telah pun wujud
sebelum kedatangan Inggeris lagi, namun sistem pendidikan di tanah air lebih terarah kepada
penyesuaian terhadap keperluan sezaman (Saharia 2015).

Selaras dengan perubahan dan penekanan dalam dasar-dasar kerajaan, pada tahun 1974 satu
Jawatankuasa Kabinet telah ditubuhkan untuk mengkaji pelaksanaan Dasar Pelajaran Kebangsaan.
Bermula dengan Penyata Razak 1956, Laporan Rahman Talib 1960 dan Dasar Pendidikan 1970 yang
secara tersuratnya ketiga-tiga hansard pendidikan ini hanya menumpukan soal perpaduan rakyat dan
penghasilan tenaga kerja mahir1. Oleh sebab itu berlakunya reformasi dalam sistem pendidikan
dengan adanya syor-syor dari Laporan Kabinet 1979 ini. Beberapa penambahbaikan telah dibuat
antaranya penekanan terhadap pembinaan keperibadian insan yang seimbang:

“Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi


potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang
seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan
kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat
Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab,
berketrampilan dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi
sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara”.

1 Perkara yang difokuskan dalam Penyata Razak 1956 ialah tentang perpaduan kaum Melayu, Cina dan India yang mana
Penyata Razak 1956 telah menjadi teras kepada Dasar Pendidikan Kebangsaan. Kemudian perakuan Penyata Razak telah
dikaji semula oleh Jawatankuasa Rahman Talib pada tahun 1960. Laporan jawatankuasa ini telah menjadi asas kepada
penggubalan Akta Pelajaran 1961 yang menggariskan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama pada semua
peringkat pendidikan serta penggunaan kurikulum dan peperiksaan yang sama untuk semua pelajar. Perlaksanaan Dasar
Ekonomi Baru (DEB 1970-1990) pula mempunyai matlamat untuk mengukuhkan perpaduan Negara melalui pembasmian
kemiskinan dalam kalangan semua kaum serta strategi penyusunan semula masyarakat. Tempoh ini telah meletakkan
pendidikan sebagai keutamaan untuk menangani masalah ketidakseimbangan masyarakat dengan memberikan peluang
pendidikan yang sama untuk semua kaum. Rujuk Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010.
Penekanan yang terhasrat dalam Falsafah Pendidikan Negara ini jelas memberi amanah kepada setiap
segmen dalam negara untuk menyelenggara satu sistem pendidikan yang mengarah kepada
melahirkan insan yang berilmu dan berakhlak serta meningkatkan kepatuhan kepada Tuhan dalam
rangka mencerdaskan kehidupan bangsa. Orientasi yang diberi penekanan dalam Falsafah Pendidikan
Kebangsaan ini adalah mencetak corak peribadi unggul baik dari segi individu ataupun
kemasyarakatan. Oleh yang demikian, mengangkat Falsafah Pendidikan Kebangsaan sebagai salah
satu dasar pembangunan negara lebih-lebih lagi dalam kondisi Malaysia yang masih dalam pencarian
identiti negara bangsa meletakkan satu justifikasi atau simbolik bahawa segmen pendidikan ini
menjadi pra-syarat dalam pembentukan jati diri Negara bangsa.

Namun, hasrat yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan ini dilihat semakin hari
semakin dipinggirkan, malahan pendidikan yang terlalu bersifat fizikal dan mekanikal mewarnai
agenda pendidikan dalam Negara. Matlamat pendidikan kini lebih tertumpu kepada konsep
profesionalisme, kepakaran dan pengkhususan bidang-bidang yang diperlukan segera mengikut
pasaran (Tajul Ariffin & Noor A’ini 2002) dan kemudiannya fenomena keghairahan berbasis
materialisme ini telah mengesampingkan citra pendidikan iaitu pembangunan insan yang luhur,
bermoral, seimbang dan boleh menyumbang kepada komuniti sekeliling.

Masyarakat kini tidak lagi boleh dianggap sebagai produk negara bangsa bahkan konotasi yang lebih
tepat untuk diberikan kepada masyarakat kini ialah produk urbanisasi dan globalisasi. Fenomena
dunia di hujung jari telah merenggut jiwa-jiwa anak bangsa kita; dengan lambakan maklumat secara
terbuka; penyelerakan idea dan budaya malahan juga ideologi; layaran mudah bahan-bahan
pornografi; dan lain-lain lagi telah menghakis citra pendidikan yang berpaksikan kepada kepercayaan
kepada Tuhan sepertimana yang termaktub dalam Rukun Negara. Perkara ini juga seterusnya akan
mewujudkan peminggiran karakter dan nilai-nilai budaya setempat atas nama ‘nasional’,
‘metropolitan’ dan internasional’ (Azhar Ibrahim 2016).

Sehubungan dengan realiti semasa yang berlaku ini, pendidikan yang pada awalnya diangkat sebagai
pra-syarat kepada pembentukan negara bangsa perlu di pulihkan kembali peranannya. Dunia
pendidikan sepatutnya mampu berperanan aktif menyediakan sumber-sumber tenaga manusia yang
terdidik dan mampu mendepani sebarang cabaran. Ia tidak hanya tertumpu kepada penguasaan teori
semata-mata, namun peranan pendidikan itu sepatutnya mampu diserap dalam kehidupan seharian
dan seterusnya tercair dalam persekitaran sosial masyarakat. Peranan pendidikan yang diisi dengan
karakter dan budaya bangsa seharusnya bermula seawal pendidikan di sekolah rendah lagi
sehinggalah ke peringkat pengajian yang lebih tinggi. Konsistensi pendidikan berkarakter dan berbasis
budaya bangsa ini perlu dijaga lebih-lebih lagi dalam pembesaran anak-anak remaja. Seperti yang
diungkapkan oleh Benjamin Franklin, “...nothing is of more importance for the public weal, than to
form and train up youth in wisdom and virtue”.

Pendidikan seharusnya mempunyai nic yang tertumpu kepada orientasi budaya bangsa serta
mempunyai karakter yang menjadi perlambangan kepada produk Negara bangsa. Pendidikan itu
sendiri jika difahami maknanya adalah satu proses pemberdayaan untuk mendedahkan pelbagai
potensi yang ada pada manusia sebagai individu, yang mana seterusnya ia mampu menyumbang
kepada masyarakat dan bangsa di samping dapat mempengaruhi sebarang tindakan-tindakan di
peringkat global. Oleh yang demikian, pendidikan seharusnya terarah kepada meneroka,
mengembangkan dan menemui potensi yang dimiliki masing-masing untuk dapat memanfaatkan
potensi-potensi mereka bagi mewujudkan persaingan dalam kehidupan yang semakin kompleks
(Syafruddin Amir 2013).
Kita dapat lihat pembelajaran sedari sekolah lagi belum mampu membentuk secara utuh peribadi
yang melambangkan karakter dan budaya bangsa. Hal ini demikian kerana dimensi penilaian dalam
pendidikan hanyalah tertumpu kepada domain kognitif 2 sahaja. Domain afektif3 dan psikomotor4
sering kali dikesampingkan padahal bagi merealisasikan citra pendidikan kebangsaan, ketiga-tiga
elemen ini perlu bergerak seiringan bagi mewujudkan wacana mengenainya dalam masyarakat.

Secara kesimpulannya, apa yang penting dalam pendidikan adalah struktur dan proses. Struktur dan
proses yang jelas akan membawa kepada hasil yang diimpikan. Dalam hal ini, sistem pendidikan yang
mempunyai karakter dan berbasis budaya bangsa, ditambah dengan persekitaran yang menyokong
agenda Falsafah Pendidikan Kebangsaan akan menatijahkan penghasilan produk-produk negara
bangsa yang mempunyai jati diri.

RUJUKAN

Saharia Hj. Ismail. 2015. Pembangunan Insan Dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Journal of
Human Capital Development, 8(2): 83-99.

Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010. Kementerian Pendidikan Malaysia.

Tajul Ariffin Noordin & Nor A’ini Dan. 2002. Pendidikan dan Pembangunan Manusia: Pendekatan
Bersepadu. Bandar Baru Bangi, Selangor: As-Syabab Media.

Azhar Ibrahim. 2016. Menyanggah Belenggu: Kerancuan Fikiran Masa Kini. SIRD: Kuala Lumpur.

Syafruddin Amir. 2013. Pancasila As Integration of Education and National Character. International
Journal Of Scientific & Technology Research 2(1): 54-57.

BIODATA PENULIS

2 Domain kognitif ini salah satu domain dalam teori Taksonomi Bloom selain domain afektif dan psikomotor. Benjamin
Bloom (1948) telah membangunkan klasifikasi tingkah laku intelektual dan pembelajaran untuk mengenal pasti dan
mengukur pembelajaran yang semakin canggih. Beliau melihat fakulti-fakulti dibangunkan dan dikerjakan kerana kepakaran
disiplin mereka dan kadang kala mereka tidak lagi dikenali dengan teori-teori pedagogi penting yang menyumbang kepada
proses pembelajaran yang berkesan (Veysel Sönmez 2017)
Domain kognitif ini adalah berkaitan ilmu pengetahuan dan kemahirah intelektual. Ia juga termasuklah mengingati fakta-
fakta tertentu, tatacara prosedur serta konsep-konsep yang berkaitan dengan kebolehan dan kemahiran intelektual (Bloom
1956).

3 Domain afektif adalah berkaitan dengan reaksi terhadap sesuatu perkara secara emosi, misalnya perasaan,
penghargaan, semangat, motivasi dan sikap (Krathwool, Bloom & Masia 1973).

4 Domain psikomotor adalah berkait dengan reakse secara tindakan atau fizikal, tindakan reflex atau tafsiran
pergerakan. Secara tradisinya, domain ini berkenaan pengekodan maklumat secara fizikal dengan pergerakan
untuk menyatakan atau mentafsirkan maklumat atau konsep (Leslie Owen Wilson 2016,
http://thesecondprinciple.com/wp-content/uploads/2016/10/The-Three-domains-of-learning-10-2016.pdf)
1. NAMA : WAN NOR ADILAH BINTI WAN MOHD PARID

2. NO TEL : 0199395065

3. LATAR BELAKANG PENDIDIKAN : IJAZAH SARJANA MUDA SAINS SOSIAL (SAINS POLITIK) UKM

Anda mungkin juga menyukai