Anda di halaman 1dari 2

MEWAH adalah sesuatu yang eksklusif.

Eksklusif bermaksud sesuatu


perkara yang tidak ramai memilikinya. Kalau kita lihat harga barangan
edisi khas atau terhad harganya memang tinggi.
Golongan kaya raya tidak suka memakai barangan dipakai oleh orang
kebanyakan. Apabila membeli rumah, mereka memilih untuk tinggal di
kawasan elit, memandu kereta berjenama dari Itali dan destinasi percutian
pilihan pula sudah pasti ke Eropah.
Hakikatnya, kemewahan itu sebenarnya adalah palsu. Kebanyakan mereka
sebenarnya turut berhutang demi imej. Sehinggakan hendak belanja
kawan-kawan dan saudara-mara makan pun kadang-kadang berkira kerana
kebanyakan wang dihabiskan bagi tujuan berkenaan.
Jadi apa sebenarnya yang mewah dan eksklusif pada zaman ini yang tidak
ramai memilikinya? Jawapannya adalah ketenangan. Itulah perkara yang
ramai orang kejar dan mahukan.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Orang-orang yang beriman dan
hati mereka menjadi tenteram dengan berzikir (mengingat) Allah. Ingatlah,
hanya dengan mengingat Allah hati menjadi tenteram.” (Surah ar-Ra’d,
ayat 28)
Ramai orang merasakan percutian boleh memberikan ketenangan. Segala
masalah yang mencengkam jiwa dapat dilupakan buat sementara waktu.
Bagaimanapun, sebaik pulang bercuti, kita akan kembali menghadap
masalah dan hidup kembali berserabut.
Ini termasuk dengan hal-hal politik di pejabat selain dikelilingi pula orang
yang penuh hasad dengki menjadikan kerja tidak pernah selesai sehingga
terpaksa pula dibawa pulang ke rumah.
Tidak kurang juga ramai mempunyai masalah rumah tangga. Isteri dan
suami kedua-duanya sibuk membina karier. Anak menjadi mangsa dan
terabai sehingga mereka cuba mencari perhatian di luar.
Akhirnya mereka terjebak dengan masalah sosial. Pasangan yang terabai
pula terjebak dengan perhubungan gelap. Di mana penghujung semua itu?
Ramai orang terlupa atau tidak sedar segala masalah datangnya daripada
Allah dan Dia juga yang membuka dan memberi jalan penyelesaiannya.
Allah SWT datangkan segala masalah dan cubaan akibat kelalaian diri kita
sendiri. Itu tandanya Allah menyayangi hamba-Nya dan ingin kita kembali
kepada-Nya.
Maka, kita perlu berusaha bangun mengerjakan solat tahajud pada malam
hari dan memohon supaya Allah memberikan petunjuk dan kekuatan
dalam menghadapi masalah.
Hadirkan diri ke masjid serta bergaullah dengan orang soleh, terutamanya
orang tua kerana mereka banyak pengalaman hidup. Apa yang kita hadapi
kadangkala tidak sebesar mana pun.
Dengan bimbingan insan berpengalaman, Insya-Allah kita boleh keluar
daripada sebarang masalah. Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Barang siapa yang bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan memberikan
baginya jalan keluar (dalam semua masalah yang dihadapinya), dan
memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya.” (Surah
al-Talaaq, ayat 2-3)

Anda mungkin juga menyukai