Anda di halaman 1dari 71

SKRIP PENTAS

TEATER

TANAH AKHIRKU

Idea Asal;
MEI FEN LIM
Olahan & Skrip Pentas ;
SITI JASMINA IBRAHIM

arahan,
Ashraf Zainul
skripTanahAkhirku
oleh: sitijasminaIbrahim 1

LOGLINE:

1903, Tanah Besar China semakin tegang dengan protes rakyat terhadap
Dinasti Qing sehingga memaksa seorang budak perempuan melarikan
diri bersama ibu dan adiknya ke Nanyang (Tanah Melayu) setelah
bapanya dituduh pemberontak lalu dibunuh, maka mereka belajar hidup
baru dengan pelbagai dugaan memahami erti tanahair, cinta
pengorbanan dan erti penyatuan pelbagai bangsa di bawah jajahan
Inggeris sehingga akhirnya tragedi menimpa lalu impian cinta buat tanah
ini nyata tanah akhir bersama.

WATAK-WATAK PENTING :

YING FENG - 23 tahun.

TENGKU KAMIL – 35 tahun.

TIAN LOONG (TAUKEH TIAN) – 32 tahun.

TAUKEH SAN – 60 tahun.

CHOW YANG – 21 tahun.

YUENHE – 55 tahun.

ALANG TUNGGAL – 50 tahun.

TENGKU KHADRI – 27 tahun.

OFFICER HENRY CHARLES – 57 tahun

ARJU – 35 tahun.

TENGKU ZAHARAH – 60 tahun

MELATI – 17 tahun.

HSHIN YUEN- 45 tahun. (Prolog)

1
skripTanahAkhirku
oleh: sitijasminaIbrahim 2

BABAK 1 – ADEGAN 1
Kwangtung - Tanah Besar China, tahun 1903.
LATAR : PENTAS OPERA CINA
Pentas dibuka dengan alunan gah muzik opera cina, terlihat di bahagian pentas yang
diterangkan, sebuah pentas opera dan para pemain opera cina sedang beraksi juga
beberapa penonton menonton. Di ruangan pentas terlihat juga sepanduk dan kain-kain
rentang yang bertulis tentang penentangan terhadap Dinasti Qing dan sokongan pada
Presiden Sun Yat-sen.
Sesudah tamat satu adegan opera, tiba-tiba terlihat askar maharaja Qing sudah mula
mengepung ruang pementasan itu. Keadaan menjadi huru hara. Pemain opera cina
tunduk ke lantai, ada yang meniarap ketakutan. Penonton menjerit namun tidak dapat
melarikan diri. Beberapa orang askar sudah mengepung mereka.
Di antara penonton itu, HSHIN YUEN, isterinya, YUENHE dan dua anaknya YING FENG dan
CHOW YANG.
(Bahasa Mandarin / Tungusic-Bahasa Manchu)

JENERAL LIANG : Kepung kawasan ini! Jangan benarkan sesiapa terlepas!

HSHIN YUEN : (dalam bergelut) Lari kamu semua! Lari!

JENERAL LIANG : Kamu semua tidak akan terlepas lagi kali ini. Tiada
tempat lagi untuk kamu sembunyi dan lakukan pertunjukkan yang jijik ini.

HSHIN YUEN : Aku yang kau mahukan, lepaskan mereka semua. Chow
Yang, Ying Feng, Pergi!

YING FENG : Tidak! Kami takkan pergi kalau papa tak ikut sama!

CHOW YANG : Lepaskan papa kami!

HSHIN YUEN : Pergi! Yuenhe bawa mereka..

JENERAL LIANG : Kau tidak dengar apa yang mereka katakan? Mereka tidak
mahu pergi, mereka mahu lihat apa yang akan jadi di sini.

PENYOKONG 1 : Kau jangan berani cuba..!

Seorang Askar Maharaja terus membunuh Penyokong 1.

2
skripTanahAkhirku
oleh: sitijasminaIbrahim 3

JENERAL LIANG : Ada sesiapa yang berani lagi? Hshin Yuen! Gerakan kau
menyokong Sun Yat-sen sudah sampai ke pengetahuan Maharaja! Kau takkan
terlepas kali ini! Professor Hshin Yuen! Kamu di dapati bersalah. Dengan ini
kamu di tahan kerana cuba untuk mempengaruhi sekalian rakyat dan cuba
menjatuhkan Maharaja.

HSHIN YUEN : Tidak! Aku tidak bersalah! Aku tidak menyerang sesiapa,
tidak membunuh, tidak menindas sesiapa. Itu semua kerja keji yang orang kau
buat! Hanya ilmu dan kebenaran yang aku beri pada mereka dan takkan ada
sesiapa pun mampu merampasnya sekarang! Setiap kata-kataku, setiap
perjuanganku, semuanya sudah terpahat pada setiap hati yang mendengar!
Rakyat akan bangkit untuk sebuah Empayar China yang baru!

JENERAL LIANG : (menampar HSHIN YUEN) Memang betul kamu ini pandai
bercakap… namun sayangnya semua itu hanya akan kekal dalam fikiran kau
setelah aku pisahkan kepala ini dari urat-urat halus di lehermu! Jangan cuba
melawan!

HSHIN YUEN hendak melawan tapi salah seorang askar memukul belakang leher HSHIN
YUEN sehingga terduduk kemudian dia di paksa berdiri semula di pentas.

HSHIN YUEN : Lepaskan isteri dan anak-anak aku, juga semua orang di
sini dan aku tidak akan melawan.

JENERAL LIANG : (ketawa besar) Profesor Hshin Yuen! Kau akan mati
dalam sejarah tanah ini dan akan dikenali sebagai pembelot, pengkhianat,
menderhaka pada Maharaja!

Serentak dengan itu, askar yang sedia ada di belakang HSHIN YUEN, mengelar leher
HSHIN YUEN dan askar di hadapannya pula menembak tepat ke jantung. YING FENG,
CHOW YANG dan YUENHE menakup mulut mahu meraung melihat bapanya dibunuh
kejam. Pembunuhan ini juga telah membangkit semangat marah para penyokong di situ.

YING FENG : Papa!!


PENYOKONG 2 : Kami tak pernah takut mati! Kami takkan tunduk pada
pemerintahan yang kejam!

PENYOKONG 3 : Serang!

3
skripTanahAkhirku
oleh: sitijasminaIbrahim 4

Keadaan jadi huru-hara. Ada beberapa bunyi tembakan, ada cahaya yang terpadam
akibat tembakan. Para penyokong bergelut dengan askar-askar maharaja.

PENYOKONG 3 : Chow Yang! Ying Feng! Cepat lari bawa ibu kamu!

YUENHE hampir rebah. CHOW YANG ingin bantu para penyokong yang bergelut namun
YING FENG menariknya kembali. YUENHE dalam lemah, paksa diri untuk
mententeramkan anak-anakanya.

YUENHE : Jangan pergi Chow Yang! Kita kena hidup untuk papa!
Selagi kamu semua masih hidup, semangatnya akan terus bersama kita. Ingat
pesan papa!

Dengan berat hati mereka beredar dari situ dengan bantuan para penyokong menghalang
askar-askar maharaja dari menghampiri mereka.
Pentas mula gelap, hanya kedengaran bunyi tembakan berkali-kali.

***

4
skripTanahAkhirku
oleh: sitijasminaIbrahim 5

BABAK 1 – ADEGAN 1
LATAR: ATAS KAPAL
Pada waktu malam. Kedengaran bunyian ombak memukul kapal. Di dalam kapal
kelihatan ramai orang terdampar kesakitan, mengerang, menangis di dalam ruang yang
sempit. Keadaan yang tidak menyenangkan dan CHOW YANG mahu mengambil air minum
buat keluarganya, cuba melepasi himpitan mereka yang sama dengannya mahu lari dari
negara China.
(Bahasa Mandarin / Tungusic-Bahasa Manchu)

PENUMPANG 1 : Hoi! Cepatlah! Berapa lama kau ni? Dah nak terkeluar ni!

PENUMPANG 2 berhenti lalu membetulkan seluarnya. PENUMPANG 1 hanya perhati


PENUMPANG 2.

PENUMPANG 1 : Hoi! Kenapa budak macam kau ni pun ada sini ha?

PENUMPANG 2 : Mereka kata kita akan lebih senang kalau naik ke kapal ni.
Mereka kata, aku akan dapat lebih banyak duit di sana. Bila dah cukup, aku akan
pulang dan bantu mak .

PENUMPANG 3 : Untunglah kau budak. Aku ni, tiba-tiba sahaja di tarik


naik kapal ni. Isteri aku mereka tinggalkan, tak sempat aku peluk dia, mereka
tarik aku naik. (ternampak CHOW YANG yang ada di situ mengambil air) Ha, kau!
Macam mana boleh ada di sini?

CHOW YANG : Saya sudah tiada tempat lagi mahu pergi.


PENUMPANG 1 : (ketawa besar) Kenapa sedih sangat! Kau tahu tak kita
mahu ke mana ni? Kau patut suka hati.

PENUMPANG 2 : Aku dengar kalau kau kerja selama lima bulan, kau akan
di beri rumah.

PENUMPANG 3 : Tapi kalau lelaki lembik macam dia ni, bahan di buli saja
nanti.

CHOW YANG tidak hiraukan mereka. Terus berjalan sehingga ke keluarganya.

CHOW YANG : Kak! Air.

Terlihat YING FENG bangun dari baringnya. Sebelahnya YUENHE terbatuk-batuk,


kelihatan sangat lemah kerana sakit.

5
skripTanahAkhirku
oleh: sitijasminaIbrahim 6

YING FENG walau sama lemah tetapi dia tetap kuatkan hatinya untuk bertahan. Dia ambil
bekas air dari CHOW YANG. CHOW YANG duduk keletihan kepanasan tidak jauh dari
mereka. YING FENG beri ibunya minum tapi airnya rasa tidak menyenangkan. Ibunya
hendak muntah.

YING FENG : Tahan mama. Jangan muntahkan… ini saja air yang kita ada..

YUENHE : Ini bukan air kalau rasanya macam najis! Mereka ada air bersih,
kenapa kita diberi air ini? Sudah berapa lama… belum sampai lagi, mahu
dibiarkan kita semua mati di sini?!

CHOW YANG : Memang perjalanan ini ambil masa berbulan-bulan


mama… kita sudah diberitahu itu. Kita bertahan ya.

YING FENG : Sabar ya mama, Ying Feng tahu mama sakit, Mama minta kami
terus kuat dan bertahan. mama pun perlu kuat!

Tidak jauh dari mereka terlihat seorang lelaki seperti mabuk laut, muntah dan sakit.
Mereka melihat keadaan lelaki itu. YING FENG bangun dan pergi ke arah lelaki itu dan
beri sedikit air mereka, CHOW YANG tak benarkan tapi YING FENG tidak hiraukan.
Bangun seorang lagi lelaki yang berebut mahu air juga. YING FENG minta sabar tapi
keadaan tidak dapat dikawalnya lalu air tertumpah. YING FENG di tolak, CHOW YANG
meluru datang ke arah kakaknya, lantas ditumbuk, pergaduhan berlaku sesama mereka.
Datang pemilik kapal dan pembantunya, berdiri di bahagian atas. Dia berteriak.

PEMBANTU : Berhenti bergaduh! Berhenti sekarang! (mereka semua berhenti


bergaduh) Kalau jadi begini sekali lagi, kami akan campak kau ke laut!

TUAN KAPAL : Apa masalahnya? Semua cukup kan di sini? Ada siapa yang tak
puas hati? Siapa ada masalah boleh datang jumpa aku. (kepada CHOW YANG)
Chow Yang! Sudahkah kau buang mayat Li malam tadi? Aku macam terbau
busuk yang sangat kuat di kapal aku ni! Bau bangkai!

CHOW YANG : Mayatnya sudah aku bersihkan dan lepaskan ke dalam


laut. Bau ini bukan bangkai Li, atau mayat Fook atau mayat Ng yang mati dua
hari lepas. Ini bau kapal, bau lantai, bau air yang kami minum, makanan yang
jadi najis!

6
skripTanahAkhirku
oleh: sitijasminaIbrahim 7

TUAN KAPAL : Pandai berkata-kata, sama seperti mendiang ayahmu. Chow


Yang, aku tolong bawa kamu semua lari dari Kwangtung supaya kamu dan
keluarga tak mati sia-sia! Aku tak minta satu duit pun! Kau nak kapal yang
mewah macam mana lagi? Ini sudah cukup baik! Kalau kau tak suka, tak mahu
sampai ke Nanyang, terjunlah ke laut. Aku sudah tunaikan janjiku pada ayahmu,
aku tak rugi apa pun!

CHOW YANG nak jawab lagi, YING FENG halang. Suruh diam. TUAN KAPAL senyum sinis.
YUANHE hanya diam memerhati.

YING FENG : Kami tahu tuan orang mulia sudi tolong semua bawa ke Nanyang,
tapi kalau terus begini, nampaknya tiada siapa pun yang akan sempat
menjejakkan kaki ke daratan Nanyang.

TUAN KAPAL : Ini bukan kali pertama aku bawa penumpang seramai ini. Di
Nanyang ramai sudah hidup senang, yang datangnya dari kapal ini jugalah!
Jangan sesiapa nak pertikaikan kerja aku! Mahu hidup, doa banyak-banyak
kalau kau masih percaya sama Tuhan.

CHOW YANG menjadi marah, YING FENG tenangkan adiknya dan minta jangan menjawab
lagi. TUAN KAPAL hanya senyum dan beredar. CHOW YANG duduk sebelah YUENHE.

YUENHE : (menenangkan CHOW YANG) CHOW YANG, sudah lah, tak apa.
PEMBANTU : Kamu semua, jangan berani buat kecoh lagi! Makan!

PEMBANTU kapal membuangkan beberapa longgok makanan ke arah para penumpang


kemudian beredar. Para penumpang berebut pada makanan yang tidak cukup itu.

CHOW YANG : Kakak ingat mereka tu orang baik? Tak ada orang yang
akan bersusah mahu menolong secara percuma! Saya dengar semalam dia
bercakap dengan pembantu dia. Kita ini akan dijual sesampai saja di Nanyang!

YUENHE : Jangan cakap sebarangan Chow Yang!

7
skripTanahAkhirku
oleh: sitijasminaIbrahim 8

CHOW YANG : Ini yang betul mama. Kita akan dijual, dijadikan hamba!
Di Nanyang dia akan dapat bayarannya dengan menjual kita! Sepatutnya kita tak
perlu lari. Kita patut berjuang di negeri sendiri, sama macam papa!

YING FENG : Bukan begitu apa yang papa mahukan. Kau patut lebih tahu.
Akal harus didahulukan berbanding tulang otot kau itu! Papa mahu kita hidup
dan kerana itu kita masih lagi hidup!

YUANHE : Kamu anak-anak yang kuat semangat. Darah papa beri kekuatan
itu. Kita sudah berlayar separuh lautan, tidak boleh patah balik. itu bukan kita!
Sudahlah tu Chow Yang, berehat sahajalah. Mungkin akan ada harapan buat kita
di Nanyang. Pasti ada sebab Tuhan bawa kita ke sana.

Lampu kapal semakin dipadamkan, hanya cahaya bulan menyinari mereka, para
penumpang semuanya dalam keadaan berehat. YUENHE baring di atas riba YING FENG.
Lantas YUANHE mula menyanyi, perlahan suaranya tapi menenangkan, bersambut
dengan bunyian ombak.
Cahaya gelap dan fokus pada mereka. Latar bintang dan cahaya bulan menyimbah ke
lautan. Kedengaran alunan Erhu sayu di mainkan.

YUENHE : (setelah selesai menyanyi, dia memegang muka YING FENG) Ying
Feng, semangat, harapan dari angin, erti namamu itu, sentiasa memberi dan
menerima perubahan angin di mana-mana sahaja kamu berada. Percayalah pada
kelebihanmu.. (perlahan-lahan YUENHE tertidur)

HSHIN YUEN : (suara latar) Percayalah pada kelebihanmu, percaya pada


bintang, bulan, siang dan malam, tanah dan lautan. Semua bersatu seperti
sempurnanya jasadmu. Penyatuan memberi nyawa, memberi harapan pada kita
semua. Maafkan ayah, kerana dosa generasi kami, kamu semua telah ikut susah.
Ayah akan selalu doakan kamu. Berjuanglah untuk keamanan sehingga akhir
hayatmu. Jaga keluargamu, bina hidup baru, juangkanlah hak kamu yang
selayaknya. Percayalah, cinta dan pengorbanan, ia bukan kisah yang sia-sia.
Selamat jalan Ying Feng, moga kita bertemu di dunia yang lebih baik nanti.

YING FENG : Ya papa.. Ying Feng akan sentiasa ingat...

Pentas mulai malap, alunan Erhu perlahan-lahan bertukar kepada dendangan muzik
meriah tari-menari melayu.

8
skripTanahAkhirku
oleh: sitijasminaIbrahim 9

BABAK 1 – ADEGAN 2
LATAR: HALAMAN RUMAH ALANG TUNGGAL
Pentas terang di bahagian hadapan pentas. Terlihat dua orang pemuda kampung
mengejar sekumpulan gadis kampung.

PENDUDUK 3 : Oii Cik adik! Nak ke mana tu! Tunggulah kami.


PENDUDUK 4 : Tunggulah kejap cik adik oi! Laju sangat berjalan,
terseliuh kaki nanti…
PENDUDUK 3 & 4 : Siapa nak tolong?!

Kini terlihat sebuah suasana kampung yang majmuk. Terdapat beberapa penduduk
kampung menari, menyanyi, bersuka-ria bersama. Keluar ALANG TUNGGAL dari
rumahnya.

PENDUDUK 1 : Assalamualaikum Bang Alang, Lambat keluar rumah hari


ni. Tolong Melati masak ke?

ALANG TUNGGAL : Walaikumsalam. Memang banyak lagi kuih di dalam tu


tak siap lagi. Mahu tolong ke?

PENDUDUK 1 : Err… boleh tapi esoklah…

ALANG TUNGGAL : Kau tu ada je alasannya bila diajak kerja. Ada apa meriah
sungguh petang-petang ni?

PENDUDUK 2 : Kak Kiah tu, dapat berita anaknya dah selamat lahirkan
cucu pertamanya. Itu yang diraikan ni.

PENDUDUK 1 : Dari tadi tak nampak pula Ying Feng. Mana dia?

ALANG TUNGGAL : Dia di lombong lah. Kerjanya tak tentu masa, selagi tak
siap untuk hari ini, selagi tu lah dia di sana.

PENDUDUK 1 : Oh ye lah… dia kerja tulis surat menyurat untuk Tian


Loong kan?

Muncul PRIYA mendekati mereka.

9
skripTanahAkhirku
oleh: sitijasminaIbrahim 10

PRIYA : Ye. Dia saja yang pandai membaca dan menulis, ramai yang
datang sini tak pandai macam dia. Ayahnya guru falsafah, pemikir di negara dia,
antara tokoh yang mati disangka akan diingat sebagai pengkhianat, rupanya
diangkat sebagai pejuang, tak hairanlah Ying Feng tu lain sikit, sebab itulah dia
mudah tambat hati tuan punya lombong tu. Dia saja yang bebas keluar masuk
kawasan penempatan pekerja lombong Tian Loong tu, kan Alang?

PENDUDUK 2 : Eh, banyak pula kau tahu pasal dia ya Priya.

PRIYA : Mestilah. Dia itu sudah macam adik beradik aku tau.

PENDUDUK 1 : Tapi kau pesan pada dia juga Priya, jangan berani sangat.
Kita tak tahu orang lain fikir apa. Di zaman keadaan tak menentu ni, dia tu
perempuan muda, kena jaga-jaga. Betul tak Bang Alang?

PRIYA : Kau mahu jaga dia ke?

ALANG TUNGGAL : Aku faham tu… kita ni pun kena selalu berjaga-jaga
walaupun pihak Inggeris tidak ganggu kita sekarang ni, tapi tak bermakna
mereka bebaskan kita sepenuhnya. Apa saja boleh berlaku.

PENDUDUK 2 : Betul! Kau dengar tu Priya! Jaga-jaga sikit!

MELATI muncul bawa kuih seri muka untuk di jual.

MELATI : Tapi tak bermakna kita perlu takut kan? Melati pun tak
takutlah dengan mereka, takkan abang-abang tangkas gerak silat, lincah
dendang tari, takut pula?

PENDUDUK 1 : Mana ada takut! Tak takutlah! Kami cuma pesan pada
Ying Feng dan Priya ni, dan untuk kamu jugalah Melati.

PENDUDUK 2 : Alahai! Makin manis, makin ayu pula anak Bang Alang ni.

PENDUDUK 1 : Itu lah lagi kena berjaga-jaga.

ALANG TUNGGAL : Tahulah dia jaga diri dia. Dia tu lagi garang dari aku.

MELATI : Ya! Kalau nak cuba langkah di gelanggang pun boleh!


Ilmu ayah dah isi cukup untuk Melati ni!

PENDUDUK 2 : Cuba tengok sikit, cuba tengok sikit!

10
skripTanahAkhirku
oleh: sitijasminaIbrahim 11

MELATI buka langkah silat.

ALANG TUNGGAL : Melati… sudah, tak baik macam tu. Orang tua mesti di
hormati.

MELATI : Taklah ayah. Melati mengusik saja. Mereka pun selalu


kacau Melati Ayah.

ALANG TUNGGAL : Betul ke ni?

PENDUDUK 1 : Mana ada Alang. kami cuma suka, kuih seri muka Melati
saja. Memang berseri je rasa muka bila makan.

PENDUDUK 2 : Amboi! Kau bukan main memuji. Ada isi di sebalik puji
ke? Cemburu pulak aku. Melati, mari kita kesana joget bersama.. Jangan dilayan
dia ini.

MELATI : Eh! Tiba-tiba saja ajak berjoget? Tak mahulah,

PENDUDUK 1 : Janganlah begitu Melati, bunga yang cantik kalau tidak


dapat di sunting, apa salahnya di sayang.

ALANG TUNGGAL : Amboi, molek sungguh kata-kata berbunga kamu berdua.


Moga bunga kata kamu ini semolek juga bunga silatnya pada malam ini ya, kalau
tak aku yang bunga-bungakan kamu nanti! Melati, barang jualan sudah siap
untuk di hantar?

MELATI : Sudah ayah.

PRIYA : Melati, aku temankan kau ya?

MELATI : Takpe lah Kak Priya, nanti Pakcik Arju marah Melati. Dia
cepat risau kalau isteri dia ni tak ada depan mata dia.

PRIYA : Dia kan kerja, waktu ini dia masih meronda kawasan.
Sekarang pun bukan dia ada depan mata aku. Aku ikutlah!

ALANG TUNGGAL : Pergilah, elok juga Priya temankan. Nanti aku beritahu
Arju.

PRIYA : Ya, terima kasih... Arju itu, hatinya akan tenang kalau
Alang Tunggal yang beritahu aku selamat. Dia lagi percaya Alang dari tentera
inggeris tau! Mari Melati!

PRIYA tolongi MELATI angkat bakul berisi kuih lalu terus beredar.

11
skripTanahAkhirku
oleh: sitijasminaIbrahim 12

BABAK 1 – ADEGAN 3
LATAR : KAWASAN LOMBONG BIJIH TIMAH
Latar bertukar dari kawasan kampung ke lombong bijih timah. Terlihat YING FENG
pimpin ibunya keluar dari kawasan lombong. YUENHE terbatuk-batuk. TIAN LOONG
bersama beberapa orang pengikutnya muncul dalam keadaan baru lepas bergaduh. TIAN
LOONG masih belum hilang marah. YING FENG dan ibunya terhenti langkah, nak
mengelak sudah tidak boleh.
(Bahasa Mandarin)

CHAN : Taukeh Tian, Pengikut-pengikut Taukeh San tidak akan pernah


berhenti mencari masalah dengan kita. Pergaduhan ini nampaknya tidak akan
pernah selesai!

TIAN LOONG : Taukeh San, sejak dari bapa aku jadi ketua di sini, dia tidak
pernah mahu aman. Tidak pernah mahu dengar bahawa hak kita lebih besar dari
apa yang dia sangka dia ada!

LIM : Dia mahu kuasai semua. Termasuk kita! Tanah Nanyang ini, dia
mahu jadi wakil kita pada pemerintah British dan bangsa lain di sini! Dari dulu
memang itu tujuannya!

TIAN LOONG : Orang tua gila kuasa! Kalau semasa bapak aku pun dia tak
berjaya capai kehendaknya tu, inikan pula apabila aku sudah ambil alih . Aku
takkan tunduk! Aku nak orang kita lebih bersedia, berani mati demi maruah
bangsa kita di sini!

Terlepas ketawa YING FENG. YUENHE nampak kecewa dan minta anaknya diam tapi
TIAN LOONG sudah dengar dan baru perasan YING FENG dan YUENHE ada di hujung.
TIAN LOONG senyum, hampiri YING FENG.

YUENHE : Maaf Taukeh Tian! Tidak sengaja bukan ada niat lain.

TIAN LOONG : Tidak mengapa, kalau Ying Feng mahu ketawakan aku sekuat
hati pun, aku tidak akan berbuat apa-apa pada Ma Yuenhe dan terutamanya Ying
Feng. Boleh saya tahu, apa yang lucunya?

12
skripTanahAkhirku
oleh: sitijasminaIbrahim 13

YING FENG : ‘Demi maruah bangsa kita’. Itu yang buat saya ketawa. Bukankah
yang kau marahkan tadi tu, bangsa kita juga. Dari China juga asal mereka?
Jadinya demi maruah yang bagaimana kau sanggup mati itu?

CHAN : Berani kau! (TIAN LOONG hentikan CHAN)

YUENHE : Ying Feng! Jangan cakap begitu.. (melutut minta maaf pada TIAN
LOONG) Maaf Taukeh Tian! Maafkan anak saya! Maafkan..

TIAN LOONG : Hati anak awak ini hanya suka mencari jalan untuk mematahkan
semangat orang lain, saya rasa itu lebih tidak bermaruah! Niat aku suci. Aku
hanya mahu jaga mereka yang ada bersama aku, termasuk kau!

YING FENG : Saya tak perlu dijaga pun! Dan selalunya orang yang tidak punya
maruah itu yang mudah terasa.

YUENHE : Ying Feng! Sudah! Jangan menjawab, jangan cakap apa-apa lagi…
Maaf taukeh, maaf... kami mahu minta izin pulang. Ying Feng mahu hantar saya,
badan saya lemah, kepala sakit-sakit. Maafkan kami, Taukeh Tian.

TIAN LOONG : Sakit? Kenapa tak cakap awal tadi? Lim! Tolong mereka.

LIM : Baik.

TIAN LOONG : Tapi, hanya sampai di pintu gerbang sahaja… kerana luar dari
kawasan kita ini, bukan lagi di bawah kuasa aku.

TIAN LOONG beri isyarat supaya pembantunya memapah YUENHE. YING FENG tak
benarkan.

YING FENG : Tak mengapa. Saya boleh bawa mama.

CHAN : Kau perlu berada di sini! Sambung kerja!

YUENHE : Tidak mengapa Ying Feng, jangan risau tentang mama. Lim boleh
hantarkan.

TIAN LOONG : Kau tak kasihankan mama kau ke? Ying Feng, kalaulah kau setuju
untuk tinggal di sini, mama kau tak perlu nak berjalan jauh untuk sampai ke
rumah. (kepada LIM) Lim, berikan bekal makanan untuk Ma Yuenhe bawa
pulang.

YING FENG : Hati-hati mama.

13
skripTanahAkhirku
oleh: sitijasminaIbrahim 14

LIM akur. YUENHE turuti LIM. YING FENG hanya perhatikan ibunya pulang. YING FENG
hendak beredar masuk ke kawasan lombong semula, tapi TIAN LOONG halang. TIAN
LOONG cuba mendekati YING FENG tapi YING FENG menolak cara baik.

TIAN LOONG : Ying Feng, tunggu dulu. Berapa lama kau nak mengelak daripada
aku? Berminggu aku sibuk di bandar, sekarang aku dah kembali di sini.
Janganlah kau nak lari lagi? Aku rindu kau.,. Kalau ada perkara yang kau tak suka
tentang aku, jangan pula dengan mudah kau lupakan perkara baik yang pernah
kita kongsi bersama. Kau patut tahu, selama ini, aku sedang siapkan sebuah
rumah di tanah tidak jauh dari pintu gerbang kawasan ini untuk kau. Kau pindah
saja di sana sama Chow Yang dan Ma Yuenhe.

YING FENG : Kenapa? Saya selesa tinggal di tempat kami tinggal sekarang. Tak
perlu bersusah sampai begini.

TIAN LOONG : Aku risaukan keselamatan kau. Kau tinggal di luar sana, di
kampung itu, tiada siapa dapat menjaga kau.

YING FENG : Siapa kata? Ramai yang menjaga saya ‘sekeluarga’ di kampung
itu. Kalau kau beri ruang untuk kenali mereka, kau akan faham maksud aku.

TIAN LOONG : Itu semua tidak perlu, Ying Feng. Semua keperluan kita ada di
daerah ini. Tak perlu keluar pun. Ying Feng, kenapa kau tak pernah mahu setuju
keputusan bapa aku dulu dan kini aku sebagai penyambung caranya?

YING FENG : Kalau bapa kau masih hidup, bukan begini cara dia uruskan. Tian
Loong, kau sebagai ketua jangan terburu-buru membuat apa saja keputusan.
Jangan naikkan nama dan mahu lebih kuasa dengan cara menjatuhkan bangsa
senegara sendiri atau aniaya bangsa lain di sini? Kalau kau terus buat begini,
Taukeh San pasti yang akan miliki pengaruhnya!

TIAN LOONG rasa tercabar. Dia hairan bagaimana YING FENG boleh memikirkan semua.

TIAN LOONG : Kenapa kau banyak cakap ya!? Sebagai perempuan, sepatutnya
kau tak perlu banyak berkata-kata!

YING FENG : Taukeh Tian! Jangan pandang rendah pada kaum perempuan. Kami
buat kerja yang sama seperti apa yang lelaki lakukan.

14
skripTanahAkhirku
oleh: sitijasminaIbrahim 15

TIAN LOONG : (marah) Di mana Chow Yang!?

MELATI dan PRIYA muncul bawa bakul makanan dan melaungkan jualan untuk beritahu
yang makanan sudah ada dijual. TIAN LOONG terkejut. Dia bengang.

MELATI & PRIYA: Kuih, kuih! Kuih, kuih!


TIAN LOONG : Berapa kali aku kata, jangan menjual dalam daerah ini.

MELATI : Matahari sudah tinggi, petanda perut kita perlu di isi. Jualan saya
ini sedikit sedikit sahaja taukeh, tidak ramai pun datang membeli.

PRIYA : Janganlah Taukeh Tian risau.

CHAN : Taukeh Tian! Ada sesuatu yang perlu dibincangkan.

Pembantu TIAN LOONG memanggilnya dan datang bisikkan sesuatu. TIAN LOONG
beredar walaupun masih tak puas hati dengan mereka. MELATI melepaskan ketawanya.

YING FENG : Jangan berani sangat macam itu. Kakak tak mahu Melati pula
dapat susah. Marah papa Melati nanti. Priya pun sama, kena hati-hati di sini.

PRIYA : Aku mahu teman Meati jual, aku boleh jaga Melati juga, takut jadi
macam hal tadi itu lah.

MELATI : Kalau kuih Melati ini tak habis, lagilah ayah marah tau. Kakak
jangan risaulah! Kalau kakak darah pejuang ilmu di Kwangtung, di sini darah
pejuang seni asli tentulah Melati!

PRIYA : Aku pula srikandi sita dewi! Takkan berani punya dia!

YING FENG : Ya lah, ya lah. Saya sambung kerja dulu ya. Lepas jual terus balik
ya. Hantar Priya balik dulu, sebelum Arju mencari isteri dia satu kampung.

Mereka sama terasa lucu. YING FENG beredar dan MELATI , PRIYA terus dikerumuni para
pelombong. Cahaya latar lombong perlahan malap.

***

15
skripTanahAkhirku
oleh: sitijasminaIbrahim 16

BABAK 1 – ADEGAN 4
LATAR: KAWASAN TAUKEH SAN
Waktu senja, lampu perlahan terang di suatu sudut. Terlihat CHOW YANG mundar-
mandir, resah. Di situ terdapat Taukeh San juga berdiri memandangnya.
(Bahasa Mandarin)

TAUKEH SAN : Jadi, bagaimana? Sudah kau fikir-fikirkan apa yang aku tawarkan
dulu? Chow Yang, kau harus faham, kau sahaja yang boleh memberi maklumat
kepada aku tentang kegiatan mereka. Kau boleh bantu aku untuk selesaikan
pergaduhan ini. Kalau di pihak sana, kau bukan siapa-siapa, hanya seorang
budak lombong yang di hina. Nasib kau dan keluarga kau pun tidak akan
dihiraukan. Tapi jika kau setuju membantu aku, semua itu takkan berlaku!

CHOW YANG : Aku tahu… tapi pilihan pertama yang selalunya aku
pegang dan percaya. Kalau ada terfikir pilihan ke-dua, ke-tiga, semua itu tidak
pernah tepat. Itu yang selalu papa aku pesan.

TAUKEH SAN : Profesor Hshin Yuen itu seorang yang sangat bijak, guru falsafah
yang kenal sifat manusia! Bukan calang orang kelebihan yang dia ada. Makanya,
pendirian kau itu menandakan darah pejuangan, ilmu, pengetahuan ayahmu
mengalir dengan sempurna di dalam jasadmu. Jangan sia-siakannya.

CHOW YANG faham mengapa TAUKEH SAN kata begitu.

TAUKEH SAN : Aku sememangnya tahu benar siapa ayah kau itu. Dia tak
sukakan peperangan, kerana itu dia menentang peperangan dan pecah belah
sehingga akhir hayatnya… sama seperti aku. Chow Yang, setujulah dengan
tawaran aku itu. Kau boleh saja terus bekerja dengan Tian Loong, tapi bantu jadi
mata dan telinga aku di sana.

CHOW YANG : Aku faham…

TAUKEH SAN : Aku janji akan menjaga keselamatan kau dan keluarga.

Tiba-tiba terlihat ARJU yang berbasikal menuju ke kawasan tersebut. TAUKEH SAN
nampak, segera di sambutnya.

16
skripTanahAkhirku
oleh: sitijasminaIbrahim 17

(Bahasa Melayu)
TAUKEH SAN : Prebet Arju! Apa khabar?
ARJU : Taukeh San! Baik baik saja. Chow Yang pun ada sama!
TAUKEH SAN : Tiap hari tidak pernah tidak jalankan kerja. Sangat bagus!

ARJU : Perlu kerja. Itu tanggungjawab saya. Mahu semua berjalan


dengan baik. Pihak British bila hati senang, kita pun tidak akan diganggunya
selalu. Saya mesti jaga kawasan, bagi selamat.

TAUKEH SAN : Betul. Betul! Ini Chow Yang budak bagus yang kena dijaga juga
supaya dia tidak mati sia-sia.

ARJU : Jangan cakap macam tu la Taukeh San.

TAUKEH SAN : Bukan apa, sini kawasan selalu gaduh-gaduh, aku cuma risau
pada dia… Baiklah Arju, aku pergi dulu ya. (mandarin) Chow Yang, fikirkan
tentang apa yang aku katakan. Jangan biar aku tunggu lebih lama, buat
keputusan yang bijak untuk kau dan keluarga. (bahasa melayu) Arju, aku pergi
dulu ya.

CHOW YANG dan ARJU hanya mengangguk. CHOW YANG serba salah pada ARJU.

CHOW YANG : Arju, jangan salah sangka pada aku. Aku bukan mahu
timbulkan masalah. Aku tidak belot sama Taukeh Tian.

ARJU : Chow Yang, aku faham kau dan keluarga kerja sangat susah di
bawah Taukeh Tian. Tapi jika dia atau pengikutnya tahu yang kau cuba belot
dari mereka, kau tahukan apa yang akan jadi?

CHOW YANG : Arju, tolong jangan beritahu sesiapa tentang ini ya. Aku
berjanji tidak akan jumpa Taukeh San lagi.

ARJU : Aku bukan mahu menghalang. Aku harap kau faham itu Chow
Yang. Aku percaya, apa saja yang kau buat, kau mesti sudah fikir sehabis baik
untuk diri dan keluarga. Kau pasti tak nak kakak dan mama kau susah, kan? Fikir
baik-baik sebelum buat apa-apa keputusan. Aku pergi dulu ya, jaga diri Chow
Yang.

Arju mengayuh basikalnya beredar dari situ meninggalkan CHOW YANG seorang. Cahaya
ruang ini makin malap sehingga padam.
***

17
skripTanahAkhirku
oleh: sitijasminaIbrahim 18

BABAK 2 – ADEGAN 1
LATAR: KAWASAN KAMPUNG
Cahaya menerangi rung pentas, waktu petang. Dua anggota tentera Inggeris sedang
periksa dokumen pengenalan ALANG TUNGGAL . Anaknya MELATI juga ada berdiri
sebelah. YING FENG terhenti langkah apabila nampak mereka. Hendak patah balik sudah
tidak boleh kerana dua anggota tentera itu sudah nampak dan memanggil mereka.
(Bahasa Melayu)

TENTERA BRITISH 2 : Dari mana?

YING FENG : Saya dari lombong bijih timah Taukeh Tian.

TENTERA BRITISH 1 : Mahu ke mana?

TENTERA BRITISH 2 merampas bekas makanan yang YING FENG pegang lalu
memeriksanya. MELATI hampiri YING FENG. TENTERA BRITISH 1 hairan dan pandang
ALANG TUNGGAL.

MELATI : Minta baik-baik tak boleh?

ALANG TUNGGAL : Dia memang sudah lama berjiran dengan kami.

TENTERA BRITISH 1 : Mengapa tidak tinggal di kawasan Tian atau San?

MELATI : Kenapa? Apa tak boleh dia tinggal di sini?

TENTERA BRITISH 1 : Eh budak ni!

TENTERA BRITISH 2 : Mereka memang sudah lama tinggal sebelah rumah. Aku
kenal, ini Alang Tunggal antara orang yang dihormati di sini.

TENTERA BRITISH 1 : Manalah aku tahu. Kawasan aku jaga dulu tak ada macam
ini. (kepada ALANG TUNGGAL) Kau tak pernah ada masalah dengan dia tinggal
bersama di sini?

MELATI : Masalah apa?! Kau ini yang masalah kami sebenarnya.

ALANG TUNGGAL : Melati.

TENTERA BRITISH 2 : Sudah, sudah. Nanti aku jelaskan pada kau lagi. Mereka
sudah boleh kita benarkan beredar .

18
skripTanahAkhirku
oleh: sitijasminaIbrahim 19

ALANG TUNGGAL, YING FENG, diam saja saling berpandangan. TENTERA BRITISH 1 & 2
beredar. TENTERA BRITISH 1 seperti tidak puas hati pada mereka.
YING FENG : Maafkan Ying Feng, Bang Alang.

MELATI : Mereka masih tidak suka kita bercampur sama kaum lain.
Mereka memang mahu pisah-pisahkan kita, seperti di kawasan lain.

ALANG TUNGGAL : Mereka bukan tidak suka kita bercampur, tapi tidak suka
kita berbaik dengan kaum lain. Itu sifat penjajah dari dulu. Kalau kita bersatu,
belum tentu mereka mampu bertahan di sini.

YING FENG : Kalau macam tu, kenapa tidak saja kita semua bersatu?

ALANG TUNGGAL : Alangkah mudahnya kan? Memang itu yang sepatutnya,


tapi lihatlah, Taukeh Tian dan Taukeh San sampai sekarang ini masih tidak boleh
duduk aman. Pemerintahan di kawasan ini pun masih huru-hara dengan
ketiadaan Tengku Kamil dan sekarang adiknya pula ambil alih yang tak habis-
habis mengharapkan pihak British untuk mengatur segala. Macam mana nak
bersatu?

YING FENG : Ya, betul. Saya faham maksud Alang, tapi sayang sungguh
kenapa ia jadi terlalu susah buat kita semua untuk bersatu? Seperti kita semua
tidak sedar penjajah sengaja mahu pecah-pecahkan kita.

MELATI : Rambut sama hitam, hati lain-lain.

ALANG TUNGGAL : Sedangkan adik beradik pun boleh bertahun bersengketa,


ini kan pula sesama manusia yang asing cara hidup, asal usul dan agama.

YING FENG : Tapi tidak di kampung ini. Kan Bang Alang?

ALANG TUNGGAL angguk dan senyum saja.

ALANG TUNGGAL : Memang sejak dari dulu, kampung ini memang istimewa,
penduduknya berbilang kaum. Ia seolah suatu cahaya kecil, walau tidak terang,
tapi sinarnya tetap ada. Kita semua ini sama sahaja. Hanya diri kita yang pandai
membeza-bezakan bangsa dan menyangka buruk terhadap bangsa lain. Namun
ia tidak akan berlaku di kampung ini. Saya sendiri menanamkan rasa kasih
sayang pada Melati tanpa membeza-beza sesama kita. Belajar untuk menerima
dan belajar budaya lain, tiada ruginya.

19
skripTanahAkhirku
oleh: sitijasminaIbrahim 20

MELATI : Betul!

ALANG TUNGGAL : Niat kena betul, hati kena baik, insyaAllah semua akan
jadi baik. Walaupun sebenarnya tetap ada ramai orang yang tidak baik di
sekeliling kita. Kita perlu kuatkan hati supaya tidak terikut menjadi seperti
mereka.

MELATI dan YING FENG sama setuju. Tiba-tiba, terdengar kekecohan tidak jauh dari situ
dan muncul seorang pengikut TAUKEH SAN melarikan diri sehingga terlanggar YING
FENG dan MELATI. ALANG TUNGGAL segera bantu.
Beberapa pengikut TIAN LOONG termasuk CHAN mengejar pula dan sempat tangkap
pengikut TAUKEH SAN apabila lelaki itu cuba lari. Tapi belum sempat mereka menyerang,
ALANG TUNGGAL halang.

ALANG TUNGGAL : Apa kecoh-kecoh ni!

LIM : (mandarin) Chan, tak perlu banyak cakap lagi, Kita bunuh
sahaja dia!

CHAN : (bahasa melayu) Alang! Aku nasihatkan kau jangan


masuk campur hal kami! Tepi! Bagi dia pada kami!

ALANG TUNGGAL : Aku takkan benarkan ada sebarang pertumpahan darah


di kampung ini.

CHAN mengarah para pengikutnya untuk serang ALANG TUNGGAL. Mereka bertarung
dengan ALANG TUNGGAL, namun tidak seorang pun berjaya menumpaskan ALANG
TUNGGAL
.

ALANG TUNGGAL : Pergi dari sini.

CHAN : Bagi dia pada kami! Kau jangan masuk campur!

ALANG TUNGGAL : Kau buat huru-hara di kawasan ini, tempat ramai orang
lain ada, aku perlu masuk campur. Kalau ada yang cedera di sini, bukan aku saja,
tentera British yang bila-bila masa mahu cari salah kita itu, pasti akan sampai
bersama ratusan askarnya di depan pintu gerbang kawasan Tian Loong!

CHAN : Kau takkan faham apa kesalahan yang dia dah buat! Dia
patut mati! Kau biarkan aku selesai kerja aku, tak perlu buat bising di sini!

LIM : (mandarin) Chan, tak guna cakap dengan orang tua ini!

20
skripTanahAkhirku
oleh: sitijasminaIbrahim 21

CHAN terus serang ALANG TUNGGAL. Muncul TENGKU KAMIL datang bantu ALANG
TUNGGAL dan hentikan semua serangan.

TENGKU KAMIL : Hentikan! Kalau kamu semua masih degil, aku sendiri
akan maklumkan kepada Tian Loong dan Taukeh San. Atau kau masih mahu
cuba? Marilah!

CHAN : Kami hanya mahukan lelaki itu! Bagi dia pada kami!

TENGKU KAMIL : Kalau betul dia bersalah, aku sendiri yang akan bawa dia
ke Taukeh San.. tapi bukan pada beberapa orang di depan aku ini yang
amarahnya sedang membuak-buak!

CHAN dan LIM masih marah. Pengikut TAUKEH SAN yang sakit, dibantu oleh ALANG
TUNGGAL.
YING FENG perhati saja TENGKU KAMIL. TENGKU KAMIL juga terpandang YING FENG
dan MELATI. Pengikut TIAN LOONG segera beredar. CHAN masih bengang tapi terpaksa
mengalah juga. CHAN pandang YING FENG seperti jijik YING FENG ada di situ. Mereka
semua mula beransur pergi.

CHAN : (mandarin, kepada YING FENG) Kampung ini yang kau


sayang sangat?

TENGKU KAMIL pandang pada MELATI tapi tidak berapa pandang YING FENG.

TENGKU KAMIL : Melati, ada cedera?

YING FENG : Kami tak apa-apa. Terima kasih ya.

MELATI : Semua baik sahaja Tengku.

TENGKU KAMIL pandang YING FENG . TENGKU KAMIL hampiri ALANG TUNGGAL pula.
Mereka salam dan berpelukan kerana sudah lama tidak berjumpa.

ALANG TUNGGAL : Ke mana saja Tengku menghilang? Lebih dua tahun tidak
ada di sini.

TENGKU KAMIL : Merantau, mencari ilmu. Bertapa!

ALANG TUNGGAL : Secara zahir atau terus ke batin?

21
skripTanahAkhirku
oleh: sitijasminaIbrahim 22

TENGKU KAMIL : Seimbang.

ALANG TUNGGAL : Sedengar aku, perjalanan Tengku bukan sahaja untuk


mencari ilmu, tapi membawa juga perjuangan tengku ke daerah-daerah lain. Jadi
sepanjang masa, itu sahajalah makna hidup Tengku?

TENGKU KAMIL : Sekenal Bang Alang tentang aku, tiada perihal yang lain
bukan? Setiap gerak saat itu semuanya bersebabkan keamanan.

ALANG TUNGGAL : Tapi, Tengku lihat sahajalah sendiri, nun jauh Tengku
merantau melaungkan keamanan namun akhirnya di kampung sendiri yang
kacau bilau.

TENGKU KAMIL : Berita ini lah yang memanggil saya pulang. Tanah ini
hanya akan selamat dengan cara kita sendiri.

ALANG TUNGGAL : Tengku tengok-tengokkanlah adinda Tengku itu. Amanah


yang Tengku berikan kepadanya itu seperti dibuat main sahaja. Mengambil jalan
mudah dengan menyandarkan semua kuasa kepada penjajah.

TENGKU KAMIL : Mengharapkan pagar, pagar makan padi. Saya akan


pastikan semuanya pulih kembali.

ALANG TUNGGAL : Alhamdulillah. Besar peranan Tengku galas. Tapi rasanya


apabila terlalu lama berpencak hanya dari atas kerusi-kerusi perbincangan,
hilang juga sedikit tangkas kemas gerak silat Tengku tadi.

TENGKU KAMIL : Itulah akibat bila lama tidak bertemu guru silat saya ini,
memang lain langkah yang keluar. Tak sehalus dulu. Tapi masih hebat walau
dalam pincang gerak kan?

ALANG TUNGGAL : Gerak yang benar mana boleh bernada pincang. Barulah
hebat itu datang.

TENGKU KAMIL akui dan mengalah. Dia terpandang YING FENG yang sedang ceria
mendengar perbualan TENGKU KAMIL bersama ALANG TUNGGAL.

ALANG TUNGGAL : Tengku, masih sudikah singgah ke teratak lama hamba


itu? Kuih Seri Muka Melati pun menunggu di dalam, dan sekarang Melati pun
sudah ada pembantu yang juga pandai masak kuih seperti itu.

22
skripTanahAkhirku
oleh: sitijasminaIbrahim 23

ALANG TUNGGAL tunjuk pada YING FENG. YING FENG gembira tapi TENGKU KAMIL
hanya pandang kosong seperti tidak berapa suka. YING FENG sedar reaksi itu.

TENGKU KAMIL : Maaf Bang Alang, Saya baru pulang dan ada tugas penting
yang mahu saya selesaikan, tapi memang teratak Alang dengan alun lagu, kias
pedoman, amat saya rindukan. Saya akan berkunjung nanti, tapi bukan hari ini.

ALANG TUNGGAL dan TENGKU KAMIL bersalaman dan peluk sahabat. YING FENG terus
memerhatikan TENGKU KAMIL. TENGKU KAMIL sedar keadaan itu, namun tiada sebarang
reaksi di berikan. ALANG TUNGGAL perasan akan situasi itu. Cahaya ruang kampung
perlahan-lahan malap.

***

23
skripTanahAkhirku
oleh: sitijasminaIbrahim 24

BABAK 2- ADEGAN 2
LATAR: RESTORAN TAUKEH SAN
Waktu lewat petang, kedengaran muzik rancak dimainkan diiringi dendangan vokal
lunak gadis cina. Perlahan-lahan latar Restoran Taukeh San muncul di terangi lampu-
lampu hiasan di sekeliling ruangnya. Terlihat beberapa pengunjung restoran berhibur
bersama pelayan-pelayan. Dalam suasana itu terlihat TENGKU KHADRI dan TAUKEH SAN
duduk di meja utama seperti membincangkan sesuatu. Tiba-tiba muncul OFFICER HENRY
CHARLES (OHC), lantas disambut baik mereka. OHC di pelawa duduk bersama mereka.
(Bahasa Inggeris)

OHC : Taukeh San, agak lama juga saya tidak datang ke mari dengan
tujuan bukan hanya berhibur. Pastinya taukeh tahu kenapa kedatangan saya kali
ini? Apabila ada yang pernah berjanji taat setia mahu membantu saya menjaga
daerah ini, tetapi berlaku pula huru hara di kawasan sehingga terbawa-bawa ke
perkampungan lain, saya tidak boleh biar atau tutup telinga sahaja.

TAUKEH SAN : Ya, saya faham. Apa yang berlaku baru-baru ini, memang salah
pekerja saya. Dia sudah dihukum dan tidak akan mendatangkan masalah lagi.

OHC : Dia seorang memang tidak datangkan masalah lagi. Yang lain?
Dendam ini nampaknya tidak pernah akan surut antara pengikut Taukeh San
dengan pengikut Tian Loong, bukan? Apakah jaminan bagi saya bahawa dua
kawasan, dua kumpulan ini tidak akan mengganggu lagi daerah dan
perkampungan lain?

TENGKU KHADRI: Tuan, Taukeh San sudah lama di sini, lebih berpengalaman dari
Tian Loong. Dia cukup kenal apa yang boleh dan tidak boleh dan dia hormati
tuan. Saya faham, tuan bukan mahu mengganggu cara Taukeh San atau Tian
Loong menjaga kawasan mereka, cuma sekadar memberi ingatan. Tuan, mereka
takkan bahayakan keadaan mereka sendiri yang sudah lebih selesa ini, betul
bukan Taukeh San?

TAUKEH SAN : Kami sudah diajar untuk bertindak, jika ada yang bertentangan
atau yang boleh merugikan. Kita mahu semua perkara adil untuk kita. Jika
kemarahan berlaku, itu perkara biasa apabila orang lelaki ramai-ramai
berkumpul. Marahnya berlebih dan pergaduhan selalunya akan dapat
menentukan hak mereka, itu biasa tuan. Tapi tuan tidak perlu bimbang, saya
boleh jamin semua ini takkan berlaku jika kuasa mengawal lombong-lombong
bijih timah kawasan ini di bawah jagaan saya.

24
skripTanahAkhirku
oleh: sitijasminaIbrahim 25

OHC : Bagaimana Taukeh San boleh begitu yakin?

TAUKEH SAN : Tuan sendiri dapat lihat, dua-dua kumpulan sudah membuktikan
cara mana yang lebih baik. Tuan perlu faham bahawa kami boleh beri lebih
banyak keuntungan dengan cara kerja lebih cepat di lombong bijih timah kami.
Keuntungan itu yang tuan mahu, bukan? Dan saya juga ada perancangan saya
sendiri untuk menyelesaikan masalah saya dan Tian Loong

OHC : Perancangan? Kamu boleh merancang apa jua, yang penting saya
mahu lihat pergaduhan ini selesai dan hasil usaha lombong bijih timah makin
meningkat. Pihak kami mahu keuntungan, bukan untuk kami tapi demi rakyat
negeri ini juga, pastinya. Cuma kami tidak mahu sebarang masalah datang,
kerana ini boleh menggugat kedudukan saya. Jika saya di buang dari sini, kamu
akan mendapat tuan baru, yang mungkin takkan bertolak-ansur pun dengan
kamu semua, fikirkan itu. Taukeh juga tidak boleh ambil mudah dendam
pengikut Taukeh Tian kerana sejarah pernah bercerita. Sejak 1799 kumpulan
seperti inilah tapi yang lebih besar di daerah lain, selalu datangkan huru hara,
rebutkan hak mengawal pengaliran air untuk perlombongan bijih timah juga. Ia
ganggu British memerintah. Semua mahu direbutkan sesama mereka dan saya
tidak mahu di sini berulang pengaruh yang sama.

TENGKU KHADRI : Ini pastinya tidak akan berlaku, Taukeh San telah mengatur
perancangannya sendiri dan dia akan sentiasa berhubung dengan Tuan Henry
Charles. Sudah lama kami bersama pihak British, kami percaya British, kami
percaya pada tuan! Lihat sahaja, telah banyak kebaikan dan pembaharuan
berlaku di tanah ini.

OHC : Ya, kami mahu semua di sini sama-sama maju. Sama-sama hidup
senang. Itu saja. Jika kamu tidak datangkan masalah, kami tidak akan beri
masalah. Itu sangat jelas, bukan? Keadilan dan keamanan itu kami berikan.

Tiba-tiba muncul TENGKU KAMIL menyampuk.

TENGKU KAMIL : (bahasa melayu) Tidak pernah dalam sejarah penjajahan, makna
adil dan aman saling berganding bersama. (bahasa inggeris) Tidak pernah
berlaku ‘hanya’ untuk melihat rakyat negeri yang dijajah makin maju. Ia pasti
ada niat di sebalik setiap kata, setiap janji setiap kuasa yang pihak penjajah ada.
Mana mungkin di sini akan berlaku sesuatu yang ajaib pula? Kalaulah berlaku,
wah!! Beruntungnya kami sekalian rakyat yang dijajah!

25
skripTanahAkhirku
oleh: sitijasminaIbrahim 26

OHC ketawa terpaksa. TENGKU KHADRI segera bangun salam abangnya. TAUKEH SAN
pelawa TENGKU KAMIL duduk bersama mereka tapi TENGKU KAMIL hanya berdiri. Ada
pelayan yang mahu hidang minuman tetapi TENGKU KAMIL tidak mahu.
TAUKEH SAN beri isyarat supaya pelayan beredar tetapi OHC pula yang panggil dan
hampiri gadis tersebut. Gadis itu layan dengan baik OHC.
(Bahasa Inggeris)

TENGKU KHADRI : Tuan, ini abang saya Tengku Kamil.

OHC : Saya tahu siapa dia. Duduklah. Hidang lebih banyak minuman!
Suasana di sini nampaknya semakin panas.

Apabila pelayan beri minuman pada OHC, OHC hulur minuman keras pada TENGKU
KHADRI. TENGKU KHADRI serba salah apabila TENGKU KAMIL serius memandangnya.

TENGKU KHADRI : Tuan, barangkali terlupa atau sengaja menguji saya? Ada
perbuatan yang boleh dan tidak boleh dalam budaya kami.

OHC : Tak mengapa, budaya hanyalah budaya. Ketepikan sebentar,


minum!

TENGKU KAMIL : Bukan dalam budaya… larangan dalam agama.

OHC : Tengku Kamil, Memang di pertemuan sidang pegawai British,


nama Tengku Kamil selalu disebut-sebut. Setakat ini mereka senang dengan
Tengku, belum lagi punya masalah. Hendaknya janganlah pula nanti menjadi
kurang senang, kalau terlalu banyak masuk campur cara pemerintahan kami.

TENGKU KAMIL : Yang itu rasanya ada sedikit kesilapan. Saya tidak pernah
mengganggu pemerintahan British yang sepatutnya ada di benua Eropah sana…
tapi apabila pemerintahan itu tiba ke mari, rasanya siapa yang masuk campur
siapa?

OHC bengang, berdiri pandang TENGKU KAMIL.

TAUKEH SAN : Bawa bertenang semua.

TENGKU KHADRI : (bahasa melayu) Nampaknya jalan bicara kita sudah semakin
tidak menyenangkan semua. Abang, Tuan Henry Charles datang ke mari bukan
mahu menganggu pun. Dia risaukan keadaan yang berlaku di lombong bijih
timah saja.

26
skripTanahAkhirku
oleh: sitijasminaIbrahim 27

TENGKU KAMIL : Dan kau diupah ke mari untuk menjadi perisai hidup dia ke?!

TAUKEH SAN : Tengku Kamil, tidak mengapa, adinda tengku ini tidak mahu
keadaan semakin panas di sini saja. (bahasa inggeris) Tuan Henry, saya masih
kuat, masih bertenaga dan waras untuk menjaga dan memulihkan keadaan
sekarang ini. Saya beri jaminan, saya akan uruskan masalah pertelingkahan
antara kami. Jangan dirisaukan.

OHC : Saya terima kata-kata Taukeh San itu sebagai jaminan, saya
harap Taukeh San akan jalankan rancangan yang taukeh janjikan itu secepat
mungkin. Perkara ini harus diselesaikan. Tengku Khadri, saya juga tahu soal hak
asal peribumi di sini amat sensitif buat Tengku. Saya sendiri tidak mahu ganggu
itu, cuma sebagai pegawai utama di sini, harap semua faham, ini tugas saya! Di
ingatkan lagi, ini tugas saya!

TENGKU KAMIL : Benar dan apa yang saya lakukan dan nyatakan tadi juga ialah
tugas saya.. Di ingatkan sekali lagi, itu tugas saya untuk menyedarkan dan
membataskan apa saja di tanah ini!

TAUKEH SAN : Ya, kami memang sentiasa menghormati batas-batas yang ada di
sini dan kami semua kerja bersungguh-sungguh untuk tanah ini. Setiap titik
peluh menghidupkan menyuburkan makna hidup di sini, maka tidak boleh
dinafikan kesetiaan bakti itu ada harganya. Itu juga bakti, kan?

TENGKU KAMIL : Ya, tidak akan kami lupakan bakti itu. Kami tetap berterima kasih
kerana kemajuan cara kerja lebih baik yang dibawa. Orang luar mungkin tidak
faham akan usaha itu.

TAUKEH SAN senang hati mendengarnya.

OHC : Bagus kalau begitu, tapi perlu ingat, British tetap pemerintah
utama berkuasa di Tanah Melayu ini! Jangan lupa itu.

OHC tidak berapa senang lihat mereka boleh berbaik dan berbincang. TAUKEH SAN
menghulurkan tangannya berjabat dengan OHC diikuti TENGKU KHADRI. OHC kemudian
menghulurkan tangannya pada TENGKU KAMIL.

OHC : Nice to meet you.

27
skripTanahAkhirku
oleh: sitijasminaIbrahim 28

OHC beredar dan barulah pelayan keluar hampiri mereka tetapi TENGKU KAMIL jauhkan
diri dari pelayan. TENGKU KHADRI pula berbeza dengan sikap abangnya. TENGKU KAMIL
hanya perhatikan saja adiknya. TAUKEH SAN cuba berbual cara baik.
(Bahasa Melayu)

TAUKEH SAN : Tengku, saya masih percaya bahawa cara saya tadbir di sini
masih betul dan saya harap Tengku juga akan terus sentiasa ada bersama kami
kerana ada banyak perkara perlu kita bincangkan. Saya percaya kita bersama
dapat selesaikan masalah yang berlarutan di sini.

TENGKU KHADRI : Sesungguhnya saya sendiri juga sangat kagum dengan cara abang
saya menguruskan hal-hal keamanan. Saya percaya abang dapat memulihkan
keadaan di sini. Taukeh San jangan risau. Taukeh tidak pernah beri masalah
kepada kami.

TENGKU KAMIL senyum sinis saja mendengar kata-kata TENGKU KHADRI. Muncul pula
seorang pengikut TAUKEH SAN berlari memberi berita.
(bahasa mandarin)

PENGIKUT SAN : Taukeh San! Taukeh San!

TAUKEH SAN : Ada apa ini? Kamu lari dari siapa?

PENGIKUT SAN : Taukeh, ada pergaduhan pekerja dengan orang Taukeh Tian.
Chow Yang, mereka mahu tangkap Chow Yang!

TENGKU KAMIL segera beredar. PENGIKUT SAN juga menuruti TENGKU KAMIL. TAUKEH
SAN mahu ikut sama tapi dihalang TENGKU KHADRI. TENGKU KHADRI tenang saja dan
duduk semula. Pelayan-pelayan tiba menjamu.

PELAYAN 1 : (bahasa mandarin) Sangat panas ya malam ini, seperti mahu


terbalik tempat ini.

PELAYAN 2 : (bahasa mandarin) Entah apalah yang akan terjadi jika tengku
yang tenang, bijak, kacak dan tampan ini tidak menghalangnya kan?

PELAYAN 1 : (bahasa melayu) Minum Tengku!

TENGKU KHADRI : (bahasa melayu) Apalah ertinya datang ke tempat minum, tidak
minum kan?

28
skripTanahAkhirku
oleh: sitijasminaIbrahim 29

TENGKU KHADRI langsung minum air yang diberikan.

(bahasa melayu)

TENGKU KHADRI : Taukeh jangan risau, jangan susah hati. Abang saya sudah balik,
itu petanda segala perancangan kita harus kita nilai kembali. Saya faham benar
akan bagaimana perancangan Taukeh San untuk mendapatkan kuasa penuh
mengawal ekonomi bijih timah. Taukeh mahu peroleh budak yang bernama
Chow Yang itu untuk belot dari Tian Loong dan beri segala apa maklumat
kegiatan kerja-kerja Tian Loong kepada Taukeh. Tapi lihatlah sendiri, belum
mula apa mereka sudah mahu menangkap CHOW YANG sepertinya sudah
mengagak sesuatu.

TAUKEH SAN : Saya tidak jangka pula mereka akan dapat tahu.. Jika ada apa-apa
terjadi padanya, saya tidak akan dapat maafkan diri saya. Saya cuma mahu
larikan dia dan keluarganya dari hidup yang susah itu.

TENGKU KHADRI : Saya faham Taukeh San, saya faham. Tapi bukan itu yang taukeh
maksudkan sebenranya. Taukeh San sebenarnya risau jika berlaku kematian
atau pergaduhan besar lagi, kepercayaan pihak British akan terus hilang buat
taukeh, itu yang sebenarnya taukeh maksudkan, bukan? Tapi buat masa ini, biar
abang saya yang uruskan semua. Buat apa mahu susah-susah? Saya pasti abang
saya takkan benarkan sebarang pertumpahan darah berlaku. Tak ada siapa yang
boleh mengalahkan hujahnya, atau silatnya atau apa saja tindakan yang dia buat.
Tengku Kamil juga akan meringankan beban Taukeh menjaga dua kumpulan ini.

TAUKEH SAN : Tengku Khadri pun memang petah bercakap. Sekarang ini
beritahu saya apa yang patut kita lakukan?

TENGKU KHADRI : Tak perlu buat apa. Tenang saja. Biarkan kisah ini bermain di
hadapan kita, kita lihat sahaja. Dan pabila waktunya sampai, kita pula yang akan
ke pentas untuk berperan. Jangan risau taukeh, saya juga ada rancangan saya
sendiri yang dapat menguntungkan kita berdua. Tenang saja ya. Minum.

TAUKEH SAN masih dalam risau. Ruang restoran perlahan-lahan digelapkan bersama
muzik yang semakin sayup hingga tidak kedengaran lagi.

***

29
skripTanahAkhirku
oleh: sitijasminaIbrahim 30

BABAK 2 – ADEGAN 3
LATAR : KAWASAN TIANG LOONG
Sebuah ruang diterangkan, waktu senja. Keadaan dua kumpulan sedang bertarung.
Kedengaran teriakan amarah para pengikut saling berbalas. ARJU berpakaian polis cuba
leraikan keadaan.

ARJU : (bahasa melayu) Saya arahkan kamu semua pergi dari sini!
Sekarang! Jangan cuba melawan!

P. TIAN 1 : (bahasa melayu) Jangan masuk campur! Ke tepi!

CHAN : (bahasa mandarin) Kami takkan teragak untuk bunuh kamu


sama jika sibuk campur hal kami!

P. SAN 1 : (bahasa mandarin) Mahu bunuh kami? Mari!

ARJU : (bahasa melayu) Hentikan sekarang, sebelum ramai lagi polis


British yang datang kemari! Pergi sekarang!

CHAN : Kami takkan pergi selagi Chow Yang tidak berada di tangan kami!

P. SAN 2 : (bahasa mandarin) Apa yang sudah dia lakukan? Apa yang kau
mahu buat pada dia? Kau mahu bunuh bangsa sendiri ke?

P. TIAN 1 : (bahasa mandarin) Dia pembelot!

P. SAN 1 : (bahasa mandarin) Apa buktinya?

P. TIAN 2 : (bahasa mandarin) Tak guna cakap lagi.

Kedua kumpulan mula bertarung, ARJU tercedera. Namun belum sempat pertumpahan
darah berlaku, TENGKU KAMIL sampai di tempat kejadian, setelah di sergah, semua
berhenti bergaduh.

TENGKU KAMIL : Hoi!

ARJU : Seorang mula yang lain ikut sama. Bergaduh hendak menangkap
dia. Dikatanya pembelot. Saya sudah cuba hentikan, tak boleh nak suruh
berhenti pun!

TENGKU KAMIL : Tidak mengapa. Kau ke tepi dahulu.

ARJU : Aku tak ada apa-apa. Sikit saja ni. Aku boleh…

30
skripTanahAkhirku
oleh: sitijasminaIbrahim 31

TENGKU KAMIL pandang ARJU menandakan dia mahu mengambil alih. ARJU turuti
TENGKU KAMIL.

TENGKU KAMIL : (kepada CHOW YANG) Apa benar kau membelot?


CHOW YANG : Tidak, saya tidak pernah belot pada mereka.
CHAN : Jangan tipu , aku nampak kau..!
TENGKU KAMIL : Diam!
P. TIAN 2 : (mencarut kemudian mereka terus mahu serang TENGKU KAMIL)

TIAN LOONG ditemani LIM muncul di tempat kejadian lalu teriak suruh berhenti. TIAN
LOONG menghala sepucuk pistol ke arah pengikut TAUKEH SAN.

TIAN LOONG : (bahasa mandarin) Berhenti semua! Sudah! Jangan serang lagi!
Kau! Kau pergi balik ke taukeh kau sebelum perkara lebih buruk terjadi di sini!

TIAN LOONG hala pistol pada setiap seorang di situ, namun para pengikut San masih tidak
mahu berganjak. TENGKU KAMIL mengarahkan mereka pergi.

TENGKU KAMIL : Pergi kamu semua. Aku akan jaga dia. Biar aku uruskan .

Mereka semua beredar. TIAN LOONG mula menghampiri TENGKU KAMIL. TIAN LOONG
hala pistol ke TENGKU KAMIL.

TIAN LOONG : Apa khabar Tengku Kamil?


TENGKU KAMIL : Tian Loong! Dari bapa kau, sampai sekarang kau dah jadi ketua di
sini, kenapa masih gagal kawal perangai, kemarahan pengikut kau? Atau kau
sengaja suka huru-hara ini berlaku?

TIAN LOONG : Tengku yang sudah lama tidak pulang sini, datang konon seperti
ying xio’ng mahu selamatkan semua ? Kemudian, suka hati kau saja mahu
campur tangan hal orang lain. Selama kau hilang ini, apa kau sudah hilang
telinga juga? Dia kata budak itu pembelot, kau tak dengar?

TENGKU KAMIL : Apa buktinya? Matanya? Kalau begitu sila cungkil matanya untuk
aku lihat sama bukti dia membelot.

31
skripTanahAkhirku
oleh: sitijasminaIbrahim 32

TIAN LOONG : Memang sejak dari bapa ku lagi dia kata, kau ini orang berkepala
batu. Takpa, sekarang aku akan ajar kau. Kau lihat tempat ini, ini tempat aku.
Jalan ini milik aku! Yang datang buat hal di sini bukan pengikut aku, tapi Taukeh
San! Itu semua pengikut dia! Aku dan pengikut aku hanya mahukan budak itu.
Sesiapa yang tiada hak disini sepatutnya tidak wujud di sini!

TENGKU KAMIL : Kau kena ingat Tian Loong, tapak atau tanah mana pun di sini,
hak penduduk asal yang punya. Itu jangan kau lupa. Kau juga pernah kata kau di
sini hanya sementara sebelum kau semua pulang ke Tanah Besar China semula.
Itu yang kau ulang ingatkan kepada pekerja, pengikut kau kan? Adakah aku salah
lagi atau selama aku tidak ada di sini, kau sudah tukar niat dan tujuan?

TIAN LOONG nak serang TENGKU KAMIL tapi CHOW YANG halang. TIAN LOONG marah.

TIAN LOONG : (bahasa mandarin) Chow Yang! Kau sebelahkan siapa


sebenarnya ni? Kau mahu selamatkan dia? Apa benarkah kata orang-orang aku
yang kau sebenarnya bersama Taukeh San? Aku memang tidak percaya akan
kata-kata mereka kerana aku percaya kesetiaan kau dan keluarga kau. Tapi
tindakan kau ini sangat mencurigakan aku.

CHOW YANG : (bahasa mandarin) Aku bersama kau, Tian Loong, dan
aku akan terus bersama sehingga akhir hayat, itu janji aku pada kau. Aku setia,
aku ingat jasa baik kau semasa aku, kakak dan mama sampai ke mari. Aku
takkan lupa jasa kau bantu kami. Takkan aku lupa!

CHAN : (bahasa mandarin) Dia tipu! Aku tahu apa yang aku nampak.

TIAN LOONG : (bahasa mandarin) Diam! Chow Yang, kali ini aku boleh beri
muka pada kau. Tapi jika aku dapat tahu bahawa betul kau membelot. Aku
sendiri yang akan mencabut nyawa kau. Jangan patahkan kepercayaan aku pada
kau dan keluarga kau. Kau hidup sekarang ini pun hanya kerana aku masih
menaruh hati pada kakak kau itu. Ingat Chow Yang! (bahasa melayu) Tengku
Kamil, kau boleh ambil dia, bawa pulang ke rumahnya. (kepada ARJU) Dan kau,
di sini, tiada apa yang harus kau laporkan pada pihak British, semua sudah
selesai secara aman. Aku beri muka pada kamu semua hari ini, tanda orang
budiman yang tahu bila mahu berhenti, bila mahu bertindak.

TENGKU KAMIL : Alangkah bertuahnya kalau tiap-tiap hari kau jadi orang
budiman!

32
skripTanahAkhirku
oleh: sitijasminaIbrahim 33

TIAN LOONG hendak menjawab lagi tapi ARJU segera mencelah.

ARJU : Baiklah. Semua sudah selesai. Pergilah sekarang sebelum ramai


polis British sampai ke sini. Jika mereka sudah tiba, tidak akan mudah lagi untuk
kita bergerak ke mana-mana seperti biasa! Tolong jangan sampai tahap itu
terjadi di sini! Tian Loong, bawa pengikut kau sekarang! Pergi!

TIAN LOONG : (bahasa mandarin) Chow Yang, kau tetap harus dihukum juga
kerana menyusahkan hari aku. Kau perlu kerja lebih masa bermula esok.
Lagipun aku perlu tunjuk pada British bahawa lombong aku lebih
menguntungkan mereka.

TIAN LOONG mengarahkan semua pengikutnya beredar kemudian diikutinya sama.

ARJU : Chow Yang. Apa yang kau sudah buat? Aku sudah bilang jangan
cari pasal sama mereka.

CHOW YANG : Aku tidak buat apa-apa Arju. Mereka yang tuduh aku.
Terima kasih Tengku, kerana selamatkan aku. Sekarang aku cuma risau
keselamatan keluarga aku sahaja.

TENGKU KAMIL : Jangan risau, aku akan pastikan tiada kecelakaan apa pun yang
akan berlaku antara kamu semua.

Pada waktu sama, perlahan-lahan latar kawasan kampung muncul di pentas.

CHOW YANG : Arju, Tengku, aku minta tolong jangan beritahu masalah
ini pada keluarga aku.

Latar kampung di terangkan. Terlihat YING FENG, YUENHE, PRIYA, ALANG TUNGGAL dan
MELATI sedang menunggu mereka pulang, seperti sudah dapat tahu berita buruk. Pabila
terlihat CHOW YANG, YING FENG terus berlari memeluknya.

YING FENG : Mana kau pergi Chow Yang! Mama, kami semua risau.

CHOW YANG : Jangan risau mama, semua, tidak ada apa-apa yang
berlaku.

ARJU : Saya tiada orang mahu peluk ke? Priya?

33
skripTanahAkhirku
oleh: sitijasminaIbrahim 34

PRIYA : Tak payah! (bahasa tamil) Kalau apa-apa terjadi pada kau tadi,
aku pun tiada orang untuk aku peluk. Kau buat aku risau la sayang, lain kali
bawa aku sama, boleh bantu kau!

ARJU : (bahasa tamil) Ayoo! Tak bolehlah sayang. Abang yang susah hati
nanti! Kalau jadi apa-apa pada sayang, abang yang amuk satu kampung!

YUENHE : Apa yang sudah jadi Chow Yang? Kenapa boleh bergaduh?

ALANG TUNGGAL : Apa yang sudah jadi Tengku? Beritahu kami.

TENGKU KAMIL : Tiada apa. Hanya salah faham sesama mereka. Kalian tak perlu
risau lagi, saya sudah selesaikannya.

CHOW YANG : Saya yang degil mahu masuk campur juga. Maafkan saya
mama, kakak..

YING FENG : Kakak sudah pesan jangan panjang sangat akal kau tu! Jangan
berangan nak jadi penyelamat! Faham tak?

CHOW YANG : Ya, ya kak.. jangan marah depan semua orang! Tenang
dulu, saya hanya mahu tolong.

ARJU : Takkan selesai kalau gunung runtuh pun! Aku sudah cakap
jangan kau bikin kakak kau naik hantu. Aku pun sudah kecut!

YUENHE : Tak habis-habis mahu bergaduh sana sini saja? Mahu tengok
semua orang mati tiap harikah? Macam anjing dan kucing! Itu sebab kami tak
pernah percaya tinggal di kawasan Tian Loong atau Taukeh San. Di sini ialah
jalan paling selamat untuk hidup aman!

ALANG TUNGGAL : Apa pun, syukur semuanya selamat. Terima kasih ya, Prebet Arju,
Tengku Kamil.

YING FENG : Tengku, terima kasih... jagakan adik saya.

TENGKU KAMIL: Melihatkan garangnya kamu tadi, rasanya tanpa saya pun, takkan
berani mana-mana kumpulan jahat mahu betah cakap kamu.

MELATI : Ha! Yang itu betul. Yang lembut ayu itu dia, tapi sekelip mata
boleh berubah jadi naga! Masa tu, Melati pun boleh jadi singa…

PRIYA : Priya jadi serigala! Saya sudah cakap kami pun boleh bersatu
lawan!

34
skripTanahAkhirku
oleh: sitijasminaIbrahim 35

ARJU : Amboi! Sudah tu, naga, singa, serigala, pergilah balik hutan!
Alang, Ma Yuenhe, tolong jaga mereka ni, nanti terlepas ke tempat lain pulak.

ALANG TUNGGAL : Marilah masuk ke dalam semua. Sudah lewat senja pun.

YUENHE : Arju, Tengku Kamil, terima kasih kerana bawa pulang anak saya.

Mereka beredar ke dalam rumah masing-masing. YING FENG sempat curi pandang pada
TENGKU KAMIL. TENGKU KAMIL juga sedar pandangan itu. CHOW YANG berpatah semula
ke arah ARJU dan TENGKU KAMIL.

CHOW YANG : Arju, Tengku, terima kasih kerana tidak beritahu mereka hal
sebenar.

TENGKU KAMIL : Saya harap kamu tidak timbulkan masalah lagi. Kerana jika
terjadi lagi, belum tentu kami dapat selamatkan kamu masa itu.

CHOW YANG : Baik, saya faham Tengku. Saya pulang ya.

ARJU : Terima kasih, Tengku sampai tepat pada masanya. Tengku


baliklah dulu. Tentang pihak British saya akan uruskan.

TENGKU KAMIL : Baiklah. Saya pulang dulu.

Latar kampung digelapkan perlahan-lahan mengiringi perjalanan TENGKU KAMIL


beredar keluar.
Di suatu sudut, lampu di terangkan, waktu malam. Kedengaran sayup-sayup lagu inggeris
dimainkan dari Gramofon. Terlihat di situ TENGKU KHADRI sedang duduk menghisap
curutnya sedang menunggu kedatangan TENGKU KAMIL. TENGKU KAMIL muncul,
nampak adiknya ada. Dia duduk arah bertentangan, jauh menungnya.

TENGKU KHADRI: Saya lalu di kawasan Tian Loong , masih rancak mereka bercerita
tentang hal tadi. (tiada reaksi dari TENGKU KAMIL yang menung) Bermenung
jauh nampaknya, pastinya bukan kerana rindu pada adinda yang ditinggalkan
seorang di sini atau mengenang kekasih hati sebab rasanya tiada calon yang
dibawa ke mari lagi setakat ini. Tapi kalau tentang jodohlah yang dirisaukan,
janganlah risau, sebab bonda pasti ada bertanya-tanya pada kaum kerabatnya di
negeri lain untuk di jadikan isteri abang nanti. Abang pun sudah tua...

35
skripTanahAkhirku
oleh: sitijasminaIbrahim 36

TENGKU KAMIL: Apa yang kau sindirkan ni, Khadri? Ketiadaan aku di sini,
sangkaku punya pengganti sedarah sedaging yang sama fikir dan hasrat menjaga
tempat lahir kita ini. Itu janji kau dulu Khadri, tapi nampaknya tidaklah bagai
‘esa hilang, dua terbilang’. Aku yang salah timbang.

TENGKU KHADRI: Tidak berapa adil untuk abang lepaskan kata-kata kepada saya
begitu. Tiada mata dan telinga abang di sini yang boleh menjadi saksi pada
setiap saat yang saya sudah lakukan untuk tanah ini. Ada yang telah saya
usahakan... ada juga yang sedang saya perbuatkan, tapi tidaklah nampak
hasilnya terus mendadak. Perlu masa, perlu kebijaksanaan, terutama apabila
berurusan dengan mereka.

TENGKU KAMIL : Siapa kata aku tidak tinggalkan mata dan telingaku di sini? Malah
meninggalkan ‘rasa’ untuk kutahu bagaimana keadaan, dugaan marhaen di sini
lalui. Adakah kau sedar semua itu? Atau leka berseronok, bersantai bergaya
Barat dengan pegawai-pegawai British. Itukah cara kau membantu kenyangkan
perut orang ramai? Dan dengan cara kau ikut ke mana saja taukeh lombong itu,
beri dia kata-kata manis kau dengan harapan perbalahan mereka segera selesai
dibawah satu kuasa dan bantuan pihak British? Itu rancangan kau? Kau tidak
fikir akibatnya Khadri. Kau hanya fikir jalan yang paling menguntungkan kau
dan orang kepentingan kau sahaja, bukan orang ramai!

TENGKU KHADRI : Segala yang saya peroleh sekarang ini, semuanya adalah
sumbangan ikhlas dari pihak British semata. Saya tidak memerah satu peluh pun
dari para penduduk atas kemewahan yang saya nikmati. Abang jangan senang
membuat andaian buta tanpa usul. Jangan soalkan cara saya. Cara merancang,
berbincang dengan pelbagai lapis budaya dan asal usul mereka, tak sama dengan
berbincang cara orang kita. Kenalah bertolak sana bertarik sini supaya semua
senang hati, ada untung bersama-sama.

TENGKU KAMIL: Kau sudah buta, Khadri. Mata, akal, hati kau semuanya sudah di
beli oleh kemewahan pihak British berikan. Kita di lahirkan dengan darah ini
kerana kita dipilih untuk membantu, menjaga, melindungi. Tapi kau mencabul
segala hak itu dengan menggunakan darah itu sendiri. Buka mata kau, pandang
ke arah mereka Khadri. Kau senang, mereka susah! Waras dek akal
berlandaskan pegangan agama, bukannya kerana sebab-sebab yang lain! Itu
yang kau kurang, yang kau hilang, Khadri!

36
skripTanahAkhirku
oleh: sitijasminaIbrahim 37

TENGKU KHADRI: Tidak! Saya tidak salah! Saya tak pernah hilang atau lupakan
landas perjuangan, abang! Saya tak lupa, tapi ini cara saya. Abang yang
tinggalkan kami semua, dan beri amanah ini pada saya begitu saja. Saya tahu apa
yang saya lakukan, cara abang sudah tak boleh pakai lagi. Kerana itu cara kolot!

TENGKU KAMIL: Kau jaga kata-kata kau Khadri.

TENGKU KHADRI: Abang buatlah apa saja cara yang abang rasa betul! Saya tak
pernah pertikaikan pun. Cuma jangan ganggu urusan saya. Dan jangan pernah
lagi persoalkan cara saya. Yang penting cara saya ini boleh mendatangkan hasil
pada tanah ini!

TENGKU KAMIL: Jelas sungguh, apabila begitu yang kau nyatakan kepada aku,
ternyata walau lahir kita dirahim yang sama, namun jauh beza sekali kita! Jauh!

TENGKU KHADRI: Saya mengaku, saya tidak selayak abang yang disanjung semua,
untuk mentadbir daerah ini. Baguslah abang sudah pulang dan pantau semua
perihal. Termasuklah hal jiran muda Alang Tunggal yang rasanya menjadi sebab
utama menung abang dari tadi? Apa abang sudah berjumpa kakaknya si
pembelot itu?

TENGKU KAMIL hairan adiknya boleh tahu pula.

TENGKU KHADRI: Walaupun adinda abang ini serba kekurangan di mata abang, tapi
menelaah perasaan seseorang itu, kelebihan yang adinda miliki. Cerita Ying Feng
cepat sampai, sebab dia itu dianggap bagai bunga emas berperisai duri-
bertempa perak, disalut madu-subur membiak dalam sarangnya, begitulah
tarikan gadis itu di sini. Sajalah saya ceritakan, manalah tahu, mahu pula abang
berbual dengan gadis itu. Manalah tahu, jodoh sampai melepasi segala batas
yang abang bina dari dulu? Manalah tahu kan? Saya masuk ke dalam dulu ya.

TENGKU KAMIL terdiam. TENGKU KHADRI sengaja tinggalkan abangnya sendiri, berfikir
panjang. Lampu ruang itu perlahan-lahan padam.

***

37
skripTanahAkhirku
oleh: sitijasminaIbrahim 38

BABAK 2 – ADEGAN 4
LATAR: KAWASAN RUMAH ALANG TUNGGAL & YING FENG
DI ANJUNG RUMAH, waktu malam. YING FENG dan MELATI sedang dengar ALANG
TUNGGAL mendendangkan lagu asli sambil memainkan alat muzik (seruling/gendang
melayu). MELATI turun di depan rumah menari tarian joget dan YING FENG ikut. Sudah
makin baik tariannya, sesekali saja tersilap. Suasana meriah. PRIYA baru sampai, terus
sambut menari gaya dia sendiri ada lenggok India. ALANG TUNGGAL rancakkan rentak.
YUENHE keluar dari rumah sebelah ALANG TUNGGAL sambil bawa kuih seri muka yang
baru masak. YUANHE senyum saja melihat mereka. Keadaannya masih lemah tapi
digagahkan juga. ALANG TUNGGAL nampak YUANHE, dia hampiri sambil berdendang
berlagu. Tamat lagu, mereka saling bertepuk tangan gembira. ALANG TUNGGAL ambil
sepotong kuih yang sangat sedap.
(bahasa melayu)

YUENHE : Kalau selalu begini, hati pasti akan senang selalu.

YING FENG : Betul tu mama. Eh! Kuih seri muka mama masak? Melati, mama
pun sudah pandai buat.

MELATI : Itu bukan kuih seri muka yang macam biasa. Ma Yuenhe buat
macam ada rasa kuih bakul Nian Gao. Kan lain sikit tu. Ada tepung dan beras
pulut dan manisnya sama.

PRIYA : Wah! Jadilah kuih seri muka bakul?

Mereka ketawa dan makan bersama-sama.

YUENHE : Yang penting kuih Seri Muka dan Nian Gao digabung, sedap dan
manis. Samalah macam kita juga, Alang Tunggal, Melati, Priya. Semua baik-baik.
Dalam kesatuan walau pelbagai bahan di campur, manisnya terasa juga. Betul?

PRIYA : Ya, betul tu!

YING FENG : Alang banyak tolong kami dari mula kami pindah sini. Melati,
Priya, semua sayang kami, sama macam sayang saya pada Chow Yang dan mama
juga. Abang Arju juga punya hati yang sangat putih. Bersih. Mana ada tempat lain
macam ini kan ? Setahu saya, tidak ada.. Tidak ada seperti yang kami rasakan ini.

38
skripTanahAkhirku
oleh: sitijasminaIbrahim 39

Mereka gembira.Tiba-tiba YUENHE bangun, MELATI ada sebelahnya tolong pimpin.


YUENHE pandang arah jalan.

YING FENG : Kenapa mama?


YUENHE : Chow Yang. Mana dia? Tak balik lagi?
YING FENG : Mama jangan risau. Takkan ada apa-apa lagi jadi pada dia. Dia
masih ada di lombong, kerja, Taukeh Tian minta dia kerja lebih masa...
YUENHE : (bahasa mandarin) Itu yang kamu salah Ying Feng! Jangan ambil
mudah. Chow Yang tak tahu jaga diri. Bila-bila masa saja dia boleh datangkan
masalah! Ramai orang memang sudah ada masalah sama dia. Itu hari bergaduh
pun, mama tak percaya hanya pasal salah faham sahaja antara mereka. Sebab
mama ada juga terdengar pekerja lombong kata, Chow Yang membelot Taukeh
Tian. Mama risau ni Ying Feng. Pergi cari Chow Yang sekarang! Pergi! (bahasa
melayu) Minta tolong cari Chow Yang. Tolong cari dia!

ALANG TUNGGAL: Sabar Ma Yuenhe. Chow Yang tidak apa-apa. Dia hanya punya
niat yang baik-baik saja. Dia berusaha menjaga. Pastikan mama dan kakaknya
selamat, boleh selalu senyum, tidak rasa bimbang selagi dia ada. Menjadi satu-
satunya lelaki di dalam sebuah keluarga, bukan perasaan yang mudah. Dia anak
yang telah di didik dengan ilmu yang baik dari awak dan mendiang papanya.

YUENHE : Ya, Chow Yang memang anak yang baik. Dia mahu jadi macam
papa dia. Tapi Alang, dia sepatutnya lebih tahu kenapa papanya di bunuh. Saya
takut Alang, saya tak mahu apa-apa jadi pada Chow Yang!

YUENHE sakit kepala dan dada semula. Nafasnya tercungap-cungap. YING FENG risau.

YING FENG : Mama mari masuk ke dalam dulu... mama sudah letih… jangan
fikir yang bukan-bukan.. Ying Feng akan jaga adik. Mama jangan risau. Melati,
Priya tolong mama.

YUENHE : Cari Chow Yang! Pergi cari dia! Mama akan tenang kalau Chow
Yang sudah ada depan mata!

Tiba-tiba terdengar jeritan ARJU panggil ALANG TUNGGAL dari jauh. Mereka nampak
ARJU memikul CHOW YANG yang lemah dan luka. YUENHE terkejut dan segera dapatkan
anaknya.

39
skripTanahAkhirku
oleh: sitijasminaIbrahim 40

YUANHE : Chow Yang!


PRIYA : Apa sudah jadi?

YUENHE : Betul hati mama, memang dia sedang susah! Kamu nampak apa
sudah jadi sama adik kamu, Ying Feng!?

ALANG TUNGGAL: Siapa yang buat kamu macam ni?

CHOW YANG : Orang-orang Tian. Saya hanya mahu juangkan hak pelombong.
Kami dikerah untuk kerja lebih masa tanpa sebarang makanan diberikan.

YING FENG : Kenapa kau masih nak tunjuk berani? Kenapa degil? Nampak tak
mama macam mana? Setiap kali kau keluar rumah, hati mama tak pernah aman.
Susah hati sebab hal macam inilah! Jangan melawan lagi Chow Yang!

CHOW YANG : Saya bukan buat benda yang salah! Mereka di sana yang
sudah melampau! Mereka boleh gertak, pukul saya, tapi menggunakan kami
untuk kepentingan mereka sendiri, saya sanggup mati dan saya lebih sanggup
untuk membelot.

YUANHE : Chow Yang! Berhenti cakap begitu! Tak ada makna lagi kalau kau
hanya mahu mati! Jangan cakap pasal mati!

CHOW YANG : Mama, maafkan saya.. Saya hanya mahu juangkan apa
yang benar, itu yang papa mahukan. Chow Yang tak akan mati dengan adanya
doa mama dan semua. Chow Yang takkan mati! Chow Yang akan jaga mama.

CHOW YANG pujuk ibunya dan bawa masuk dalam rumah. YING FENG tidak puas hati.

MELATI : Apa yang kakak fikirkan tu? Marah?


ARJU : Marah dengan keadaan yang tidak pernah mahu aman di sini.
Semua orang pun marah. Tak ada yang suka.

YING FENG : 5 tahun saya sudah lari dari negeri saya kerana pergaduhan,
balas dendam dan perpecahan berlaku tiap masa. Papa saya ajar supaya saya
ketepikan semua sifat macam itu dalam diri. Jadi saya tidak faham! Kenapa
orang lain tak buat macam yang papa suruh saya buat? Mengapa di Nanyang ini
juga sama?!

40
skripTanahAkhirku
oleh: sitijasminaIbrahim 41

ALANG TUNGGAL: Ying Feng, selagi namanya manusia. Inilah kita, yang datangnya
bersama dalam tubuh badan ini ialah sifat baik dan tidak baik. Lengkap. Hitam
dan putih.

YING FENG : Ying Yang.

YING FENG bergerak ke arah lain, waktu lewat malam. Ruang halaman rumah digelapkan
dan tumpuan pada YING FENG seorang. YING FENG bermonolog.

YING FENG : Saya bukan perempuan yang malam tidur mimpikan istana, emas
permata. Sejak kecil papa ajar saya istana itu adalah keamanan, emas itu kasih
sayang dan permata itu penyatuan. Apabila tiba di sini, itu yang saya cari. Saya
tidak mencari kekayaan yang menindas orang lain. Saya tidak mencari kuasa
yang kuburkan orang tidak berdosa. Sejarah mengajar kita tentang tamak itu
menggadaikan maruah, cemburu itu membunuh jiwa. Sejarah yang begitu
bukanlah yang saya mahu!

Lantas YING FENG menyanyi sebuah lagu tentang tanahair dalam bahasa Mandarin dan
kemudian dia menyanyi dalam Bahasa Melayu.

Muncul TENGKU KAMIL menyambut nyanyi lagu itu. YING FENG terkejut, terus hendak
pulang, serba salah.

TENGKU KAMIL : Ying Feng?

YING FENG : Tengku...

TENGKU KAMIL: Seorang sahaja di sini? Tidak seperti perempuan lain yang di
dalam rumah duduknya walau mahu berfikir panjang atau tenangkan fikiran?

YING FENG : Saya suka bersendiri bila hati susah. Saya belajar hidup dari
alam, hidupan yang luar dari rumah.

TENGKU KAMIL: Oh… Ying Feng, maafkan saya, sudah lama saya mahu bertanya,
mengapa tidak tinggal di dalam kelompok kawasan Tian Loong atau Taukeh
San? Mengapa mahu bersusah payah sehingga sanggup di marahi oleh kaum
sendiri, apabila kamu pilih menjadi jiran Alang Tunggal?

YING FENG : Maaf saya bertanya, kenapa Tengku berfikir begitu?

TENGKU KAMIL : Berfikir bagaimana?

41
skripTanahAkhirku
oleh: sitijasminaIbrahim 42

YING FENG : Tengku tidak suka pelbagai bangsa saling berbaik, bekerjasama?

TENGKU KAMIL : Tidak pernah pula saya kata tidak suka. Bukan juga
mementingkan diri... tapi cara saya lebih halus menentang setiap arahan pihak
British yang memang mahu dan suka lihat kita saling berpecah belah… dan kamu
pula memang sangat berani bersuara kan?

YING FENG : Berani itu bukan perkataannya. Saya cuma bercakap apa yang
benar. Tengku perlu mula menerima bangsa-bangsa lain yang berada di sini dan
dengan penyatuanlah kita boleh bersama-sama menentang penjajah. Perlu tahu
beza siapa kawan dan siapa lawan.

TENGKU KAMIL: Saya tahu, malah saya sentiasa ingat apa itu sifat penjajah!
Pendatang! Memang itu semulajadinya. Sesiapa yang datang beramai-ramai di
sini, adakalanya memang mengundang resah buat penduduk asal tanah ini!

YING FENG : Dengar tak tu, Tengku?! Tengku dengar atau tidak, suara Tengku
itu sendiri. Tengku sendiri seperti punya berat sebelah terhadap penduduk lain
yang saling berkongsi kepenatan dan perjuangan yang sama . Macam saya!

TENGKU KAMIL: Apa yang kamu maksudkan ini?

YING FENG : Tengku sindir saya. Sindirkan kami yang beramai-ramai majukan
lombong bijih timah di sini. Itu yang saya rasa lah.

TENGKU KAMIL : Ternyata ‘rasa’ kamu itu belum cukup ‘perasa’ yang betul!

YING FENG : Sungguh? Baiklah. Papa saya dulu pesan, cara untuk faham orang
lain ialah dengan faham kelemahannya dulu dan kemudian baru susun setiap
kebaikannya. Jadinya, hati kita akan mudah memaafkan apabila perkara yang
tidak baik itu tersimpan jauh di lubuk hati.

TENGKU KAMIL : Kamu mahu kami terima, tadah apa saja yang datang? Mana
mungkin itu berlaku. Memegang amanah tanah ini memang akan buatkan lelaki
seperti saya selalu rasa terganggu. Jangan salah faham. Saya bukan membenci
sesiapa dari manusia kepada manusia yang lain.

YING FENG : Ya, betullah tu. Memang itu yang saya mahu cakapkan tadi.
Jadinya, Tengku tak perlu jeling tajam, tinggalkan kata kata kasar setiap kali saya
ada. Jangan anggap saya berjiran dengan Alang Tunggal ialah untuk dapat
pengaruh kuat atau mahu bunuh pegangan hidup mereka dua beranak . Saya ini
hanya mencari aman, kasih sayang dan penyatuan di sini. Itu saja, tengku.

42
skripTanahAkhirku
oleh: sitijasminaIbrahim 43

TENGKU KAMIL : Aman? Keamanan hanya datang apabila kita hidup bebas dari
dijajah oleh sesiapa pun. Kasih sayang pula boleh cetuskan perjuangan sehingga
ke titisan darah terakhir demi tanah asal ini …. dan penyatuan? Penyatuan hanya
akan terjadi apabila tidak ada sengketa, salah faham dan pura-pura.

YING FENG : Ya saya setuju. Jadi sekarang, Tengku, saya dan semua perlu lebih
banyak menyemaikan rasa cinta dan elakkan segala salah faham dan sengketa
sesama kita. Jika tidak, silap hari bulan boleh tinggi darah. Hati-hatilah Tengku
ya. Nanti kalau Tengku sakit, siapa yang mahu jaga saya?

TENGKU KAMIL tak sangka YING FENG mengusiknya begitu. YING FENG tahan ketawa.
TENGKU KAMIL juga begitu tapi ditahannya. Ada seketika mereka saling berpandangan.
Dua-dua tergamam dan pura-pura tiada apa yang berlaku.

TENGKU KAMIL: Embun pagi sudah terasa. Pulanglah Ying Feng ‘sang deru angin
harapan’.. Bahaya sini seorang! Saya temankan kamu pulang ya.

TENGKU KAMIL menemani YING FENG pulang segera. YING FENG tak sangka TENGKU
KAMIL tahu makna namanya. Pentas perlahan-lahan gelap.

***

43
skripTanahAkhirku
oleh: sitijasminaIbrahim 44

BABAK 3- ADEGAN 1
LATAR: PEJABAT TIAN LOONG
Di satu bahagian, YING FENG sedang salin beberapa dokumen di meja kerja TIAN LOONG.
YING FENG sudah selesai kerjanya, asingkan surat-surat yang dia sudah siapkan. TIAN
LOONG masuk ke dalam ruang tersebut.
(Bahasa Mandarin)

YING FENG : Taukeh Tian, maaf lambat siapkan semua. Sudah mahu tutup
pejabat?

TIAN LOONG : Aku boleh hantar kau pulang kalau kau takut. Sudah lewat pun ni.

YING FENG : Tak apa. Saya boleh balik sendiri. Semua surat yang sudah siap
ada di sini ya.

TIAN LOONG semakin menghampiri YING FENG. YING FENG rasa dirinya dalam bahaya.

YING FENG : Tian Loong! Kenapa ni? Saya mahu balik.

TIAN LOONG : Sudah macam-macam cerita aku dengar tentang lelaki yang
mahu dekati kau. Aku tak boleh diamkan saja. Kau tahu perasaan aku pada kau
macam mana kan? Sudah lebih 5 tahun, kali pertama aku beritahu kau yang aku..

YING FENG : …Dan sudah 5 tahun jugalah aku beri jawapan aku tentang
luahan perasaan kau tu kan? Maaf Tian, aku anggap kau sebagai kawan yang
sangat baik menolong semasa aku baru sampai ke Nanyang ini.

TIAN LOONG tiba-tiba saja jadi marah dan melepaskan marahnya dengan menendang
kerusi. YING FENG terkejut. Dia cuba nak keluar dari ruang tersebut tapi dihalang oleh
TIAN LOONG.

TIAN LOONG : Ying Feng, terimalah tuah ini. Tidak semua perempuan dapat
perhatian seperti yang kau dapat.

YING FENG tidak mahu dan cuba lari tapi TIAN LOONG menghalang dan mula memukul
YING FENG.

44
skripTanahAkhirku
oleh: sitijasminaIbrahim 45

TIAN LOONG : Jangan buat aku macam ni! Jangan bagi aku hilang sabar sampai
aku sakitkan kau! Aku sayang kau, aku tak nak sakitkan kau! Tolong jangan
melawan! Hidup kau akan selamat sampai bila-bila.

YING FENG : Saya tidak di didik menjadi perempuan yang begitu. Saya mampu
hidup sendiri. Saya hanya mahu sekeliling ini aman, tidak ada perpecahan.
Mampukah kau tunaikan? Mampukah kau sama-sama berjaya tinggal di tanah
emas Nanyang ini? Tolonglah Tian, bukan ini caranya!

TIAN LOONG marah dengan diri sendiri tapi dia lepaskan pukulan pada YING FENG. YING
FENG sakit tapi cuba bertahan dan cuba nak lepaskan diri lagi tapi TIAN LOONG tak
lepaskan dan pulas lengan YING FENG. YING FENG menahan sakit sehingga terduduk tak
mampu bergerak.

YING FENG : Tian Loong, tolong, jangan sakitkan saya… kenapa buat saya
macam ni? Tolong lepaskan saya.

TIAN LOONG : Kau sakit? Hati aku ini lagi parah lukanya. Kau yang buat aku jadi
macam ni!. Lama sangat aku diamkan diri, aku biarkan kau bebas buat apa saja.
Adik kau yang sentiasa cabar aku tu. Aku tak kisah asalkan kau ada dengan aku.
Aku dah tak ada keluarga lain. Aku hanya nakkan kau bersama aku. Aku hanya
mahukan kasih sayang. Terima aku Ying Feng.

YING FENG : Saya tak cintakan kau, Tian! Saya tak boleh!

TIAN LOONG memukulnya sekali lagi. YING FENG sakit di kepalanya lantas menjadi lemah
hendak pengsan tapi di kawal dirinya. TIAN LOONG terkejut lihat YING FENG sudah lemah
begitu. Dia lepaskan YING FENG dan salahkan diri sendiri.

TIAN LOONG : Ying Feng! Aku sayangkan kau! Aku hanya mahu merasa apa itu
kasih sayang. Kenapa kau buat aku begini Ying Feng? Aku cintakan kau! Kau
pergi! Pergi dari sini! Aku tak nak sakitkan kau lagi.. pergi! Pergi!

YING FENG cuba bangun perlahan-lahan dan beredar. TIAN LOONG kesal. TIAN LOONG
meratap sendiri.

***

45
skripTanahAkhirku
oleh: sitijasminaIbrahim 46

BABAK 3 - ADEGAN 2
LATAR: RUMAH ALANG TUNGGAL
YING FENG terjaga dari pengsan. MELATI datang dan gembira lihat YING FENG sudah
sedar. Mereka berpelukan.
(Bahasa Melayu)

MELATI : Alhamdulillah kakak sudah sedar. Semua susah hati, risau bila
dua hari kakak tak sedarkan diri.

YING FENG : Dua hari?.. Mama mana? Alang?

MELATI : Mereka keluar bekerja.

YING FENG : Kerja? Mama bekerja dengan Alang?

TENGKU KAMIL masuk ke dalam rumah beri salam. MELATI jawab salam. TENGKU KAMIL
lihat keadaan YING FENG yang makin baik.

YING FENG : Tengku...

TENGKU KAMIL: Apa sebenarnya Ying Feng ni?

MELATI : Maaf, Tengku, kakak baru sedar. Keadaannya masih bingung


dengan apa yang berlaku. Tak berapa elok ditanya begitu seperti dia buat salah
besar pula.

TENGKU KAMIL: Saya tak mahu kita salah di dalam melakukan perkara yang betul.

MELATI : Tengku yang keliru sebab terlalu banyak prasangka kepada


semua orang, lebih lagi yang seperti kak Ying Feng. Mengenali Ying Feng, Tengku
harus pandai menilai juga, adakah dia api dalam sekam atau permata yang harus
kita jaga?

YING FENG : Tak apa Melati. Tak apa.. Tengku, apa maksud tengku tadi?

TENGKU KAMIL: Dalam keadaan yang sentiasa tegang sekarang ini, bila bila masa
pertumpahan darah boleh berlaku, Tanah Melayu ini tiada pernah rakyatnya
rasa selamat, lihat saja apa yang sudah jadi pada awak, mujur tidak apa-apa.

46
skripTanahAkhirku
oleh: sitijasminaIbrahim 47

YING FENG : Betul. Saya faham tengku kecewa dengan keadaan ini. Saya
berani pun, hanya kerana niat yang sama juga seperti Tengku. Percayalah, saya
sayangkan Nanyang. 5 tahun saya di sini, cinta saya sudah ada. Tengku jangan
pernah putus asa, papa saya seorang pejuang rakyat juga. Saya lihat sendiri papa
saya mati… papa mati dengan kejam tapi dia tak takut dan lari. Papa tidak
bergerak dari pendiriannya. Semangat itu yang saya bawa ke mana saja. Ke
mana-mana saja...

Sebak di hati YING FENG mengenang kasih papanya. TENGKU KAMIL terdiam. MELATI
sedih, dia beredar ke dapur. YING FENG lihat MELATI sudah pergi, dia berani suarakan
tapi rupanya TENGKU KAMIL lebih dulu hampirinya.

TENGKU KAMIL: Saya jarang salah telahan tentang seseorang, tapi padamu, tidak
dapat lagi fikiran ini melupakan setiap gerak, setiap tutur katamu. Maafkan aku…
bercakap begini dengan cara yang tidak kena, tidak beradab.

YING FENG : Tengku, tahukah kata-kata itu, seperti jernih air yang disiram ke
setiap luka-luka dalam diri saya ini…

TENGKU KAMIL: Kita punya rasa yang sama? Kerana kita faham semangat kita ke
arah yang sama. Kita saling faham dalam diam.

YING FENG: Tengku, di sini, saya hanya mencari cinta yang boleh beri saya kekuatan
untuk terus berjuang dan bukan cinta yang boleh buatkan saya hilang. Ramai
yang berdendam. Bila-bila masa saja dendam itu akan tiba menghentikan nafas
ini... Sebelum semua itu benar berlaku, saya harus pastikan tanah ini aman
supaya dapat mama dan Chow Yang selamat walaupun nanti saya tiada lagi.

TENGKU KAMIL: Jangan risau Ying Feng. Saya takkan biarkan itu berlaku..
Percayalah.

YING FENG terharu sangat. Dia nak pegang tangan TENGKU KAMIL tapi dia tahu tidak
boleh. TENGKU KAMIL juga mengawal perasaannya.
Terdengar suara ALANG TUNGGAL dan YUENHE di luar. Mereka baru tiba. MELATI juga
bawa minuman ke ruang tamu dan lihat di pintu memanggil mereka segera naik. YUENHE
gembira anaknya sedar.
(Bahasa Mandarin)

YUENHE : Ying Feng! Baguslah kamu sudah sedar. Jangan buat mama takut
macam ni lagi.

47
skripTanahAkhirku
oleh: sitijasminaIbrahim 48

YING FENG : Ya, mama… maafkan Ying Feng…

(Mahasa Melayu)

ALANG TUNGGAL: Apa sebenarnya yang jadi pada kamu dua hari lepas? Aku ada
jumpa Tian Loong beritahu keadaan kamu, dia hanya suruh kau rehat dulu. Tak
perlu kerja. Apa semua ini ada kena mengena dengan dia?

TENGKU KAMIL: Beritahu kami adakah dia, Ying Feng ?

YUENHE : Tian Loong… Dia…


YING FENG : Dia mengharapkan sesuatu yang saya tidak mampu beri kepada
dia. Saya hanya ada satu perasaan cinta dan dia bukanlah orangnya…

YING FENG pandang TENGKU KAMIL. TENGKU KAMIL rasa bahagia mendengarnya.
YUENHE sedar pandangan mereka berdua itu tapi dia diamkan.

YUENHE : Chow Yang mana? Beritahu dia Ying Feng sudah sedar. Dia
sepatutnya sudah pulang.
ALANG TUNGGAL: Mungkin masih di lombong... Aku akan beritahu dia. Ying Feng,
kamu rehat dulu di sini ya. Tak usah risau. (kepada Melati) Melati, jaga Ying
Feng, ayah ke lombong sebentar.

ALANG TUNGGAL keluar dan TENGKU KAMIL juga menurutinya. TENGKU KAMIL dan
ALANG TUNGGAL berhenti di bahagian luar rumah.

TENGKU KAMIL : Memang betulkah Tian Loong yang sakitkan Ying Feng?

ALANG TUNGGAL: Mungkin, tapi saya nasihatkan tengku janganlah bertindak


melulu.

TENGKU KAMIL : Alang, tolong jagakan mereka, saya rasa ada yang tak kena
dengan semua ini.

TENGKU KAMIL salam ALANG TUNGGAL dan beredar. ALANG TUNGGAL juga terus ke
Lombong Tian Loong.

YUENHE : Ying Feng, Mama tetap rasa tak sedap hati, Melati, mama mahu
minta tolong kamu pergi ikut ayah kamu ke lombong, tengokkan Chow Yang.

YING FENG : Ya Melati, mari kita pergi. Saya pun mahu cari Chow Yang. Saya
boleh jalan… jangan risau. Cepat Melati.

MELATI serba salah, namun diturtnya juga beredar bersama YING FENG. Ruang rumah
ALANG TUNGGAL digelapkan.

48
skripTanahAkhirku
oleh: sitijasminaIbrahim 49

BABAK 3- ADEGAN 3
LATAR: KAWASAN LOMBONG BIJIH TIMAH
Pentas perlahan terang, waktu terik tengahari. Kekecohan berlaku di lombong, semua
pekerja berpusu berkumpul membantu bawa keluar seorang pekerja yang sudah mati.
CHAN dan LIM ada hanya memerhatikan pekerja yang sedih dan ada yang kesal dengan
apa yang berlaku. CHOW YANG ada sama menahan marah.
(Bahasa Mandarin)

CHAN : Dia itu degil. Aku sudah cakap banyak kali, sentiasa jaga
keselamatan bila bekerja. (ketawa)
CHOW YANG : Siapa yang degil? Bukankah kau yang paksa kami bekerja
tidak berhenti-henti tanpa rehat, lepas tu kau paksa dia gunakan mesin yang
jugak tak berhenti walau seminit pun. Sekarang Ah Boon sudah mati, dan kau
boleh lepas salah pada kami? Kau kena tanggungjawab dengan kematian dia!

CHAN : Dia yang lemah, lalai, kemalangan itu bukan datang dari aku atau
sesiapa di sini!

CHOW YANG : Ini semua salah kau! Salah Tian Loong! Kami takkan sambung
kerja selagi hak kami dan Ah Boon dibela! Kami berontak!

Pekerja lain ikut sambut semangat CHOW YANG. CHAN mula marah terus mahu
menyerang CHOW YANG, tapi LIM menghentikannya. TIAN LOONG muncul.

CHAN : Aku dah lama nak bunuh budak ni!

LIM : Chan! Tian Loong datang!

TIAN LOONG : Apa kecoh-kecoh ni? Suara kau Chow Yang, dari jauh aku sudah
dengar. Makin kuat, makin berani! Aku dengar nama aku disebut-sebut, kenapa
ya?
PEKERJA 1 : Ah Boon sudah mati Taukeh Tian. Lombong ini tidak selamat lagi

PEKERJA 2 : Tolonglah kami taukeh, nanti ramai lagi yang boleh mati.

TIAN LOONG : Oh? Ah Boon dah mati? Tak perlu risaulah. Dia itu dari dulu
selalu bawa masalah. Sangat cuai. Banyak kali juga dia hampir mati, jadi tak
hairanlah kalau dia mati hari ini.

49
skripTanahAkhirku
oleh: sitijasminaIbrahim 50

CHOW YANG : Apa kau cakap? Kau anggap Ah Boon ini seperti tiada apa-apa
buat kau? Apa kau anggap kami semua ini hanya sebagai alat untuk beri kau
keuntungan dan nama? Kau paksa kami semua bekerja tak berhenti hanya
kerana kau mahu tunjuk pada pihak British yang lombong kau lebih berjaya dari
Lombong San.

CHAN : Jangan berani nak kurang ajar!

LIM : Biar kami ajar dia taukeh! Biar dia jadi pengajaran untuk semua!

TIAN LOONG : Tak apa biar dia cakap, aku mahu dengar.

CHOW YANG : Aku wakil bagi semua pekerja di sini, nasihatkan kau, jangan
terlalu tamak dan jangan berani pijak kepala kami. Jika kami tiada di sini,
lombong kau ini takkan berjalan, dan kau takkan ada nama di sini. Kami semua
hormati kau, tapi fikirkanlah juga tentang hidup kami semua! Kau yang patut
jaga kami tapi kau yang aniaya kami semua di sini! Kami dikerah kerja tidak
berhenti, rehat tiada, dipaksa lagi sambung kerja berat. Siapa-siapa pun boleh
mati! Termasuk kau!

Pekerja lain bersorak sama.

TIAN LOONG : Chow Yang, sudah 5 tahun kau ada dengan aku, hidup kau tak
pernah susahkan? Kau sepatutnya rasa lebih bersyukur, kerana kakak kau,
kedudukan kau lebih istimewa dari yang lain. Jadi sekarang, biar aku nasihatkan
kau pula, tutup mulut kau dan jangan kau nak hasut kepala pekerja aku yang
lain. Tapi jika kau saja yang tak puas hati dengan aku, kita boleh berbincang.

CHOW YANG : Tak ada kena mengena hal aku dengan kau! Ini hal hak
pekerja di sini! Kami takkan bekerja selagi hal Ah Boon ini kau tak
bertanggungjawab! Kau kena bertanggungjawab Tian!

CHOW YANG mahu menghampiri TIAN LOONG tapi LIM dan CHAN halang dan tolak
CHOW YANG. CHOW YANG nak serang lagi, TIAN LOONG pula yang balas serangan CHOW
YANG dengan cekap. CHOW YANG tidak dapat melawan. Yang lain jadi gentar.
TIAN LOONG bisik ke CHOW YANG . CHOW YANG meronta nak lepaskan diri tapi tak
berjaya.

50
skripTanahAkhirku
oleh: sitijasminaIbrahim 51

TIAN LOONG : Kau jangan cabar aku, budak! Ini bukan masa yang sesuai untuk
kau buat hal. Kau tu masih boleh hidup senang sebab aku kisahkan kakak kau tu!
Kalau tidak, dah lama kau mampus! Kau ingat aku tak tahu apa muslihat kau
dengan Taukeh San? Baik kau jaga-jaga! Hentikan semua hasutan kau ini pada
pekerja lain!! Jangan cuba cabar aku!

TIAN LOONG lepaskan CHOW YANG.

TIAN LOONG : Semua kembali kerja!

CHOW YANG : Jangan dengar cakap dia. Kita mesti tuntut hak kita, Dia akan
buang mayat Ah Boon begitu saja dan akan terus paksa kita kerja tak henti-henti.
Jangan pergi, kalau kita lemah, sampai bila pun dia akan menguasai kita. Dia tak
punya kuasa atas kita semua!

TIAN LOONG : Kamu semua cuba berkumpul lagi, nasib kamu akan jadi lebih
teruk dari Ah Boon. Pergi kerja sekarang dan untuk minggu ini kamu semua
akan kerja sehingga lewat malam.

CHOW YANG tak benarkan mereka beredar tapi pekerja lain tak berani. Mereka
tinggalkan mayat AH BOON. LIM beri arahan pengikutnya angkat mayat AH BOON. TIAN
LOONG pandang saja CHOW YANG masih tak beranjak menahan marah.

TIAN LOONG : Chow Yang, lihat, semua sudah pergi. Mungkin ini yang ayah kau
tidak ajar kau, iaitu kuasa adalah kuasa.

CHOW YANG : Kau takkan terlepas Tian Loong! Aku takkan diamkan hal ni!

CHOW YANG beredar dari situ. CHAN bengang. TIAN LOONG bisik sesuatu pada CHAN.
CHAN dan LIM faham dan mara ke arah CHOW YANG.

(bahasa mandarin)

CHOW YANG : Kau nak apa Chan?

CHAN : Hoi pembelot! Mulut kau tu banyak sangat hari ini. Dari hari
pertama kau, kakak dan mak kau kerja sama Tian Loong, macam-macam hal nak
buat kecoh.

51
skripTanahAkhirku
oleh: sitijasminaIbrahim 52

LIM : Selama ini kau selamat sebab Tian Loong suka sangat sama Ying
Feng. Itu saja! Tapi sekarang taukeh pun sudah tawar hati pada kakak kau dan
sekarang kau pula berani nak buat hal di sini. Macam taukeh cakap, ‘ini bukan
masa yang sesuai’.
CHAN : Aku memang dah lama tunggu saat ini, saat Taukeh Tian bisikkan
ke telinga aku itu. Sudah berkali-kali aku beritahu Taukeh Tian, yang engkau ni
memang seorang pembelot! Hari ini, taukeh percaya juga akhirnya kerana kau
ini tidak beza pun sama mendiang ayah kau itu!
LIM : Pembelot yang mahu jatuhkan lombong Tian Loong, tak hairanlah kau ini
sentiasa buat kecoh! Kau takkan terlepas lagi Chow Yang, Taukeh San takkan
dapat selamatkan kau lagi hari ni. Taukeh Tian sudah beri kami jalan untuk
pastikan kau takkan bersuara lagi!
CHOW YANG : Darah yang mengalir dalam aku ini adalah darah pejuang hak
rakyat yang taat setia. Aku tak takut dengan apa saja ancaman dari kau atau
sesiapa saja. Aku tak takut mati pun! Kau tu yang patut fikir balik , betul ke kau
tak kisah kalau kau yang mati?

CHAN bengang terus serang CHOW YANG. CHOW YANG cuba lawan CHAN dan LIM
bergilir gilir. CHOW YANG cuba larikan diri tapi mereka tetap dapat halang. Muncul
ALANG TUNGGAL di situ, ALANG TUNGGAL segera membantu CHOW YANG,
Bertarung bersama. ALANG TUNGGAL lebih tangkas namun tidak dapat menumpaskan
CHAN dan LIM. Sasaran mereka tetap mahu serang CHOW YANG dan bukan ALANG
TUNGGAL. CHOW YANG semakin lemah di asak CHAN dan LIM. Dalam kekalutan itu,
CHAN Cuba mengelak serangan tetapi dia terjatuh dan tertusuk kayu runcing yang ada
sekitar semak di situ. Masing-masing tergamam. CHAN kesakitan dan mati. LIM juga
sudah lemah menahan sakit. LIM marah lihat CHAN sudah mati.

TENGKU KHADRI tiba dengan beberapa orang pengawalnya.

TENGKU KHADRI : Apa yang dah berlaku ni?

ALANG TUNGGAL : Tak tahu apa sebab semua ni mula. Chow Yang kena serang.

TENGKU KHADRI : Kau buat apa Chow Yang? Kau dah bunuh orang kanan Tian
Loong!
LIM : Kau akan mati Chow Yang ! Kau akan mati!

LIM nak serang tapi ALANG TUNGGAL halang. YING FENG dan MELATI tiba, segera
hampiri CHOW YANG yang cedera dan lemah juga.

YING FENG : Chow Yang! Kenapa sampai jadi macam ni?!

52
skripTanahAkhirku
oleh: sitijasminaIbrahim 53

CHOW YANG : Aku tak apa-apa kak! Bukan aku yang salah! Semua ni…

TENGKU KHADRI: Semua ini takkan selesai di sini. Tolong bawa mayat Chan ke
Taukeh Tian. Aku akan bawa pulang Alang. Semua ni jangan risau, akan aku
selesaikan.

ALANG TUNGGAL: Tengku, bawa pulang Chow Yang juga sekarang, dia tidak boleh
berada di sini dan saya juga minta tolong Tengku fahamkan Tian Loong tentang
apa yang sebenarnya berlaku di sini.

TENGKU KHADRI: Ya, Alang tak perlu ajar saya tentang kerja saya. Pergi balik
sekarang. Alang pun dah cedera teruk, di hari tua begini, susah cedera mahu
pulih. Melati, bawa orang tua kau ini pulang, sekarang

MELATI serba salah nak tinggalkan YING FENG tapi dia akhirnya turuti ayahnya beredar
dari situ. Pengikut TENGKU KHADRI bawa mayat CHAN. TENGKU KHADRI sempat beri
isyarat kepada pengikut TIAN LOONG sesuatu dan mereka faham. Mereka mendekati
CHOW YANG. Ada juga yang bantu LIM bangun. YING FENG rasa ada yang tidak kena. Dia
nampak TENGKU KHADRI mahu beredar. YING FENG kejar TENGKU KHADRI.

YING FENG : Tengku! Tengku Khadri mahu ke mana? Tolong adik saya. Tolong
Chow Yang. Dia sudah dianiaya oleh mereka ini. Jangan biarkan kami. Tolong
bawa kami pergi dari mereka, Tengku.

TENGKU KHADRI: Jangan risau, aku memang akan tolong kau, Ying Feng. Tapi
bukan adik kau yang sudah banyak menyusahkan semua orang!

LIM dengan pantas bangun, keluarkan parangnya dan tikam CHOW YANG. CHOW YANG
tidak sempat hendak mengelak lalu mengerang kesakitan. YING FENG menjerit sekuat
hati nama adiknya. TENGKU KHADRI pegang YING FENG, tak benarkan dia ke arah
adiknya. YING FENG terduduk dan terus meraung memanggil adiknya. CHOW YANG
pandang kakaknya dan hembuskan nafas akhir.

Pentas gelap.

INTERMISSION

53
skripTanahAkhirku
oleh: sitijasminaIbrahim 54

BABAK 4 - ADEGAN 1
LATAR: TEPI JETI
Suasana sayu. Hanya terdengar bunyi angin laut bertiup bagai mendayu-dayu. YUENHE ,
YING FENG duduk di tepi jeti, pakai baju berkabung, bersedih. Muzik melatari suasana.
TENGKU KAMIL ditemani ALANG TUNGGAL datang. TENGKU KAMIL bawa bekas abu
mayat CHOW YANG. YING FENG nampak, dia menahan sebak. TENGKU KAMIL berdiri
hadapan YUENHE yang tunduk saja.

(Bahasa Melayu)

TENGKU KAMIL : Maafkan saya. Saya gagal Ying Feng. Malunya saya datang
mengadap puan setelah apa yang telah berlaku, tambah pula ia melibatkan adik
saya sendiri sehingga membawa kematian Chow Yang. Ini semua atas kecuaian
saya kerana tidak dapat melihat dari mana punca masalahnya. Maafkan saya
kerana terlalu ikutkan perasaan pada hari itu. Jikalaulah saya turut ikut Bang
Alang ke lombong, mungkin semua ini… Maafkan saya! Ini, saya sudah berjanji
pada Ying Feng untuk bawa pulang abu Chow Yang hari ini, saya kotakan janji
saya itu. Sekali lagi saya mohon maaf pada puan dan Ying Feng.

YUENHE kuatkan hati supaya tidak menangis. Puas ditahannya. Dia pandang bekas abu
yang dipegang TENGKU KAMIL. TENGKU KAMIL hulur bekas abu. YUENHE terketar
tangan mengambilnya. Dia peluk erat bekas abu CHOW YANG sehingga teresak
menangis. YING FENG peluk erat ibunya.

YUENHE gagahkan diri bangun dan beredar jauh sedikit dari YING FENG . Dia melihat
pemandangan laut bersama bekas abu anaknya. YING FENG tidak sanggup lihat
penderiaan ibunya itu.

YING FENG : Chow Yang, dia sudah tiada.

TENGKU KAMIL : Maafkan saya Ying Feng, saya betul-betul minta maaf.

YING FENG : Kami belayar berbulan-bulan ke mari. Harapan saya,


tanah ini akan aman, kami akan hidup senang. Saya usaha kerja kuat, hidup luar
dari kawasan Tian Loong dan Taukeh San sebab saya percaya apabila kita kenal
penduduk sini, kita tidak akan bermusuh walau apa pun agama dan budaya kita.
Saya terus percaya sehingga saya paksa Chow Yang untuk ikut percaya. Saya
sangat bodoh, terlalu percaya semua orang boleh jadi baik . Rupanya di negara
saya atau di sini, tak ada beza! Apa maknanya lagi saya di sini?

54
skripTanahAkhirku
oleh: sitijasminaIbrahim 55

TENGKU KAMIL : Ying Feng, kamu adalah makna buat kita semua, makna
terutama untuk saya. Saya yang sudah Ying Feng ubah hati ini untuk percaya
kita bersama boleh amankan semua? Kamu adalah harapan, Ying Feng.

YING FENG : Kalau ada pun rasa yang masih tinggal di sini, mungkin
hanya harapan saya pada tengku dan saudara-saudara di kampung Alang.
Namun kehilangan tetap akan berlaku pada sesiapa di sekeliling saya. Saya ini
seperti membawa malang buat semua.

TENGKU KAMIL : Jangan kata begitu Ying Feng.

YING FENG : Adakah Tengku boleh berjanji bahawa Tengku tidak akan
tinggalkan saya? Tidak akan biarkan saya hilang dalam impian saya di sini?

TENGKU KAMIL : Tidak terlintas pun difikiran untuk abaikan Ying Feng.
Bertahanlah. Saya akan usaha selesaikan segala masalah… Saya janji pada awak
dan mak awak, Ying Feng. Saya pergi dulu ya. Bang Alang, minta tolong jaga
mereka sementara saya uruskan hal ini. Kemarahan Tian Loong pasti belum lagi
reda dan kalau dia mahu membalas dendam, kita sama-sama tahu ke mana arah
dan kepada siapa yang akan dia tuju. Kita perlu bersedia.

ALANG TUNGGAL : Usah dirisaukan. Aku akan persiap segala orang


kampung, takkan berani dia mara masuk ke kampung. Selagi termampu, akan
aku jaga mereka hingga hujung nyawa.

TENGKU KAMIL : Terima kasih, Bang Alang. Saya pergi dulu mencari
Tengku Khadri. Kali ini dia takkan terlepas dengan agenda setannya!

TENGKU KAMIL hendak pegang erat tangan YING FENG tapi tahu dia tak boleh buat
begitu, lalu dia tatap Ying Feng dengan penuh kasih dan beredar. Terharu sayu hati Ying
Feng. Walau tidak bersentuh tapi dirasai kasih sayang TENGKU KAMIL terhadapnya.

YING FENG : Hati-hati Tengku.

Ruang tepi jeti digelapkan.

***

55
skripTanahAkhirku
oleh: sitijasminaIbrahim 56

BABAK 4 - ADEGAN 2

LATAR: RUANG TAMU TENGKU ZAHARAH.


Latar dan ruang tamu rumah banglo TENGKU ZAHARAH dicerahkan, waktu tengah hari.
Berkonsepkan kayu mewah yang menampakkan corak-corak ukiran di tengah dinding
utama yang berukir akar-akar menjalar. TENGKU ZAHARAH duduk berbual serius
bersama TENGKU KHADRI yang nampak lebih resah gelisah.

TENGKU ZAHARAH : Kenapa perlu takut? Apa yang bonda faham, kamu tak
buat salah apa pun. Bukan kamu yang bunuh pekerja lombong tu.

TENGKU KHADRI : Itu bonda yang kata, tapi abang tak anggap begitu. Saya
tahu dia marahkan saya dan takkan diamkan hal ini sebab budak yang mati itu,
adik kepada Ying Feng.

TENGKU ZAHARAH : Kenapa sudah kerap sangat bonda dengar nama


perempuan Cina tu? Abang kamu memang sudah jatuh hati pada perempuan
Cina tu ke? Khadri? Kenapa diam? Apa yang kamu rahsiakan?

Belum sempat TENGKU KHADRI hendak jawab, TENGKU KAMIL tiba.

TENGKU ZAHARAH : Baguslah kamu sudah pulang. Bonda dapat tahu hal
kematian di lombong Tian Loong. Kamu jangan masuk campur sangat hal
mereka. Pihak British pun tidak suka kita ganggu cara mereka.

TENGKU KAMIL : Apa yang bonda maksudkan ni? Apa saja yang berlaku di
sini, tidak kira bangsa apa pun, ia melibatkan kita. Tak boleh dibiarkan dan
membiarkan pihak luar pula yang terus memegang kuasa konon bijak mentadbir
kita dan kita ini bagai terus berpaut pada mereka! Jangan makin ramai yang nak
jadi macam Khadri lagi!

TENGKU KHADRI : Kenapa saya pulak?

TENGKU KAMIL : Kau ingat aku tak tahu apa yang kau buat? Cara halus
yang kau sangka bijak itu, huru-hara! Kematian Chow Yang hari tu, kau ada sana
dan apa yang dah kau buat? Ying Feng minta tolong pada kau kan? Apa yang kau
buat?!

TENGKU ZAHARAH : Kamil, jangan berpihak pada yang salah pulak. Ingat
dimana tempat kamu. Kamu patut lebih faham adik kamu sendiri berbanding
orang lain.

56
skripTanahAkhirku
oleh: sitijasminaIbrahim 57

TENGKU KAMIL : Bonda, Saya sebenarnya, lebih mudah faham orang lain
berbanding adik sendiri! Tanyalah dia, perangai siapa yang dibawanya sampai
hilang pertimbangan, hilang ihsan sesama manusia! Arah mana diikutnya? Kau
ikut kata British lebih dari kata ajaran guru kita dari dulu?

TENGKU KHADRI : Abang yang lupa barangkali. Saya tolong bangsa kita
sebaik mungkin. Kenapa kematian Chow Yang yang ditikam pengikut Tian Loong
itu, menjadi masalah dan saya pula yang perlu bertanggungjawab? Arah mana
pula yang abang ikut ni? Arah godaan perempuan tu ke?

TENGKU KAMIL menerpa ke arah TENGKU KHADRI. TENGKU ZAHARAH halang.

TENGKU ZAHARAH : Kamil!

TENGKU KAMIL : Kau seharusnya pertahankan semua, terutama orang


yang lemah yang perlukan bantuan kau! Itu sifat pemimpin yang guru kita ajar
dari dulu! Kau ada di sana, kau dengar dan tahu dia akan dibunuh tapi kau
biarkan saja!! Memalukan! Kau dah memalukan seluruh kerabat keluarga ini!

TENGKU ZAHARAH : Sudah tu Kamil! Sudah! Ini bukan cara nak selesaikan
masalah yang dah berlaku di luar sana. Yang bonda tahu, pihak British tidak suka
dengan apa yang dah berlaku dan bonda tahu kelebihan anak-anak bonda. Kamu
harus ke Singapura Kamil, bertemu dengan pembesar-pembesar Melayu dan
pihak atasan British di sana, dengan segera. Bawa bincang segala hal-hal ini
supaya tidak melarat. Jelaskan pada mereka yang kita boleh selesaikan tanpa
campur tangan British. Kamu perlu ke sana segera! Kamil! Dengar kata bonda
ini, kalau betul kamu mahu bantu mereka. Mahu bantu Ying Feng.

TENGKU KAMIL tak sangka ibunya sebut nama YING FENG. TENGKU ZAHARAH senyum
dan bersungguh. TENGKU KAMIL masih tak puas hati dengan TENGKU KHADRI.

TENGKU KAMIL : Baik, saya akan ke Singapura, tapi bersyarat. Khadri


harus bertemu keluarga Ying Feng, jumpa ibunya dan minta maaf dengan apa
yang dah berlaku sehingga anaknya mati! Kau harus minta maaf pada mereka
dan bantu tuntut hak Chow Yang yang dianiaya di bunuh begitu!

TENGKU ZAHARAH : Ya, bonda setuju dan akan pastikan Khadri bertemu
mereka dan meminta maaf.

57
skripTanahAkhirku
oleh: sitijasminaIbrahim 58

TENGKU ZAHARAH pandang TENGKU KHADRI. Walaupun TENGKU KHADRI tak setuju,
dia terpaksa akur. TENGKU KAMIL masih tak puas hati namun beredar jua menenangkan
dirinya. TENGKU ZAHARAH perhatikan saja TENGKU KAMIL pergi dengan pelbagai
perkara bermain dalam fikiran TENGKU ZAHARAH.

TENGKU KHADRI beredar, cahaya berubah senja, TENGKU ZAHARAH beredar juga dan
muncul dari arah bertentangan, YING FENG, YUENHE, ALANG TUNGGAL dan MELATI
berpakaian cantik tiba di hadapan ruang rumah TENGKU ZAHARAH.

(Bahasa Mandarin)

YUENHE : Betulkah mereka jemput kita datang?

YING FENG : Ya. Pengawal Tengku yang beritahu Bang Alang supaya
bawa kita ke rumahnya ini. Dia betul-betul mahu tolong kita, mama.

YUENHE angguk dan akur.

(Bahasa Melayu)

MELATI : Ayah, Melati rasa tak sedap hatilah dari tadi. Kita patah
baliklah. Kita bawa kak Ying Feng dan Mama Yuanhe balik dulu?

ALANG TUNGGAL : Apa yang nak dirisaukan, Tengku Kamil sendiri yang tulis
minta kita datang. Dia minta kita bawa mereka ke mari. Tak baik kalau kita patah
balik dan nanti apa kita nak jawab pada Tengku Kamil?

MELATI : Ayah rasa semuanya betul? Setelah apa yang baru


berlaku, apa yang Tengku Khadri dah buat pada Chow Yang?

YING FENG : Itu Tengku Khadri, tapi ini Tengku Kamil. Dia takkan
mungkir janjinya dan mereka ini keluarga yang baik kan? Mungkin ada yang
mereka mahu bantu tentang masalah Tian Loong itu.

ALANG TUNGGAL : Ya, marilah kita masuk.

ALANG TUNGGAL beri salam. TENGKU ZAHARAH sudah berpakaian lain sudah sedia
menunggu tamu datang. Dia pelawa mereka masuk. TENGKU ZAHARAH sambut baik. Dia
salam YUENHE , MELATI dan YING FENG. ALANG TUNGGAL juga senyum pada TENGKU
ZAHARAH.

ALANG TUNGGAL : Maaf Tengku, lambat kami tiba. Harap tidak


menyusahkan Tengku menunggu lama.

58
skripTanahAkhirku
oleh: sitijasminaIbrahim 59

TENGKU ZAHARAH : Tidak mengapa, Alang. Pada kamu saya tidak pernah ada
marah. Banyak jasa Alang pada keluarga kami. Maka malam ini, memang
moleklah Alang pun ada bersama. Pertamanya, takziah pada Puan Yuenhe atas
kematian anak puan. Terima kasih juga dalam saat menyedihkan ini, sudi juga
datang ke mari. Saya Zaharah, Tengku Zaharah.

YUENHE : Ya, terima kasih Tengku Zaharah.

TENGKU ZAHARAH : Ying Feng! Indah nama itu, sedap didengar. Cantik, ayu..

YING FENG : Tengku Zaharah, nama yang selalu saya dengar dan
kagum.. Tengku sentiasa cerita tentang bondanya yang berani, kuat semangat
sama-sama arwah suami Tengku bantu rakyat semasa negeri di serang penjajah
dulu.

TENGKU ZAHARAH : Ya, dulu hidup kami susah tapi kami tetap bertahan
sehingga kini. Perlu terus bertahan pertahankan tanahair kami ini.

YING FENG : Ya, betul tu.

TENGKU ZAHARAH : Saya difahamkan oleh anakanda saya, kamu berdarah


keturunan cendiakawan di negara asal kamu. Beliau mati kerana derhaka
kepada maharaja?

YING FENG terkejut lantas pandang YUENHE. ALANG TUNGGAL dan MELATI juga
dapat rasakan keresahan YING FENG.

MELATI : Ayahnya dituduh.. difitnah, Tengku.

ALANG TUNGGAL beri isyarat supaya MELATI tidak menyampuk.

YING FENG : Ya, papa saya dituduh dan dihukum tanpa sempat dia
membela dirinya, tengku.

TENGKU ZAHARAH : Ohh! Pasti begitulah yang diceritakan kepada kamu kan?
Kamu ini bijak dan cantik. Patutlah anakanda saya juga hilang dalam keasyikan
ini. Apabila kecantikan yang punya akal licik begini, pastinya kebijaksanaan
seorang lelaki itu boleh kabur, bukan? Malangnya anakanda Tengku Kamil
terperangkap sehalus ini.

YING FENG, YUANHE, MELATI dan ALANG TUNGGAL terkejut dengan kata-kata itu.

59
skripTanahAkhirku
oleh: sitijasminaIbrahim 60

TENGKU ZAHARAH : Ying Feng, kami ini keluarga yang dihormati dan punyai
sejarah panjang dalam salasiah kami, ia adalah suatu kehebatan yang amat
bernilai . Tengku Kamil putera sulung saya itu, darah kepahlawanan,
kepimpinannya adalah yang paling sempurna mewarisi sejarah kehebatan kami
itu. Dia seorang lelaki yang sangat baik, sayangkan rakyat, kuat semangat juang
bangsa dan tanahairnya.

YING FENG : Ya, benar. Saya amat hormati dan kagumi peribadinya. Saya
faham, kerana walau kami berbeza budaya, dia tetap memberi kasih sayangnya
buat semua. Namun tidak juga dia lupakan perjuangan pertahankan bangsa
agamanya.. saya percaya semua orang yang ada kesedaran begitu akan buat
perkara yang sama.

TENGKU ZAHARAH : Jadi kamu pun begitu? Ada perjuangan kamu?

YING FENG : Ya pasti ada. Tanah ini beri harapan yang hidupkan
semangat kami semula, tengku.. saya amat hargainya.

TENGKU ZAHARAH : Baguslah jika kamu juga punya tuju yang harus kamu
terus bergerak dan capainya. Bergeraklah terus tanpa perlu bawa anak saya,
Tengku Kamil bersama. Dia diperlukan di sini tanpa ada gangguan dari sesiapa
pun, termasuk cinta.

YUENHE : Mungkin Tengku ada salah faham... Ying Feng…

YING FENG : Saya tidak pernah menghalang atau cuba menganggu Tengku
Kamil. Jika cintalah yang Tengku Zaharah bimbangkan, cinta kami tidak tumbuh
dengan cara begitu. Cinta kami datang kerana kuatnya perjuangan kami itu.
Cinta kami terbina dari harapan untuk mencapai keadilan.

TENGKU ZAHARAH : Itu semua kata-kata sang asyik masyuk bercinta. Betul
tak Alang? Kalian berada dalam ruang yang sama sehingga tidak nampak
musibah yang akan berlaku. Penyatuan ini tidak benar!

MELATI : Ayah! Takkan ayah nak diamkan saja? Maaf Tengku


Zaharah, kami ini dijemput oleh anakanda tengku dengan cara baik, kenapa
hinaan sindiran begini yang tengku beri pada kak Ying Feng?

YUENHE : Melati? Ying Feng? Sudahlah… mari kita balik.

60
skripTanahAkhirku
oleh: sitijasminaIbrahim 61

ALANG TUNGGAL : Maafkan saya Tengku.. maaf juga dengan cara Melati
berkata-kata. Bukan kami tidak mengenang jasa atau tidak berbudi bahasa, tapi
saya sendiri terkesan, mengapa bagai setiap kata Tengku itu, bagai panahan
tepat kepada Ying Feng? Sedangkan Tengku Kamil menulis kepada saya, bahawa
kedatangan kami ini adalah untuk bertemu Tengku Khadri, atas kerana dia mahu
minta maaf dan bantu mereka ini.

TENGKU ZAHARAH : Maaf Alang, surat itu saya yang menulisnya. Kamil pun
sudah saya hantar jauh ke Singapura awal-awal lagi. Alang perlu faham
anakanda saya itu, memang seorang yang naif.

Muncul TENGKU KHADRI.

TENGKU KHADRI : Alang, tak usahlah pura-pura terkejut pula, Tengku Kamil
itu memang mudah saja terperangkap bermain cinta, tambah lagi dengan godaan
syaitan seperti dia itu. Jadi bonda haruslah menjaga keselamatan anakanda
kesayangannya itu!

TENGKU ZAHARAH : Ying Feng! Dengar sini! Tengku Kamil dan kamu tidak
akan bersama. Takkan mungkin aku restu! Tengku Kamil anak yang tidak pernah
mengingkari dan amat kasihkan bondanya ini. Lupakanlah dia, jangan jadikan
anakandaku itu sebagai tempat kamu berpaut, bergayut meraih masa depan
bersamanya! Rasanya kamu sangat bijak untuk faham makna setiap bahasa yang
saya tuturkan tadi, bukan? Bahasa Melayu kamu pun sangat bagus apabila
bertutur dengan saya ini.

YING FENG : Tengku Zaharah! Semua yang tengku katakan itu, datang
dari perancangan manusia.. sedangkan apa yang kami rasai bersama ini, bukan
datang dari perancangan dunia, tapi bak kata anakanda Tengku itu, ia datang
dari Tuhan. Terima kasih atas jemputan malam ini. Sampaikan salam saya pada
anakanda Tengku itu.

YING FENG ajak semua beredar. YUENHE pandang TENGKU ZAHARAH dengan rasa
marah. MELATI sendiri bengang dan ikut beredar bersama YING FENG. ALANG TUNGGAL
yang tinggal, masih cuba memahankan semuanya.

61
skripTanahAkhirku
oleh: sitijasminaIbrahim 62

TENGKU ZAHARAH : Alang kau patut lebih faham perjuangan kita bagaimana
bukan? Mereka itu pendatang yang hanya mengganggu. Kau pun sudah semakin
lemah, Alang. Membenarkan siapa saja dari apa jua bangsa menetap di
kampungmu itu. Apa kau mahu jadi api dalam sekam buat bangsa kita. Semakin
lama mereka di sini, semakin selesa di tanah ini! Kau patut faham itu!

ALANG TUNGGAL : Saya tidak faham jika begitu yang difikirkan, kerana saya
diajar dan mengajar anak Tengku untuk menghargai setiap kurniaan Tuhan dan
menghormati setiap makhluknya, selagi maruah dan agama tidak diganggu dan
dihina. Jauh sungguh dengan apa yang Tengku Zaharah faham dan amalkan.
Bagai air beriak, tandanya tak dalam. Assalamualaikum.

ALANG TUNGGAL turut beredar dengan rasa amat kesal. TENGKU ZAHARAH terkesan
juga dengan kata kata ALANG TUNGGAL itu tapi dia tetap keras hati.

***

62
skripTanahAkhirku
oleh: sitijasminaIbrahim 63

BABAK 4- ADEGAN 3
LATAR: RESTORAN TAUKEH SAN
Ada persembahan tarian muzik cina di atas pentas kecil dalam Restoran San. TAUKEH
SAN dan OHC sedang menikmati persembahan. OHC suka dengan persembahan. Pelayan
hidang lagi minuman.
(Bahasa Inggeris)

OHC : Taukeh San, saya ada dengar tentang Ying Feng. Adiknya juga
sudah mati? Kenapa boleh jadi begini? Saya ingat kamu akan selesaikan semua
masalah pergaduhan ini. Nampaknya kamu seperti sudah gagal Taukeh San.
Semua ini hanya akan menjadi sebab huru-hara yang lagi teruk.

TAUKEH SAN : Tidak. Semua sudah selesai. Tapi memang Ying Feng itu istimewa
sedikit. Dia dekat dengan Tian Loong dan Tengku Kamil.

OHC : Tengku Kamil juga? Menarik. Atau masalah?

TAUKEH SAN : Ying Feng itu jalan penyelesaian, sebenarnya.

OHC : Maksudnya?

TAUKEH SAN : Ying Feng sudah berdamai sama tanah ini, sedangkan
kebanyakkan kami masih mimpikan untuk pulang ke China suatu hari nanti.
Daya tarikannya di tanah ini, itu kelebihannya. Bukan sahaja untuk kami tapi
untuk semua.

OHC : Luar biasa. Kenaifan yang menjadikan kekuatan. Dan saya


nampak dia boleh menyatukan dan dia juga boleh memulakan sesuatu yang
membawa kepada perubahan yang saya mahukan.

TAUKEH SAN : Perubahan?

OHC : Jangan risau Taukeh San, pihak British akan sentiasa menjaga
keselamatan semua! Begini, saya minta sekarang ini Taukeh San cuba
kumpulkan semua penduduk, seperti satu acara. Kita jumpakan semua dan kita
cari jalan penyelesaian atas semua salah faham ini. Boleh?

TAUKEH SAN terpandang ke pentas. Persembahan. Dia pandang OHC. OHC seakan faham.
Ruang Restoran TAUKEH SAN digelapkan.

63
skripTanahAkhirku
oleh: sitijasminaIbrahim 64

Muncul YING FENG di satu sudut lain. TAUKEH SAN menghampirinya.


(Bahasa Mandarin)

TAUKEH SAN : Terima kasih datang tunggu saya. Ying Feng, saya tahu apa yang
Tian Loong sudah buat pada kamu dan kematian Chow Yang. Saya sangat sedih
dengan kematiannya.

(Bahasa Melayu)

YING FENG : Apa yang Taukeh San mahu dari saya?

TAUKEH SAN : Ada sesuatu yang sudah dirancang demi impian penyatuan yang
kamu selalu katakan itu.

YING FENG : Penyatuan?

TAUKEH SAN : Usaha hentikan pergaduhan dan saya sendiri mahu berhenti dari
bergaduh dengan Tian Loong. Mahu semua kaum sama-sama boleh hidup aman.
Sama macam apa yang kamu buat. Dan saya sudah fahamkan British semua itu
boleh berlaku.

YING FENG : Bagaimana caranya?

TAUKEH SAN : Seni. Ada kumpulan Opera Cina akan datang. Mereka mahu
pelakon sama-sama dengan mereka. Mereka akan ajarkan Ying Feng. Ini kata
Tuan Henry sebagai gabungan budaya. Penyatuan seni. Saya mahu minta tolong
Ying Feng kerana dengan adanya awak sahaja, Tian Loong akan muncul di
persembahan opera itu. Semasa persembahan itu juga nanti, perbincangan
antara semua ketua akan diadakan.

YING FENG : Adakah Tengku Kamil akan ada bersama?

TAUKEH SAN : Maaf Ying Feng, saya tak dapat pastikan dia akan datang atau
tidak, tapi buat masa sekarang, ini saja jalan terbaik yang saya boleh lakukan
untuk menghentikan kekalutan ni.

YING FENG akur dengan kenyataan itu.

Ruang di bahagian YING FENG dan TAUKEH SAN digelapkan. Diterangkan di bahagian
bertentang. OHC dan TENGKU KHADRI ada.

64
skripTanahAkhirku
oleh: sitijasminaIbrahim 65

(Bahasa Inggeris)

OHC : Apa yang kau mahu?

TENGKU KHADRI: Jaminan keselamatan aku! Abang aku ke Singapura, balik nanti
dia akan pastikan aku tidak ada kuasa lagi mentadbir mengaut untung apa-apa
pun! Aku kenal sangat abang aku itu. Pendiriannya tak boleh diubah.

OHC : Kau datang ke persembahan Opera Cina itu nanti. Semua akan
selesai. Kau lihat sendiri. Percaya cakap aku.

TENGKU KHADRI: Selesai? Tuan nak buat apa?

OHC : Memastikan tujuan British tidak tergugat. Untuk pastikan


keuntungan yang aku dapat di daerah ini terus kepada aku, dan bukan kepada
pusat pentadbiran British sendiri. Untuk pastikan kematian yang akan
meneruskan segala kerja yang beri kekayaan kepada aku! Kau faham? Jangan
risau. Kau akan selamat. Aku jamin.

TENGKU KHADRI: Itu yang aku nak tahu. Terima kasih tuan.

Mereka berjabat tangan. Lampu padam.

***

65
skripTanahAkhirku
oleh: sitijasminaIbrahim 66

BABAK 4- ADEGAN 4
LATAR: RUANG BERSOLEK YING FENG & RUANG TENGKU KAMIL
Terlihat YUANHE, MELATI & PRIYA menemani YING FENG yang sedang persiapkan diri
untuk persembahan opera. Wajahnya kosong tapi terasa kesedihan yang ditanggungnya,
dia pegang peluk bekas abu mayat CHOW YANG.
(Bahasa Melayu)

YING FENG : Papa, cahaya kekal datang walau di mana pun kita. Ying
Feng tahu papa sudah bersatu bersama cahaya itu. Sekarang ini, adik juga sudah
ada di sana menemani papa kan? Dapat rasai hangatnya cahaya papa dan Chow
Yang terus memujuk hati yang terus menangis ini… Papa, saya temui cinta di
sini. Cintakan tanah, air dan udaranya. Cinta di hati, tapi dia telah dijauhkan dari
hati ini, oleh keluarganya. Kami tidak diberi peluang untuk tunjukkan betapa
sucinya cinta ini.. mereka memadam cahayanya dengan begitu cepat.. Papa,
Chow Yang, saya akan tunaikan mungkin kali akhir luahan rasa cinta di tanah
akhir ini dalam sebuah persembahan opera cina. Semoga cinta saya juga akan
pulang dan datang.. Saya rindukannya..

Ruang monolog Ying Feng digelapkan dan di satu bahagian lain pula, muncul TENGKU
KAMIL seperti merasai cahaya yang sama. Selesai membaca surat yang diterimanya.

TENGKU KAMIL : Ying Feng, terkilannya hati ini mendengar segala cerita…
Maafkanku.. Peganglah kepercayaan cinta kita saja. Peganglah! Tempatku di
sisimu dan aku berjanji akan segera pulang, betulkan semua yang dikau sedang
tanggung itu.. Teguhkanlah cinta kita itu. Sinar rindu ini amatku rasai.. Segalanya
akan terlerai sepulangnyaku nanti.

TENGKU KAMIL juga melihat dari jauh dan melepaskan kerinduannya buat YING FENG.
LATAR TENGKU KAMIL digelapkan.

***

66
skripTanahAkhirku
oleh: sitijasminaIbrahim 67

BABAK 4 - ADEGAN 5
LATAR: RESTORAN TAUKEH SAN & PENTAS OPERA CINA
Fokus pada pentas opera Restoran Taukeh San. Kedengaran lagu opera dimainkan. YING
FENG berpakaian opera menuju ke pentas opera. Terlihat ketika ini, ramai orang sudah
berhimpun di Restoran San termasuk TAUKEH SAN, OHC, TENGKU KHADRI, YUANHE,
ALANG TUNGGAL, MELATI, PRIYA dan ARJU.
YING FENG ke tengah pentas. Dia tenangkan dirinya sebelum mula bermonolog sambil
membuat gerakan opera cina. Ada muzik persembahan rentak sayu mengiringi.

YING FENG : Kisah ini bukan datang dari senda gurau. Ia lahir dari jauh dalam hati
seorang puteri. Puteri itu mimpikan istana di atas tanah paling akhir yang dia
sampai. Di sinilah tempatnya. Dia bahagia. Bahagia dalam mimpinya saja. Dahulu
ayahanda puteri dibunuh di pentas, maka tidak akan puteri benarkan ajalnya
tiba di situ juga.

Terlihat TIAN LOONG bersama LIM dan pengikutnya sampai namun hanya berdiri sahaja.

YING FENG : Bagaimana mungkin mimpi puteri jadi kenyataan, apabila gelap
kejahatan mahu membunuh cahaya. Tiada yang benar mahu aman di sini.
Mereka hanya mahu kesenangan sendiri. Tiada yang mahu bersama di sini,
mereka hanya suka kuasa dalam pelukan. Maka, matilah jiwa-jiwa yang suci.
Dikuburkan sebelum nafasnya sempat berhenti. Matilah cinta sejati. Hilang di
tanah akhirku ini.. Walaupun hanya kecil suaraku menentangmu duhai penjajah,
ku tahu ramai sudah fahami erti menjadi satu. Bermulalah hari ini dan hari
seterusnya walau 100 tahun lagi, impian ini akan tetap hidup di tanah akhirku.

(Bahasa Inggeris)

TENGKU KHADRI bisik kepada OHC, kemudian OHC bangun sendiri dan menepuk
tangannya.
OHC : Bagus Ying Feng! Bagus! Aku sudah faham apa yang kau katakan di atas
pentas itu, namun impian kau itu aku mampu tamatkannya bila-bila masa saja
kalau aku mahu! Kamu semua lihatlah sendiri, adakah keadaan sekeliling kamu
sekarang aman? Setelah perjuangan demi perjuangan di lakukan? Tidak, sebab
kamu semua tamakkan kuasa, berebut sesama kamu, punya iri hati terhadap
bangsa-bangsa lain. Kamu semua takkan mencapai kedamaian dan kesatuan.
Apa yang kau cakap Ying Feng, itu semua hanyalah mimpi, angan-angan yang
kononnya kamu semua mahukan. Itulah sebabnya kami ada di sini, untuk

67
skripTanahAkhirku
oleh: sitijasminaIbrahim 68

mengatur hidup kamu semua. Menjadi tunggak keamanan buat kamu semua!
Kami yang sebenarnya punyai kuasa penuh atas tanah ini, bukan kamu! Dan
sekarang aku akan tunjukkan apa akan jadi jika kamu semua tidak dengar cakap
aku.

OHC mengeluarkan pistolnya. Pemain opera lain takut dan turun dari pentas. YING FENG
tidak gentar. TENGKU KAMIL masuk bersama dua tentera British dan seorang ketua
pegawai British. YING FENG terkejut lihat TENGKU KAMIL datang. PEGAWAI BRITISH
mengarahkan tenteranya menangkap OHC.

(Bahasa Inggeris)

PEGAWAI BRITISH: Officer Henry Charles! Kamu di tahan!

OHC : Tuan? Macam mana tuan boleh…

TENGKU KAMIL : Aku yang bawa meraka dari Singapura. Aku dah laporkan semua
kesalahan kau mentadbir di negeri ini.
PEGAWAI BRITISH: Kami sudah dapat bukti tentang kesalahan kamu terutama
perancangan mengaut semua hasil keuntungan bijih timah di sini, ke dalam
poket kamu sendiri. Kami di Singapura sudah lama tidak dapat sebarang hasil
dari lombong Tian Loong dan San.

TIAN LOONG terkejut dan hampiri mereka.


(Bahasa Melayu)

TIAN LOONG : Tengku Kamil! Kau cakap semua hasil keuntungan bijih timah itu,
dia ambil? Semuanya? Kau tipu aku Henry?

TENGKU KAMIL : Selama ini dia tak pernah hantar hasil di sini kepada mereka.
Semua dia ambil dan dia beri kepada ‘pengikut dia’ yang boleh ikut apa saja yang
dia mahukan. (kepada OHC) Dan kau juga sengaja pecah belahkan kami untuk
kepentingan kau ini!

TENGKU KAMIL pandang TENGKU KHADRI. TIAN LOONG hampiri TENGKU KHADRI dan
nak pukul tapi YING FENG jerit nama TIAN LOONG. Tak benarkan dia buat apa apa.
TENGKU KHADRI sudah ketakutan.

(Bahasa Inggeris)

OHC : Tuan! Semua tuduhan ini tak benar. Tengku Kamil sengaja mahu
aniaya saya. Taukeh San dan Tengku Khadri saksinya. Mereka tahu apa yang aku
buat dan apa yang aku tak buat! Taukeh San, Khadri! Beritahu mereka!

68
skripTanahAkhirku
oleh: sitijasminaIbrahim 69

TAUKEH SAN dan TENGKU KHADRI berdiam sahaja.

PEGAWAI BRITISH : Mereka di sini yang tidak ada kuasa sebesar yang kamu miliki,
yang kamu tuduh mahu aniaya? Henry jangan nak perbodohkan ketua kamu ini!

TAUKEH SAN buat buat tekejut sama. Dia hampiri TENGKU KAMIL.

OHC : Taukeh San! Apa yang kau buat ni? Tolong aku!

(bahasa melayu)

TAUKEH SAN : Memang Tuan Henry tidak benarkan saya hantar hasil
keuntungan bijih timah kami. Ia disimpan oleh Tuan Henry sendiri.

TENGKU KHADRI : Apa maksudnya semua ni? Abang memang sudah berpakat untuk
kenakan Tuan Henry selama ni?

TENGKU KAMIL : Aku tak pernah nak aniaya orang seperti mana yang kau dan tuan
kau ini buat! Aku hanya minta Taukeh San kumpulkan semua bukti untuk aku
bawa kepada mereka. Dan kau Khadri, aku dah beritahu yang jangan kau lupa
ajaran guru kita. Cara kau dah pincang, hujung kesannya apa semakin songsang
kalau kau tak mahu sedar!

TENGKU KHADRI : Sanggup abang buat semua ni pada adik abang sendiri?

TENGKU KAMIL : Sanggup kau biar adik orang lain mati depan mata tanpa kau
tolong pun kan?

(Bahasa Inggeris)

PEGAWAI BRITISH : Henry Charles! Kamu diminta ikut kami ke Singapura dan
tindakan undang undang akan diambil ke atas kamu.

OHC : Tidak! Aku tak salah apa apa pun! Aku tak salah!

69
skripTanahAkhirku
oleh: sitijasminaIbrahim 70

TENGKU KHADRI : Begini ya rancangan kau Kamil. Baiklah, aku akur dengan
kekalahan ini. Tapi buat penutupnya aku ada kata terakhir untuk kau wahai
abangku. Jika aku tidak dapat apa yang aku mahu, kau pun begitu juga!

TENGKU KHADRI lantas mengeluarkan pistolnya dan terus di acukan pada Ying Feng.
Semua terkejut. TIAN LOONG dengan pantas meluru ke pentas memeluk YING FENG lalu
kedengaran bunyi tembakan dilepaskan. TENGKU KAMIL segera menumpaskan TENGKU
KHADRI, namun TENGKU KHADRI hanya gelak sahaja. TIAN LOONG rebah di pangkuan
YING FENG.

YING FENG : Tian Loong! Tangkap mereka! Tangkap mereka berdua!

TENGKU KAMIL dan TAUKEH SAN terus naik ke pentas di ikuti LIM dan pengikut-pengikut
TIAN LOONG.

Dua tentera British bersama ARJU segara tangkap OHC dan TENGKU KHADRI. Dia masih
meronta ronta nak lepaskan diri.

YING FENG : Ingatlah semua! Jangan pernah sia-siakan pengorbanan kita


semua. Jangan hanya kerana salah faham kita tidak pernah mahu bersatu. Lihat!
Ini baru permulaannya saja. Lihatlah bertapa kuatnya apabila kami di sini semua
bersatu! Kuasa dalam dunia ini sekuat mana pun, mampu kita runtuhkan! Ingat!
Jangan pernah kita putus harapan untuk mencapai keadilan!

OHC bengang. Dua tentera itu bawa OHC keluar dari tempat tersebut. TENGKU KHADRI
juga ARJU yang tangkap. TENGKU KHADRI di bawa keluar.

YING FENG terharu berdiri di tengah pentas. TENGKU KAMIL hampirinya. Dia ambil sapu
tangannya dan kesat air mata YING FENG.

Lampu padam.

TAMAT

70