Anda di halaman 1dari 17

BAB 1

PERKEMBANGAN BIDANG KOMUNIKASI

OBJEKTIF BAB

Setelah mempelajari bab ini, anda seharusnya boleh:


1. Mentakrifkan konsep komunikasi.
2. Menjelaskan perkembangan bidang komunikasi di Barat dan
Malaysia.
3. Membincangkan ilmu komunikasi sebagai ilmu sains sosial.

1.1 PENGENALAN

Dalam bab ini kita akan membincangkan perkembangan dan


pembangunan bidang komunikasi yang menjadi salah satu cabang bidang
ilmu serta semakin mendapat perhatian. Bidang komunikasi menjadi
semakin penting kerana kebanyakan perkara yang dilakukan memerlukan
kita berkomunikasi. Kita tidak boleh hidup tanpa komunikasi. Cuba
bayangkan apa akan berlaku apabila kita kehilangan orang yang disayangi
seperti ibu bapa tetapi kita tidak meluahkan perasaan sedih melalui
komunikasi. Jika keadaan ini berterusan maka perasaan tersebut akan
mengganggu fikiran kita dan sukar untuk menerima hakikat yang telah
ditentukan oleh Tuhan.

Komunikasi penting dalam kehidupan kita sama ada kita sebagai


individu, ahli keluarga, anggota masyarakat, pekerja sebuah organisasi
dan rakyat sebuah negara. Justeru untuk memperkasakan diri sebagai
individu, ahli keluarga, ahli organisasi dan sebagai pemimpin, seseorang
itu perlu memahami proses komunikasi. Ini penting kerana ia dapat
meningkatkan komunikasi dalam diri kita supaya kita dapat menjadi
komunikator yang baik demi kecemerlangan diri kita sendiri, keluarga,
organisasi mahupun negara.

Ilmu pengetahuan mengenai teori komunikasi akan membantu kita


membuat perancangan terhadap sesuatu situasi dan kita cuba
menyelesaikannya sehingga menghasilkan kejayaan. Tidak kira sama ada
dalam pelbagai situasi seperti hubungan majikan dengan pekerja,

1
pembuatan keputusan oleh pemimpin terhadap sesuatu dasar, sepasang
suami isteri yang menghadapi krisis rumah tangga dan lain-lain lagi, ada
teori-teori komunikasi tertentu untuk menerangkannya.

1.2 TAKRIF KOMUNIKASI

Komunikasi ditakrifkan sebagai satu proses sistematik yang terjadi


apabila individu berinteraksi dengan simbol dan melalui simbol untuk
mencipta dan mentafsir makna. Menurut Dance (1976) konsep
komunikasi mempunyai tiga tahap yang berbeza seperti berikut:

1. Tahap pemerhatian (level observation)

Tahap ini mengandaikan bahawa terdapat definisi komunikasi luas dan


sempit. Secara umum, definisi komunikasi ialah proses merapatkan
hubungan yang terasing di dunia ini (Ruesch, 1957). American College
Dictionary (1964) mendefinisikan komunikasi sebagai kaedah
penghantaran mesej oleh tentera, arahan menggunakan telefon, telegraf,
radio dan kurier, tetapi definisi ini agak terhad maksudnya kepada kaedah
penghantaran mesej menggunakan peralatan tertentu.

2. Tahap tujuan/niat (intentionality)

Komunikasi ialah keadaan sumber menyalurkan mesej kepada penerima


untuk mempengaruhi perlakuan penerima. Setiap proses komunikasi
perlu mempunyai tujuan atau niat oleh sumber (Miller, 1966).
Komunikasi juga sebagai proses mewujudkan persamaan antara dua
orang atau lebih, sesuatu yang dikuasai oleh seseorang atau beberapa
orang (Gode, 1959).

3. Pertimbangan normatif (normative judgement)

Tahap ini melihat sama ada takrifan komunikasi mempunyai kenyataan


yang menyebut tentang kejayaan ataupun ketepatan proses komunikasi.
Menurut Hoben (1954) komunikasi merupakan pertukaran secara lisan
sesuatu idea atau pandangan. Definisi ini mengandaikan bahawa
pertukaran idea atau pandangan tersebut telah berjaya dilaksanakan.

Manakala Berelson dan Steiner (1964) berpendapat bahawa komunikasi


ialah proses pemancaran maklumat. Namun begitu, definisi ini tidak
menyebut sama ada maklumat yang disalurkan diterima atau difahami
atau sebaliknya.

Berdasarkan tahap definisi komunikasi yang dibincangkan dapat


disimpulkan bahawa komunikasi itu sesuatu yang luas, mempunyai tujuan

2
dan kesan ataupun sebaliknya. Selalunya proses komunikasi adalah
kompleks dan berubah mengikut situasi. Oleh itu, ada kalanya kita dapati
komunikasi sebenarnya bukanlah ‘ya’ ataupun ‘tidak’, ‘hitam’ ataupun
‘putih’ tetapi berada dalam suatu kontinum yang wujud antara definisi
yang luas, tidak bertujuan dan tidak mempunyai apa-apa kesan dan
bergerak kepada satu penghujung lagi iaitu definisi yang sempit,
bertujuan dan mempunyai kesan. Ini digambarkan dalam Rajah 1.1.

Rajah 1.1
Perbandingan Tiga Tahap Definisi Komunikasi

Definisi Definisi
Komunikasi Komunikasi

Sempit Agak luas Luas


Bertujuan Bertujuan Tidak bertujuan
Ada kesan Tiada kesan Tiada kesan

Menurut Littlejohn (1996) perbahasan mengenai definisi komunikasi


boleh dikategorikan seperti dalam Jadual 1.1.

Jadual 1.1
Perlakuan Berkaitan Komunikasi

Perlakuan Perlakuan Tanpa Perlakuan dengan Tujuan


Penerima Tujuan (Simptom)
Bukan verbal Verbal

Tidak terima 1A 2A 3A
perlakuan mesej bukan mesej verbal
dengan simptom verbal yang tidak ditanggap
tidak ditanggap tidak ditanggap

Terima secara 1B 2B 3B
tidak sengaja simptom yang mesej bukan mesej verbal
ditanggap secara verbal secara tidak secara tidak
tidak sengaja sengaja sengaja

Beri perhatian 1C 2C 3C
simptom yang diberi mesej bukan verbal mesej verbal
Sumber: Littlejohn. (1996)
perhatian yang diberi yang diberi
perhatian perhatian

Sumber: Littlejohn. (1996).

3
1A Anda menguap, tiada siapa nampak.
1B Anda menguap dan kawan anda nampak, tetapi tiada
respons pada masa itu. Hanya selepas itu baru kawan
anda tahu yang anda bosan dengan perkara yang
diceritakan.
1C Anda menguap, kawan anda bertanya “Bosankah awak
dengar cerita saya?”.
2A Mesej bukan verbal tidak diterima; anda melambai, kawan
anda tidak nampak.
2B Rakan anda minta maaf sebab tidak melambai kembali
kerana tidak sedar anda melambai kepadanya.
2C Anda melambai kawan anda kembali.
3A Anda hantar surat, kawan anda tidak terima.
3B Anda memarahi anak anda kerana tidak mengemas bilik,
anak anda tahu anda bercakap dengannya tapi dia tidak
beri perhatian kepada apa yang anda cakapkan.
3C Anda memberi penerangan kepada sekumpulan pelajar
yang berminat mendengar perkara yang anda cakapkan.

Daripada senarai perlakuan yang dibincangkan yang mana satu boleh


dikatakan sebagai perlakuan komunikasi?. Mengikut Motley (1990)
komunikasi dihadkan kepada mesej yang secara sedar ditujukan kepada
orang lain dan diterima oleh mereka (lihat Rajah 1.2). Sementara itu,
Andersen (1991) berpendapat bahawa komunikasi melibatkan perlakuan
yang memberi makna kepada orang lain, secara sedar atau tidak (lihat
Rajah 1.3). Clevenger (1991) sependapat dengan Motley (1990) yang
menyatakan komunikasi merupakan mesej yang dihantar dan diterima
secara sedar dengan niat. Lantaran agak sukar untuk menentukan niat
atau tujuan komunikator, maka menurut Clevenger perlakuan
komunikasi; perlu meliputi kedua-dua pemberian dan penerimaan mesej
seperti Rajah 1.4.

Rajah 1.2
Model Penyampai – Penerima (Motley, 1990)

1A 2A 3A

1B 2B 3B

1C 2C 3C

4
Rajah 1.3
Model Penyampai (Andersen, 1991)

1A 2A 3A

1B 2B 3B

1C 2C 3C

Rajah 1.4
Model Perlakuan Komunikasi (Clevenger, 1991)

1A 2A 3A

1B 2B 3B

1C 2C 3C

Sumber: Littlejohn. (1996).

Terdapat perbezaan antara pandangan sarjana mengenai definisi


komunikasi. Sudut pandangan berbeza ini disebut sebagai perspektif.
Perspektif yang berbeza menjadikan penyelidik membuat pelbagai
persoalan dan membuat penyelidikan berlainan. Perspektif ini akan
disentuh lebih lanjut dalam Bab 3. Oleh itu, definisi komunikasi perlu
dinilai berdasarkan setakat mana para penyelidik dapat mencapai tujuan
penyelidikan mereka dan menjawab persoalan-persoalan yang timbul.

Saya harap anda akan jelas dan mendapat gambaran sebenarnya definisi
komunikasi. Kejelasan dan kefahaman anda penting bagi membolehkan
anda mengikuti perbincangan seterusnya.

Bolehkah anda mendefinisikan komunikasi dari perspektif


anda sendiri?

1.3 PERKEMBANGAN BIDANG KOMUNIKASI

Dalam bahagian ini kita akan membincangkan bagaimana bidang


komunikasi berkembang. Kita akan meninjau perkembangan bidang
komunikasi di Barat dan kemudian diikuti perkembangan bidang ini di
Malaysia.

5
1.3.1 Perkembangan di Barat

Bidang komunikasi merupakan antara salah satu bidang pengajian yang


semakin mendapat perhatian. Komunikasi mula menjadi tumpuan
dengan perkembangan pesat teknologi komunikasi seperti radio,
televisyen, telefon, satelit, rangkaian komputer dan politik dunia.

Menurut Griffin (1997) zaman perkembangan komunikasi di Barat boleh


dibahagikan kepada beberapa era tertentu:

(a) Era Awal (1900 – 1950): Kebangkitan Retorik

Guru-guru yang mengajar pengucapan menjadi ahli Jabatan Bahasa


Inggeris lebih menekankan persembahan lisan. Mereka dipandang rendah
berbanding orang yang mempelajari dan mengajar kesusasteraan. Namun
begitu, pada tahun 1953 terdapat lebih 200 universiti dan kolej di
Amerika Syarikat yang mengasingkan Jabatan Pengucapan dengan
Jabatan Bahasa Inggeris. Pengasingan ini menunjukkan bahawa
pengucapan awam menjadi semakin penting.

Kursus yang ditawarkan menekankan panduan praktik dalam


mempengaruhi penerima melalui hebahan awam (public address),
interpretasi lisan, drama, debat dan perbincangan meja bulat. Guru-guru
menggunakan tulisan zaman Greek dan Rome sebagai bahan rujukan.
Plato, Aristotle, Cicero dan Quantilian merupakan sumber bahan
pengajian dalam hebahan awam.

Kritik retorik antara aktiviti yang relevan pada masa itu. Ucapan sebagai
elemen komunikasi kepada penerima khusus. Penekanan utama ialah
analisis dan apresiasi sebagai strategi yang digunakan oleh perucap untuk
menyampaikan idea kepada para pendengar.

(b) Era Komunikasi dan Sains Sosial (1930 – 1960): Kesan Media

Menurut Griffin (1997) peringkat kedua ialah era kebangkitan empat


orang sarjana yang digelar ‘bapa penyelidikan komunikasi’. Schramm
(1963) telah menamakan empat orang sarjana yang menggunakan
pendekatan sains perlakuan untuk mengkaji kesan mesej pembujukan
terhadap audien yang ramai. Mereka terdiri daripada

Harold Lasswell - ahli sains politik membuat analisis propaganda Nazi


untuk mengenal pasti kesan terhadap pendengar. Menurut Lasswell
proses komunikasi mengandungi empat unsur – siapa berkata apa,
melalui saluran mana, kepada siapa, dengan kesan apa.

6
Kurt Lewin – ahli psikologi sosial dan beliau menolak kepimpinan
autoritorian. Oleh itu, beliau telah mengkaji prejudis dan bagaimana
kumpulan mempengaruhi ahli dalam kumpulan.

Paul Lazarsfeld – pakar sosiologi yang menubuhkan Bureau of Applied


Social Research atau Biro Penyelidikan Sosial Gunaan di Universiti
Columbia untuk mendapat bantuan kewangan daripada kerajaan dan
sektor perniagaan. Beliau menjalankan penyelidikan radio yang menjadi
perintis kajian tinjauan dan teknik kumpulan fokus untuk melihat impak
penyiaran terhadap emosi.

Karl Hovland – ahli penyelidik psikologi meminati kajian tentang


perubahan sikap. Beliau menguji kesan pembujukan terhadap kredibiliti
sumber dan juga susunan hujah dalam mesej.

Seorang ahli sains sosial di Universiti Chicago iaitu Bernard Berelson


(1959) menganggap penyelidikan komunikasi semakin malap kerana
kesemua pengasas yang dikenal pasti oleh Schramm telah bersara,
meninggal dunia atau meninggalkan penyelidikan komunikasi.

Justeru, Schramm (1963) sendiri telah membentuk satu disiplin


komunikasi untuk menyokong bidang sains sosial yang sedia ada iaitu
psikologi, sosiologi, sains politik, ekonomi dan antropologi. Schramm
yang mempunyai pendidikan dalam bidang bahasa Inggeris merupakan
jurnalis yang berjaya. Pada akhir tahun 1960-an Schramm telah
menubuhkan program Ijazah Kedoktoran (Ph.d) pertama dalam bidang
komunikasi massa di Universiti of Iowa. Beliau juga menubuhkan
Institut Penyelidikan Komunikasi. Dengan penubuhan Institut
Penyelidikan Komunikasi ini taraf pengajian komunikasi dapat
ditingkatkan dan program yang sama telah dibentuk di Universiti
Stanford. Dengan sumbangan beliau, Schramm dianggap sebagai bapa
komunikasi, iaitu pengasas bidang komunikasi yang tulen kerana beliau
dari bidang kewartawanan.

(c) Era Revolusi Empirik (1950 – 1970): Teori dalam Tabung Uji

Sekitar tahun 1950-an wujud Jabatan Pengucapan yang menawarkan


kursus retorik yang mengandaikan ucapan pembujukan hanya
memerlukan perucap yang beretika dan hujah yang disampaikan ialah
logik. Namun, ahli akademik muda dan terlatih dalam bidang sains sosial
tidak dapat menerima kenyataan berkenaan sebagai kebenaran. Mereka
menguji kesahihan kenyataan ini dengan mengukur perubahan sikap.

Pada tahun 1950 sekumpulan penyelidik komunikasi membentuk satu


pertubuhan komunikasi yang dikenali kini sebagai International

7
Communication Association (ICA). Perubahan orientasi bidang komunikasi
berlaku apabila Shahnon dan Weaver (1949) mengasaskan model linear
komunikasi dan David Berlo (1960) memudahkan model kepada empat
bahagian asas iaitu

Sumber Mesej Saluran Penerima

Model SMCR merupakan satu cara piawai untuk melihat proses


komunikasi. Ekoran daripada perkembangan yang memberangsangkan,
kebanyakan jabatan di universiti menukar nama dengan menambah
perkataan komunikasi.

(d) Era Pergolakan 60-an (1960 – 1970): Asas Pelancaran


Komunikasi antara Perseorangan

Sekitar tahun ini perkembangan bidang komunikasi dipengaruhi peristiwa


yang berlaku di Amerika Syarikat. Pada era ini pelbagai isu timbul seperti
isu konfrantasi, hak asasi, rusuhan di bandar-bandar, penglibatan
Amerika Syarikat di Vietnam, demonstrasi di kampus-kampus, Beatles,
hippi, revolusi seks, budaya dadah, pembunuhan J.F.Kennedy dan
adiknya Robert, Marthin Luther King, Jr. dan Malcom X. Keadaan ini
memberi kesan kepada bidang komunikasi. Sebagai contoh komunikasi
antara perseorangan diperkenalkan menggantikan pidato umum.

Para pensyarah di universiti menganggap pengucapan awam sebagai


ketinggalan zaman dan jabatan-jabatan komunikasi berubah secara
radikal. Perkembangan ini termasuklah:

(i) Komunikasi antara perseorangan menggantikan pidato umum.


Liputan kursus ialah pada interaksi yang tertumpu kepada ciri-ciri
individu.
(ii) Para profesor menukar haluan dengan mengajar kursus komunikasi
bukan verbal, membentuk kepercayaan, pendedahan kendiri (self-
exposure), mengatasi konflik dan isu-isu berkaitan.
(iii) Fokus komunikasi bertukar daripada menerangkan kebenaran
kepada menunjukkan kesetiaan kepada pasangan. Apa yang
dinyatakan kurang penting berbanding bagaimana ia dituturkan dan
kesannya terhadap orang lain. Halangan menjadi lebih penting
berbanding kandungan mesej.
(iv) Jabatan-jabatan komunikasi antara perseorangan dan media
menjadi semakin penting. Walaupun retorik menjadi kurang
penting tetapi ia tidak hilang dan muncul kaedah baru untuk
membuat analisis retorik.

8
(e) Era Retorik Baru (1965 – 1980)

Edwin Black (1965) mengemukakan cara baru menganalisis ucapan.


Burgess (1968) telah menerbitkan artikel seperti The Rhetoric of Black Power
dan The Rhetoric of Confrontation oleh Scott dan Smith (1969). Dalam
artikel tersebut ucapan awam tidak mempunyai kaitan dengan ucapan
yang disediakan dengan rapi dan tidak diterima akal. Para sarjana
berpendapat bahawa hasutan sosial dan komunikasi bukan verbal
memainkan peranan penting dalam penerimaan mesej.

Dalam komunikasi massa pula didapati televisyen, filem dan muzik


popular mempunyai pengaruh dalam membentuk budaya umum, tidak
hanya memberi hiburan semata-mata. Menurut McLuhan (1967) media
ialah mesej (the medium is the message). Ini bermakna teknologi komunikasi
mempengaruhi perkembangan dan agen perubahan masyarakat. Sifat
teknologi komunikasi membolehkan individu berkomunikasi antara satu
sama lain. Sekitar lewat 1970-an perkembangan profesional pengucapan
di Amerika Syarikat berbeza daripada Sarjana di Eropah yang
menggunakan analisis Marxis untuk melihat peranan media dalam
membentuk nilai masyarakat. Mereka mengkritik kajian media oleh
Amerika Syarikat yang katanya bebas tetapi sebenarnya menyokong
kuasa ekonomi dan politik. Pandangan sarjana Eropah itu membantu
para sarjana komunikasi Amerika Syarikat mendapatkan maklumat untuk
terus bertelagah dengan sarjana di Eropah.

(f) Era Pencarian Model Sejagat (1970 – 1980)

Berbeza dengan sarjana retorik yang cuba membuat kepelbagaian, saintis


komunikasi cuba membuat penyatuan. Fokus penyelidikan bidang
komunikasi ialah menemui suatu teori besar kerana ia penting dalam
proses komunikasi.

Dalam bidang pidato umpamanya, penyelidik menekankan sebab berlaku


kekhuatiran bercakap. Penyelidik dinamika kumpulan pula menguji ciri-
ciri dan gaya kepimpinan, manakala penyelidik komunikasi massa cuba
menguji ciri-ciri dan kesan keganasan program televisyen. Mereka dalam
bidang pembujukan pula cuba mendapat jawapan kepada persoalan
“Apakah faktor kredibiliti sumber?”. Pada masa yang sama, kajian
komunikasi antara perseorangan meliputi pendedahan kendiri (self
exposure), harga diri (self esteem), komunikasi verbal dan mengatasi konflik.

Menurut Kuhn (1970) sains yang matang memerlukan model yang


mantap tetapi ahli sains sosial dalam bidang komunikasi belum mencapai
tahap tersebut. Dengan itu para penyelidik komunikasi mengejar impian

9
untuk mendapatkan model komunikasi yang boleh diterima umum
sebagai menggambarkan proses komunikasi.

Dalam usaha mengetahui faktor yang berkaitan dengan pembentukan


mesej dan interpretasi, kebanyakan buku yang ditulis sekitar 1970-an
memberi gambaran model proses komunikasi. Walau bagaimanapun, ia
merugikan kerana antara model dihasilkan itu tiada satu pun yang dapat
memberi gambaran secara menyeluruh tentang proses komunikasi.

(g) Era Pergolakan dalam Bidang (1980 – kini)

Griffin menggunakan perkataan ‘pergolakan’ bagi menggambarkan


percubaan untuk mengkaji pencampuran idea dan tenaga kreatif serta
tekanan yang berlaku dalam bidang komunikasi masa kini.

Penubuhan lebih banyak Jabatan Komunikasi dan bidang pengkhususan,


menyebabkan ramai pelajar berminat mengikuti kursus komunikasi
antara perseorangan dan massa. Perkembangan bidang komunikasi
keorganisasian, kemahiran kepimpinan, pengurusan konflik periklanan
dan perhubungan awam menjadi trend pada masa ini dan menyebabkan
lebih ramai pelajar yang mengikuti bidang tersebut.

Penyelidikan komunikasi juga berkembang selari dengan perkembangan


bidang penyelidikan umum kerana bidang ilmu memerlukan proses
penyelidikan untuk berkembang. Rumusan penyelidikan yang dijalankan
oleh para penyelidik komunikasi ialah seperti Handbook of Interpersonal
Communication dan Handbook of Organizational Communication. Banyak jurnal
diterbitkan yang memuatkan artikel berasaskan penyelidikan. Antaranya
ialah Communication Theory, Language and Social Interaction dan The Journal of
Social and Relationships. Daripada kandungan jurnal tersebut didapati lima
aliran dalam pengajian komunikasi iaitu

(i) Minat yang meningkat dalam penyelidikan interpretif (untuk


memahami dan memberi interpretasi) terutama kajian tentang
budaya dan kritik feminis yang cuba mengutarakan
ketidakseimbangan kuasa.
(ii) Lebih banyak kajian menggunakan kaedah etnografi iaitu
tumpuan penganalisis media ialah terhadap bagaimana mesej
ditafsirkan oleh setiap penonton berbanding kajian sebelumnya
yang tertumpu kepada kandungan mesej TV.
(iii) Percubaan untuk menembusi minda dengan membentuk model
struktur mental dan proses kognitif yang menjadi panduan
kepada perlakuan komunikasi.
(iv) Menumpu kepada fenomena percintaan, persahabatan dan
kekeluargaan.
(v) Perpecahan dalam pengajian komunikasi sekitar 1990-an.
10
Bolehkan anda bezakan ciri-ciri setiap era berkenaan?

1.3.2 Perkembangan di Malaysia

Bidang komunikasi di Malaysia berkembang dengan pesat dan


berperingkat-peringkat. Namun begitu, perkembangan pengajian
komunikasi di Malaysia banyak dipengaruhi oleh faktor keperluan
industri media dan komunikasi negara. Menurut Syed Arabi (2002)
sejarah dan perkembangan pengajian komunikasi di Malaysia dapat
ditinjau menerusi empat fasa.

Pada peringkat awal, bidang komunikasi di Malaysia dipengaruhi oleh


bidang kewartawanan. Sebelum mencapai kemerdekaan, media cetak
khususnya surat khabar memainkan peranan penting dalam masyarakat
untuk memupuk semangat kebangsaan (Mohd Safar, 1996). Di peringkat
ini peranan komunikasi ialah untuk politik dan sosioekonomi. Dari segi
pengajian komunikasi dalam era ini tidak wujud secara formal.

Fasa kedua yang bermula selepas Malaysia mencapai kemerdekaan


memperlihatkan bidang komunikasi menjadi semakin berkembang dan
mula mendapat perhatian. Salah satu titik awal perkembangan tersebut
dalam fasa ini ialah apabila operasi persuratkhabaran berpindah dari
Singapura ke Kuala Lumpur. Perpindahan ini telah menjana sektor baru
iaitu media cetak negara ini. Selain itu, sekitar tahun 1970-an pula bidang
komunikasi di Malaysia berkembang lagi dengan wujudnya bidang
penyiaran.

Pada sekitar tahun 1960-an dan 1970-an keperluan latihan secara formal
bagi ilmu komunikasi diperluaskan (Syed Arabi, 2002). Ini dapat
dibuktikan dengan tertubuhnya beberapa institusi yang bersifat
profesional berhubung komunikasi. Antara institusi yang dimaksudkan
ialah Berita Nasional Malayisa (BERNAMA) pada tahun 1968 yang
memfokus terhadap hal-ehwal kewartawanan. Pada tahun 1971 pula
memperlihatkan tertubuhnya Institut Perhubungan Awam Malaysia dan
penubuhan Institut Penyiaran Tun Abdul Razak pada tahun 1972 untuk
memberi latihan dalam bidang penyiaran dan media elektronik.

Fasa ketiga pula telah menyaksikan anjakan paradigma dalam bidang


komunikasi negara. Pada fasa ini, ilmu yang merupakan amalan
komunikasi mula memperlihatkan bidang-bidang baru selain bidang
kewartawanan dan penyiaran. Latihan serta profesion dalam penyiaran
radio, televisyen dan agensi berita mula digandingkan dengan bidang
periklanan dan perhubungan awam.

11
Pertengahan tahun 1970-an merupakan tahap kemunculan komunikasi
sebagai satu bidang pengajian formal. Pada fasa ini juga menyaksikan
penubuhan beberapa institusi pengajian tinggi yang menawarkan bidang
komunikasi massa khususnya sebagai satu program pengajian. Universiti
Teknologi MARA (UiTM) merupakan institusi pengajian tinggi awam
yang pertama menawarkan pengajian komunikasi dan diikuti dengan
universiti-universiti awam lain sebagaimana yang dinyatakan dalam Jadual
1.2. Hakikatnya pendidikan komunikasi pada fasa ini tidak terhad kepada
para pengamal media sahaja sebagaimana fasa-fasa sebelum ini.
Sebaliknya, bidang komunikasi pada fasa ini lebih bersifat terbuka tetapi
masih tertumpu kepada komunikasi massa khususnya penyiaran dan
kewartawanan.

Jadual 1.2
Sejarah Penubuhan Program
Pengajian Komunikasi IPTA Malaysia

Universiti Tahun
Penubuhan

1. Institut Teknologi MARA (Universiti Teknologi MARA) 1972

2. Universiti Kebangsaan Malaysia 1975

3. Universiti Malaya 1976

4. Universiti Pertanian Malaysia (Universiti Putra Malaysia) 1979

5. Universiti Sains Malaysia 1984

6. Universiti Islam Antarabangsa Malaysia 1990

7. Universiti Sarawak Malaysia 1993

8. Universiti Sabah Malaysia 1994

9. Universiti Utara Malaysia 1999

Fasa terakhir iaitu yang keempat bermula sekitar 1980-an telah


menunjukkan perkembangan pesat dan meluas dalam bidang komunikasi
di samping pengajian. Seiring dengan perkembangan sosioekonomi
negara, komunikasi menjadi semakin signifikan apabila ia berjaya muncul
sebagai salah satu bidang komersial. Pada peringkat awal hampir
keseluruhan pusat pengajian tinggi awam di Malaysia menawarkan
pengajian komunikasi massa. Namun, senario 1990-an dengan
berkembangnya bidang perniagaan, maka bidang komunikasi di Malaysia

12
telah memperlihatkan kemunculan bidang-bidang baru seperti
komunikasi keorganisasian, komunikasi korporat, periklanan, teknologi
komunikasi dan telekomunikasi di universiti-universiti awam.

Malah kini, teknologi komunikasi merupakan komponen pengajian


komunikasi yang semakin penting dan popular. Bidang teknologi
komunikasi tidak muncul sebagai satu aliran yang tersendiri. Boleh
dikatakan hampir kesemua bidang komunikasi hari ini turut menjadi
teknologi komunikasi sebagai komponen ilmu bersama. Dengan erti kata
lain ianya bersifat interdisiplin.

Saya berharap anda mendapat gambaran mengenai kronologi


perkembangan bidang komunikasi di Barat dan Malaysia. Saya pasti anda
dapat memperoleh maklumat yang lebih terperinci bagaimana
perkembangan berlaku dalam sektor pengamal komunikasi pula.
Mungkin juga anda dapat menyenaraikan badan atau institusi
penyelidikan komunikasi yang ada di Barat dan Malaysia atau mungkin
anda berminat mendapat maklumat penubuhan Fakulti Komunikasi dan
Bahasa Moden, Universiti Utara Malaysia. Oleh itu, jadikan persoalan-
persoalan ini sebagai perangsang pembelajaran anda dalam topik
perkembangan bidang komunikasi ini.

Bolehkan anda namakan tokoh-tokoh kewartawanan yang


ternama di Malaysia?

1.4 KOMUNIKASI SEBAGAI DISIPLIN SAINS SOSIAL

Bidang komunikasi bukan satu perkara yang baru. Manusia zaman kuno
sudah pun berkomunikasi. Namun yang membezakan penelitian
terhadap ilmu komunikasi banyak berkaitan dengan cara, proses dan
perantaraan yang digunakan. Pada peringkat awalnya perbincangan
komunikasi berkisar tentang simbol, isyarat dan bahasa diikuti dengan
penulisan. Bidang ini terus berkembang seiring dengan kemunculan
peralatan-peralatan berkomunikasi dan media massa. Justeru itu, jika
ditinjau latar belakang ilmu komunikasi pada peringkat awalnya, ia
banyak dipengaruhi oleh bidang-bidang sains sosial yang lain seperti
psikologi, sosiologi, politik, ekonomi dan juga sains tulen seperti
kejuruteraan dan elektronik (Rogers, 1994).

Hasil penelitian terhadap bidang-bidang sains sosial yang lain didapati


beberapa teori utama bidang berkaitan telah menyumbang kepada
kerangka ilmu komunikasi. Sebagai contoh, Teori Evolusi oleh Darwin
akhirnya telah mencetuskan idea dan penelitian terhadap komunikasi
bukan lisan. Manakala teori Freud iaitu Teori Psikoanalitik pula

13
dibuktikan telah menyumbang kepada kerangka pengajian ilmu
pemujukan yang dipelopori oleh Carl Hovland. Dalam pada itu, Teori
Kritikal oleh Karl Marx pula membantu bidang kajian kesan media dari
politik-ekonomi komunikasi.

Daripada kupasan tersebut, nyata bahawa bidang komunikasi merupakan


satu ilmu yang mempunyai hubung kait dengan ilmu-ilmu sains sosial
yang lain. Tidak menghairankan jika ada yang berpendapat bahawa
komunikasi merupakan satu bidang yang agak baru. Hal ini berlaku
kerana komunikasi sering memerlukan bidang lain bagi menyokong
penjelasannya. Oleh yang demikian, ia banyak dikaitkan dengan ilmu-
ilmu lain yang lebih kelihatan dominan, maka idea utamanya secara tidak
langsung juga turut tenggelam.

Menurut Rogers (1994), komunikasi sebagai satu bidang ilmu yang


dikendalikan oleh institusi pengajian tinggi mula diperkenalkan oleh
Schramm. Schramm yang sering dikenali sebagai tokoh dan bapa
komunikasi telah memperkenalkan program komunikasi massa pertama
dunia pada tahun 1943 semasa beliau menjadi Pengarah Iowa Journalism
School. Pada ketika itu kajian dan bidang komunikasi amat menumpukan
kepada soal-soal kewartawanan seiring dengan keperluan dan senario
semasa.

Hasil daripada inisiatif beliau maka muncullah pusat-pusat pengajian ilmu


komunikasi baru di universiti-universiti Amerika Syarikat. Usaha
Schramm dikatakan sebagai pencetus kepada pengajian ilmu komunikasi
secara formal dan di peringkat pengajian tinggi serata dunia.

Justeru itu, tidak menghairankan jika pengajian komunikasi sering kali


disinonimkan dengan ilmu media massa. Ini kerana pengajian media
massa merupakan antara bidang pelopor yang telah menjadikan
pengajian komunikasi popular serta terkenal. Selepas tahun 1960-an
barulah horizon komunikasi ini diterima luas mencakupi komunikasi
antara budaya, perhubungan awam, pemujukan, periklanan, komunikasi
organisasi, komunikasi pembangunan, teknologi komunikasi,
telekomunikasi dan sebagainya.

Saya harap anda mendapat gambaran mengenai ilmu komunikasi sebagai


disiplin ilmu sains sosial. Ilmu komunikasi mempunyai hubung kait
dengan ilmu-ilmu sains sosial yang lain. Tidak menghairankan jika
dikatakan bidang komunikasi ialah bidang baru. Mungkin anda
mempunyai pandangan mengenai topik ini. Senaraikan pandangan anda
dan simpan, kita akan bincangkan pada perjumpaan akan datang.

14
SOALAN DALAM TEKS

1. Huraikan tiga tahap mengenai konsep komunikasi.


2. Perkembangan bidang komunikasi boleh
dibahagikan kepada beberapa era. Bezakan era
awal kebangkitan retorik dan era retorik baru.

Semak jawapan anda di akhir bab ini.

Adakah anda bersetuju bahawa ilmu komunikasi ialah


ilmu sains sosial?. Beri sebab pilihan anda.

Griffin, E. (1997). A first look at communication theory (3rd


ed.). New York: McGraw-Hill.

Littlejohn, S.W. (1996). Theories of human communication


(5th ed). New York: Wadsworth.

1.5 RUMUSAN

Bab ini memberi gambaran mengenai definisi komunikasi. Ia


membincangkan elemen-elemen yang berkait dengan komunikasi.
Sejarah perkembangan komunikasi turut dimuatkan dalam bab ini. Ia
merangkumi perkembangan komunikasi di Barat dan Malaysia. Selain itu,
topik bab ini juga menerangkan ilmu komunikasi sebagai disiplin sains
sosial. Bab seterusnya akan membincangkan konsep, peranan dan proses
pembentukan teori dalam penyelidikan komunikasi.

SOALAN PENILAIAN KENDIRI

1. Nyatakan empat orang sarjana barat yang digelar ‘bapa


penyelidikan komunikasi’.
2. Apakah faktor-faktor yang menyumbang kepada perkembangan
bidang komunikasi di Malaysia?

15
3. Bincangkan pengaruh bidang sains sosial yang lain terhadap
pengajian komunikasi.

Semak jawapan anda di akhir modul kursus ini.

JAWAPAN SOALAN DALAM TEKS

1. (a) Tahap pemerhatian (level observation)

Tahap ini mengandaikan bahawa terdapat definisi komunikasi luas


dan sempit. Secara umum, definisi komunikasi ialah proses
merapatkan hubungan yang terasing di dunia ini (Ruesch, 1957).
American College Dictionary (1964) mendefinisikan komunikasi
sebagai kaedah penghantaran mesej oleh tentera, arahan
menggunakan telefon, telegraf, radio dan kurier, tetapi definisi ini
agak terhad maksudnya kepada kaedah penghantaran mesej
menggunakan peralatan tertentu.

(b) Tahap tujuan/niat (intentionality)

Komunikasi ialah keadaan sumber menyalurkan mesej kepada


penerima untuk mempengaruhi perlakuan penerima. Setiap proses
komunikasi perlu mempunyai tujuan atau niat oleh sumber.
Komunikasi juga sebagai proses menyatakan persamaan antara dua
orang atau lebih, sesuatu yang dikuasai oleh seseorang atau
beberapa orang.

(c) Pertimbangan normatif (normative judgement)

Tahap ini melihat sama ada takrifan komunikasi mempunyai


kenyataan yang menyebut tentang kejayaan ataupun ketepatan
proses komunikasi. Komunikasi merupakan pertukaran secara lisan
dan sesuatu idea atau pandangan. Definisi ini mengandaikan
bahawa pertukaran idea atau pandangan tersebut telah berjaya
dilaksanakan. Komunikasi juga ialah proses pemancaran maklumat.
Namun begitu, definisi ini tidak menyebut sama ada maklumat
yang disalurkan diterima atau difahami atau sebaliknya.

2. Perbandingan era awal kebangkitan retorik dan retorik baru

Era Awal (1900 – 1950) Kebangkitan Retorik

Guru-guru yang mengajar pengucapan menjadi ahli Jabatan Bahasa


Inggeris lebih menekankan persembahan lisan. Mereka dipandang

16
rendah berbanding orang yang mempelajari dan mengajar
kesusasteraan. Namun begitu pada 1953 terdapat lebih 200
universiti dan kolej di Amerika Syarikat yang mengasingkan Jabatan
Pengucapan dengan Jabatan Bahasa Inggeris. Pengasingan ini
menunjukkan bahawa pengucapan awam menjadi semakin penting.

Kursus yang ditawarkan menekankan panduan praktik dalam


mempengaruhi penerima melalui hebahan awam (public address),
interpretasi lisan, drama, debat dan perbincangan meja bulat. Guru-
guru menggunakan tulisan zaman Greek dan Rome sebagai bahan
rujukan. Plato, Aristotle, Cicero dan Quantilian merupakan sumber
bahan pengajian dalam hebahan awam.

Kritik retorik antara aktiviti yang relevan pada masa itu. Ucapan
sebagai elemen komunikasi kepada penerima khusus. Penekanan
utama ialah analisis dan apresiasi sebagai strategi yang digunakan
oleh perucap untuk menyampaikan idea kepada para pendengar.

Era Retorik Baru

Edwin Black telah mengemukakan cara baru menganalisis ucapan.


Burgess telah menerbitkan artikel seperti The Rhetoric of Black Power
dan The Rhetoric of Confrontation oleh Scott dan Smith. Dalam artikel
tersebut ucapan awam tidak mempunyai kaitan dengan ucapan
yang disediakan dengan rapi dan tidak diterima akal. Para sarjana
berpendapat bahawa hasutan sosial dan komunikasi bukan verbal
memainkan peranan penting dalam penerimaan mesej.

Dalam komunikasi massa pula didapati televisyen, filem dan muzik


popular mempunyai pengaruh dalam membentuk budaya umum,
tidak hanya memberi hiburan semata-mata. Menurut McLuhan
media ialah mesej (the medium is the message). Ini bermakna teknologi
komunikasi mempengaruhi perkembangan dan agen perubahan
masyarakat. Sifat teknologi komunikasi membolehkan individu
berkomunikasi antara satu sama lain. Sekitar lewat 1970-an
perkembangan profesional pengucapan di Amerika Syarikat
berbeza daripada Sarjana di Eropah yang menggunakan analisis
Marxis untuk melihat peranan media dalam membentuk nilai
masyarakat. Mereka mengkritik kajian media oleh Amerika Syarikat
yang katanya bebas tetapi sebenarnya menyokong kuasa ekonomi
dan politik. Pandangan sarjana Eropah itu membantu para sarjana
komunikasi Amerika Syarikat mendapatkan maklumat untuk terus
bertelagah dengan mereka di Eropah.

17

Anda mungkin juga menyukai