Anda di halaman 1dari 2

Tempoh keremajaan yang dicirikan sebagai perkembangan signifikan dan peralihan dalam

pembentukan sikap, personaliti yang konsisten serta corak penyesuaian, menjadikan tempoh
perkembangan remaja sebagai cenderung kepada tekanan (Smith, Cowie & Blades, 1998).
Kebanyakan perubahan besar dalam kehidupan berlaku dalam tempoh remaja, seperti
pencapaian akademik, mencapai kebebasan daripada ibu bapa, hubungan rapat dengan
rakan sebaya, menjalinkan hubungan romantik, kematangan fizikal dan jangkaan daripada
ibu bapa, yang menyebabkan peningkatan kadar tekanan kepada remaja (Ngai & Cheung,
2000; Hankin, Mermelstein & Roesch, 2007; Mezulis, Funasaki, Charbonneau & Hyde, 2010).
Perubahan tersebut cenderung mengakibatkan masalah psikososial sekiranya tidak
dikendalikan dengan baik, seperti kemurungan (Byrne, Davenport & Mazanov, 2007; Hankin,
2008; Calvete, Villardon & Estevez, 2008) dan kebimbangan (Adewuya, Ola & Adewumi,
2007; Byrne et. all, 2007; Esbjom, Hoeyer, Dyrborg, Leth & Kendall, 2010). Menurut
Reynolds (1990), masalah psikososial cenderung melibatkan perubahan emosi yang tidak
diurus dengan baik dalam tempoh perkembangan remaja, yang mana boleh membawa
kepada akibat yang lebih membimbangkan seperti idea membunuh diri atau sukar untuk
berfungsi dengan optimal apabila memasuki alam kedewasaan.

Bagi remaja di peringkat pengajian tinggi pula, pelbagai bentuk tekanan ketara yang
dialami dalam kehidupan seharian hingga menjejaskan ketenangan minda dan fizikal
(Bernama.com, Mei 2017). Di antara bentuk tekanan ketara yang dialami dalam kehidupan
seharian oleh remaja di peringkat pengajian tinggi adalah masalah kewangan, ketegangan
hubungan rakan sebaya dan ibu bapa, tekanan tugasan akademik dan pencapaian prestasi
serta dilema memikirkan jangkaan masa hadapan dalam peluang pekerjaan (Sharif et. all,
2014). Selain itu, menurut Arnett (2000), pada peringkat 18 hingga 25 tahun iaitu remaja
berada di peringkat pengajian tinggi, remaja berhadapan dengan konflik-konflik penting
sebagai persediaan memasuki alam kedewasaan yang berkualiti, yang mana jika tidak
dikendalikan dengan baik akan memberi impak negatif kepada kualiti hidup yang bahagia
remaja tersebut.

Peringkat kehidupan remaja di antara 18 hingga 25 tahun merupakan transisi penting


yang melibatkan perubahan besar dalam diri remaja, khususnya peranan sosial (Aiken, 1998;
Rossow & Rise, 1993), dan digandakan lagi dengan peranan sebagai pelajar bagi yang
berada di pengajian tinggi. Menurut Benard (1995) remaja lebih mudah membuat
penyesuaian dengan tekanan akademik, malah mudah menyelesaikannya dengan baik.
Berbanding dengan tekanan daripada sosialnya, iaitu konteks kehidupannya seharian secara
umum yang mana tekanan tersebut memerlukan kestabilan emosi dan kekuatan diri remaja
untuk melakukan penyesuaian dan mengekalkan kehidupan dengan lebih baik (Benard,
1995). Hal yang sama dijelaskan oleh Zuria, Noriah dan Syafrimen (2004) bahawa remaja di
pengajian tinggi lebih mudah melakukan penyesuaian dengan cabaran akademik berbanding
cabaran sosial serta emosi. Remaja cenderung membuat percubaan peranan sosial yang
baru dan membuat pemilihan gaya hidup yang mana menyumbang kepada tekanan yang
tinggi (Levinson, 1978; Dornbusch, 2000). Bagi remaja dalam kumpulan umur tersebut yang
berada di peringkat pengajian tinggi, transisi bukan normatif seperti tinggal berasingan
daripada ibu bapa merupakan transisi penting yang menyebabkan remaja berhadapan
dengan kadar tekanan yang besar kerana perlu memenuhi permintaan persekitaran dengan
peranan sosialnya yang baru, yang mana memerlukan remaja melakukan adaptasi yang
besar (Bell & Lee, 2002).

Adaptasi dengan persekitaran bagi membantu remaja berfungsi secara optimal


melibatkan perubahan tingkah laku dan psikologikal (Taylor, 1999). Remaja yang mengalami
kesukaran dalam adaptasi tersebut maka akan cenderung dengan tingkah laku berisiko yang
mana akan menjejaskan pencapaian hidup yang bahagia. Tambahan pula, di peringkat
pengajian tinggi remaja bukan sahaja berhadapan dengan tekanan akibat peranan sosialnya
tetapi komitmen akademik (Sharif et. all, 2014) serta status latar belakang kehidupan juga
menyumbang kepada kadar tekanan yang tinggi.

Anda mungkin juga menyukai