Anda di halaman 1dari 2

INDUSTRI DESA

Pada alaf baharu ini, sektor perindustrian diberikan tumpuan yang sepenuhmya untuk menjana
ekonomi negara. Namun, kebanyakan pihak tidak sedar bahawa industri desa yang juga mampu
meningkatkan ekonomi negara semakin dipinggirkan. Sebenarnya, industri ini berpotensi tinggi
untuk dimajukan dan dijangka akan memberi banyak sumbangan dalam ekonomi negara. Industri
desa merupakan wadah bagi menghasilkan kerja tangan yang dibuat oleh penduduk desa yang
masih menggunakan teknik tradisional yang diwarisi sejak zaman nenek moyang mereka.

Memang tidak dapat disangkal bahawa industri desa merupakan salah satu industri yang
berperanan penting di Malaysia. Kebanyakan penduduk di luar bandar tidak mempunyai
pekerjaan yang tetap dan ada dalam kalangan mereka terpaksa bekerja dari siang malam semata-
mata untuk menyara keluarga mereka. Mereka hidup dalam keadaan yang serba kekurangan dan
ada kalanya mereka hanya mengisi perut dengan ubi kayu. Kehidupan mereka di kawasan
pedalaman diibaratkan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Jika industri desa ini
dimajukan, maka peluang pekerjaan akan bertambah dan seterusnya taraf kehidupan penduduk
desa dapat ditingkatkan kerana di mana ada gula, di situ ada semut. Selain itu, indusri desa
yang kaya dengan budaya Malaysia yang tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan juga
dapat membantu dalam usaha menarik pelancong asing berkunjung ke negara kita.

Peribahasa Melayu ada mengatakan bahawa di mana ada kemahuan, di situ ada jalannya.
Industri desa di negara kita sememangnya dapat dimajukan jika pihak kerajaan dan pihak yang
terlibat mengambil inisiatif untuk mengusahakannya. Pihak kerajaan harus sentiasa memberi
sokongan dan bantuan kewangan bagi merealisasikan industri desa sebagai penggerak
perkembangan dan pertumbuhan ekonomi yang mantap. Industri ini harus diberikan nafas baharu
melalui suntikan teknologi moden untuk meningkatkan produktiviti supaya industri ini mampu
menembusi pasaran dunia sekali gus meningkatkan pendapatan negara kita. Masyarakat kita juga
harus mengiktiraf industri desa sebagai satu industri yang mampu memberi sumbangan dalam
pembangunan negara. Industri ini dijangka akan mendatangkan pulangan yang lumayan dalam
masa lima tahun jika kerajaan sanggup peruntukan yang lebih besar kepada industri ini.

Di samping itu, konsep jualan hasil industri desa melalui orang tengah harus digantikan dengan
konsep jualan langsung kerana kebanyakan sikap orang tengah diibaratkan enau di dalam
belukar melapaskan pucuk masing-masing. Mereka mengaut keuntungan yang banyak dengan
menjual hasil industri desa dengan harga yang tinggi kepada pengusaha-pengusaha di bandar.
Oleh itu, industri desa haruslah bekerjasama dengan badan kerajaan bagai aur dengan tebing bagi
menghidupkan industri desa ini. Sebaik-baiknya, industri ini harus diuruskan oleh anak-anak
kampung yang berpendidikan supaya mereka berpeluang berbakti kepada tempat kelahiran
mereka tanpa perlunya berpindah ke bandar untuk mencari nafkah hidup. Oleh hal yang
demikian, pihak kerajaan berperanan penting dalam usaha menggalakkan generasi muda masa ini
untuk menceburi industri desa supaya industri ini dapat berkembang ke seluruh pelosok dunia
dan Malaysia mampu duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara lain.

Dalam usaha memajukan industri desa, para pengusaha perlulah menimba ilmu pengetahuan
serta kemahiran dari negara-negara jiran, seperti Indonesia dan Thailand yang banyak
menghasilkan produk tempatan yang berkualiti. Negara kita haruslah bertukar-tukar pendapat
dengan negara yang maju dalam industri desa dan mendapat khidmat nasihat daripada golongan
profesional dalam bidang ini untuk meningkatkan produktiviti industri luar bandar di negara kita.
Selain itu,kita harus pandai mengambil yang jernih dan buang yang keruh dengan
menjadikan kejayaan negara-negara lain dalam industri desa sebagai rujukan untuk menjayakan
industri ini di negara kita sendiri. Industri desa hendaklah ditransformasi kepada pelbagai
perusahaan daripada berbentuk tradisional kepada jenis penghasilan produk yang lebih kreatif
dan inovatif untuk menarik hati dan mengagumkan para pembeli. JIka usaha memajukan industri
desa dilakukan secara sistematik mengikuti prosedur-prosedur yang disediakan, maka suatu hari
nanti industri desa akan mendahului segala industri yang bertaraf antarabangsa.

Bukan itu sahaja, pihak kerajaan haruslah bekerjasama dengan sektor swasta untuk
memaksimumkan hasil pengeluaran industri desa. Kita tidak boleh bergantung sepenuhnya pada
pihak kerajaan untuk menghidupkan industri desa kerana bertepuk sebelah tangan tidak akan
berbunyi. Kedua-dua pihak ini haruslah berganding bahu untuk memperkenalkan produk
tradisional secara komersial kepada dunia luar. Mesin yang lebih canggih harus dibekalkan
kepada pengusaha industri desa supaya produk industri desa seperti kraf tangan yang dihasilkan
lebih berkualiti. Bekalan produk yang bermutu tinggi sememangnya akan mendapat sambutan
yang baik daripada para pembeli di negara kita mahupun pembeli dari negara asing. Penggunaan
mesin juga dapat mempercepat proses pengeluaran produk dan meningkatkan kuantiti barangan
industri desa yang dihasilkan. Dengan ini, hasil-hasil industri desa dapat dibekalkan kepada
pembeli ataupun para pengusaha secara berterusan.

Konklusinya, industri desa sememangnya dapat memberi nafas baharu kepada masyarakat luar
bandar dan seterusnya meningkatkan pendapatan per kapita negara. Oleh itu, pihak yang terbabit
harus sentiasa memastikan bahawa penduduk di kawasan luar bandar diberikan bantuan dan
kemudahan yang secukupnya untuk meningkatkan hasil industri desa. Para pengusaha industri
ini juga harus melakukan anjakan paradigma selaras dengan keadaan semasa supaya industri
desa di negara kita dapat dimajukan ke tahap yang maksimum dan mampu mengharumkan nama
Malaysia di arena antarabangsa. Malaysia Boleh!

Anda mungkin juga menyukai