Anda di halaman 1dari 2

TEKS UCAPAN PENGETUA UNTUK MAJLIS GRADUASI SPM 2018

Salam sejahtera
Saya rasa bertuah dan bersyukur kerana pada pagi yang mulia ini dapat kita berkumpul
bersama-sama bagi meraikan dan memberi pengiktirafan kepada putera-puteri tingkatan 5
dan 6 SMK La Salle Petaling Jaya tahun 2018. Sesungguhnya, Majlis Graduasi pada tahun
ini merupakan kali ke-2 diadakan di Kolej INTI, Subang Jaya. Justeru, terlebih dahulu
ingin saya merakamkan jutaan terima kasih kepada pihak Kolej INTI yang sudi
menyediakan tempat yang sungguh selesa ini untuk kita meraikan Hari Graduasi dalam
suasana yang penuh gemilang dan bermakna buat kita semua. Saya juga mengambil
kesempatan ini mengalu-alukan kehadiran para ibu bapa ke majlis ini untuk meraikan
kejayaan anak tuan-tuan dan puan-puan sekalian. Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada
jawatankuasa pengelola majlis graduasi ini kerana telah berjaya menzahirkan majlis ini
dengan penuh gemilang.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Majlis graduasi ini diadakan khas untuk meraikan dan memberi pengiktirafan kepada
semua putera tingkatan 5 dan 6, serta puteri-puteri tingkatan 6. Majlis ini juga sebagai
perangsang kepada mereka untuk mencapai kejayaan dalam segala bidang yang akan
diceburi, malah diharapkan dapat mengukir kenangan manis dalam lipatan sejarah para
graduan. Semoga majlis ini juga dapat membuatkan anakanda putera dan puteri tidak
melupakan jasa dan pengorbanan yang telah dicurahkan oleh warga pendidik Sekolah
Menengah Kebangsaan La Salle Petaling Jaya.

Tahniah juga diucapkan kepada guru-guru yang bertungkus-lumus mendidik dan memberi
tunjuk ajar. Kami berharap, para graduan dapat meneruskan pembelajaran di mana-mana
jua selepas SPM nanti dan seterusnya mencurahkan bakti kepada nusa dan bangsa sebaik
sahaja melangkah keluar ke alam pekerjaan.
Hadirin yang dimuliakan sekalian,
Sebenarnya majlis graduasi ini dan Peperiksaan SPM dan STPM yang akan ditempuhi
nanti hanyalah titik permulaan jalan kehidupan yang akan diterokai. Di hadapan para
graduan nanti, terbentang pelbagai rintangan ke arah pencapaian sebenar dalam kehidupan.
Semangat perjuangan yang utuh dan kekuatan jati diri perlu diperkukuh bagi membolehkan
para graduan meneruskan perjalanan hidup dengan penuh yakin dan tabah. Kami semua
mendoakan kejayaan dan kesejahteraan anda semua.

Kepada para graduan sekalian, saya dan seluruh warga sekolah sentiasa mendoakan agar
anda semua dapat menjejakkan kaki ke menara gading dan seterusnya mencapai impian
anda dalam pelbagai bidang akademik dan kerjaya.

Sekali lagi saya bagi pihak Sekolah Menengah Kebangsaan La Salle Petaling Jaya
merakamkan penghargaan atas kehadiran Brother Augustine. Kepada guru-guru dan ibu
bapa, iringilah perjuangan putera dan puteri graduan kita menempuh peperiksaan dengan
doa agar kecemerlangan yang kita harapkan tercapai. Kepada putera dan puteri graduan,
perjuangan belum berakhir. Teruskan perjuangan anda.

Sekian, terima kasih.